Wednesday, March 5, 2014
BAGAIMANA SOLAT YANG DAPAT MENCEGAH KEMUNGKARAN?
ABSTRAK
Sembahyang merupakan ibadat yang boleh menghalang pelakunya daripada melakukan perbuatan mungkar iaitu perbuatan salah dan terlarang. Allah s.w.t menegaskan bahawa sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh menegah diri pelakunya daripada melakukan dosa-dosa dan kemungkaran .Walau bagaimanapun, banyak orang yang melakukan ibadah sembahyang, namun tetap melakukan kemungkaran dan dosa-dosa lain yang disengajakan yang tidak seharusnya berlaku. Sembahyang diertikan dengan doa atau memohon kebajikan dan pujian. Sembahyang punca ketenangan jiwa.
Seorang Islam yang taat dan dapat menikmati serta memahami sembahyang akan mendapat kekuatan jiwa juga keteguhan semangat dalam menghadapi segala dugaan. Sembahyang mengajar dan mendidik manusia bersifat tenang . Sebagai cara-cara memahami solat ialah dengan menghayati maksud kalimah yang dituturkan. Ramai yang tahu makna kalimah-kalimah yang dituturkan, sama ada ijmali atau tafsili namun tidak mampu menghayatinya. Kesan sembahyang yang khusyuk pula ialah membantu untuk tidak melakukan perkara maksiat dan mungkar. Selepas mengamati dan menghayati bacaan, maka akan terhakislah sikap-sikap hodoh yang ada pada diri sendiri. Secara kesimpulannya solat adalah tiang agama dan tonggak kepada kehidupan. Elakkan daripada terjebak dengan perkara yang boleh merosakkkan penumpuan minda ini boleh mencederakan sembahyang itu. Dengan ini, maksudnya sembahyang tadi tidak tercapai, sukar untuk seseorang itu memahami setiap bacaan yang merupakan doa untuk kita menghindari perbuatan maksiat dan mungkar. Jadi, cara terbaik untuk menghindari maksiat dan mungkar ialah dengan solat dengan khusyuk dan memahami setiap maksud bacaan tersebut.
PENDAHULUAN
Sembahyang merupakan ibadat yang boleh menghalang pelakunya daripada melakukan perbuatan mungkar iaitu perbuatan salah dan terlarang. Termasuk dalam kemungkaran itu dosa besar contohnya membunuh, berzina, memakan harta anak yatim dan juga dosa-dosa kecil yang dilakukan terus menerus.
Allah s.w.t menegaskan bahawa sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh menegah diri pelakunya daripada melakukan dosa-dosa dan kemungkaran. Walau bagaimanapun, banyak orang yang melakukan ibadah sembahyang, tetapi tetap melakukan kemungkaran dan dosa-dosa lain yang disengajakan, yang tidak seharusnya berlaku. Allah s.w.t menegaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Seseorang itu juga perlu memahami kesan sembahyang terhadap pembentukan peribadi. Sembahyang juga memberi ketenangan jiwa, tidak kira sama ada ketika seseorang itu perlu memahami makna sesuatu yang dibaca ketika bersembahyang, sama ada dengan cara ijmali (menyeluruh) atau tafsili (satu persatu/terperinci) dengan tujuan untuk memperoleh rasa khusyuk dalam solat berupaya membentuk diri orang yang berkenaan.
Manusia perlulah berusaha mencari jalan supaya dapat khusyuk dan memahami solat agar dapat menegah kita daripada melakukan kemungkaran dan juga maksiat. Orang yang sembahyang kerana malu pada jiran-jiran akan melakukannya ketika dorongan tersebut wujud. Apabila pendorong itu tidak wujud, ia tidak akan sembahyang atau melakukannya tetapi dalam keadaan sambil lewa. Orang yang melakukan ibadah tanpa ikhlas mudah ditipu iblis (al-Hijr : 36-40). Apabila adanya kehadiran iblis di dalam jiwa seseorang itu, maka mudahlah untuk mereka ditipu dengan senang oleh iblis. Disebabkan itulah, mereka bersolat namun tidak mendapat faedah selain mendapat penat sahaja. Allah s.w.t memerintahkan sembahyang kepada manusia untuk kebaikan manusia sendiri kerana tujuan sembahyang itu agar dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
PENGERTIAN SOLAT
Dari sudut bahasa, sembahyang sering diertikan dengan doa atau memohon kebajikan dan pujian. Dari segi syarak, sembahyang diertikan sebagai beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam, dilakukan dalam keadaan beribadah kepada Allah s.w.t, dengan menurut segala syarat yang telah ditentukan.
SEMBAHYANG PUNCA KETENANGAN JIWA
Sembahyang mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran dan maksiat kerana sembahyang ialah punca ketenangan jiwa. Seorang Islam yang taat dan dapat menikmati serta memahami sembahyang akan mendapat kekuatan jiwa juga keteguhan semangat dalam menghadapi segala dugaan. Sembahyang mengajar dan mendidik manusia bersifat tenang. Hanya dengan ketenangan, seseorang itu dapat menikmati hakikat sembahyang dan mengejarkannya dengan khusyuk, terutamanya ketika melakukan tamakninah. Sembahyang tidak sah, tanpa tamakninah. Tegasnya, sembahyang itu mendidik diri supaya bersifat tenang dan tertib.( Dr Amran Kasimin,11).
Apabila kita solat, kita mendekatkan diri lagi kepada yang Esa, menjadikan setiap amalan yang kita lakukan hanyalah mengharapkan ampunan dan Redhanya, mengabdikan diri kepadaNya dan perasaan takut akan azabNya yang tidak terperi. Perasaan inilah yang akan menjadikan kita jauh dari perkara-perkara mungkar dan maksiat yang dilarang Ilahi.
SEMBAHYANG MENCEGAH KEMUNGKARAN DAN DOSA
Apabila solat dikatakan tidak dapat membantu membentuk diri pelakunya bermaksud sembahyangnya yang tidak betul. Sembahyang yang tidak betul tidak dapat mencegah seseorang dari melakukan perbuatan tidak bermaruah. Jika kita sembahyang dan masih melakukan perkara terkeji, bermakna sembahyang kita masih lagi tidak betul. Manakala sembahyang yang betul ialah seperti mana dalam Firman Allah s.w.t: ‘’Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ (Surah Al-Ankabut,45)
Allah s.w.t telah berfirman bahawa solat itu mencegah dari melakukan kemungkaran, maka perlulah kita berusaha untuk khusyuk dalam solat. Kita hendaklah ingat kepada Allah semasa sembahyang untuk menghayati maksud solat itu sendiri.
MEMAHAMI BACAAN SEMBAHYANG
Manusia yang tidak mampu membentuk diri mereka melalui solat ialah mereka yang tidak memahami maksud setiap bacaan yang dibaca ketika bersolat dan juga mereka yang tidak mengambil berat tentang solat itu sendiri. Ramai yang tidak memahami setiap bacaan dan sekadar membacanya dan juga ada yang memahami namun tidak ambil peduli dengan setiap bacaan tersebut. Sebagai seorang manusia yang soleh, perlulah memahami setiap bacaan yang dibaca dalam solat. Memahami bacaan bermaksud memahami maksud kalimah yang dituturkan. Ramai orang tahu makna kalimah-kalimah yang dituturkan, sama ada secara ijmali atau tafsili, tetapi tidak dapat menghayatinya. Hal ini sangat penting kerana dengan memahami setiap maksud bacaan itu, dapat memberikan kefahaman dan dengan itu dapat menyumbang kepada khusyuk dalam solat seperti mana yang perlu setiap muslimin lakukan.
Sebahagian daripada kita tahu kalimah tersebut tetapi tidak tahu makna disebaliknya. Jadi, dengan itu solat mereka tidak mampu mengelakkan diri mereka daripada melakukan kemungkaran( Dr Amran Kasimin,117). Maksudnya kita masih belum lagi memahami setiap apa yang kita lafazkan di dalam solat, bahkan kata-kata yang dilafazkan itu masih belum lagi mampu untuk masuk ke hati, melekat di situ dan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada diri dan setiap perbuatan kita. Oleh kerana itu, solat 5 waktu sehari semalam tidak mampu membentuk mereka kerana mereka sendiri yang mengabaikan solat itu dengan tidak memahami maksud-maksud dan mengamalkan setiap perintah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
KESAN SEMBAHYANG YANG KHUSYUK
Terdapat banyak kesan-kesan solat yang khusyuk kepada kehidupan setiap umat Islam. Antaranya ialah dapat mengawal diri. Orang yang solat sentiasa mengawal hati, pemikiran, perasaan dan anggotanya agar tidak membuat kerja selain yang menjadi rukun qauli, qalbi dan fi'li. Jika ada membuat gerakan besar tiga kali berturut, maka solatnya boleh terbatal. Jika fikiran dan hatinya melayang maka ingatan, hubungan dan munajatnya dengan Allah akan terganggu. Jadi ia akan terus berusaha untuk mengawal diri dalam solat dan di luar solatnya.
Berdasarkan kesan tersebut, maka terbuktilah solat mampu mengawal perasaan dan hati daripada melakukan kemungkaran dan juga maksiat di kalangan orang Islam. Selain itu, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana orang tersebut tidak akan merasa gerun ketika malakukan perkara keji dan mungkar. Sembahyang yang khusyuk membantu manusia untuk tidak melakukan perkara mungkar dan maksiat. Selepas mengamati dan menghayati bacaan, maka akan terhakislah sikap-sikap hodoh yang ada pada diri sendiri. (Tuan Guru Haji Nik Abduk Aziz Nik Mat, 2)
SEMBAHYANG ADALAH UNTUK KEMASLAHATAN MANUSIA
Allah s.w.t memerintahkan sembahyang kepada manusia untuk kebaikan manusia sendiri kerana tujuan sembahyang itu agar dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Tidak sedikit orang di antara kita nampaknya iltizam mengerjakan sembahyang tetapi masih bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran. Dengan itu, jelaslah bahawa solat membentuk diri seseorang muslim yang cemerlang dunia akhirat. Bagi mereka yang bersolat namun masih melakukan maksiat dan kemungkaran, itu bermakna solat mereka masih lagi belum sempurna untuk membentuk peribadi yang unggul di sisi Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w bersabda:
‘Sesiapa tidak terhalang kerana sembahyangnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka dia sebenarnya bertambah jauh dari Allah’’
Maka,benarlah bahawa sembahyang orang yang lalai tidak mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Mereka ini sememangnya dalam kerugiaan kerana mereka semakin jauh dari Pencipta dan akan menanggung akibat perbuatan mereka itu di dunia atau di akhirat kelak.
Rasullullah bersabda:
‘Ramai sekali orang mengerjakan sembahyang, tetapi bahagian yang diperolehi dari sembahyangnya hanyalah penat dan letih’ Orang yang dimaksudkan Rasulullah ialah orang yang lalai dalam sembahyangnya. ( Ahamad Nahari,35)
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, menurut ahli-ahli sufi, solat adalah sebenarnya satu permohonan serta satu percakapan antara makhluk dengan penciptanya. Sebab itu doa memerlukan persemadiannya yang penuh. Dalam ibadat-ibadat lain kita tidak perlu begitu berhati-hati. Oleh kerana itu, adalah mustahak bagi kita supaya penuh berhati-hati semasa bersolat kalau tidak solat kita adalah seumpama seseorang yang mengigau dalam tidur, tetapi sungguhpun solat kita tidak sedarjat dengan solat orang-orang yang soleh, maka janganlah pula kita meninggalkan solat itu. Tidaklah betul sama sekali kalau kita memikir bahawa tidaklah berfaedah bersolat kalau tidak dikerjakan dengan sempurnanya. Solat dengan kurang kesempurnaanya adalah lebih baik dari tidak bersolat langsung kerana akibatnya ialah seksa yang paling pedih di akhirat kelak. Sebab itu adalah jelas sejelas-jelasnya bahawa kita sekalian mesti berusaha dengan seikhlas-ikhlasnya untuk bersolat dan berdoa ke hadirat Allah s.w.t supaya Ia memberi kepada kita taufiq dan hidayah supaya dapat kita bersolat seperti mana orang-orang yang soleh bersolat di masa-masa dulu sekurang-kurangnya yang sedemikian itu ada pada kita untuk dipersembahkan ke hadirat Allah s.w.t.
Di dalam sembahyang satu penumpuan minda yang jitu bagi mengingati keagungan dan kebesaran Illahi dimestikan. Jadi, apa juga perkara atau halangan yang boleh merosakkan penumpuan minda ini boleh mencederakan sembahyang itu. Dengan ini, maksud sembahyang tadi tidak akan tercapai. Apabila maksud sembahyang tidak tercapai sukar untuk seseorang itu memahami setiap bacaan yang merupakan doa untuk kita menghindari perbuatan maksiat dan mungkar. Jadi cara terbaik untuk menghindari maksiat atau mungkar ialah dengan solat dengan khusyuk dan memahami setiap bacaan tersebut. Oleh itu, kita sebagai hamba Allah s.w.t mesti berusaha untuk memperbaiki solat agar menjadi sempurna. Sesungguhnya orang-orang yang tidak berusaha untuk memperbetulkan amalannya ialah golongan-golongan yang berada dalam kerugian.
RUJUKAN
1. Dinie Publishers, Dr. Amran Kasimin (1992).Bagaimana Mencegah kejahatan Melalui Sembahyang, Jilid 1, No 20 Jalan 6c/7, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor : Jiwamas Printers Sdn Bhd.11, 117
2. Jasmin Enterprise, Ahmad Nazhari (2002), Neraka Bagi Orang Yang Solat, Jilid 1, P.O Box no 12649 50786 Kuala Lumpur, : Jasmin Enterprise.
3. Akrab, Abdul Syukur Abdul Rahman (1996), Solat Cara Rasulullah, Jilid 1, Kuala Lumpur : Tinggi Press Sdn Bhd , 1
4. Darul Nu’man, Muhammad Imran (1995), Dosa Tanpa Nikmat, Jilid 1. Kg Baru, Kuala Lumpur : Darul Nu’man, 136
5. Jahabersa, Syeikh Muhammad bin Salleh Al-Uthaimin (2003), Hukum-Hukum Fiqh Mengenai Thaharah, Solat, Puasa dan Mengurus Jenazah, Johor Bahru : Perniagaan Jahabersa, 18
sumber: http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=360:solat-itu-dapat-mencegah-seseorang-daripada-melakukan-dosa-dan-maksiat&catid=28:renungan-dan-tazkirah&Itemid=78
No comments:
Post a Comment