BAGAIMANAKAH cara terbaik menghindarkan diri daripada mengumpat. Benarkah ada mengumpat yang dibenarkan, apa pandangan ustaz mengenai perkara ini.
Mengumpat yang dibenarkan antaranya, apabila berlaku penganiayaan seperti individu yang dizalimi mengadukan kezaliman seseorang kepada hakim supaya hakim dapat mengembalikan haknya daripada orang yang menzaliminya.
NURUL HASANAH,Bangi, Selangor.
Ustaz Zahazan Menjawab:
ANTARA penawar untuk mengekang lidah daripada mengumpat, seseorang hendaklah mengetahui bahawa suka mengumpat akan mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah atau dengan erti kata lain, apabila mengumpat samalah seperti melanggar larangan Allah SWT.
Penawar untuk mengelak mengumpat ialah meneliti diri sendiri terlebih dulu, apakah dalam diri ada atau tidak keaiban atau keburukan. Jika ada tentu lebih utama kita membetulkan diri sendiri daripada mengumpat orang lain.
Imam Ghazali menyebut dalam kitabnya Ihya’: “Jika tidak ada jalan lain untuk mencapai sesuatu tujuan yang betul dibenarkan oleh syariat Islam, melainkan dengan menyebut keburukan orang lain, maka dalam hal ini dibenarkan mengumpat dan hukumnya tidak berdosa sama sekali.”
Mengumpat yang dibenarkan antaranya, apabila berlaku penganiayaan seperti individu yang dizalimi mengadukan kezaliman seseorang kepada hakim supaya hakim dapat mengembalikan haknya daripada orang yang menzaliminya.
Dalam hal ini, tidak mungkin jelas sesuatu perkara yang hendak disampaikan pada hakim melainkan dengan menyebut dan menerangkan keburukan si zalim itu untuk membuktikan kezalimannya.
Kedua, meminta bantuan orang lain mengubah sesuatu kemungkaran atau mengembalikan seorang yang suka melakukan maksiat ke jalan kebaikan.
Ketiga, ketika meminta fatwa atau penerangan sesuatu hukum agama. Contohnya, ia berkata kepada mufti: “Ayah menganiaya saya atau isteri saya menzalimi saya dan sebagainya. Perkara ini berdasarkan riwayat daripada Hindun Utbah yang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa Abu Sufyan (suaminya) adalah seorang yang amat kedekut.
“Ia tidak memberi keperluanku dan keperluan anakku dengan secukupnya. Apakah aku boleh mengambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya?” Maka sabda Rasulullah SAW: “Ambillah apa yang cukup untuk keperluanmu dan keperluan anakmu secara adil.”
Keempat, mengingatkan seseorang Muslim kepada sesuatu kejahatan. Contohnya, jika saudara mengetahui seseorang itu jahat, lalu saudara mengingatkan orang lain supaya menjauhkan diri daripada orang itu.
Atau menyatakan keaiban seseorang supaya amanah tidak diserahkan kepadanya atas tujuan menasihat, bukan kerana memburukkan atau menjatuhkan namanya di hadapan orang lain.
Kelima, apabila seseorang itu terkenal dengan sesuatu gelaran atau panggilan yang memang menunjukkan kekurangan dirinya seperti mengatakan si polan yang tempang atau buta. Maka dalam hal ini, tiadalah dilarang menyebutnya bagi memudahkan orang mengenalinya.
Walau bagaimanapun jika dapat diubah dengan gelaran lain atau panggilan yang lebih baik dan senang pula disebarkan maka itu lebih baik.
Keenam, apabila seseorang itu memang sengaja membuat kefasikan dan bermegah dengan perbuatan itu, maka terhadap orang ini tidak dilarang melemparkan ghibah (mengumpat) kerana kelakuannya.
sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment