Wednesday, October 17, 2012
MEMASARKAN ISLAM KEPADA UMAT MODEN
Sama ada dahulu atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen.
Sikap yang seperti itu dinamakan dengan fanatik atau taksub. Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak yang lain itu telah memberikan hujah dan dalil yang kukuh.
Sesuatu pendapat itu sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta yang diberikan.
Keburukan fanatik
Fanatik ini telah berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu. Ia sehingga membawa kepada permusuhan sesama Islam dek perbezaan pendapat dalam hukum syarak.
Sehingga dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidil Haram, Mekah umat Islam bersolat dengan empat imam dan setiap imam mewakili mazhab masing-masing. Setiap makmum akan memilih imam yang sesuai dengan mazhabnya.
Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Hal ini berterusan, sehinggalah gerakan pembaharuan pemikiran agama berjaya menghapuskan kekarutan tersebut. Bayangkanlah jika hal tersebut berterusan sehingga hari, di kala umat Islam begitu lemah dan berpecah.
Selepas Rasulullah SAW wafat, baginda meninggalkan ramai para sahabah yang merupakan ilmuwan besar bagi umat ini. Namun, tiada seorang di kalangan para sahabah yang agung itu menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain.
Perkara yang seperti itu tidak pernah didakwa oleh khalifah yang empat, atau ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka jauh lebih memahami syariat Rasulullah SAW dari orang selepas mereka.
Malangnya, apabila muncul imam-imam mazhab seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain-lain tokoh lagi, tiba-tiba ada di kalangan pengikut mereka yang taksub mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambilnya dari imam lain.
Ini seperti pengikut fanatik Mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat selain dari Mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik Mazhab Malik yang menghalang membantah Maghribi mengambil pendapat selain dari Mazhab Malik.
Atau pengikut fanatik Mazhab al-Syafie yang membantah orang Malaysia mengambil selain dari Mazhab al-Syafie. Kontradiknya, dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa imam-imam tersebut kesemuanya adalah tokoh-tokoh sarjana ahli Sunnah, tetapi menolak keilmuan mereka hanya kerana faktor daerah atau negara.
Padahal, para imam itu sendiri tidak pernah mengajar demikian dan negara-negara yang wujud ini belum pun terbentuk pada zaman mereka apatah lagi pada Rasul SAW.
Tokoh terkenal, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan berkata:
"Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab.
"Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya.
"Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini! (Dr Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah, ms 147, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Menyanggahi norma Ilmu
Dalam dunia akademik tulen, perbuatan seperti itu dianggap menyanggahi norma-norma keilmuan yang menuntut keluasan minda dan penelitian fakta. Alangkah ruginya sikap sedemikian, yang bererti kita telah menghalang perkembangan pengetahuan dan kesarjanaan hanya kerana perbezaan nama tokoh dan daerah yang kita tinggal.
Padahal dalam kehidupan biasa kita berkempen agar mengambil manfaat dari dunia lain. Di Malaysia, kita pernah berkempen "Dasar Pandang ke Timur", sekalipun majoriti Jepun dan Korea bukanlah Muslim.
Kita mengambil ilmu dan menggerakkan negara dari ilmu Barat atau Timur yang membolehkan kita maju ke hadapan, tanpa mengira latar agama.
Tiba-tiba dalam masa yang sama, ada pula yang menyatakan, anda tidak boleh mengambil pendapat al-Imam Ahmad, atau al-Imam Malik atau al-Imam Al-Auza'i atau al-Imam Ibn Hazim al-Andalusi atau Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, atau al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah, atau tokoh moden seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Mustafa al-Zarqa, Ibn Baz, al-Albani, al-Uthaimin atau selain mereka kerana mereka bukan Mazhab al-syafi'i.
Pada hal dunia ilmuwan akur akan kesarjanaan mereka. Bahkan pendapat mereka itu boleh dinilai kualitinya berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan mereka. Jika kita menolak pendapat mereka hanya kerana nama bukan kerana fakta, maka itu sentimen puak atau kejumudan minda bahkan itu adalah pengkhianatan ilmiah juga penghapusan khazanah ilmu.
Dr Yusuf al-Qaradawi dengan jelas dalam masalah ini menyebut:
"Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian.
"Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka.
"Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi.
"Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (penganalisis) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah." (Dr Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum , ms 202, Kaherah: Dar al-Sahwah)
Penilaian semula
Pandangan mazhab sebahagian besarnya adalah ijtihad yang terdedah untuk dinilai oleh pihak yang lain. Maka kita pula berhak untuk mengambil pandangan lain yang pada penilaian kita lebih dekat kepada fakta dan lebih mampu menterjemahkan wajah Islam yang sebenar.
Umpamanya, pendapat dalam mazhab al-Syafie, yang membolehkan bapa berkahwin dengan anak zinanya, barangkali tidak wajar untuk dipertahankan terutama ketika menerangkan Islam kepada dunia. Apakah Islam yang mengharamkan mengahwini seseorang wanita hanya kerana susuan akan menghalalkan anak zina? (lihat: Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian juga jika pendapat awal ulama al-Syafie dikekalkan yang mensyaratkan setiap urusan jual beli mempunyai lafaz, tentu sukar untuk kita di zaman moden ini membeli minuman atau makanan dari mesin-mesin canggih yang ada.
Bahkan di sana banyak perkara yang menuntut seorang Muslim melihat luar dari kerangka mazhabnya terutama tentang hubungan dengan non-Muslim, zakat, wakaf, perkahwinan dan berbagai lagi.
Bahkan pandangan-pandangan agama yang menyusahkan tanpa dalil dari al-Quran dan al-Sunah patutlah dielakkan terutama untuk generasi moden yang mula fobia dengan agama. Apatah lagi kepada yang baru menganut Islam.
Dr Yusuf al-Qaradawi juga pernah menyebut: "Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunah.
"Kedua-duanya tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang Muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuwan sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun.
"Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah seseorang yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah Taala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fikah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu." (Dr Yusuf al-Qaradawi, Kaif Nata'amal Ma' al-Turath, ms 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah).
Taklid mazhab
Tokoh fikah semasa lain yang terkenal Dr Wahbah al-Zuhaili pula menyebut:
"Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafie atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab.
"Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan Rasul-Nya. Allah dan Rasul-Nya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan hanya tokoh tertentu, dan bukan yang lain.
Firman Allah (maksudnya): "Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui." (an-Nahl:43)
Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabiin tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah.
Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh. Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan kukuh di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu.
Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan -seperti yang dijelaskan. Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau perinciannya." (Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar'iyyah, ms 17-19, Beirut: Dar al-Khair).
Luas bermazhab
Sebelum ini saya telah jelaskan, betapa keterikatan atau sempit dengan satu-satu pendapat tanpa melihat kepada dalil dan logik akan menjadikan kita tidak ilmiah, bahkan boleh menyanggahi sifat Islam yang suka kemudahan untuk umatnya.
Umpamanya, ada yang memberitahu saya bimbang makan dari bekas hidangan bukan Muslim, kalau-kalau pernah terkena khinzir dan belum dibasuh tujuh kali serta air tanah.
Saya katakan, pertama; kita tidak patut mengandaikan perkara yang kita tidak nampak. Kedua; pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab.
Sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting hilang kesannya. Tidak ada dalil pun yang menyatakan khindir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk air tanah.
Pendapat ini disokong oleh tokoh besar Mazhab al-Syafie sendiri -walaupun berbeza dengan mazhabnya- iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut dan diterima pakai banyak karyanya di Nusantara ini.
Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi'i (meninggal 780H):
"Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi'i. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah.
"Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak". (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi'i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, ms 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Bagi saya pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapal terbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan Muslim.
Namun yang menfatwakan supaya diminum air tanah bagi sesiapa yang telah termakan sosej khinzir beberapa tahun lepas, tidak ada akal yang sejahtera yang dapat menyokong hal itu. Apatah lagi dalil syarak.
"Sepatutnya, kenyataan seperti itu jangan disiarkan dalam media. Hanya memalukan umat Islam. Tiada seorang sahabah pun yang masuk Islam, lalu baginda Nabi SAW memerintah dia meminum air tanah. Bersikap terbukalah kita dengan mendengar dalil orang lain. Islam dengan tafsiran yang sempit sukar untuk dipasarkan kepada umat moden.
sumber: Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Malaysiakini)
No comments:
Post a Comment