Saturday, September 7, 2013

Apa kita boleh belajar dari sistem dan pendekatan persekolahan Australia - Nurhidayah Hashim


Rencana




September 06, 2013
Daripada pemerhatian dan temubual yang dijalankan, saya dapati ramai kanak-kanak  Malaysia yang mengikut ibu bapa menyambungkan pelajaran di luar negara (termasuk Australia) menghadapi ‘kejutan’ selepas kembali ke Malaysia.
Ini kerana wujudnya perbezaan yang ketara di antara dua sistem dan pendekatan persekolahan ini. Konsep sistem pendidikan sekolah rendah di Australia serta pendekatan guru mereka jelas berbeza dengan apa yang dilaksanakan di negara kita.

Prinsip pendidikan Australia
Dengan itu, bukan matlamat sekolah rendah untuk mengajar dan ‘memaksa’  kanak-kanak belajar secara berat dan serius, menghafal fakta dan maklumat, tetapi lebih kepada membuka minat dan kecintaan kepada ilmu dan maklumat. Waktu untuk belajar dengan serius dan mendalam akan berlaku di sekolah menengah dan peringkat universiti. Sekolah rendah juga adalah tempat menyuburkan nilai murni, jati diri anak sebagai generasi baru negara dan menerapkan serta membina kemahiran untuk menjadi insan bermanfaat selepas mereka dewasa.

Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa sistem persekolahan mereka sentiasa berkembang berdasarkan kajian pakar dan penglibatan guru dan juga ibu bapa. Mereka mengambil pakai hasil kajian pakar pendidikan dan psikologi kanak-kanak.

Contohnya, kajian membuktikan bahawa mempunyai kemahiran berbahasa yang tepat, yakin diri dalam berkomunikasi, pandai bercakap di hadapan ramai, berani bertanya soalan untuk memahami sesuatu fakta, kritis dalam mencari idea menyelesaikan masalah, suka berfikir di luar kotak, minat membaca, tepat menjaga masa, suka membantu orang lain, menghormati orang lain, sukakan ilmu dan menggunakan teknologi moden mencari maklumat tentang sesuatu ilmu baru dan bekerja secara kumpulan (team work) adalah keperluan penting untuk berjaya dalam hidup semasa mereka dewasa, maka ia diterima sebagai prinsip penting persekolahan mereka.

Begitu juga apabila kajian menunjukkan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan ini akan lebih berkesan dan sebati dalam diri kanak-kanak apabila ia diterap secara lembut, bersahaja, dengan perasaan seronok dengan kasih sayang  semasa kanak-kanak  masih di peringkat awal umur mereka (umumnya sebelum berumur 14 tahun), maka ia juga diterima pakai sebagai prinsip penting pendidikan di sana.

Justeru, hampir seluruh pendekatan di sekolah rendah mereka bagi pelajar berumur 6 hingga 12 tahun (Pra-sekolah sehingga Gred 6) diambil menjurus ke arah merealisasikan idea tersebut. Hasilnya, pendekatan pendidikan sekolah rendah mereka dibuat secara ‘menarik’ dengan moto ‘learning is fun’ (menuntut ilmu itu seronok), ‘school is fun’ (sekolah itu seronok) , ‘critical thinking is the goal of education’ (berfikir secara kritis adalah matlamat pendidikan) dan suka bertanya dan berbincang dalam kelas adalah matlamat pendidikan. Pendekatan guru juga sangat mesra pelajar, positif dan membina.

Oleh kerana pendidikan dibuat dengan gembira, seronok dengan pelbagai aktiviti perbincangan dua hala yang ceria, dengan sillabus yang kurang berat, ia menjadikan belajar di sekolah rendah di sini seolah-olah bermain sahaja.

Kanak-kanak hadir ke sekolah dengan perasaan seronok, dengan tekanan yang minima, belajar sambil bermain dan membina kemahiran yang lebih baik hari demi hari. Hadir ke sekolah adalah aktiviti yang dinanti-nanti oleh kanak-kanak. Bahkan ramai yang menangis untuk ke sekolah apabila cuti sekolah bermula dan sangat gembira pula apabila cuti penggal berakhir. Inilah yang dilalui oleh anak-anak  Malaysia yang pernah mengikuti  sistem persekolahan sekolah rendah di negara itu.


Tidak membezakan murid pandai dan kurang pandai
Untuk mencapai objektif tersebut, sekolah mereka tidak membezakan kedudukan pelajar pandai dan  kurang  pandai dalam penyusunan kelas. Setiap kelas menggabungkan dua gred sekali gus - kecuali pelajar ‘pre-school’, pelajar dari Gred 1 dan 2 diletakkan dalam satu kelas, Gred 3 dan 4 dalam satu kelas dan juga Gred 5 dan 6 bersama-sama. Mereka tidak memberi nama kelas A, B, C dan lain-lain yang merujuk kelas pandai, kurang pandai dan sebagainya. Tetapi menggunakan nama guru kelas sebagai ganti, contohnya Kelas 3/4T merujuk kepada kelas di bawah seliaan guru kelas bernama Tom. Kelas 1/2J menunjukkan kelas di bawah guru kelas bernama John.

Menurut pengetua sekolah anak saya yang ditemubual, (anak saya menghadiri sekolah kerajaan selama 3 tahun di utara Melbourne), dalam setiap kelas perlu ada gabungan tiga kategori pelajar, yang lambat memahami sesuatu input;  yang sederhana kemampuan penerimaan informasi dan juga yang cepat faham sesuatu maklumat.

Ujian tetap diadakan untuk melihat markah sebagai cara mengetahui kemampuan pelajar, tetapi  penilaian dibuat secara ‘natural’ tanpa tekanan dan pelajar tidak diasingkan mengikut ‘kepandaian’ mereka. Saya akan menceritakan mengenai cara  peperiksaan dibuat dalam artikel yang seterusnya.
Ini menunjukkan sekiranya kelas 5/6J mempunyai 20 orang, maknanya 10 orang dari gred 5 dan 10 orang dari gred 6 akan berada dalam kelas tersebut. Daripada 10 murid tersebut, mungkin 3 orang adalah mereka yang cepat memhami maklumat, 3 orang yang agak sederhana dan 4 orang lagi yang  lambat memahami sesuatu input. Mereka akan bekerjasama dan saling tolong menolong supaya yang lemah akan sentiasa dibantu secara rakan sekelas (peer-support).

Oleh kerana mencapai objektif pendidikan menjadi keutamaan, maka setiap tindakan diambil menjurus kepada apakah nilai murni yang ingin diterapkan. Di sana, mereka memakai sistem ‘buddy’ di kalangan pelajar untuk menanamkan nilai bekerjasama dan tolong menolong.

Pelajar gred atas dan juga yang lebih cepat faham akan dilantik sebagai pembimbing atau ‘buddy’ kepada pelajar lain. Mereka akan membantu rakan yang lebih lemah, sekaligus menanam nilai tidak memandang hina orang yang lebih rendah dari mereka, bahkan perlu saling membantu, bertanggungjwab dan pemurah. Namun begitu ada juga beberapa subjek yang lebih berat yang difokuskan kepada pelajar tahap lebih tinggi. Ia juga menanam semangat menjadi ketua yang prihatin di dalam jiwa pelajar.

Keprihatinan kerajaan dalam menjayakan hasrat pendidikan mereka sangat ketara. Sekolah di bina dengan bilangan yang banyak terutama dalam kawasan penempatan penduduk yang padat. Contohnya di tempat kami tinggal di kawasan Reservoir, terdapat enam sekolah rendah kerajaan dalam kawasan berdekatan, dan juga dua sekolah swasta untuk dipilih oleh ibu bapa untuk mendaftar anak.

Bangunan sekolah rendah di sana pula umumnya adalah setingkat sahaja. Banyak bangunan sekolah mereka hanya dibina dengan gabungan kayu dan batu. Pengetua sekolah yang ditemubual menjelaskan bahawa setiap sekolah kebiasaannya tidak mempunyai bilangan yang ramai. Sekolah yang ditadbirnya hampir 300 pelajar  dari pra-sekolah sehinggalah gred enam. Dengan bilangan pelajar yang sedikit, ia memudahkan pengawasan, perancangan dan pengurusan pendidikan kanak-kanak.

Bagi menjayakan objektif mendidik dan menerapkan nilai murni, serta menggunakan pendekatan  mesra pelajar, setiap kelas mempunyai bilangan murid yang sedikit. Purata kelas di sana adalah antara 20  orang sahaja setiap kelas. Dengan bilangan pelajar yang kecil, guru di sana bukan sahaja mampu berhubung dengan murid dengan lebih rapat, bahkan mengenali latar belakang pelajar dan juga ibu bapa mereka. Perbincangan dua hala lebih mudah diadakan. Guru tidak perlu mengangkat suara dan menjerit-jerit untuk menarik perhatian murid. Dan yang penting guru akan senang mengawal selia pelajar di bawah seliaannya, yang mana menyebabkan proses menyampaikan ilmu menjadi lebih tenang dan senang.


Susunan meja
Sekolah rendah mereka adalah medan menyuburkan keberanian dan yakin diri dalam bercakap, bijak berbincang dalam kumpulan dan melatih semangat berkongsi dan kerjasama. Untuk itu, meja pelajar sekolah rendah (bagi semua gred) disusun berbentuk empat segi besar untuk 6-8 pelajar satu meja. Ini dibuat dengan sengaja, bertujuan supaya pelajar dapat bercakap dan berbincang sesama mereka bagi membina kemahiran berkomunikasi.

Guru sekolah  anak saya yang ditemubual turut  menjelaskan bahawa semua tajuk dan subjek akan mengambil pendekatan perbincangan dua hala, bahkan menggalakkan pelajar berbincang  sesama mereka dan berkongsi idea masing-masing. Ini menyuburkan kemahiran berhubungan dan bergaul dalam masyarakat.
Mereka sungguh serius mencari jalan untuk menerapkan kemahiran bercakap, saling berkongsi, saling mengajar sesama kawan dan membina semangat ‘team work’ yang baik. Jarang sangat guru menyuruh pelajar membuat kerja secara sendirian, diam tidak bercakap, tetapi mereka menggalakkan perbincangan dalam kumpulan di meja besar tersebut, dan kemudian seorang wakil kumpulan akan ke depan membentangkan hasil perbincangan mereka. Kerja kumpulan adalah keutamaan mereka walaupun bagi pelajar gred satu. Apabila ada yang tidak pandai berbincang, ketika itulah guru menunjukkan panduan bagaimana cara bercakap, berbincang, memberi peluang orang bercakap dan kita mendengar, menghormati pandangan orang lain, bagaimana untuk memberi idea dan mempertahankan idea kita secara sihat.

Saya akan menyambung perbezaan dengan sistem di negara kita mengenai bilangan pelajar dan kedudukan meja serta  bagaimana ia boleh mempengaruhi keadaan pembelajaran kita yang serius dan formal. Saya juga akan membawakan  perbezaan pendekatan membina dan positif yang diamalkan  oleh guru-guru di sana untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran. - 6 September, 2013.

* Prof Madya Nurhidayah Hashim ialah pensyarah di IPT di Selangor yang menamatkan pengajian PhD di Melbourne, Australia.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

sumber: The Malaysian Insider

1 comment: