Saturday, February 22, 2014
BERDOSA BESAR MENYENGUTUKAN ALLAH
Oleh:
Ust.Idris Sulaiman - Ahli Majlis Syura Ilmuwan Malaysia (iLMU)
Manusia pada hari ini telah mencapai kemajuan dari segi keduniaan, teknologi, juga kebendaan. Ironinya pada masa yang sama masih ada pemikiran-pemikiran kolot dan ketinggalan zaman di kalangan manusia dan umat Islam secara khasnya di mana mereka masih percaya kepada kuasa-kuasa, benda-benda yang secara syarak dan secara logiknya jelas rosak dan menyimpang.
Kekurangan dan ketinggalan dari segi pemikiran, serta kesucian akidah masyarakat Islam yang masih tercemar, rosak dan lemah menunjukkan perlunya usaha untuk betulkan dan menambah mana yang kurang, khususnya dalam perkara akidah kerana ia menjadi tunjang kepada agama Islam.
Mereka yang mendakwa bahawa umat Islam tidak perlu lagi didedahkan atau diajar tentang perkara-perkara tauhid dan akidah, mereka yang mendakwa bahawa perkara ini telah diajar ketika sekolah rendah, jelas bahawa dakwaan-dakwaan seperti ini adalah salah.
Bahkan ada yang mengatakan bahawa kita tidak perlu lagi membahaskan tentang tauhid, sebaliknya perlu maju membincangkan perkara yang lebih penting melibatkan masalah umat seperti isu rasuah, penyelewengan, atau politik.
Semua ingin membincangkan masalah politik, tetapi masalah akidah yang membabitkan tauhid serta apa yang bercanggah dengannya iaitu syirik, masyarakat Islam masih lagi ketinggalan. Buktinya ialah masyarakat Islam masih percaya kepada bomoh, sihir, tangkal, dan seumpamanya.
Sahabat Nabi, Huzaifah bin Al-Yaman r.a berkata: “Manusia bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada Baginda tentang keburukan, kerana aku khuatir ia akan menimpaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dapat kita faham daripada apa yang disebutkan oleh Huzaifah bin Al-Yaman ini bahawa di samping kita fahami kebaikan-kebaikan, akidah yang benar, tidak kurang pentingnya untuk kita ketahui perkara-perkara yang sebaliknya; akidah-akidah yang rosak, pemahaman-pemahaman yang menyimpang. Jadi di samping kita mengetahui apa itu tauhid, tidak kurang juga kita perlu mengetahui apa itu kesyirikan.
Definisi syirik
Dari segi bahasa, syirik ialah menyekutukan; mengadakan sekutu. Bahkan di dalam bahasa Melayu ada perkataan syarikat. Syarikat berasal daripada perkataan Arab yang sama dengan syirik, bermaksud sekutu. Jelas bahawa syarikat adalah himpunan dua orang atau lebih yang menjadi rakan kongsi dan bersekutu dalam mengusahakan perniagaan.
Maka penggunaan perkataan syirik bermaksud menyekutukan ALLAH dalam perkara-perkara yang membabitkan ketuhanan, bermula dalam Rububiyah (kekuasaan ALLAH) seperti mempercayai ada kuasa-kuasa di samping kuasa ALLAH, atau percaya adanya pentadbir urusan alam ini selain ALLAH.
Syirik dalam Rububiyah akan berlanjutan dan terpalit pada syirik dalam Uluhiyah, iaitu mengibadahi (menyembah atau berdoa kepada) Tuhan lain di samping beribadah kepada ALLAH, percaya bahawa perlu ditujukan ibadah kepada selain ALLAH di samping ibadahnya kepada ALLAH.
Syirik Rububiyah dan Uluhiyah saling berkait rapat bahkan tidak boleh dipisahkan. Kesimpulannya, apabila dikatakan syirik bererti menyekutukan ALLAH dalam Rububiyah dan juga Uluhiyah.
Contoh syirik dalam ibadah
Syirik kebiasaannya berkisar dalam ibadah doa, meminta, menyeru, dan bermunajat. Asal doa adalah kepada ALLAH semata-mata, tetapi pelaku syirik menyeru dan berdoa kepada selain ALLAH.
Selain doa, syirik juga berlaku ketika menyembelih. Sembelih bukanlah urusan dunia semata-mata. Walaupun haiwan disembelih untuk dimakan di mana secara zahirnya ia kelihatan seperti urusan dunia, tetapi hakikatnya sembelih merupakan ibadah.
Ketika dibawakan pisau ke leher haiwan, proses penyembelihan itu sendiri adalah urusan ibadah yang hanya boleh dikhaskan untuk ALLAH s.w.t. Kerana itu perlu diucapkan Bismillah. Jika tidak, sembelihan itu menjadi bangkai dan tidak halal dimakan. Bismillah yang diucapkan ketika sembelih itu sahaja yang menjadikan haiwan itu halal dimakan.
Dalam bernazar iaitu berazam untuk melakukan sesuatu juga boleh berlaku kesyirikan apabila nazar itu dilakukan kerana selain ALLAH. Begitu juga perasaan takut, berharap dan cinta yang melampau kepada sesama makhluk.
Perasaan takut, harap, dan cinta yang biasa tidaklah masalah. Namun jika melampau, ia masuk ke dalam kesyirikan kerana kita boleh takut, berharap dan cinta secara mutlak kepada ALLAH sahaja.
Syirik dosa paling besar
Mengenangkan syirik berlawanan sama sekali dengan tunjang agama iaitu tauhid, syariat Islam mengkategorikan syirik sebagai dosa yang paling besar. Mengapa ia dikategorikan sebagai dosa yang paling besar?
Pertama: Pelaku syirik telah menyamakan ALLAH dengan makhluk di dalam perbuatan yang dilakukannya. Contohnya, doa sepatutnya hanya ditujukan kepada ALLAH, tetapi apabila dia berdoa kepada selain ALLAH, dia telah menyamakan ALLAH dengan makhluk yang dia doa kepadanya, sedangkan jurang perbezaan antara ALLAH dan makhluk adalah tidak terhingga. Kerana itu ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar” (Surah Luqman: 13).
Apakah yang dimaksudkan dengan zalim? Secara umumnya, zalim adalah ‘meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya’. ALLAH SWT mengatakan bahawa pelaku syirik telah melakukan kezaliman kerana perbuatan ibadah yang sepatutnya diletakkan kepada ALLAH telah diletakkan dan ditujukan kepada selain ALLAH.
Kedua: ALLAH menyebut dalam al-Quran bahawa mereka yang melakukan syirik dan tidak bertaubat daripadanya, nescaya tidak akan diampunkan dosanya: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia boleh mengampunkan dosa yang selain daripada itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan ALLAH, maka sungguh dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah An-Nisaa, 4: 48)
Ini merupakan prinsip Ahli Sunnah wal jamaah; Dosa Syirik tidak akan diampunkan, manakala selain dosa syirik boleh diampunkan bagi siapa yang dikehendaki oleh ALLAH. Sebesar-besar dosa mana pun yang dilakukan oleh seseorang, ada kebarangkalian untuk diampunkan.
Apa sahaja dosa selain syirik; berzina, minum arak, rasuah, bunuh orang, macam-macam dosa besar, kesemua itu ALLAH boleh ampunkan jika ALLAH mengehendakinya, dan kepada siapa yang ALLAH kehendaki. Adapun dosa syirik sama sekali tidak akan diampunkan.
Ketiga: Mengenangkan ALLAH tidak mengampunkan dosa syirik, lanjutan daripada itu disimpulkan bahawa tempat pelaku syirik di akhirat kelak adalah dalam api neraka, kekal abadi selama-lamanya.
Ini adalah janji ALLAH seperti mana firmanNya: “Sesungguhnya barang siapa yang menyekutukan ALLAH, nescaya ALLAH haramkan ke atasnya syurga, dan tempat tinggalnya di dalam api neraka, dan barang siapa yang melakukan kezaliman (kesyirikan) tidak ada sesiapa yang dapat membantu (untuk mengeluarkannya dari neraka).” (Surah Al-Ma-idah, 5: 72)
Keempat: Syarak melihat bahawa pahala amalan pelaku syirik terhapus sama sekali walaupun sebelum atau selepas itu mereka melakukan kebaikan-kebaikan sebesar gunung. Disebabkan perbuatan syirik yang dilakukan dan mereka tidak bertaubat daripadanya, akhirnya pahala dan amalan yang mereka lakukan tidak bernilai sama sekali di sisi ALLAH. Hal ini seperti mana di dalam firman ALLAH: “Dan sekiranya mereka melakukan syirik nescaya terbatallah apa yang mereka kerjakan (seluruh amal kebaikan).” (Surah Al-An’aam, 6: 88)
Juga firman ALLAH: “Sekiranya engkau (Muhammad) melakukan syirik nescaya terbatallah amalan engkau dan engkau akan tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Zumar, 39: 65)
Walaupun kita akui ada ORANG-ORANG KAFIR yang baik tingkah-laku, suka bersedekah, menolong anak yatim, mengajar ilmu, membantu orang susah, tidak rasuah, percayalah bahawa mereka tidak mempunyai apa juga pahala sama sekali, kerana walaupun mereka melakukan kebaikan-kebaikan, tetapi dalam masa yang sama kerana mereka melakukan sebesar-besar dosa iaitu kesyirikan, akhirnya kebaikan mereka itu tidak bernilai di sisi ALLAH, kecuali jika mereka memeluk agama Islam.
Sekiranya mereka memeluk agama Islam dan bertaubat, ALLAH sama sekali tidak akan menzalimi mereka, sebaliknya amalan-amalan mereka yang sebelum ini akan dikira sebagai pahala.
Namun jika mereka kufur, begitu juga bagi orang Islam yang murtad, maka amalan sebelum ini, solat, puasa yang dilakukan, semua itu terbatal dan tergugur serta tidak akan bernilai sama sekali di sisi ALLAH.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/berdosa-besar-menyekutukan-allah-1.163672
No comments:
Post a Comment