Saturday, May 12, 2012
RASUAH MEMBAWA SIKSAAN DUNIA AKHIRAT
Firman Allah subhanahua ta'ala telah menegaskan di dalam kitab suci Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud : " Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan jalan dosa padahal kamu mengetahui ".
Dari maksud ayat di atas, Allah subhanahu ta'ala menjelaskan kepada kita agar kita jangan memakan harta orang lain dengan jalan yang salah atau batil, termasuk makan harta orang lain dengan cara yang salah iaitu menerima rasuah.
Islam mengutuk semua perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat buruk yang merosakkan masyarakat. Perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah. Mereka yang melakukan jenayah rasuah didunia dan di akhirat, sebaliknya mereka akan menerima siksaan yang berat.
Kaum muslimin yang dikasihi,
Pengamal rasuah akan sentiasa terdedah kepada risiko sakit jiwa, akibat perasaan takut yang sentiasa menghantui diri mereka. Secara tidak disedari mereka akan hidup dalam keresahan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Hidup pengamal rasuah akan sentiasa diselubungi kebimbangan. Di dalam Islam mereka yang menghadapi masalah seperti ini dianggap menerima bala'. Keadaan ini disifatkan sebagai satu penyiksaan batin di dunia. Seseorang yang melakukan kesalahan samada dengan masyarakat atau melanggar hukum Allah pasti menghadapi tekanan jiwa sehingga dia menghentikan perbuatan itu dan bertaubat kepada Allah subhanahu ta'ala.
Kaum muslimin sekalian,
Perbuatan rasuah dianggap sebagai melanggar amanah dan dalam Islam melanggar amanah termasuk ke dalam golongan munafik. Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan muslim yang bermaksud:
"Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-kata, dia berdusta, apabila berjanji, dia mungkir, apabila diberi amanah, dia khianati. "
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pembongkaran kes-kes rasuah yang berlaku di agensi-agensi kerajaan. Alangkah malangnya sekiranya rasuah berlaku kepada pegawai-pegawai yang telah diamanahkan untuk menjaga hak rakyat tetapi mengkhianatinya. Mereka bukan sahaja berdosa kepada Allah subhanahua ta'ala, bahkan mereka juga akan disoal di padang mahsyar kerana amanah rakyat yang mereka khianati.
Betapa malang juga, kes rasuah yang dibongkar baru-baru ini melibatkan puluhan ribu orang, mungkin ramai yang berpendapat rasuah sudah menjadi fenomena masyarakat yang sudah tidak dapat dielakkan, ataupun rugi jika dilepaskan, mereka sanggup menderhaka kepada Allah semata-mata untuk mengecap nikmat dunia yang sedikit. Ingatlah, perbuatan rasuah itu membawa kepada kemurkaan Allah dan juga bakal menghancurkan masyarakat, agama dan negara.
Rasulullah s.a.w. menjelaskan hal ini dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bermaksud :" Bakal datang kepada manusia satu masa, orang tidak lagi peduli terhadap apa yang diambilnya, apakah ini halal atau haram ",
dan dalam satu hadis yang lain diriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu kabilah, tetapi setelah utusan itu mengadap nabi, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada nabi s.a.w., : "Ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya, mendengar ucapan itu nabi s.a.w. marah seraya bersabda: mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur ".
Maksudnya tidak lah harus seseorang yang sedang bertugas mengambil habuan selain dari gaji yang telah di tetapkan.
Kaum muslimin yang berbahagia,
Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Oleh kerana tidak ada dialih dengan menerima suatu yang jelas rasuah dengan niat menerima hadiah. Perbuatan itu tidak akan mengeluarkan dari hukum haram menjadi halal. Saidina Omar Abdul Aziz pernah diberi hadiah sewaktu beliau menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dia dikatakan kepadanya " Rasulullah menerima hadiah " maka Omar Abdul Aziz menjawab, " Apa yang diterima oleh Rasulullah itu memang menerima hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah).
Rasulullah pernah bersabda dari riwayat Abu Daud yang bermaksud: " Barangsiapa yang kaya, berikan pekerjaan dan kami berikan gaji, apa yang diambil selebihnya dari itu bererti penipuan.'
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Ambillah pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar Abdul Aziz, akan tetapi pada akhir zaman ini manusia tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan benda itu menguntungkan mereka. Kebanyakan manusia ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat masing-masing.
Di zaman ini menyaksikan masyarakat tidak lagi mengamalkan sifat malu dalam kehidupan seharian mereka, sikap tidak malu inilah yang mendorong berlakunya rasuah, pecah amanah, berdusta dan pelbagai lagi. Mereka tidak malu kepada Allah dan tidak malu kepada masyarakat untuk membuat dosa dan maksiat.
Kaum muslimin yang dikasihi,
Oleh kerana itu, pada hari ini sama-samalah kita membina keperibadian diri agar kita tidak terlibat dengan rasuah dan mencari rezeki yang tidak halal samada sebagai pemberi rasuah, penerimanya atau perantaranya. Kerana Allah dan rasulnya melaknat ketiga-tiga golongan tersebut. Dan peringatan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Pemberi rasuah dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka.'
Kaum muslimin sekalian,
Islam amat menitikberatkan rezeki halal. Rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang buruk adalah haram dan berdosa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud :
" Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat dibumi dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata'.
sumber: Al-azim.com
No comments:
Post a Comment