Friday, March 29, 2013
BILA CERAMAH MOTIVASI MEREPEK....
Oleh : Dr Mohd Asri
Apabila jenama ‘Islam' itu laris, ramai orang menggunakannya. Sama ada mereka itu ikhlas kerana Allah, ataupun kerana ‘market demand' hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Bermula dari pelbagai produk makanan dan barangan cuba dikaitkan dengan agama sehingga kepada pelbagai jenis motivasi. Akhirnya, agama kelihatan murah dan selekeh.
Ubat-ubatan yang entah apa-apa kualitinya dikaitkan kononnya makanan Nabi SAW Sama seperti sesetengah para penjual tamar di Mekah dan Madinah yang apabila melihat orang asing akan berteriak memanggil pembeli dengan menyebut: "Tamar Nabi! Tamar Nabi! Tamar Nabi!"
Saya sering menjawab mereka dengan berkata: "Tamar Nabi SAW baginda sudah pun makan dan habis pada zaman tersebut. Ini tamar awak punya, bukan Nabi SAW punya."
Malangnya, orang yang tidak tahu akan tertipu lalu membeli tamar dengan harga berlipat kali ganda hanya disebabkan laungan ‘tamar Nabi SAW'. Agama sering menjadi alat penipuan dan kepentingan golongan yang pandai mengekplotasikannya.
Tuntutan pasaran
Saya tidak menyatakan semua, tapi sesetengah penceramah motivasi yang tidak mendalami agama juga demikian. Oleh kerana ceramah merupakan pendapat utama ataupun besar bagi sesetengah pihak, maka mereka mencari jalan untuk memenuhi ‘market demand' (tuntuan pasaran).
Apabila mereka melihat unsur agama mendapat sambutan, maka mereka pun memasukkan unsur agama dalam ceramah-ceramah mereka. Malangnya, mereka mula ‘merepek' ataupun mengada-adakan atas nama agama apa yang tiada asas dari al-Quran dan al-Sunnah.
Contohnya, ada yang menyatakan kita sebelum tidur hendaklah memohon maaf kepada semua kenalan. Jika Islam mewajibkan hal yang seperti ini, tentulah sukar bagi para sahabat yang pada zaman mereka tiada SMS, telefon, WhatsApp ataupun apa sahaja teknologi seperti hari ini.
Islam menyuruh kita memohon maaf apabila kita melakukan kesalahan, bukan setiap kali hendak tidur. Pandangan motivasi seperti itu sekadar menggayakan syarikat-syarikat telekomunikasi sahaja.
Ada pula yang menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan dan minum yang diberikan. Ini adalah kedangkalan faham terhadap hukum syarak. Suami diwajibkan syarak memberikan isteri dan anak-anak makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Jika suami gagal memenuhi hal ini tanpa sebab yang sah maka dia berdosa di sisi Allah.
Jika gagal, suami yang sepatutnya meminta maaf kepada isteri dan anak-anak. Lihat arahan Allah kepada suami yang menceraikan isteri yang bermaksud:
"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddah) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu), dan jika mereka sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah; dan berundinglah antara kamu (dalam hal penyusuan) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu (suami) memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya. (Ingatlah) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."(Surah al-Talaq ayat 6-7)
Hatta dalam iddah dan selepas bercerai pun masih ada tanggungjawab suami. Inikan pula semasa perkahwinan masih berjalan. Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah ayat 233).
Walaupun majoriti ulama berpendapat ibu hanya disunatkan ataupun digalakkan menyusukan anaknya, namun mereka tetap berpendapat jika tiada siapa selain ibu yang dapat menyusukan anaknya, maka menjadi wajib ke atas ibu untuk menyusu. (Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, 2/360. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu'asir 1991)
Pandangan timbulkan salah faham
Justeru, anak memang wajib berbuat baik dan menghormati ibu, tetapi dalam Islam tiada ungkapan kena meminta halal susu ibu yang telah kita minum. Sebaliknya, jika seseorang ibu meninggalkan anak tanpa susuan dan tiada gantian yang selayaknya, maka ibu itu berdosa.
Demikian isteri tidak perlu meminta halal dari suami kerana itu adalah tanggungjawab yang Allah fardukan ke atas suami. Hanya isteri memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Nabi SAW mengingatkan suami dan bapa dengan sabda baginda:
"Seseorang cukup berdosa dengan dia cuai terhadap sesiapa yang menjadi tanggungjawabnya untuk memberi makan". (Riwayat Abu Daud, bertaraf hasan)
Pendapat-pendapat seperti itu meletakkan isteri dalam keadaan bersalah kerana memakan nafkah yang suami berikan sehingga kena meminta halal. Malangnya, kurang ditekankan tanggungjawab suami terhadap keluarga. Ini memberikan persepsi yang salah tentang Islam. Juga menjadikan suami sering rasa tidak bersalah atau kurang bersalah atas kecuaiannya.
Ini diwarisi sehingga dalam politik di mana rakyat sentiasa dianggap bersalah sehingga terpaksa akur apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa disebabkan pemberian ataupun kemudahan infrastruktur yang diberikan ataupun disediakan oleh kerajaan. Tanpa mengingatkan itu adalah tanggungjawab penguasa yang jika mereka cuai mereka berdosa.
Nafkah haram?
Ada pula penceramah motivasi yang menyatakan anak-anak yang tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapat bapa itu tidak halal. Isteri dianggap turut berdosa atas pendapatan haram suami. Kita bertanya, apa yang hendak mereka jawab mengenai anak-anak non-muslim yang cemerlang sedang ibu bapa mungkin terlibat dengan riba dan seumpamanya.
Dalam Islam, isteri-anak tidak bersalah atas kerja buat suami. Nafkah yang diberikan suami kepada isteri dan anak adalah halal diterima kerana itu tanggungjawab suami. Dosa hanya ditanggung oleh pihak suami sahaja jika wang itu diterimanya secara haram. Adapun isteri dan anak, mereka menerimanya secara halal kerana ia nafkah yang wajib.
Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas'ud: "Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan".
Jawab ‘Abdullah bin Mas'ud: "Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya." (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675)
Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?.
Jawab Ibn ‘Umar: Ya" (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138)
Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.
Beliau menjawab: "Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari Yahudi, memakan makanan Yahudi, membeli dari Yahudi sedangkan Yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa."
Ahli motivasi juga jangan lupa, wang yang diperoleh melalui motivasi yang tidak benar dan menggunakan nama Allah dan rasul-Nya secara salah juga termasuk dalam senarai yang haram.
Bacaan datangkan khasiat
Ada pula pakar motivasi mengeluarkan petua kononnya bacaan itu dan ini mendatang pelbagai khasiat. Ada yang kata baca fatihah untuk ibubapa setiap pagi mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan itu. Pemberi rezeki hanyalah Allah. Bilakah Allah menurunkan wahyu kepada mereka ini memberitahu jika manusia baca ayat-ayat ini Dia akan turunkan rezeki?
Inilah yang al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ulas mengenai tipu daya iblis terhadap golongan wu'adz dan tukang cerita ini:
"...maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bidaah dalam bidang ini... di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan."
Mereka lupa sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka" (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Bukan tujuan tulisan ini menghalang ahli-ahli motivasi bercakap agama, tetapi pastikan apa yang disebut itu berasas dan benar dari segi faktanya.
sumber: Malaysiakini
Assalam. Terima kasih diatas perkongsian yang baik ini. Namun, saya merenungkan setiap post anda. Namun, ada dua perkara yang saya tidak senangi:
ReplyDeleteSATU: Kalau boleh, elakkan menggunakan singkatan seperti "SAW", atau "s.a.w.". Ulama menegah peringkasan sebegitu. Kalau boleh, samada tidak menulisnya langsung (hanya "Rasulullah bersabda"), atau lafazkan dengan penuh "Sallallahu 'Alaihi Wasallam", atau صلي الله عليه وسلم, atau mudah gunakan ﷺ. Selawat ke atas junjungan tercinta tidak akan sampai. Lagipun, penggunaan SAW adalah tanda kemalasan, dan tiada sifat malas dalam Islam. Ingatkanlah pada satu doa yang dibaca oleh Rasulullah bagi mengelakkan sifat malas dan hutang:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْبُخْلِ والْجُبْنِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ. رواه أبو داود
Oleh itu, diharap agar artikel pada masa depan mengelakkan sifat malas seperti ini.
KEDUA: Adalah harus dimaklumkan bahawa widget helaian "kelopak bunga bertaburan" telah mengganggu pembacaan. Ia telah menyebabkan komputer menjadi berat/slow/lagging; hatta mengganggu pembacaan, dan akhirnya menyusahkan pembaca.
Wassalam.