Thursday, January 9, 2014
MANHAJ AKIDAH IMAM SYAFIE
Oleh: Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Al-‘Aqil hafidzahullah
(Pensyarah di Jabatan Aqidah, Universiti Islam Madinah Arab Saudi dan pengarang kitab Manhaju Al-Imam Al-Syafi’i fi itsbati Al-Aqidah – Edisi Terjemahan Melayu: Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i)
Penterjemah: Ustaz Abu Omar, Idris bin Sulaiman
(Teks disediakan berdasarkan rakaman Daurah Manhaj Akidah Al-Imam Al-Syafi’i, 23.05.2013)
RINGKASAN PERJALANAN HIDUP IMAM AL-SYAFI’I RAHIMAHULLAH
Tajuk perbahasan pada kali ini akan membincangkan tentang seorang tokoh Islam yang agung dan dikenali oleh rata-rata umat Islam di Timur dan Barat sehingga tidak ada majlis-majlis ilmu melainkan disebutkan di dalamnya nama beliau, iaitu Imam Al-Syafi’i rahimahullahu Ta’ala. Beliau rahimahullah cukup dikenali oleh Umat Islam.
Imam Al-Syafi’i rahimahullah hidup dalam keadaan yatim di bumi Gaza, Palestin. Beliau telah menghafal Al-Quran ketika masih muda iaitu sebelum umurnya tujuh tahun. Beliau hidup dalam keadaan sangat miskin mengenangkan beliau adalah seorang yatim. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melimpahkan ke atasnya nikmat kecerdikan dan kepintaran, di samping ibu yang sangat memberikan keprihatinan di dalam menjaga beliau.
Apabila guru kepada Imam Al-Syafi’i melihat kepandaian dan kepantasan minda beliau, Imam Al-Syafi’i adakalanya diangkat menggantikan tempat gurunya di dalam mengajar anak-anak murid gurunya.
Ibunya merasa risau menyebabkan ibunya membawanya ke Makkah supaya Imam Al-Syafi’i dapat terus menerima tarbiyah serta pendidikan sebaik mungkin. Makkah pada masa itu menjadi pusat ilmu. Kepintaran minda yang dimiliki oleh Imam Al-Syafi’i adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla ke atas manusia seperti mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, dia akan diberikan kefahaman terhadap agama.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Syafi’i rahimahullah telah memberikan penekanan dalam tiga perkara;
Pertama, beliau rahimahullah telah memberikan penekanan di dalam menghafal Kitabullah (Al-Quran) dengan hafalan yang tepat lagi sempurna.
Penekanan kedua adalah Bahasa Arab, kerana Bahasa Arab adalah asas dan kunci kepada memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Selamanya seorang penuntut ilmu tidak akan dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dan RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam kecuali dengan menguasai Bahasa Arab. Adapun memahami agama dengan selain Bahasa Arab, kita akan bergantung kepada penterjemah.
Perkara ketiga, Imam Al-Syafi’i rahimahullah memberi penekanan kepada Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini membuatkan beliau telah menghafal dengan sempurna kitab Al-Muwattha’ (karangan Imam Malik) di Makkah sebelum beliau mencapai umur 20 tahun. Kemudian barulah beliau bermusafir ke Madinah untuk bertemu Imam Malik.
Imam Al-Syafi’i rahimahullah berulang alik di antara Makkah dan Madinah, dan beliau telah menghimpunkan sebanyak mungkin ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga Imam Al-Syafi’i rahimahullah menjadi hujjah serta rujukan di dalam bahasa Arab secara khasnya.
Setelah itu, berlaku satu perkembangan yang cukup penting di dalam kehidupan Imam Al-Syafi’i di mana ia telah memberi kesan di dalam halatuju kehidupan beliau. Beliau rahimahullah telah mengenali satu metod pembelajaran berdasarkan Madrasah Al-‘Iraq di dalam memahami agama.
Pemerintahan ‘Abasiyah pada masa itu telah mengadaptasikan mazhab Hanafi sebagai mazhab pegangan, di mana mereka mengangkat para ulama Hanafi sebagai rujukan, dan menjadikan sistem kehakiman turut merujuk kepada mazhab Hanafi. Maka Imam Al-Syafi’i bermusafir ke Baghdad untuk mengambil ilmu dari Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani rahimahullahu Ta’ala iaitu anak murid kepada Imam Hanafi sendiri.
Di antara ciri mazhab Hanafi pada masa itu adalah memberi penekanan kepada masalah-masalah berkaitan muamalah dan juga jual beli mengakibatkan penumpuan lebih kepada permasalahan-permasalahan seperti ini.
Baghdad pada masa itu menjadi pusat ilmu kepada umat Islam di mana ramai di kalangan ulama menetap di Baghdad, dan di situ jugalah Imam Al-Syafi’i bertemu dengan ulama-ulama hadis antaranya Imam Ahmad rahimahullah dan selainnya. Di sinilah Imam Al-Syafi’i memulakan penulisan buku-buku utama beliau.
Beliau telah menulis kitab Al-Risalah Al-Uula yang menghimpunkan ilmu Usul Fiqh dan Mustalah Hadis. Di dalamnya beliau rahimahullah menghimpunkan ilmu salaf yang mengandungi kaedah-kaedah dasar dan prinsip-prinsip salaf. Apa yang dilakukan oleh Imam Al-Syafi’i ini dianggap suatu yang cukup penting dan sangat berfaedah dan tidak dilakukan oleh Ulama-ulama pada masa itu.
Selepas itu, satu peristiwa yang cukup penting berlaku di Iraq. Ulama Ahli Kalam dan Muktazilah telah berjaya menguasai keadaan. Mereka telah menyebarkan fahaman bahawa Al-Quran itu makhluk di kalangan masyarakat umat Islam. Ini membuatkan para Ulama bertindak untuk menyanggah pemahaman yang sesat ini, seperti Imam Ahmad dan Imam Muhammad Al-Khuza’i rahimahumallahu Ta’ala.
Ini membuatkan Imam Al-Syafi’i mengambil keputusan keluar dari Iraq. Beliau berpindah ke Madinah dan membaca semula kitab Al-Muwattha’. Kemudian Imam Al-Syafi’i mula berfikir untuk bermusafir ke Mesir. Beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Mesir kerana ingin menyelamatkan akidahnya dari akidah Ahli Kalam dan juga Muktazilah.
Apabila tiba di Mesir, beliau berdepan dengan musibah yang kedua pula. Beginilah dilema yang dihadapi oleh orang-orang Ghuraba (asing) dalam agama, hidup di dalam keadaan asing, tetapi tetap berada di dalam kebaikan di saat manusia lain telah rosak. Apa yang dihadapi di sana ialah beliau terpaksa berdepan dengan masalah taksub (fanatik) mazhab Imam Malik rahimahullahu Ta’ala. Beliau bersungguh-sungguh menyanggah sifat taksub mereka itu dengan lisannya dan penanya sehingga ramai dari kalangan Umat Islam kembali kepada kebenaran, alhamdulillah.
Inilah perjalanan agung yang dilalui Imam Al-Syafi’i rahimahullah yang mengambil tempoh kira-kira 50 tahun di mana hasilnya beliau telah menghimpunkan perkataan ulama dan ilmu-ilmu kaedah dan prinsip yang sebahagiannya akan dibincangkan sebentar lagi.
PRINSIP PERTAMA:
BERPEGANG DENGAN AL-KITAB & AL-SUNNAH DAN TIDAK MENOLAKNYA DENGAN TAKWIL
Di antara prinsip utama yang menjadi pegangan Imam Al-Syafi’i adalah berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dan tidak menolak suatu pun daripadanya dengan apa juga bentuk takwil atau penyelewengan. Beliau sangat memberi penekanan supaya berpegang dengan Sunnah sehingga beliau dinamakan sebagai Nasir Al-Sunnah (Pembela Sunnah).
Beliau memerintahkan pengikutnya supaya terus berpegang dengannya (Sunnah Nabi), dan mengharamkan mereka menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah, dan menjadikan prinsip beliau, “Sekiranya hadis itu sahih maka itulah mazhabku”.
Beliau rahimahullah berkata, “Apabila kamu dapati kata-kataku bercanggah dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam maka hendaklah kamu mencampakkan kata-kataku ke dinding.”
Juga beliau mengatakan, “Aku beriman dengan Allah dan dengan apa yang diturunkan oleh Allah berdasarkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Aku juga beriman dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang dibawakan oleh Baginda mengikut apa yang dikehendaki oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.”
Juga termasuk dalam apa yang sangat penting dan ditekankan oleh beliau rahimahullah adalah prinsip berpegang dengan hadis-hadis ahad dalam akidah.
Kalau kita lihat pada perkataan Imam Al-Syafi’i, beliau rahimahullah tidak akan menolak hadis dengan apa juga takwil ataupun penyimpangan. Bahkan beliau berpegang dengan zahir nas, sejajar dengan zahir nas-nas itu berdasarkan Bahasa Arab dan apa yang difahami oleh generasi Salaf Al-Soleh.
Juga di antara kata-kata beliau adalah Al-Quran dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah di antara satu sama lain.
PRINSIP KEDUA:
TIDAK MENYANGGAHI NAS DENGAN HUJAH AKAL
Prinsip kedua beliau adalah tidak menyanggah Al-Quran atau Sunnah dengan hujah akal. Beliau mengatakan, “Seperti mana pandangan mata ada had dan batasnya, begitu jugalah dengan akal manusia memiliki had dan batasnya.”
Maka di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, nas Al-Quran dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah dengan akal manusia yang sihat. Adapun perselisihan berlaku antara keduanya apabila munculnya ilmu kalam (pemahaman Ahli Kalam yang mendahulukan akal berbanding nas) yang tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai hujah sebaliknya mereka menjadikan falsafah dan akal mereka sebagai hujah.
PRINSIP KETIGA:
PENEKANAN TERHADAP PEMAHAMAN PARA SAHABAT
Prinsip ketiga adalah penekanan terhadap perkataan atau pemahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum ardhahum. Imam Al-Syafi’i rahimahullah sangat menjunjung tinggi kedudukan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau rahimahullah telah menghimpunkan banyak atsar ataupun kata-kata para Sahabat dan juga salaf di dalam buku-buku karangan beliau.
Beliau mengatakan, “Sesungguhnya para sahabat lebih mendahului kita kepada kebaikan berbanding kita, dan kefahaman mereka lebih baik daripada kefahaman kita.”
Inilah perkara yang menjadi ijma’ (kesepakatan) Ulama Salaf sepanjang zaman, berbeza dengan pegangan Ahli Bid’ah serta golongan yang mengagungkan Syaikh-syaikh serta Ulama mereka.
PRINSIP KEEMPAT:
MENJAUHI BID’AH DAN AHLI BID’AH
Prinsip keempat adalah menjauhi bid’ah dan ahli bid’ah. Beliau rahimahullah sangat membenci bid’ah dan juga orang-orang bid’ah, dan beliau selamanya tidak akan duduk bersama mereka kecuali kerana darurat atau untuk mengajarkan mereka agama mereka. Ini kerana beliau risau kalau terkesan dan terpengaruh dengan dakyah-dakyah mereka. Maka untuk kita menjauhi golongan bid’ah menjadi satu penawar buat kita dari terkesan dengan penyakit mereka.
Beliau rahimahullah apabila melihat ahli bid’ah beliau berkata, “Sama ada kamu berbincang dengan kami dengan cara yang baik ataupun lebih baik kamu beredar sahaja.”
PRINSIP KELIMA:
MENCINTAI SESAMA SAUDARA ISLAM & MENJAGA SILATURRAHIM
Prinsip kelima adalah mencintai sesama saudara Islam serta menjaga tali sillaturrahim sesama mereka. Beliau rahimahullah sanggup menggadaikan hartanya pada jalan Allah Ta’ala, dan bersabar di dalam menanggung kemiskinan dan kesusahan, dan beliau juga bersabar terhadap kezaliman pemerintah.
Inilah prinsip-prinsip penting dan utama yang menjadi pegangan Imam Al-Syafi’i rahimahullah.
(Teks disediakan berdasarkan rakaman Daurah Manhaj Akidah Al-Imam Al-Syafi’i, 23.05.2013)
sumber: http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/05/28/manhaj-akidah-imam-al-syafii-rahimahullah/
No comments:
Post a Comment