Monday, January 20, 2014

JUMHUR ULAMA: POLIGAMI CUMA RUKHSAH, TIDAK DIGALAKKAN




Oleh: Fatimah Syarha



ANALISIS PANDANGAN SYUYUKHUL AZHAR BERKENAAN POLIGAMI


Pada zaman moden ini, di saat amalan poligami secara realitinya tidak lagi memperlihatkan faktor keadilan, moral dan kemampuan ekonomi sebagaimana yang digariskan Al-Quran, akibatnya kaum wanita menjadi mangsa. Ia menjadi perhatian ulama moden seperti Abduh, Syaltut, Al-Ghazali dan Al-Qaradhawi. Kesemuanya adalah syuyukhul azhar (Syeikh-syeikh lepasan Universiti al-Azhar).


Poligami Menurut Muhammad Abduh


Poligami Dilarang Kecuali Sangat Terpaksa
● -Menggunakan pendekatan normatif keagamaan, psikologi keluarga, sosiologi dan budaya.
● -Beliau lebih cenderung kepada berlakunya teori struktur peranan dalam keluarga, iaitu adanya kedamaian yang jauh daripada konflik antara anggota keluarga. Bagi mewujudkan hal itu, keadilan perlu menjadi common value (nilai yang biasa).
● -Atas kepentingan faktor keadilan inilah, Abduh melarang amalan poligami apabila menjawat jawatan sebagai mufti Mesir, kecuali dalam situasi yang sangat terpaksa, seperti si isteri mandul (infertility).
● -Poligami menurutnya adalah tradisi masa lampau sebelum Islam. Ia berhubung kait dengan kedudukan wanita yang dipandang sebagai satu hubungan antara manusia dan haiwan, atau manusia tidak sempurna.
● -Bagi Abduh juga, poligami tanpa sebab adalah satu bentuk merendahkan maruah wanita.


Memahami Psikologi Wanita


-Pada dasarnya, tidak ada seorang isteri pun yang rela sekiranya ada wanita lain yang hendak merebut cinta suaminya. Demikian pula, seorang suami tidak akan menerima sekiranya ada lelaki lain yang hidup bersama isterinya. Itulah fitrah manusia. Seandainya ada seorang isteri ataupun suami yang redha sekiranya pasangannya memberikan cintanya kepada yang lain, bererti ada sesuatu yang tidak normal.
-Abduh juga mengumpamakan kehidupan berpoligami itu seperti kehidupan seekor ayam jantan dengan sepuluh ekor ayam betina. Di mana si jantan tidak boleh membahagikan cintanya secara adil dengan sepuluh ekor betina itu atau dengan kata lain, kecenderungan berlebihan akan selalu ada terhadap salah seekor betina yang ada.


-Setiap isteri yang diduakan akan menghadapi dua kemungkinan:

1. Mereka akan berasa sakit kerana dibakar rasa cemburu apabila suaminya terikat dengan wanita lain.
2. Tidak kisah kerana ada pelbagai sebab yang mengiringi.
-Jika ada yang mengatakan, dalam sesetengah situasi, suami menikahi dua ataupun lebih dengan dorongan isteri pertama, maka Abduh memberi pandangan dengan dua sudut:


1.Ianya jarang berlaku. Maka sudah tentu sesuatu yang jarang berlaku tidak boleh dijadikan pegangan bagi dilaksanakan di tengah-tengah umat. Orang yang mengatakan isterinya tenang suaminya menikah lagi sebenarnya ada sesuatu yang tidak wajar.
2. Di kalangan isteri-isteri, kerelaan seperti itu memanglah jarang berlaku, namun di kalangan wanita ‘penghibur’ yang suka berganti-ganti lelaki, tentu rasa sukarela seperti itu sudah menjadi kebiasaan.


-Bagi Abduh, soal keadilan dalam poligami bukan hal remeh-temeh. Benar, syariah bersikap tolak ansur kepada suami bagi memiliki empat isteri, sekiranya dia melihat dirinya mampu untuk berbuat adil. Namun sekiranya tidak, maka mereka perlu istiqamah dengan satu isteri sahaja.


Ketidakadilan Bukan Hanya Berlaku Kepada Orang Miskin


-Abduh menolak sekiranya dikatakan bahawa: Ketidakadilan yang sering berlaku hanya terhad di kalangan orang miskin dan kurang pendidikan sahaja. Lain halnya dengan golongan kaya dan bekerja di pejabat, mereka sudah tentu menafkahkan hartanya secara berlebihan terhadap isteri-isteri yang diceraikan dan anak-anaknya. Begitu juga terhadap isteri-isterinya yang di rumah. Dalam hal ini, maka tiada halangan baginya berpoligami selagi berada dalam batas-batas syarak. Bahkan poligami adalah sunnah Rasul. Ketidakadilan di kalangan orang miskin tidak boleh dijadikan dasar melarang poligami. Bahkan ayat 3, Surah al-Nisa’ tidak pernah mansukh.


-Menjawab kenyataan di atas, Abduh berkata: Pernyataan itu tidak benar. Kes yang berlaku di kalangan orang kaya berkenaan pengusiran isteri-isteri berserta anak-anak cukup banyak. Tidak sedikit golongan seperti itu yang mengusir anak-anak mereka demi isteri barunya. Nafkah dan hak suami isteri yang mereka lakukan belum mencapai peringkat keadilan seperti yang diinginkan syarak. Sekiranya demikian, orang kaya itu sama sahaja dengan orang miskin dalam melakukan pelanggaran agama.
-Bahkan pelanggaran syarak yang dilakukan oleh orang kaya lebih teruk sekiranya dibandingkan dengan si miskin. Kes seorang isteri yang tidak digauli sampai setahun, dua tahun bahkan sepuluh tahun kerana adanya kecenderungan cinta terhadap seorang isterinya adalah satu contoh. Sementara si isteri tidak berani menuntut cerai kerana takut akan keselamatan dirinya yang terancam oleh suaminya yang kaya dan berkedudukan itu. Maka, dalam terpaksa, mereka terjebak dalam kehidupan yang teruk seperti itu.


Memahami Psikologi dan Pendidikan Anak-anak


-Dalam kes lain, situasi pendidikan anak-anak yang membesar di tengah-tengah kedengkian saudara-saudaranya dan permusuhan bapanya sendiri sering berlaku di kalangan orang kaya yang berpoligami. Kes seperti ini, tegas Abduh banyak kita saksikan di dunia Timur, termasuk Mesir. Mereka seakan-akan tidak memahami hikmah Allah dalam hal ini. Bahkan menjadikannya sebagai jalan memuaskan nafsu seksual semata-mata. Perkara seperti inilah yang ditolak oleh agama dan akal yang sihat.
-Menurut Abduh, hanya ada dua pilihan bagi seorang suami:


1. Berkahwin dengan seorang isteri, sekiranya takut tidak mampu berlaku adil. Dalilnya: Ayat mengisyaratkan “fa in khiftum… “. Sedangkan ayat ”fa ankihu…” yang menyusulinya adalah terikat (muqayyad) oleh ayat sebelumnya.
2. Berfikir kembali dan meneliti berkenaan keadilan yang menjadi syarat mutlak agama, keutuhan dan kasih sayang antara anggota keluarga, beban yang akan ditanggung isteri dan anak-anak sekiranya berlaku perceraian, serta perlindungan mereka daripada hal-hal yang bakal berlaku. Semua itu perlu diberi pertimbangan sebelum melakukan poligami.


-Sekiranya itu yang dilakukan oleh para suami mereka termasuk daripada para suami yang takut kepada Allah iaitu mereka yang menghormati undang-undang keadilan, melindungi kehormatan dan hak-hak isteri, berinteraksi dengan cara yang ramah, lembut dan baik, tidak melakukan diskriminasi terhadap isteri, maka itulah suami yang mulia.
-Sekiranya suami berpoligami secara adil, maka tidak mengapa. Namun, ia sangat jarang ditemui. Sekiranya dia melanggar ketentuan syarak, hakim berhak menghukumnya. Apa hukumannya? Agama tidak memberikan ketentuan khusus. Masalah ini bergantung pada situasi dan tradisi setempat.


Kerja Keras Rasulullah Bagi Melaksanakan Keadilan



-Orang yang tidak mampu memberikan hak-hak mereka (isteri), atau sekiranya si suami cenderung kepada seorang daripada isterinya, bererti dia melanggar hak yang lain. Dengan demikian dia menghancurkan sistem kekeluargaan, sedangkan asas pembinaan keluarga yang baik adalah kesatuan dan kasih sayang antara anggota keluarga.
-Rasulullah SAW melakukan giliran yang adil antara isteri-isterinya walaupun seorang daripada mereka dalam keadaan sakit demi menjaga keadilan.
-Baginda tidak hanya tinggal menetap di rumah seorang isterinya sahaja tanpa persetujuan dan kerelaan daripada isteri-isterinya yang lain.
-Baginda tetap meminta izin daripada isterinya yang lain apabila hendak tinggal di rumah Aisyah selama beliau sakit.
-Dalam wasiat terakhir Rasulullah, baginda pernah berwasiat berkenaan tiga perkara yang selalu diulang-ulang sehingga suaranya habis iaitu: Solat, hamba/pembantu, dan isteri yang dinikahi dengan amanah Allah dan menjadi halal kehormatannya dengan menyebut kalimat-Nya.
-Riwayat lainnya adalah, “Siapapun yang beristeri dua lalu lebih cenderung kepada salah satunya, (dalam satu riwayat dengan penambahan: tidak berbuat adil), maka pada hari Kiamat, kakinya akan tempang.”
-Rasulullah SAW juga mengadu, “Ya Allah, keadilan dalam melakukan giliran antara isteri-isteriku dan nafkah adalah kerja kerasku yang mana aku sanggup melakukannya. Namun, aku tidak berkuasa untuk melakukan apa yang menjadi milik-Mu (kecenderungan hati).”
-Apabila Rasulullah hendak musafir, Baginda selalu mengundi giliran isteri-isterinya, siapa yang dapat bersamanya.
-Abduh mengingatkan, adakah selepas adanya amaran syariah yang tidak boleh ditawar itu (berkaitan beratnya melaksanakan keadilan), seseorang itu akan tetap berpoligami sedangkan dia tahu dia tidak mampu?
-Rasulullah cenderung kepada Aisyah melebihi isteri-isterinya yang lain, namun itu hanya dalam soal hati dan perasaan. Baginda tidak pernah mendiskriminasikan isteri-isteri yang lain dalam masalah apa pun.


Poligami dalam Islam Terlalu Berat



-Abduh menegaskan, orang yang merenungi dua ayat iaitu al-Nisa’, ayat 3 dan al-Nisa’, ayat 129 nescaya akan faham bahawa poligami dalam Islam adalah perkara yang sangat berat, tidak boleh dilakukan kecuali dalam keadaan yang sangat terpaksa.
-Malah orang yang mahu melakukannya disyaratkan memiliki keyakinan yang sangat kuat dengan kemampuannya menegakkan keadilan.


Analisis Muhammad Imarah Terhadap Pandangan Abduh


Poligami Boleh Lenyap Bersama Lenyapnya Pendukung



Tradisi berkahwin lebih daripada satu isteri pernah berlaku kepada orang Timur seperti Tibet dan Mongol. Bahkan di negara Barat seperti Jerman juga tradisi itu pernah wujud. Sebahagian biskop pernah membenarkan berkahwin lebih daripada seorang untuk para raja selepas masuknya agama Kristian ke Eropah. Faktanya, aturan ini mengikut situasi dan kontekstual, bukan hanya milik orang Timur apatah lagi milik Islam. Ia akan lenyap bersama lenyapnya pendukungnya.


Tradisi Poligami Menyusuli Perang



Berkembangnya sistem poligami berkait rapat dengan pertumbuhan jumlah wanita yang melampau jumlah lelaki dalam beberapa komuniti akibat perang pada masa lalu, antaranya masyarakat awal Arab. Biasanya, mereka yang menyokong sistem ini adalah mereka yang memiliki kekuasaan dan harta.


Islam Bertujuan Menghapuskan Sistem Poligami Jahiliah Secara Bertahap

Islam berbeza dengan apa yang dituduh oleh para orientalis bahawa, agama ini mengambil sistem tradisi jahiliah. Islam sebaliknya mengambil sikap kritis dalam masalah ini. Tujuannya jelas, iaitu menghapuskan sistem ini dengan pendekatan bertahap (tadarruj). (Sebagaimana Islam berjaya menghapuskan sistem perhambaan secara bertahap walaupun ia masih disebutkan dalam Al-Quran). Oleh itu, apabila ada yang masuk Islam dengan sepuluh isteri, Rasulullah SAW hanya membatasinya dengan empat orang . (Jelas, Rasulullah pernah menyuruh mengurangkan isteri namun tidak pernah menyuruh menambah lagi isteri). Kesalahan orientalis itu bertitik tolak daripada pandangan mereka terhadap fenomena atau tradisi umat Islam yang mereka teliti, kemudian dengan mudah memberikan kesimpulan bahawa tradisi-tradisi yang berlaku itu termasuk sebahagian daripada agama.


Poligami Bertujuan Sebagai Jalan Keluar Daripada ketidakadilan Yang Menimpa Anak Yatim


Batasan poligami bertujuan memberikan jalan keluar daripada ketidakadilan yang menimpa anak yatim. Lazimnya anak yatim menjadi mangsa para penjaganya. Mereka mengahwininya kerana rakus terhadap hartanya. Oleh itu Islam menegur kaum lelaki yang menjadi penjaga agar tidak seperti itu. Perumpamaannya perlu dilihat begini, “Daripada kamu nikahi anak yatim yang menyebabkan kamu berbuat zalim (dengan mengambil hartanya), baik kamu kahwin dengan wanita baik dan berharta yang lain, 2, 3 atau 4. Itupun payah juga mengelakkan daripada berbuat zalim, baik kamu nikah satu sahaja. Nikah satu itulah yang terbaik kerana paling jauh daripada berbuat zalim.”


Poligami di Dalam Al-Quran Bukan Satu Dorongan (Targhib) Tetapi Satu Ancaman/ Tidak Disukai (Tarhib)

Menurut Abduh, Islam memberikan syarat berlakunya keadilan mutlak. Seandainya seseorang memiliki sangkaan sedikit sahaja mengenai ketidakmampuannya berpoligami, maka dia perlu berkahwin satu sahaja. Poligami yang disebutkan dalam ayat itu tidak bererti memberikan dorongan (targhib) tetapi menunjukkan sikap yang tidak disukai (tarhib). Sekiranya orang yang hendak berpoligami itu berfikir berkenaan syarat keadilan itu, nescaya dia akan berkahwin satu sahaja.


Sistem Poligami dan Perhambaan


Menurut Abduh, amalan poligami serupa dengan amalan perhambaan. Islam tidak mengajarkan seperti itu. Fenomena seperti itu menurut Abduh adalah tradisi jahiliah, tidak ada hubung kaitnya dengan Islam.


Boleh Melarang Poligami



Menurut Abduh, boleh untuk melarang berpoligami sebagaimana bolehnya melarang perhambaan. (Ia tidak dikira melarang hukum Allah). Pernyataan ini diungkapkan semasa menjawab pertanyaan berkenaan boleh tidaknya menegah poligami. Ini kerana menurutnya keadilan adalah syarat mutlak yang perlu dipenuhi, sedangkan berlakunya keadilan seperti itu boleh dikatakan 'tidak ada' dalam masyarakat hari ini. Sesungguhnya, orang yang boleh berlaku adil, sangat-sangat jarang, dan sesuatu yang jarang tidak boleh dijadikan pegangan dalam hukum. Di samping itu, berpoligami secara realiti boleh mengundang pertelagahan antara isteri, begitu juga antara anak-anaknya. Atas dasar ini, Abduh menganjurkan agar poligami dilarang, kecuali dalam keadaan yang sangat terpaksa, misalnya isteri mandul. Sekiranya berlaku demikian barulah hakim perlu membantunya.


Poligami Menurut Syaltut


Poligami Terikat Pada Syarat Keadilan


-Dalam mengambil kesimpulan (istimbat) hukum poligami, Syaltut seperti mana Abduh mensyaratkan berlakunya keadilan.
-Perbezaan terletak pada prosesnya. Abduh melarang poligami kecuali kerana terpaksa. Manakala Syaltut membahaskan lagi berkenaan kebolehan poligami menurut kemahuan individu tanpa sebab-sebab yang memaksanya.
-Persoalan ini, kata Syaltut, banyak mengundang perdebatan antara pengkaji keagamaan dan sosiologi.
-Para pengkaji agama apabila merespons teks-teks ayat poligami berpendapat, asalnya poligami terlarang kecuali terpaksa. Segelintirnya berpendapat poligami pada asalnya harus dilakukan kecuali ada kekhuatiran bahawa negatifnya lebih banyak daripada positifnya, maka ia menjadi haram dan terlarang.
-Bagi pakar sosiologi, poligami adalah suatu tindakan jenayah sosial yang berlaku dalam wilayah keluarga. Maka ia sedapat mungkin mesti dibatasi.


-Menurut Syaltut, Islam dan bangsa Arab adalah antara agama dan bangsa yang pernah mengesahkan harusnya poligami. Poligami pernah berlaku dalam sejarah kehidupan manusia termasuk sebahagian nabi-nabi sebelum Muhammad.
-Dua surah al-Nisa’, ayat 3, dan 129 di atas menurutnya sentiasa relevan dengan hikmah berlakunya syariat (hikmah al-tasyrik) dalam masyarakat. Sekiranya dua ayat ini difahami secara utuh, ini akan menghasilkan pemahaman bahawa ‘keadilan’ dalam ayat 3 adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditawar-tawar.
-Perkara yang dilarang dalam ayat 129, menurut Syaltut adalah kecenderungan yang berlebih-lebihan kepada seorang isteri, kemudian mengabaikan yang lain.
-Syaltut berbeza daripada Abduh dengan tidak meletakkan syarat keterpaksaan dalam masalah poligami. Dia menyerahkan kepada individu bagi menentukan keadaan dirinya sama ada mampu berlaku adil ataupun tidak, kemudian dia jawab sendirilah depan Allah.
-Syaltut melihat bermulanya poligami disahkan adalah bagi memberi jalan keluar kepada pengasuh anak yatim supaya tidak terjebak dalam kezaliman akibat perbuatannya yang tidak adil terhadap mereka. Oleh itu menurut Syaltut, apa yang penting dalam poligami adalah keadilan bukan keterpaksaan.


Desakan Masyarakat Melarang Poligami

-Pada tahun 1945, desakan masyarakat yang meminta poligami dibataskan atau dilarang memang bergelombang, seperti yang datang daripada Urusan Sosial Mesir.
-Antara tuntutannya adalah kebenaran daripada Pengadilan Agama (syariat) selepas adanya penelitian terhadap mereka yang mahu berpoligami, dengan mengambil kira moraliti, kemampuan, dan tanggungjawab nafkah yang bukan hanya untuk orang yang berada dalam tanggungannya tetapi untuk keluarga terdekat.
-Realiti menunjukkan poligami berbahaya terhadap kehidupan berkeluarga.


-Malah, hal ini membebankan pemerintah kerana ramainya orang yang terpinggir dan terbiar daripada keluarga, memutuskan silaturrahim dan cenderung mengabaikan pendidikan anak.
-Syaltut meminta menimbangkan antara kebaikan dan kejahatan poligami, mana yang lebih banyak dengan kajian sosial yang lebih mantap. Apabila ia diharuskan, menurutnya, kebaikannya daripada sudut sosial lebih banyak.
-Syaltut berpendirian poligami biarlah terus diharuskan tanpa melarangnya.
-Manakala keluarga yang sudah berpoligami tetapi ternyata dia tidak mampu daripada sudut nafkah maka ia perlu dibantu.
- Menurut pengkaji Zulkifli Haji Mohd Yusuff dan Aunur Rafiq, idea Syaltut ini sekiranya direalisasikan tanpa pengawasan cermat terhadap pelaku poligami, maka ia juga tidak akan membina. Bahkan mungkin poligami menjadi 'wadah' pemuas nafsu lelaki, dan lahirnya keluarga yang penuh konflik, persaingan tidak sihat, khususnya di kalangan isteri yang dimadu. Biasanya faktor penting yang menjadi permulaannya adalah merebut cinta dan perhatian suami, bukannya merebut harta.


Poligami Menurut Imam Al-Ghazali.


Isteri Berhak Menerima Ataupun Menolak Dimadu


-Imam Ghazali terkenal sebagai ulama yang sering membela kaum wanita.
-Beliau kurang membicarakan persoalan poligami.
-Dalam bukunya, Nahwu al-Tafsir al-Maudu’I li Suwari Al-Quran, beliau membahaskan isu poligami dengan amat terhad. Menurutnya poligami dalam Islam mempunyai aturan khusus, tidak seperti di Barat yang lelakinya mempunyai satu isteri tetapi isteri haramnya sampai sepuluh.


-Dalam Islam, lelaki bujang yang tidak mampu berkahwin dianjurkan berpuasa, soalnya bagaimana pula lelaki yang tidak mampu berpoligami? Menurutnya orang seperti itu tidak boleh dibiarkan, dia tidak akan mampu berlaku adil.
-Ghazali melihat dalam perkahwinan tidak boleh ada paksaan. Oleh itu, wanita bebas untuk menerima ataupun menolak bagi dimadu.
-Sekiranya seorang isteri khuatir dimadu oleh suaminya, dia boleh mengajukan syarat itu dalam perjanjian perkahwinannya. Si suami perlu berpegang teguh dengan perjanjian itu. Sekiranya tidak, dia hendaklah menceraikannya. Ini perlu kerana hubungan keluarga perlu dibina atas dasar takwa, keadilan dan kedamaian.
-Menurut Ghazali, perkahwinan adalah ibadah, dan keluarga adalah jambatan menuju sebuah kehidupan yang mulia, dan tempat pembinaan iman dan budayannya. Itu juga harapan ibad al-Rahman iaitu rumahtangga yang damai dengan isteri dan anak cucu yang menyejukkan pandangan mata. Bagi mewujudkan hal itu perlu kerjasama orang tua.
-Ghazali menekankan bahawa perkahwinan bukan tujuan tetapi hanyalah wasilah. Ia jalan bagi berlakunya pertumbuhan keluarga yang beriman, adil, tenteram, cinta kasih, dan penuh rahmat terpulanglah sama ada dengan cara poligami ataupun tidak.


Poligami Menurut Yusuf al-Qaradhawi


Asal Perkahwinan Muslim Adalah Berkahwin Satu


-Para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Ini adalah sesat lagi menyesatkan.
-Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim adalah BERKAHWIN SATU, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumahtangga, tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih sayang dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan al-Quran.


Bukan Keharusan Secara Mutlak


Berkata Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Malamih al-Mujtama' al-Muslim allazi nansyuduhu...

"Para ulama berkata, adalah dilarang lelaki yang mampu mencukupkan dirinya dengan satu isteri untuk bernikah lagi kerana hal itu dikhuatiri akan menjebakkan dirinya kepada yang HARAM."


Fiqh Prioriti: Bernikah Satu Lebih Utama


Berkata Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Malamih al-Mujtama' al-Muslim allazi nansyuduhu lagi bahawa tidak dapat dinafikan BERNIKAH SATU lebih baik daripada BERPOLIGAMI.
Poligami akan membuatkan seseorang menimpa kesulitan di dunia serta di akhirat.


Memerhati Kemaslahatan Semua Pihak


-Yusuf al-Qaradhawi walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat yang menyeru kepada mengharamkan poligami. Biarlah hukumnya kekal harus, bukan haram kerana melihat kepada maslahat yang pelbagai.
-Orang yang mahu melakukan poligami perlu berkeyakinan mampu berlaku adil tanpa khuatir terjatuh dalam kezaliman seperti keterangan surah al-Nisa’, ayat 3.
-Isteri pertama memiliki kemaslahatan agar tiada yang mengganggu suami dan keluarganya, maka dia ada hak menolak untuk dimadu.
-Suami memiliki kemaslahatan takut terjebak ke dalam zina dan kemaslahatan bagi mendapatkan zuriat, maka dia ada hak dalam isu poligami.
-Isteri kedua memiliki kemaslahatan untuk tidak hidup menjadi anak dara tua ataupun menjanda, maka dia juga ada hak dalam isu poligami.
-Begitu juga masyarakat, mereka memiliki kemaslahatan bagi melindungi warganya, maka mereka ada hak menyokong pernikahan yang bertanggungjawab dan sebaliknya.


Tidak Setuju Mengharamkan Terus Poligami

Berkata Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah: “Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di tanah air Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang berlaku kepada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami sama sekali. Mereka ini pagi dan petangnya hanya membicarakan berkenaan keburukan poligami. Padahal dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di dalam kubur berkenaan keburukan zina yang dengan dukacitanya diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum negara-negara umat Islam hari ini."(hal 31, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi lagi, “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat, ia adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada mereka yang keliru ini: “Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ia tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan sudah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat.


Juga ia tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat. Inilah yang digambarkan oleh al-Quran dengan ungkapan yang indah lagi padat ketika menyifatkan Rasulullah SAW, seperti yang dikhabarkan oleh buku ahli kitab, iaitu: (maksudnya) " (Sifat-sifatnya di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka). Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka." (Surah al-`Araf :157).

Al-Qaradawi menyambung, “Inilah apa yang diraikan oleh syariat Islam dalam persoalan poligami, ia menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat, bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya), “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka (nikahlah) hanya seorang isteri. (hal. 133-134).


sumber:  http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2011/07/jumhur-ulama-poligami-cuma-rukhsah.html

No comments:

Post a Comment