Thursday, January 9, 2014
Allah wujud tanpa bertempat ,Aqidah Muktazilah & Jahmiyyah
Oleh: Abu Syu’aib
Secara umumnya di Malaysia mazhab yang diikuti dalam fiqh ialah mazhab al-Syafie sementara mazhab di dalam beraqidah ialah aqidah yang disebut sebagai al-‘Asyairah yang disandarkan namanya kepada Imam Abul Hassan al-Asy’ari.
Namun adakah kita mengenali siapakah sebenarnya tokoh ini serta apakah aqidah yang sebenarnya yang dibawa oleh beliau. Dan adakah aqidah al-Imam al-Syafie ialah aqidah al-Asya’irah?
Kebanyakan umat Islam yang mengakui beraqidah dengan aqidah yang disandarkan kepada Abu Hassan al-Asy’ari tidak mengetahui I’tiqad yang sebenar yang dipegang oleh beliau. Adakah aqidah yang menta’wil sifat-sifat Allah seperti sifat “Istiwa’ “ yang dita’wil (diubah) menjadi Istaula (berkuasa) atau aqidah yang dibawa oleh para salafus soleh iaitu mengimani sifat yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t. sendiri tentang diri-Nya dan apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. tentang sifat-sifat Allah tanpa ta’wil (mengubah) takyif (membagaimanakan) juga tidak tasybih (menyamakan) tidak juga ta’thil (menafikannya)
Sejarah ringkas Imam Abul Hassan al-Asy’ari
Secara ringkas nama beliau ialah Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak, Abu al-Hassan dari keturunan sahabat nabi Abu Musa al-Asy’ari r.a. Beliau dilahirkan pada tahun 260 H dan sebahagiannya menyebut 270 H. Masa kecil dan mudanya dihabiskan di kota Basrah. Kota yang pada masa itu sebagai pusat kaum muktazilah dan tidak dapat dielakkan beliau terpengaruh dengannya.
Seperti yang ditulis oleh para ulama’ dalam kitab-kitab mereka menyatakan bahawa Imam Abu Hassan al-Asy’ari telah melalui beberapa peringkat aqidah seperti berikut :
1) Aqidah Muktazilah yang kemudiannya bertaubat daripadanya. (Beliau mendalami ilmu kalam dan pemikiran muktazilah dari ayah tirinya Abu Ali al-Jubbaie.)
2) Seterusnya selepas keluarnya dari aqidah Muktazilah. Beliau telah mengisbatkan sifat al-Aqliyyah yang tujuh iaitu Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sami’, Basar, Kalam. Beliau juga masih menta’wil (mengubah) sifat-sifat khabariah yang disebutkan di dalam al-Quran seperti muka, dua tangan, tapak kaki, betis dan lain-lain. Di dalam peringkat kedua ini beliau mengikut metod atau cara Ibnu Kullab 240 H.
3) Diakhir hayatnya beliau kembali kepada aqidah ahlu Sunnah wal Jamaah iaitu mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak mentasbihkan (menyamakan) sifat-sifat Allah dengan makhluk, iaitu mengikut jalan Salafus Soleh.
Al-Imam Al-Subki (771 H) di dalam “al-Tabaqat al-Syafieyyah al-Kubra” halaman 347, menyatakan Imam Abu Hassan al-Asy’ari pada mulanya berguru dengan Abu Ali al-Jubbai dan mengikutnya dalam aqidah Muktazilah. Beliau berpegang dengan mazhab Muktazilah selama 40 tahun sehingga beliau menjadi seorang Imam dalam Muktazilah. Tatkala Allah menghendaki untuk menolong agama-Nya maka Allah menerangkan hatinya untuk mengikuti kebenaran. Kemudian beliau duduk di dalam rumahnya selama 15 hari. Selepas itu beliau keluar ke masjid Jami’ dan naik ke atas mimbar lalu berkata: “Wahai sekalian manusia aku telah menghilangkan diri dari kamu seketika, aku telah mengkaji sekian banyak dalil tetapi aku tidak merajihkan (melihat dalil yang tepat) sesuatu pun. Aku pun memohon petunjuk daripada Allah untuk memberiku hidayah kepada iktiqad (pegangan) yang telah aku tuliskan di dalam buku-bukuku ini. Dan aku telah meninggalkan kesemuanya apa yang telah aku beraqidah dahulunya (muktazilah) seperti mana aku menanggalkan jubahku ini”. Maka beliaupun menanggalkan jubahnya lalu dibuangnya. Setelah itu beliau telah mempertahankan apa yang telah beliau tulis mengikut mazhab ahli Sunnah wal Jamaah.
Al-Imam Ibn Kathir (774 H) di dalam “al-Bidayah wa al-Nihayah” jilid 11 halaman 139, menuqilkan dari Ibn Khalikan menyatakan bahawa Abu Hassan al-Asy’ari pernah duduk di dalam majlis syeikh Abi Ishaq al-Marwazi, dan Imam al-Asy’ari adalah muktazilah kemudian dia telah bertaubat daripadanya di atas mimbar Jami’ al-Basrah sambil menyebutkan keburukan dan kesalahan muktazilah.
Aqidah dan pendirian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari Tentang dimanakah Allah
Di sini kita akan lihat apakah Aqidah sebenar yang dipegang oleh beliau. Adakah aqidahnya menyatakan Allah wujud tidak bertempat? Adakah beliau mentakwil sifat-sifat Allah? Seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak yang menisbahkan diri mereka kepada Imam al-Asy’ari. Adakah aqidah “Allah berada dimana-mana atau Allah wujud tidak bertempat” merupakan Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah atau Aqidah Muktazilah?
Di dalam Kitabnya al-Ibanah an Usuli al-Diyanah halaman 14, Imam Abul Hassan sendiri menyatakan tentang Aqidahnya:
“Pendapat kami dan agama yang kami berpegang dengannya ialah berpegang teguh dengan kitab Tuhan kami dan Sunnah nabi kami a.s. dan apa yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat , tabi’in serta imam-imam hadith. Juga berpegang dengan apa yang dibawa oleh Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, mudah-mudahan Allah terangkan wajahnya dan mengangkat darjatnya serta memperbanyakkan pahalanya. (kerana pada waktu itu Imam Muhammad bin Hanbal terkenal sebagai Imam ahlu al-Sunnah wal Jamaah). Dan kami menyalahi (tidak bersetuju) perkataan yang menyalahi perkataan beliau. Kerana beliau adalah Imam yang utama, pemimpin yang sempurna dimana Allah menerangkannya dengan kebenaran dan mengangkat kesesatan, menegaskan manhaj dan membanteras bid’ah dan membanteras penyimpangan yang dilakukan orang-orang sesat serta keraguan yang disebarkan oleh mereka yang ragu-ragu”.
Daripada kata-kata beliau kita mengetahui bahawasanya beliau pada Aqidahnya ialah Aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah sepertimana Imam yang diikutinya iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Apakah Aqidah Imam Ahmad terhadap persoalan di mana Allah?
وقال الإمام أحمد بن حنبل رحمه الله في كتاب الرد على الجهمية مما جمعه ورواه عبد الله ابنه عنه. (باب بيان ما أنكرت الجهمية أن يكون الله على العرش). قلت لهم: أنكرتم أن يكون الله على العرش، وقد قال: الرحمن على العرش استوى (طه:5)؟ فقالوا: هو تحت الأرض السابعة، كما هو على العرش وفي السموات وفي الأرض. فقلنا: قد عرف المسلمون أماكن كثيرة ليس فيها من عظمة الرب شيء، أجسامكم، وأجوافكم، والحشوش، والأماكن القذرة، ليس فيها من عظمته شيء، وقد أخبرنا عزوجل أنه في السماء، فقال تعالى: أأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض فإذا هي تمور (16) أم أمنتم من في السماء أن يرسل عليكم حاسبا الملك:16-17. إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه فاطر: 10. إني مُتَوَفِّيْكَ وَرَافِعُكَ إلَيَّ آل عمران:55. بل رَّفَعَهُ اللهُ إلَيْهِ النساء:158. يخافون ربهم من فوقهم النحل:50. فقد أخبر سبحانه أنه في السماء.
Maksudnya:
Imam Ahmad bin Hanbal berkata di dalam kitab yang mengkritik kelompok Jahmiyyah (menafikan sifat bagi Allah) yang dihimpun dan diriwayatkan oleh anaknya Abdullah darinya: (Bab pada menerangkan pengingkaran kelompok Jahmiyyah terhadap sifat Istiwa‘ Allah di atas Arasy-Nya.) Aku (Imam Ahmad) berkata kepada mereka (jahmiyyah): ”Kamu telah mengingkari bahawasanya Allah itu beristiwa‘ di atas Arasy-Nya?” Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud “Al-Rahman beristiwa‘ di atas Arasy” surah Thoha:5. Lalu mereka berkata (Jahmiyyah): “Dia yakni Allah di bawah 7 lapisan bumi, sepertimana Dia di atas Arasy juga berada di langit dan di bumi”.
Imam Ahmad berkata: orang-orang Islam mengetahui disana terdapat banyak tempat-tempat yang tidak sedikitpun melambangkan keagungan Allah, seperti di dalam jasad-jasad kamu, tempat-tempat kotor dan sebagainya. Allah s.w.t. telah menyatakan tentang dirinya kepada kita iaitu di langit, Allah berfirman seperti yang dinyatakan di atas surah al-Mulk: 16-17, surah al-Fathir:10, surah Ali Imran: 5, surah al-Nisa‘ :158, dan surah al-Nahl:50, semuanya menyatakan Maha Suci Allah berada di atas langit-Nya.
Maka begitulah Aqidah Imam Abu al-Hassan seperti yang dinyatakan di dalam kitab-kitabnya bahawasanya Allah itu di atas langit-Nya beristiwa’ di atas Arasy.
Beliau berkata di dalam Kitabnya (الإبانة عن أصول الديانة) al-Ibanah an Usuli al-Diyanah halaman 15-16:
“Dan sesungguhnya Allah beristiwa’ di atas Arasy-Nya sepertimana yang difirmankan oleh Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud: Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy”
Beliau tidak mentakwilkannya (mengubah kepada makna lain) kepada Istaula atau Qahara yang membawa maksud berkuasa seperti mana golongan Asya’irah mengubahnya. Mereka menyatakan Allah dimana-mana dan sebahagiannya memperjuangkan Allah wujud tidak bertempat dimana kedua-duanya adalah Aqidah Muktazilah yang beliau telah bertaubat daripadanya.
Beliau juga menjelaskan aqidah ahli sunnah wal jammah yang telah diijmakkan oleh para ulamak di dalam kitabnya (رسالة إلى أهل الثغر) “Risalatun Ila Ahli al-Thaghar” halaman 232:
الإجماع التاسع : وأنه تعالى فوق سمواته على عرشه دون أرضه، وقد دل على ذلك بقوله: أأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض وقال إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه وقال الرحمن على العرش استوى وليس استواءه على العرش استيلاء كما قال أهل القدر.
Maksudnya:
Ijmak yang ke sembilan:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala di atas langit-langit-Nya di atas Arasy-Nya bukan di bumi, dalil menunjukkan yang demikian itu firman Allah surah al-Tabarak ayat 16 yang bermaksud:
Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang dilangit bahawa dia akan melenyapkan bumi bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?
Dan firman Allah surah Fathir ayat 10 bermaksud “Kepadanyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya. Dan firman Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud: Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy”. Dan bukanlah yang dimaksudkan dengan Istiwa’ itu Istila’ (berkuasa) seperti mana yang dikatakan ahli Qadar.(Qadariyyah)
Kenyataan Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari bahawasanya aqidah Allah berada dimana-mana atau Allah wujud tanpa bertempat ialah Aqidah Muktazilah .
Ini seperti yang disebut olehnya sendiri di dalam kitabnya (مقالات الإسلاميين والختلاف المصلين) “Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin” jilid 1. halaman 236:
اختلف المعتزلة في ذلك، فقال قائلون: البارئ بكل مكان، بمعنى أنه مدبر لكل مكان...والقائلون بهذا القول جمهور المعتزلة أبو هزيل والجعفراني والإسكافي ومحمد بن عبد الوهاب الجبائي. وقال قائلون: البارئ لا في مكان، بل هو على ما لم يزل. وهو قول هشام الفوطي وعباد بن سليمان وأبي زفر وغيرهم من المعتزلة. وقالت المعتزلة في قول الله عزوجل (طه: 5) الرحمن على العرش استوى يعني استولى.
Maksudnya:
Muktazilah telah bercanggah pendapat dalam masalah ini. Berkata sebahagiannya Allah berada dimana-mana bermaksud mentadbir di setiap tempat. Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Muktazilah, Abu Huzail, al-Ja’farani, al-Iskafi dan Muhammad bin Abdul Wahab al-Jubbaie.
Sebahagian pula berkata Allah tidak bertempat. Pendapat ini ialah pendapat Hisyam al-Fuwathi, Abbad bin Sulaiman, Abi Zufar dan yang lainnya dikalangan muktazilah. Muktazilah berpendapat perkataan Istiwa’ di dalam Firman Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy ialah bermaksud Istaula iaitu berkuasa.
Begitulah secara ringkas tentang Aqidah Imam Abu Hassan al-Asy’ari yang dapat dinyatakan disini, semoga apa yang dinyatakan di sini dapat membuka minda kita untuk mempelajari dan mendalami aqidah yang sahih yang berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w.
sumber: http://yapis.blogspot.com/2007/03/allah-wujud-tanpa-bertempat-aqidah.html
No comments:
Post a Comment