Para ulama tasawuf menyatakan, seseorang yang ingin merasai kemanisan iman hendaklah berusaha MENGINGATKAN dua perkara berikut:
Kebaikan Orang kepada Kita
Kita hendaklah selalu mengingati kebaikan orang terhadap kita, sebagai contoh orang yang pernah menolong kita dengan nasihat, wang ringgit, tenaga dan sebagainya. Jika boleh, balaslah dengan budi yang setimpal atau lebih. Ini akan menyebabkan kita mudah menjadi orang yang pemaaf kerana merasakan kebaikan orang lain melebihi kesalahannya.
Lebih-lebih lagi nikmat Allah kepada kita perlu disyukuri, perlu selalu diingat dan disebut-sebut sebagai tanda kesyukuran dengan lidah dan hati.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur).” – Surah al-Dhuha 93:11)
Kesalahan Kita kepada Orang:
Hendaklah sentiasa ingat kesalahan kita terhadap orang lain agar terdorong kita meminta maaf. Inilah yang akan membuahkan kasih sayang sesama manusia kerana Allah. Berazamlah untuk tidak mengulangi kesalahan seperti itu lagi.
Lebih perlu kita mengingati dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. Ini akan menimbulkan rasa insaf, takut, menyesal, yang akhirnya mendorong kita bertaubat kepada Allah. Ingatlah, dosa yang menyebabkan kita menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.
Ada dua lagi perkara yang penting buat kita, tetapi bukan untuk diingati, sebaliknya untuk DILUPAKAN, iaitu:
Kebaikan Kita Kepada Orang:
Jangan sekali-kali mengungkit-ungkit jasa dan kebaikan kita kepada orang lain. Hakikatnya kita hanya menjadi wasilah kepada nikmat Allah yang hendak diberikanNya kepada manusia lain. Sikap mengenang dan mengungkit kebaikan diri ini akan membatalkan amal. Jadi, apabila kita membuat kebaikan kepada orang lain, cuba rasakan seolah-olah kita tidak pernah berbuat baik kepadanya.
Kejahatan Orang Terhadap Kita:
Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa yang bersalah dengan kita. Ini akan membantu kita mengawal rasa marah dan dendam. Kita hanya hamba Allah, bukan tuan lebih-lebih lagi Tuhan dalam kehidupan ini. Jadi, apabila hamba Allah yang lain melakukan kesalahan kepada kita anggaplah kita layak untuk disakiti kerana kita hanya hamba Allah.
Lebih-lebih lagi yang perlu kita lupakan adalah segala kesusahan, ujian, musibah atau malapetaka yang Allah timpakan. Sedarlah bahawa kesakitan, kematian, kerugian, kemalangan, kegagalan dan malapetaka alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, ribut taufan, tsunami, wabak penyakit, kemelesetan ekonomi dan sebagainya itu hanya mehnah daripada Allah untuk ‘memujuk’ manusia kembali kepadaNya.
No comments:
Post a Comment