Wednesday, January 22, 2014

MENJAWAB FATWA DR. ZAHARUDDIN





Oleh : Ust. Muhammad Fauzi b Asmuni


Saya ingin mengulas sedikit berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Zaharuddin di http://www.youtube.com/watch?v=f3PFVD12OzI. Ulasan ini saya kemukakan kerana ada beberapa kekeliruan yang timbul hasil dari fatwa tersebut.

Dr Zaharuddin mengulas mengenai firman Allah di dalam Al-Quran:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali.”(Aali Imran: 28)


Dr Zaharuddin di dalam fatwanya berkata bahawa ayat tersebut adalah ayat politik dan tidak boleh ditafsirkan secara literal. Dari situ beliau pergi kepada kesimpulan bahawa mengundi calon bukan Islam yang mempunyai MOU dengan badan Islam ke arah satu agenda yang baik tidak memasukkan pengundi itu di dalam larangan ayat tersebut.


Metodologi yang digunakan untuk istinbat agak ganjil pada saya atas beberapa sebab:

Pertama:

Mendakwa bahawa ayat tersebut tidak boleh ditafsir secara literal agak canggung bunyinya. Proses mengeluarkan hukum dari sesuatu nas ada disiplinnya yang tersendiri. Istilah ‘secara literal’ itu sendiri susah untuk dipadankan dengan mana-mana istilah di dalam Usul Fiqh. Adakah beliau bermaksud haqiqah sebagai lawan kepada majaz? Atau sorih dan bukannya kinayah? Ataukah zohir? Ataukah nas? Ataukah mufassar? Ataukah muhkam? Ataukah mantuq dan bukannya mafhum? Mungkin yang dapat saya tangkap dari klip video itu, penafsiran secara literal bermaksud tafsir sebiji-sebiji (harfi) macam bunyi dalam nas ayat tersebut. Kalau begitu, maknanya lebih kurang beliau berkata bahawa ayat itu tidak boleh difahami sebiji (secara harfi) seperti susunan ayat tu, tapi sebaliknya ia ada maksud lain. Mempunyai maksud yang lain, atau memalingkan makna ayat dari yang ‘literal’ tidak boleh dilakukan dengan dakwaan kosong. Mesti ada dalil (samada nas lain dari al-Quran atau Hadis, atau penafsiran bahasa Arab ikut kaedah bahasa atau penafsiran ikut qaedah Usuliah), tetapi persoalan di sini di mana dalilnya?

Kedua:

Ayat al-Quran di atas menggunakan perkataan لا yang bererti ‘jangan’. Ulamak, di antaranya Dr. Wahbah Zuhaili menyebut bahawa perkataan لا di dalam al-Quran dan Hadis adalah antara sighah larangan bahkan ia adalah sighah yang paling kuat di dalam memberikan erti larangan. Ulamak khilaf samada lafaz larangan di dalam al-Quran atau Hadis membawa hukum haram atau hukum-hukum lain. Jumhur mengatakan ia membawa hukum haram kecualilah ada qarinah (petunjuk) yang menunjukkan selainnya. Imam Syafie berkata: “Apa yang dilarang, ia bermaksud pengharamannya sehinggalah datang dilalah (petunjuk) yang menunjukkan bahawa nas itu mengkehendaki (hukum) yang lain.” Lalu apabila beliau mengatakan bahawa ayat ini mempunyai maksud lain selain dari pengharaman melantik non muslim sebagai teman rapat atau pemimpin, di mana dan apakah qarinah atau dilalah yang memalingkan ayat tersebut dari maksud asalnya, iaitu pengharaman? Di dalam ayat itu dikecualikan dari hukum haram jika berlaku sesuatu bahaya atau mudharat melampau hasil dari tindakbalas non muslim. Pengecualian dalam kategori itu sahajalah yang jika boleh diluaskan pun. Selain dari itu, ia perlukan dalil lain.

Ketiga:

Ayat-ayat larangan melantik non muslim sebagai wali (seumpama ayat ini) ada banyak di dalam al-Quran. Saya nukilkan sebahagiannya di sini:

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai), mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Aali Imran: 118)

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai wali, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Al-Maidah: 51)

“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi wali bagi setengahnya yang lain. jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan Yang besar.” (Al-Anfal: 73)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi wali bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi wali, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan Yang betul.” (Al-Mumtahanah: 1)

Ayat-ayat di atas menyebut tentang larangan menjadikan non muslim sebagai wali. Di antara maksud wali adalah pemimpin. Ia datang di sesetengah ayat dalam bentuk larangan. Adakah Dr. Zaharuddin berpendapat bahawa ayat-ayat di atas dan beberapa ayat lain seumpamanya tidak boleh ditafsirkan secara ‘literal’ juga? Jika begitu silalah datangkan qarinah atau dilalah yang memalingkannya dari makna dan dilalahnya yang asal. Mendakwa bahawa ayat ini dipalingkan dari maksud ‘literal’nya adalah dakwaan yang perlu kepada dalil, persoalannya di mana dalil itu?

Keempat:

Berbalik kepada penafsiran ayat 28 dari surah aali-Imran, di dalam tafsir Ar-Razi diperincikan maksud wali dan muwalah. Beliau berkata:

“Ketahuilah bahawa seorang mukmin apabila dia berwalikan kafir ia samada salah satu dari tiga keadaan:

i. Dia redha dengan kekufurannya dan memberikan wala’ kerana kekufuran itu. Ini adalah dilarang kerana sesiapa yang melakukan demikian bermakna dia telah mengakui kebenaran agama tersebut. Mengakui kebenaran agama kufur adalah satu kekufuran dan redha dengan kekufuran juga adalah kekufuran. Mustahil orang ini kekal sebagai orang beriman dengan sifatnya yang demikian.

ii. Bergaul dengan pergaulan yang baik di dunia secara zahir. Ia tidak dilarang.

iii. Pertengahan di antara yang pertama dan kedua iaitu beliau menjadikan orang-orang kafir sebagai wali dengan erti cenderung kepada mereka, memberi pertolongan, menyatakan sokongan dan membantu; samada disebabkan hubungan kekeluargaan atau disebabkan kecintaan kepada mereka. Tetapi mereka tetap beriktikad bahawa agama orang kafir itu adalah batil. Perbuatan ini tidak menjadikan mereka kufur tetapi perbuatan ini adalah dilarang. Ini kerana memberikan wala’ dengan cara sebegini kemungkinan membawa kepada menyatakan kebaikan jalan kufur dan redha dengan agama kufur itu.”

Memberikan undi kepada non muslim, yang boleh membawa kepada perlantikan mereka sebagai ahli parlimen yang membuat polisi dan perlantikan ke Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan adalah lebih berat hukumnya dari sekadar cenderung hati, beri pertolongan, menyatakan sokongan dan membantu. Mungkin Dr. Zaharuddin seperti sebahagian ustaz-ustaz yang lain bependapat bahawa ahli Parlimen hanyalah wakil kepada rakyat dan bukannya pemimpin. Panjang untuk saya ulas perbahasan ulamak tentang itu. Yang mampu saya simpulkan dalam ruang yang sempit ini adalah apabila ahli parlimen itu boleh buat polisi dan bila jadi menteri, mereka boleh paksakan pandangan. Bidang kuasa ini adalah bidang kuasa wilayah ammah atau wizarah tafwidh di dalam fiqh Islam. Tidak ada ulamak yang membenarkan non muslim memiliki kuasa sebagai wilayah ammah atau wizarah tafwidh.

Kelima:

Perbincangan berkenaan isu perlantikan non muslim sebagai wali bukanlah satu isu baru di dalam perbahasan fiqh. Jika beliau hendak berijtihad mengeluarkan fatwa boleh melantik non muslim sebagai pemimpin, disiplin ilmuan Islam jika hendak berijtihad; jika dia bukan mujtahid mutlak, hendaklah dia meneliti semua pandangan ulamak di dalam isu tersebut. Saya tidak pasti Dr. Zaharuddin sudah meneliti atau belum pandangan Ibnu Taimiah, Juwaini, Mawardi, Syarkhasi, Karabisi, Syaibani dan Imam-imam mazhab utama Islam di dalam isu ini. Jika sudah, seeloknya beliau memulakan ulasannya terhadap pandangan imam-imam tersebut sebelum beliau mengeluarkan ijtihad baru. Tetapi beliau tidak melakukan ulasan tersebut.

Manakala dakwaan beliau bahawa beberapa orang ulamak termasuk Rasyid Redha membenarkan pengundian non muslim, itu juga satu dakwaan yang pelik. Rasyid Redha hidup di zaman di mana demokrasi tidak diamalkan secara mutlak lagi di negara-negara umat Islam.

Mulanya saya mencari-cari juga di mana Rasyid Redha berfatwa demikian, tapi semalam saya difahamkan Dr. Zaharuddin menarik balik tentang dakwaannya bahawa Rasyid Redha berfatwa boleh mengundi non muslim yang mempunyai MOU dengan muslim ke arah agenda yang baik. Tetapi beliau menyebut di dalam jawapannya sebelum ini ada beberapa orang ulamak lagi yang berpandangan boleh. Siapa ulamak tersebut? Ingin juga saya tahu.

Akhirnya:

Saya tidak mahu menutup pintu perbincangan dengan artikel ini. Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada Majlis Ulamak ISMA agar menjemput sekali lagi Dr Zaharuddin dan mungkin juga ahli-ahli MURSHID untuk bermuzakarah secara ilmiah tentang isu perlantikan calon non muslim di dalam PRU 13 yang akan datang. Saya akan memastikan muzakarah ini berlangsung. Pada pihak Majlis Ulamak ISMA, saya sudah pun berbual dengan Dr. Aznan tentang ini. Beliau sebenarnya lebih dulu dari saya mengemukakan pandangan agar dialog dengan Dr. Zaharuddin dibuat. Beliau amat berminat untuk bermuzakarah.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Naib Presiden 1 ISMA

sumber:  http://www.ismaweb.net/v4/2013/04/menjawab-fatwa-dr-zaharuddin/

No comments:

Post a Comment