Tuesday, June 19, 2012
REZEKI JAMINAN ALLAH
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Muktakhir ini, ramai yang sakit jiwa, hidup dalam tekanan, jiwa gelisah tidak keruan, suka bertempik-tempik tatkala mendapat surat-surat peringatan hutang. Bahkan ada yang mengancam membunuh anak-anak jika di nasihat dan menerima surat hutang piutang.
Begitulah keadaan mereka yang hidup dengan resah dan gelisah. Bukanlah tidak boleh berhutang, tapi biarlah terancang dan dalam kemampuan. Mahligai mana sangat untuk dibeli dengan hutang keliling pinggang. Kebanyakan adalah mereka yang punyai rumah dan kereta menjalar melebihi dari yang diperlukan. Sedangkan pemerhatian ana, mereka yang menjual ais krim, kerja alam flora, kerja pengawal keselamatan, masih boleh membina kehidupan. Bahkan anak-anak mereka berderetan. Mereka tidak bising dengan hutang. Kenapa mereka masih boleh menjalani kehidupan. Rumah mereka, disitulah tempat makan dan disitu juga tempat anak bergelimpangan tidur dalam gurau-gurauan. Sempat berceloteh dengan penuh senyuman.
Sayangnya, yang bermasalah , suka marah-marah, mengherdik bila hutang di tuntut, adalah mereka yang bergaji atas 4 angka. Cara hidup mereka tidak seperti yang di gambarkan. Hidup mereka ala mewah. Bila berbincang pasal hutang, meraih simpati bagai orang yang terbuang. Bila balik kampung halaman, mereka-mereka inilah yang gah di sisi rakan taulan, jiran sewaktu persekolahan. Pandai sungguh mereka ini berlakon. Inilah yang berlaku pada peminjam-peminjam. Perkara ini, di bongkar oleh mereka yang memberi jaminan. Betapa meradang penjamin dengan lagak gaya mereka bila pulang bertandang ke kampung halaman. Sedang mereka inilah yang sangat liat membayar hutang.
Kebanyakan insan hari ini, lupa rezeki adalah jaminan Allah bagi orang-orang yang bertaqwa. Kebanyakan manusia hari ini disibukkan mencari rezeki, namun masa untuk datang ke rumah Allah berbagai alasan di beri. Bandingan orang bertaqwa dalam mencari rezeki, mereka punyai masa mengabdi diri, menghadiri majlis-majlis ilmu dan berbakti kepada jiran tetangga. Berapa banyak di kaji selidik baik pelajar sekolah begitu juga ibubapa kepada pelajar ramai yang tidak mendiri kan solat, dan tidak sempurna solat 5 waktunya. Bila kita banyak menghampir diri kepada Allah, maka banyaklah pula pemberian Allah kepada kita.
Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
Begitu jugalah dalam sibuk menjalani kehidupan harian, ramai yang mengabaikan kedua ibubapa. Bukan setakat mereka tidak pernah di tanyai makan ke?, tidak ke? mereka, sakit ke?, sihat ke?mereka.
Masing-masing terlalu kurang, dan berkira-kira walau menghantar suara buat kedua orang tua. Bahkan tidak ramai yang mendoakan kedua ibubapa mereka untuk kesejahteraan kehidupan mereka dunia akhirat. Ini juga menjadi penyebab kenapa ramai hari ini, mencari kesenangan, tetapi bukan bertambah senang, tetapi hanya menambah hutang.
Adakalanya rezekinya terputus terus, dan sudah tua bangka masih bergantung dengan ibu bapa yang telah lemah Qudratnya. Ibubapa ini yang berusaha dengan titik peluh mereka, hasil mereka kadang-kadang dapat lagi menyara anak-anak yang telah cukup dewasa bahkan telah berumah tangga dan beranak pinak pula. Malunya mereka yang telah terputus rezeki dari Allah, pasti kena kembali muhasabah semula dimana silapnya. Sebuah hadis menyebutkan di mana maksudnya,
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Maka koreksi diri, perbaiki segala hubungan, kerana memutuskan hubungan akan memutuskan rezeki yang Allah anugerahkan untuk hamba-hambanya. Ini jelas di sebutkan di dalam sebuah hadis,
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Sekiranya anda ingin hajat-hajat anda dipenuhi, seboleh-bolehnya penuhilah hajat-hajat mereka yang memerlukan. Hindarkan dari hidup mementingkan diri sendiri, orang yang mementingkan diri sendiri, tidak akan mendapat pertolongan baik dari manusia, maupun dari Allah yang menciptakan semua makhluknya yang semata-mata diturunkan untuk di uji siapakah yang paling baik amalannya.
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)
Kembalilah kepada keyakinan sebenar, yang memberi rezeki adalah Allah semata. Tatkala seseorang mulai melupakan Allah, Allah juga akan melupai mereka. Janganlah terlalu mengejar kehidupan dan perkara-perkara yang hendak di tinggalkan di dunia, sehingga anda semua meninggalkan perkara-perkara yang pastinya menjadi perkiraan di sisi Allah untuk kembali bertemu denganNya untuk kesudahan kehidupan samada syurga atau neraka. Barang siapa yang menginginkan keselamatan di akhirat, hidup yang kekal selama-lamanya samada memilih bahagia atau untuk menghindarkan kecelakaan, bangkitlah, sedarlah, ketuklah pintu hati .. ayuh segera kembali mengutip segala bekalan, kerana dalam beberapa ketika lagi, pasti kita akan bertemu dengan Tuhan yang menciptakan. JanjiNya sangat benar. Dari Allah kita datang kepada Allah jua kita di kembalikan.
sumber: Julia Yacob
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment