Wednesday, February 26, 2014
WAKAF DAN KESANNYA DALAM PERTUMBUHAN EKONOMI
Oleh:
S.S. PROF. DR. ALI GOM’AH
MUFTI MESIR
RINGKASANNYA DALAM BAHASA MELAYU
DISEDIAKAN OLEH
DATUK ABD. MANAF BIN HAJI AHMAD PJN
بسم الله الرحمن الرحيم
PENDAHULUAN
بسم الله. والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه ... وبعد:
Tamadun Islam sangat agung berbanding dengan tamadun lain. Tamadun itu telah mengasaskan corak kebajikan sebagai rukun hidup manusia. Islam menggalakkan umatnya supaya menyumbang samada berbentuk material atau kerohanian kepada orang lain. Ia membuka peluang kepada umatnya agar dapat menyumbang kepada orang lain. Umat Islam juga digalakkan untuk melakukan sedekah jariah yang bermaksud wakaf.
Perintah ini memberi kesan yang sangat besar kepada psikologi seseorang muslim. Apabila seseorang muslim memberi sumbangan sebahagian daripada hartanya secara sukarela, maka dengan sendirinya sumbangan itu membebaskan dirinya daripada dikuasai oleh hawa nafsu akibat hartanya. Dengan demikian tercetuslah semangat kasih sayang dalam kalangan umat Islam selaras dengan apa yang disebut oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. dalam hadisnya: “Semangat kasih sayang dalam kalangan orang-orang Mukmin itu tercetus dalam satu jasad. Jika salah satu anggota itu menderita sakit maka semua anggota lain merasa sakit sehingga tidak dapat tidur malam”. Semangat yang mulia ini memberi jaminan kepada semangat kasih sayang yang berterusan sepanjang zaman dalam pelbagai kedudukan politik, ekonomi dan kemasyarakatan.
Wakaf adalah satu-satunya konsep yang diperkenalkan oleh Islam dalam bentuk amal kebajikan. Ia menggalakkan umat Islam melaksanakannya agar dapat bernaung di bawah kebesaran Allah S.W.T. Ekonomi wakaf itu boleh mendekatkan jurang dalam masyarakat Islam (terutamnya dalam bidang pendidikan). Dengan sebab itu syara’ menggalakkan umatnya menyumbang sebahagian daripada pendapatannya sebagai wakaf demi kepentingan orang miskin dan kaya, kaum keluarga dan penduduk yang daif di mana-mana sahaja dalam negara Islam, tanpa mengira agama dan bangsa.
Ibadat Wakaf sangat unik kerana ia tidak terhad di atas muka bumi sahaja, malah ia berterusan sehingga hari akhirat kelak sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. “Apabila anak adam itu mati, maka terputuslah segala ibadatnya kecuali tiga perkara sahaja iaitu;
sedekah jariah, ilmunya yang dicurahkan semasa hidupnya dan anak yang soleh mendoakannya”[1] Mengikut pendapat beberapa orang ulama’ terkenal bahawa ibadat wakaf itu kekal berpanjangan sehingga akhirat tidak seperti bentuk derma yang lain.
Ibadat wakaf itu dianggap salah satu syariat Islam yang patut dilaksanakan demi kepentingan masyarakat Islam. Oleh itu umat Islam digalakkan beramal dengan ibadat wakaf agar tercapai maksud maqasid syari’ah yang tersembunyi dibawahnya segala rahsia kehidupan manusia. Dalam Al Qur’an Allah berfirman yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman berbelanjalah ke jalan kebajikan daripada hasil pendapatan kamu dan apa-apa hasil yang kamu terokai di bumi”.
Ada para ulama’ yang menyebut bahawa Rasulullah S.A.W ada mewakafkan tanah dan ladang tanaman hasil daripada rampasan perang.
Ekonomi wakaf merupakan roda penggerak pembangunan dalam bidang ekonomi, pelajaran, sosial, kesihatan yang berkembang pesat di dunia Islam. Kita dapati ramai dalam kalangan umat Islam yang mewakafkan masjid, institusi pendidikan, hospital dan lain-lain. Ia merupakan konsep pembangunan masyarakat yang syumul. Dalam kajian ini akan ditumpukan kepada isu wakaf dan kesannya kepada pertumbuhan ekonomi dalam dua fasal: Pertama mengenai hukum zakat dan kedua mengenai isu kesan wakaf kepada pertumbuhan ekonomi Islam.
PANDANGAN EMPAT MAZHAB MENGENAI HUKUM WAKAF:
TAKRIF
Iman Hanafi, Hambali dan Shafie berpendapat :
Wakaf bermakna membekukan harta yang boleh mendapat hasil daripadanya untuk tujuan kebajikan untuk memperhambakan diri kepada Allah S.W.T.
Imam Maliki: Wakaf bermakna mengeluarkan hasil harta seorang pemilik sebagai wakaf, sekali pun pemilikan itu secara sewa atau wang ringgit untuk tujuan kebajikan demi memperhambakan diri kepada Allah S.W.T.
HUKUM
Mengikut Ulama’ Ilmu Feqah yang terkenal Mohammad Abu Zahrah: Melarang daripada memindah milik harta wakaf tetapi boleh mendapat hasilnya bagi tujuan kebajikan tanpa menyentuh kedudukan harta wakaf itu.
Sejarah wakaf dikenali semenjak dahulu kala lagi iaitu tanah yang diwakaf untuk tempat-tempat beribadat seperti masjid dan gereja yang tidak dikembangkan kepada tujuan-tujuan lain. Wakaf pertama dalam Islam ialah Masjid Quba yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. semasa mula-mula baginda tiba di Kota Madinah.
WAKAF KEBAJIKAN
Wakaf kebajikan yang mula diperkenalkan ialah tujuh bidang tanah ladang yang diwasiatkan oleh seorang Yahudi kepada Rasulullah S.A.W. ketika beliau menyertai perang Uhud menyokong Rasulullah “Jika saya mati dalam pertempuran ini, maka tanah-tanah aku itu diserah kepad Rasulallah untuk diwakafkan. Selepas itu Saidina Omar dan sahabat-sahabat yang lain melakukan ibadat wakaf kebajikan seumpama itu.
HUKUM WAKAF
Wakaf itu hukumnya sunat yang digalakkan, berasaskan ayat Quran dalam surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud: “Kamu tidak akan mendapat kebajikan selagi kamu tidak berwakaf atau bersedekah daripada harta yang kamu sayangi.”.
Ayat ini telah mendorong Abu Talhah memberitahu Rasulullah bahawa beliau akan mewakafkan perigi yang dimilikinya kerana itulah harta yang sangat disayanginya.[2]
Dalam sebuah Hadis Sahih Rasulullah bersabda “Apabila anak Adam itu mati maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah Jariah atau ilmu yang diajar di dunia itu dimanfaatkan oleh muridnya atau anaknya yang soleh yang mendoakannya.”[3]
Para ulama’ berpendapat bahawa maksud sedekah jariah itu ialah wakaf. Adapun selain daripadanya tidak dianggap wakaf malah sebagai sedekah biasa sahaja.
JENIS-JENIS WAKAF
· Wakaf untuk kebajikan
· Wakaf persendirian dan kemudian kepada anak-anak dan kemudian kepada pihak yang mengurus kebajikan yang tidak terputus-putus.
Para Jumhur ulama’ berpendapat bahawa semua harta alih dan tidak alih boleh diwakafkan.
Imam Shafie berpendapat bahawa wang tunai itu boleh diwakaf. Perkara ini berlaku pada masa sekarang seperti pewakaf menyimpan tunai wakaf untuk tujuan pelaburan di Bank Islam dan keuntungan itu dibahagi-bahagikan kepada pihak yang ditetapkan oleh pewakaf. Begitu juga sah hukum wakaf saham. Imam Malik berpendapat sah wakaf manfaaf seperti mewakafkan bangunan atau rumah yang dalam tempoh masa yang disewanya.
PEMEGANG AMANAH WAKAF
Semua harta wakaf hendak ada satu badan pemegang amanah secara sah yang dikenali sebagai Nazir atau Al Mutawalli. Kedua-dua petugas ini boleh melakukan urusan jual beli dan lain-lain sebagai pemegang amanah yang sah.
KESAN EKONOMI WAKAF
KEPADA PEMBANGUNAN DAN TAMADUN ISLAM
Ekonomi wakaf melambangkan punca aktiviti ekonomi umat Islam sepanjang zaman yang boleh membebaskan kita daripada kuasa ekonomi yang membelenggukan kita kerana ekonomi wakaf tidak terikat dengan mana-mana kuasa kecuali kuasa hukum syara’ sahaja. Ia juga menjamin kelangsungan nilai Islam dalam pelaksanaannya, malah ia menjelmakan unsur kebaikan dan kebajikan.[4]
Wakaf sebagai asas ekonomi Islam, mempunyai peranan yang berkesan untuk memaju dan membangunkan ekonomi sepanjang zaman. Ia bukan sesuatu yang dikaitkan dengan masjid sahaja malah kegiatan ekonominya merentasi sempadan. Wang tunai dan aset yang diwakaf itu digunakan untuk kepentingan hospital demi kepentingan kesihatan umat Islam dan penduduknya dari pelbagai bangsa dan agama. Kebanyakan urusan menjaga kesihatan umat Islam mendapat sumbangan besar daripada ekonomi wakaf. Wakaf (Endowment Fund) itu menjadi sandaran utama dalam bidang pendidikan yang menjurus kepada kemajuan Barat terutama dalam bidang perubatan.
Peranan wakaf itu perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan. Ia bermula daripada peringkat rendah sehingga ke universiti. Dana pendidikan Islam zaman lampau bergantung sepenuhnya kepada dana wakaf sehingga melahirkan cerdik pandai dalam semua disiplin ilmu. Perkara ini berlaku kerana pada masa lampau tidak ada Kementerian Pelajaran, malah tidak ada peruntukan kerajaan.
Ibnu Khaldun ada menyebut dalam kitabnya Al Muqaddimah sebagai catatan yang dibuat semasa berada di Kaherah, Mesir, mengenai kemajuan pendidikan Sains dan Teknologi seperti berikut “Semua aktiviti ilmu Syariah, falsafah Islam, Sains dan Teknologi telah mendahului zamannya, terutama semasa pemerintahan Salahuddin Al Ayubi yang mewakafkan ladang pertanian, rumah-rumah dan bangunan untuk tujuan pendidikan. Malah pemerintah Turki telah mewakafkan harta mereka untuk tujuan pendidikan sehingga ramai pelajar yang mendapat faedah kerana mahaguru telah bertambah dengan sewajarnya. Semua pelajar mendapat elaun sepatutnya daripada hasil wakaf tersebut. Kesan yang paling besar daripada faedah wakaf ini sehingga ramai pelajar dari Asia dan Afrika berduyun-duyun dating ke Mesir. Semua ini berlaku kerana adanya wakaf yang menjana nilai tambah insan muslim”.[5]
Peranan wakaf itu telah menerokai bidang perpustakaan di pusat pengajian tinggi yang ditiru oleh masyarakat Eropah melalui pemerintahan Islam di Andalusia. Seorang pemimpin gereja yang belajar dengan ulama’ Islam di Andalusia, telah mengambil faedah daripada yang dipelajarinya untuk kemajuan gereja yang dipimpin kemudiannya dengan mengambil sistem Islam dan menjadikanya sebagai sistem Barat yang dikenali sebagai trust yang berasal daripada sistem wakaf Islam.
WAKAF UNTUK KESIHATAN
Ramai dalam kalangan umat Islam yang mewakafkan harta mereka untuk kepentingan kesihatan dan perubatan seperti mendirikan hospital, pusat latihan jururawat. Mereka juga mewakafkan harta mereka untuk pembangunan penyelidikan sains perubatan, farmasi dan lain-lain ilmu Sains dan Teknologi yang ada hubungkait dengan sektor kesihatan.
Perbadanan wakaf Islam ini bukan sahaja dalam bidang ilmu perubatan dan farmasi malah menjangkau usahanya dalam bidang karangan dan penulisan buku seperti kitab ilmu perubatan oleh Ibnu Rusd. Buku ini telah mendorong pemerintah di barat untuk mendirikan satu Insititusi Sains di Selatan Itali iaitu satu-satunya Institusi Sains di Eropah pada masa itu yang mereka tiru daripada institusi pendidikan di negara Islam. Institut ini telah menterjemahkan buku Ibnu Rushd ke bahasa Latin di bawah tajuk “College” sehingga menjadikannya sebagai rujukan utama dalam ilmu perubatan di Eropah.
KESAN WAKAF DALAM BIDANG EKONOMI
Wakaf telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi umat Islam kerana wakaf satu dana yang tidak boleh lupus atau hilang dan mesti diurus dengan amanah. Ia tidak boleh dijual beli untuk kepentingan nafsu yang tamak kepada wang ringgit yang tidak terbatas. Demikianlah wakaf itu menjadi modal harta yang berkekalan demi kepentingan umat Islam sepanjang masa.
Wakaf memainkan peranan penting menggalakkan perdagangan antarabangsa. Umpamanya wakaf ibu isteri Sultan Sulaiman telah membenarkan urusan membawa barang-barang di atas kapal wakaf dari Mesir ke Saudi Arabia sehingga hubungan antara dua negara itu menjadi kukuh. Yang lebih penting daripada itu kita telah menemui dokumen penting mengenai wakaf Sulaiman Basya yang menunjukkan betapa pentingnya peranan pengangkutan terutamanya usaha mendirikan menara lampu suluh perjalanan di laut.
Setelah menjajah negara-negara Islam, Barat telah menyekat kemaraan ekonomi wakaf di negara ini seperti di Mesir, Pakistan dan India. Penjajah telah merampas harta wakaf di India kerana ia memberi hasil yang digunakan untuk pendidikan dan pelajaran umat Islam. Penjajah menggunakan hasil wakaf itu untuk kepentingan lain malah ulama’ Islam di buang negeri untuk memudahkan urusan mereka mengambil alih harta wakaf umat Islam.
Usaha penjajah itu tidak berjaya sepenuhnya kerana obor Islam terus menyala-nyala malah umat Islam di India semakin kukuh dan kuat pegangan mereka dengan Islam. Perjuangan mereka melalui dana wakaf itu telah berjaya melahirkan Universiti Aligrah dan pusat pendidikan Islam lain yang berpengkalan di masjid.
Sekolah-sekolah Agama di Indonesia bergantung kepada dana wakaf, telah memainkan peranan penting memelihara keutuhan Islam menentang kuasa gereja yang dibantu oleh penjajah Belanda. Sekolah-sekolah yang bergantung kepada dana wakaf ini masih berterusan sehingga sekarang.
Perkara yang sama berlaku di Tenggara Asia seperti Malaysia, Filipina dan lain-lainnya kerana sekolah rakyat bergantung kepada hasil wakaf. Sekolah-sekolah ini melambangkan ketulinan dakwah Islamiah sebagai agama yang bersandarkan kepada iman dan takwa.
Bahaya lebih besar adalah penduduk Islam di Benua Afrika tetapi umat Islam di sana telah memainkan peranan penting menentang penjajah dan mereka berjaya memelihara kesatuan masyarakat Islam yang terletak di bawah penjajah yang mahu menguasai ekonomi, politik dan pendidikan. Mereka juga menentang kemaraan agama Kristian dan menentang kemaraan Yahudi. Gerakan penentangan ini banyak bergantung kepada dana wakaf. Jika tidak kerananya, maka sudah lama terpadam obor Dakwah Islamiah di sana.
Penjajah British telah mencengkam umat Islam di Palestin dan memaksa mereka tunduk kepada pengaruh Yahudi. Perkara ini berlaku selepas perang dunia kedua, namun dana wakaf umat Islam dapat menyelamatkan mereka daripada menerima bencana yang lebih besar. Sehingga sekarang dana wakaf di Palestin itu telah mengukuhkan institusi pendidikan sebagai pusat penentangan penjajah Israel. Penentangan itu lebih keras apabila mereka mahu menguasai wakaf kerana ia tidak terletak di bawah pemerintah. Ulama’ dan pemimpin yang menentang Israel itu telah di humban kedalam penjara.
Akhirnya hal ehwal wakaf di Mesir pada akhir kurun ke 19 hingga awal kurun ke 20, telah diabaikan sehingga kedudukan wakaf itu lemah, malah menjadi beban kepada Azhar. Namun Sheikh Mahammed Abduh telah berjaya meyakinkan pemerintah Mesir pada masa itu agar dikhaskan dana wakaf itu kepada Azhar agar dapat mengangkat martabat Universit Azhar kepada kedudukan yang sepatutnya.
Sheikh Mohammed Abduh telah berjuang menentang gelombang yang dibawa oleh penjajah British untuk menghancur Bahasa Arab Latin (Pusha) dengan menggalakkan orang awam mengunakan bahasa pasar. Namun pendapatan dana wakaf khas untuk Azhar terus kekal sebagai menara ilmu bagi seluruh umat Islam di dunia.
RINGKASAN:
1. Wakaf adalah satu-satunya konsep Islam dalam kerja amal kebajikan.
2. Wakaf adalah salah satu syariat yang menjurus kepada kepentingan umat Islam.
3. Wakaf boleh menggerak roda pembangunan dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan dan kesihatan ke seluruh dunia.
4. Masjid Quba yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W., merupakan produk wakaf pertama dalam Islam.
5. Wakaf berbentuk kebajikan pertama ialah tujuh tanah ladang pertanian yang diwakafkan oleh seorang Yahudi kepada Rasulullah untuk kepentingan kebajikan.
6. Hukum wakaf itu adalah sunat yang digalakkan.
7. Wakaf yang berasaskan keperluan terbahagi kepada wakaf kebajikan, wakaf persendirian, wakaf kekal dan alih.
8. Imam Shafie dan Abu Yusof berpendapat bahawa wakaf adalah mutlak tetapi Imam Malik berpendapat ia boleh terikat dengan masa.
9. Para ulama’ berselisih pendapat tentang harus ada gantian wakaf.
10. Unsur maknawi perlu ada dalam wakaf.
11. Wakaf disepanjang zaman punca aktiviti masyarakat Islam dan berperanan mengekalkan keutuhannya.
12. Wakaf merupakan institusi penting yang boleh membawa pertumbuhan ekonomi.
13. Wakaf sebagai punca yang boleh membawa keseimbangan dan keamanan kedudukan Umat Islam.
14. Akademi Feqah di Rabitah Alam Islami dalam persidangannya yang ke-10 di Makkah Al Mukarramah pada 17-21 Oktober 1987 telah membuat keputusan harus mengeluarkan ¼ daripada hasil pendapatan wakaf demi kepentingan umum, kecuali wakaf itu bersifat khas.
RESOLUSI
1. Wakaf berasaskan undang-undang melambangkan keseimbangan yang datang daripada kehendak individu yang berasaskan kesedaran kemasyarakatan.
2. Wakaf satu pengorbanan peribadi demi kepentingan masyarakat.
3. Wakaf merupakan jentera yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi umat Islam.
4. Mereka yang diberi tanggungjawab dan amanah menjaga dana wakaf, sepatutnya merangka strategi dan perancangan yang rapi demi menjayakannya.
5. Universiti Islam Malaysia sepatutnya menjadi Universiti Wakaf yang ulung di negara ini.
[1] رواه مسلم (كتاب الذكر والدعاء والتوبة والاستغفار/ باب الكراهية تمني الموت لضر نزل به ) رقم 4310
[2] راه البخاري (كتاب الوصايا ظ باب من أوقف ارضا
[3] رواه الجماعة إلا البخاري وابن ماجه (نيل الأوطار)
[4] نظريات التنمية السياسية المعاصرة : نصر محمد عارف ص 295
[5] الدور الاجتماعي للوقف ص 244
sumber: http://dpim.com.my/v2/index.php/en/7-artikel/49-wakaf-dan-kesannya-dalam-pertumbuhan-ekonomi-oleh-ss-prof-dr-ali-gomah-mufti-mesir
great article :)
ReplyDelete