Showing posts with label minda dr maza. Show all posts
Showing posts with label minda dr maza. Show all posts

Monday, December 17, 2012

PENYAKIT JIWA....


Penyakit badan mudah di kenali dan diubati
bagaimana pula dengan penyakit bathin
atau jiwa?
Dengarkan apa kata
Dr Asri Zainul Abidin:




Terimakasih kerana
meluangkan sedikit masa disini....



Abusyafie
Klang
17/12/12

Friday, December 14, 2012

PAS DAN UMNO BERSAUDARA DALAM AGAMA...





 


 
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN:

Umno dan Pas tidak perlu berhenti bersaing jika persaingan mereka itu bertujuan menawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Persaingan untuk memberikan khidmat adalah persaingan yang sihat dan memberikan kebaikan bukan negara.

Tidakkah kita lihat bahawa kewujudan persaingan di pasaran membolehkan orang ramai mendapat barangan yang lebih berkualiti. Sementara monopoli tanpa saingan akan merosakkan kualiti khidmat dan merugikan orang awam.


Persaingan Pas dan Umno jika atas dasar ingin menawarkan khidmat yang lebih baik, bukan kerana dendam dan permusuhan yang lahir dari politik kepuakan, akan memakmurkan masyarakat Muslim secara khusus dan negara secara amnya. Jika persaingan itu atas slogan yang ALLAH SWT firman (maksudnya) “Bersegeralah kepada kebaikan” (Surah al-Maidah, 48) maka ia menjadi pahala kebajikan untuk semua pihak yang terlibat.



Saingan politik


Seperti yang selalu ditegaskan, pada asalnya, Islam tidak suka perasaan tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang ALLAH reda. Keinginan mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini.


Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).


Baginda juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah: “Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong).


Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan kedudukan dan nama hanya akan penyesalan di akhirat dan melemahkan jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain.

Ini seperti yang al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).

Kata Ibn Taimiyyah rh (meninggal 728H):
“Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan untuk kebaikan agama, itu bukan sesuatu yang mencanggahi pergantungan kepada ALLAH, tidak juga termasuk dalam permintaan jawatan yang dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan)

Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini: “..demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).


Saling memerlukan

Persaingan Pas dan Umno adalah sesuatu yang baik jika mengujudkan keadaan ‘check and balance’ antara penguasa dan rakyat. Ia akan menghidupkan suasana amar makruf dan nahi munkar (promoting good and forbidding evil).

Tindakan pemerintah akan diteliti oleh pembangkang dan tindakan pembangkang adalah mewakili kemaslahatan rakyat. Maka wujudlah pemerintah yang berkualiti dan pembangkang yang bermanfaat. Keduanya membawa kebaikan kepada rakyat dan keduanya berlumba-lumba untuk mencari pahala dalam lapangan politik.

Saya masih ingat pernah semasa saya berbual bersendirian dengan Tun Abdullah Badawi di London, beliau menyebut: “Umno memerlukan Pas. Kewujudan Pas menjadikan Umno sentiasa beringat dengan tindakan mereka."


Tanpa Pas, Umno akan terlupa dan tidak berhati-hati terutama berkaitan Islam”. Saya percaya itu ucapan yang bukan atas kepentingan politik. Dalam persada politik Malaysia, menghapuskan persaingan antara Pas dan Umno bukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan umat.


Bahkan itu boleh menjurus ke arah monopoli, kerakusan, bertambah berleluasanya rasuah, hilangnya sifat berhati-hati dalam tindakan dan pelbagai lagi.




Apa yang perlu dihapuskan?

Malangnya, hal ini kadang-kala tidak berlaku. Persaingan politik dikendalikan atas kepentingan diri ataupun puak, bukan untuk kepentingan rakyat lagi. Perlumbaan melakukan kebaikan itu dipadamkan oleh banyaknya perlumbaan menghapuskan pesaing politik.


Berlakunya manipulasi isu dari kedua belah pihak. Kedua pihak akhirnya menerima padah; maruah dan nilai tercemar. Kelantan yang dikuasai Pas telah menjadi mangsa buli sekian lamanya. Hal yang sebaliknya juga berlaku apabila segala tindakan pemimpin Umno jarang dinilai positif oleh Pas. Politik prasangka memenuhi ruang. Kerakusan kuasa dan harta meruncingkan lagi permusuhan itu.


Persaingan yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan dan menghalang keburukan bertukar menjadi persaingan yang membawa keburukan dan menghalang kebaikan. Media kerajaan yang menggunakan wang rakyat hanya diberi ruang kepada satu pihak sahaja untuk mencerca pihak yang lain semahunya.

Idea-idea politik dan pembangunan dari pihak yang bersaing tidak mendapat ruang yang adil dalam media kerajaan. Padahal, jika niat benar-benar untuk pembangunan rakyat, apa salahnya idea-idea baik itu didengari oleh rakyat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekalipun dari pembangkang.

Namun itu tidak berlaku. Politik idea dibunuh oleh politik permusuhan puak dan peribadi. Dalam masa yang sama, ceramah dan ucapan pembangkang juga banyak yang bukan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas, tetapi lebih kepada menyerang keburukan-keburukan peribadi pihak lain.

Sedaya mampu hanya untuk mencari salah dan silap, sekalipun dalam perkara peribadi orang lain. Seakan mesejnya; ‘pilihlah kami, kerana mereka lebih buruk dari kami’. Sepatutnya, ‘pilihlah kami kerana kami dapat menawarkan service yang lebih baik’.


Sikap dan pendekatan yang seperti ini patut dihapuskan. Sikap yang lebih rasional dan insaf perlu disuburkan.

Di sebalik lambang

Dalam Umno dan Pas, ramai yang menilai pihak yang lain berdasarkan warna parti. Warna itu pula telah diberikan pelbagai persepsi permusuhan politik yang diapi-apikan oleh pelbagai keadaan dan pihak. Seakan, tiada lagi kebaikan yang boleh diharapkan di pihak yang satu lagi.


Hakikatnya, di sebalik nama dan lambang parti masing-masing, ahli-ahli Pas dan Umno adalah Muslim. Kehidupan ini bukan segalanya politik. Ya, ada Muslim yang baik dan ada yang tidak mengamalkan agamanya.


Sementara yang kuat beragama itu pula, bukan semestinya dia berjaya menghayati agama dalam setiap aspek. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Hal ini terpakai untuk semua orang tanpa mengira parti. Parti bukan agama. Parti mungkin berperanan dalam menggerakkan satu juzuk dari kehidupan bermasyarakat dalam negara ini.


Orang Pas dan Umno ada yang baik dan takutkan ALLAH. Ada yang cuba sedayanya mengamalkan agama apa yang mereka faham. Ada juga yang tidak pedulikan agama, ataupun mempergunakan agama. Berserban dan bersongkok bukan jaminan kebaikan untuk sentiasa dilakukan.


Bukan semua orang Umno jahat, bukan semua orang Pas baik. Begitu juga sebaliknya. Mereka tidak lahir atas lambang parti. Mereka kebanyakan lahir sebagai orang Muslim. Mereka mengakui Islam sebagai agama mereka.

ALLAH menamakan mereka semua Muslimin, sebelum mereka itu dikaitkan dengan nama parti mereka. Firman ALLAH:
(maksudnya) “dan berjihadlah kamu pada jalan ALLAH dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan dalam agama, agama bapa kamu Ibrahim.


Dia menamakan kamu: ‘Muslimin’ semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi untuk kamu, dan supaya kamu pula menjadi saksi untuk umat manusia. Maka, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada ALLAH! Dia lah Pelindung kamu. maka (ALLAH Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan. (Surah al-Hajj: 78).


Kita bersaudara


Tidak menjadi masalah bersaing dalam politik. Tidak menjadi masalah juga bercita menukar kerajaan atau mengekalkannya. Namun, antara orang Pas dan Umno, di sebalik tembok parti, mereka kena ingat mereka saudara seagama.


Banyak perkara dalam kehidupan ini yang mereka berkongsi perkara yang sama. Mereka percaya pada ALLAH yang sama, Nabi yang sama, al-Quran yang sama dan seterusnya. Banyak perkara pokok dan asas yang mereka sama dibandingkan perkara yang mereka berbeza.


Walaupun pada juzuk politik mereka berbeza, mereka wajib menghormati hak sebagai saudara Muslim dalam kehidupan ini. Perbezaan parti tidak boleh menghalang mereka dalam masa yang sama untuk kasih saudara seagama.


Tidak wajar menghalang mereka untuk duduk berbincang dan berpakat yang perkara yang mereka sama-sama imani. Tidak wajar menghalangi mereka memberi salam dengan jujur dan melahirkan ukhuwwah islamiyyah tanpa dikaitkan dengan soal perbezaan pendekatan politik.


Sesiapa yang bersahabat dengan kedua pihak, akan menemui kebaikan yang wujud di kedua belah pihak. Mungkin kita tidak setuju dengan lambang tertentu, namun dalam kehidupan bukan semua yang disandarkan dengan lambang tertentu itu sentiasa seiras dengan lambangnya.

Sesiapa yang taklid buta dengan menganggap segala yang dibuat oleh partinya benar bererti dia telah memaksumkan partinya. Sesiapa yang mengikut dan bersetuju dengan segala yang baik dan buruk dalam partinya bererti dia bagaikan keldai yang tidak mampu menilai.

Maka, apabila seorang Muslim dari Pas atau Umno menghulurkan tangan kepada saudaranya, janganlah dipentingkan sangat partinya, lihatlah keluasan hidup ini dan hak-hak Muslim atas Muslim yang lain yang tercatat dalam agama ini. Akidah merentasi parti.

Sentiasalah kita ingat firman ALLAH: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: 8)

sumber: sinarharian.com 14/12/12

Sunday, October 28, 2012

JANGAN EKSKLUSIFKAN ISLAM....




Amat memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: "Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua".

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan. Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak.

Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia.

Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira lantar kehidupan dan pendidikan.


Antara cuai dengan memayahkan

Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama.

Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga satu kesalahan. Firman Allah (maksudnya):

Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) nabi yang ummi, yang mereka dapati dia tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)



Firman Allah lagi (maksudnya): Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).


Firman Allah juga (maksudnya): Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa: 28).


Menyusahkan gambaran Islam

Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama. Ini telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati, dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja.

Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati. Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan lamanya.

Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan berbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi SAW yang sahih.

Ini seperti menetapkan berbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu.

Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak untuk menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, atau terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya.

Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak pun menyatakan demikian. Di samping itu, kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang jadi keliru. Umpamanya memperincikan syarat niat yang bukan-bukan.

Sehingga ada buku yang menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur. Pada hal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat.

Maka dengan itu kita katakan "membunuh dengan niat", sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya.

Kononnya, belum masuk niat. Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat?

Demikian juga memperincikan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincangkan.


Ekslusifkan agama

Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian.

Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi SAW lantas menyanggahi logik insan. Hal ini berbeza dengan arahan baginda SAW.

Baginda bersabda: "Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka." (Riwayat al-Bukhari)


Pendekatan Nabi SAW adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini.

Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmun yang berbagai di belakangnya. Baginda bersabda:

"Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam masalah pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi oleh falsafah lama yang kadangkala tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan sahaja.

Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafah-falsafahnya yang memeningkan.

Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadang-kala guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: "Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya."

Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?

Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.

Akidah itu mudah difahami
Akidah Islam adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-Sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit-belit.

Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu memayah-mayah. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk difahami oleh semua lapisan umat.

Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, Badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai.

Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi SAW, para perwakilan yang datang mengambil ajaran Islam dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah....Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunani dan cara Yunani dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka." (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, ms. 92, Beirut: Muassasah al-Risalat)

Sebab itu, barangkali dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan. Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal.

Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-Sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbing jiwa dan akal secara fitrah. Bukan falsafah yang menyusahkan.


Ruang untuk semua

Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan.

Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap. Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan.

Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau syarat-syarat itu akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirkan diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita Muslimah kita, mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat.

Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.

Kehidupan Islam praktikal

Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang saleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain.

Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang saleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya.

Adakah Nabi SAW dan para sahabahnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang saleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riyak dalam amalan?


Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan:

"Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementingkan dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)." (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, ms 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadang-kala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa.

Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam.

Padahal Nabi SAW dan para sahabah tidak demikian rupa kehidupan mereka. Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali RH dengan katanya:

"Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat - sekalipun secara tidak langsung - bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah RA, yang difahami dari al-Quran, al-Sunah dan sirah.

Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmat nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Taala, antara beribadah dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya." (Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, ms 164, Beirut: Muassasah al-Risalah)


Mesti bersifat alternatif

Apabila ada wartawan bertanya saya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab, begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar.

Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara. Sebelum menjawab saya ingin kata: kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat.

Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.


Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal seperti mana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi SAW dan para sahabah baginda.

Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.

sumber : Dr Mohd Asri Zainal Abidin  ( Dr MAZA)

     

Wednesday, October 17, 2012

MEMASARKAN ISLAM KEPADA UMAT MODEN





Sama ada dahulu atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen.

Sikap yang seperti itu dinamakan dengan fanatik atau taksub. Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak yang lain itu telah memberikan hujah dan dalil yang kukuh.

Sesuatu pendapat itu sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta yang diberikan.


Keburukan fanatik

Fanatik ini telah berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu. Ia sehingga membawa kepada permusuhan sesama Islam dek perbezaan pendapat dalam hukum syarak.

Sehingga dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidil Haram, Mekah umat Islam bersolat dengan empat imam dan setiap imam mewakili mazhab masing-masing. Setiap makmum akan memilih imam yang sesuai dengan mazhabnya.

Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Hal ini berterusan, sehinggalah gerakan pembaharuan pemikiran agama berjaya menghapuskan kekarutan tersebut. Bayangkanlah jika hal tersebut berterusan sehingga hari, di kala umat Islam begitu lemah dan berpecah.

Selepas Rasulullah SAW wafat, baginda meninggalkan ramai para sahabah yang merupakan ilmuwan besar bagi umat ini. Namun, tiada seorang di kalangan para sahabah yang agung itu menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain.

Perkara yang seperti itu tidak pernah didakwa oleh khalifah yang empat, atau ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka jauh lebih memahami syariat Rasulullah SAW dari orang selepas mereka.

Malangnya, apabila muncul imam-imam mazhab seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain-lain tokoh lagi, tiba-tiba ada di kalangan pengikut mereka yang taksub mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambilnya dari imam lain.

Ini seperti pengikut fanatik Mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat selain dari Mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik Mazhab Malik yang menghalang membantah Maghribi mengambil pendapat selain dari Mazhab Malik.

Atau pengikut fanatik Mazhab al-Syafie yang membantah orang Malaysia mengambil selain dari Mazhab al-Syafie. Kontradiknya, dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa imam-imam tersebut kesemuanya adalah tokoh-tokoh sarjana ahli Sunnah, tetapi menolak keilmuan mereka hanya kerana faktor daerah atau negara.

Padahal, para imam itu sendiri tidak pernah mengajar demikian dan negara-negara yang wujud ini belum pun terbentuk pada zaman mereka apatah lagi pada Rasul SAW.

Tokoh terkenal, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan berkata:

"Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab.

"Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya.

"Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini! (Dr Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah, ms 147, Beirut: Muassasah al-Risalah)


Menyanggahi norma Ilmu

Dalam dunia akademik tulen, perbuatan seperti itu dianggap menyanggahi norma-norma keilmuan yang menuntut keluasan minda dan penelitian fakta. Alangkah ruginya sikap sedemikian, yang bererti kita telah menghalang perkembangan pengetahuan dan kesarjanaan hanya kerana perbezaan nama tokoh dan daerah yang kita tinggal.

Padahal dalam kehidupan biasa kita berkempen agar mengambil manfaat dari dunia lain. Di Malaysia, kita pernah berkempen "Dasar Pandang ke Timur", sekalipun majoriti Jepun dan Korea bukanlah Muslim.

Kita mengambil ilmu dan menggerakkan negara dari ilmu Barat atau Timur yang membolehkan kita maju ke hadapan, tanpa mengira latar agama.

Tiba-tiba dalam masa yang sama, ada pula yang menyatakan, anda tidak boleh mengambil pendapat al-Imam Ahmad, atau al-Imam Malik atau al-Imam Al-Auza'i atau al-Imam Ibn Hazim al-Andalusi atau Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, atau al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah, atau tokoh moden seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Mustafa al-Zarqa, Ibn Baz, al-Albani, al-Uthaimin atau selain mereka kerana mereka bukan Mazhab al-syafi'i.

Pada hal dunia ilmuwan akur akan kesarjanaan mereka. Bahkan pendapat mereka itu boleh dinilai kualitinya berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan mereka. Jika kita menolak pendapat mereka hanya kerana nama bukan kerana fakta, maka itu sentimen puak atau kejumudan minda bahkan itu adalah pengkhianatan ilmiah juga penghapusan khazanah ilmu.


Dr Yusuf al-Qaradawi dengan jelas dalam masalah ini menyebut:

"Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian.

"Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka.

"Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi.

"Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (penganalisis) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah." (Dr Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum , ms 202, Kaherah: Dar al-Sahwah)


Penilaian semula

Pandangan mazhab sebahagian besarnya adalah ijtihad yang terdedah untuk dinilai oleh pihak yang lain. Maka kita pula berhak untuk mengambil pandangan lain yang pada penilaian kita lebih dekat kepada fakta dan lebih mampu menterjemahkan wajah Islam yang sebenar.

Umpamanya, pendapat dalam mazhab al-Syafie, yang membolehkan bapa berkahwin dengan anak zinanya, barangkali tidak wajar untuk dipertahankan terutama ketika menerangkan Islam kepada dunia. Apakah Islam yang mengharamkan mengahwini seseorang wanita hanya kerana susuan akan menghalalkan anak zina? (lihat: Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian juga jika pendapat awal ulama al-Syafie dikekalkan yang mensyaratkan setiap urusan jual beli mempunyai lafaz, tentu sukar untuk kita di zaman moden ini membeli minuman atau makanan dari mesin-mesin canggih yang ada.

Bahkan di sana banyak perkara yang menuntut seorang Muslim melihat luar dari kerangka mazhabnya terutama tentang hubungan dengan non-Muslim, zakat, wakaf, perkahwinan dan berbagai lagi.

Bahkan pandangan-pandangan agama yang menyusahkan tanpa dalil dari al-Quran dan al-Sunah patutlah dielakkan terutama untuk generasi moden yang mula fobia dengan agama. Apatah lagi kepada yang baru menganut Islam.

Dr Yusuf al-Qaradawi juga pernah menyebut: "Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunah.

"Kedua-duanya tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang Muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuwan sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun.

"Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah seseorang yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah Taala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fikah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu." (Dr Yusuf al-Qaradawi, Kaif Nata'amal Ma' al-Turath, ms 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah).


Taklid mazhab

Tokoh fikah semasa lain yang terkenal Dr Wahbah al-Zuhaili pula menyebut:

"Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafie atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab.

"Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan Rasul-Nya. Allah dan Rasul-Nya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan hanya tokoh tertentu, dan bukan yang lain.

Firman Allah (maksudnya): "Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui." (an-Nahl:43)

Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabiin tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah.

Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh. Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan kukuh di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu.

Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan -seperti yang dijelaskan. Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau perinciannya." (Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar'iyyah, ms 17-19, Beirut: Dar al-Khair).


Luas bermazhab

Sebelum ini saya telah jelaskan, betapa keterikatan atau sempit dengan satu-satu pendapat tanpa melihat kepada dalil dan logik akan menjadikan kita tidak ilmiah, bahkan boleh menyanggahi sifat Islam yang suka kemudahan untuk umatnya.

Umpamanya, ada yang memberitahu saya bimbang makan dari bekas hidangan bukan Muslim, kalau-kalau pernah terkena khinzir dan belum dibasuh tujuh kali serta air tanah.

Saya katakan, pertama; kita tidak patut mengandaikan perkara yang kita tidak nampak. Kedua; pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab.

Sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting hilang kesannya. Tidak ada dalil pun yang menyatakan khindir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk air tanah.

Pendapat ini disokong oleh tokoh besar Mazhab al-Syafie sendiri -walaupun berbeza dengan mazhabnya- iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut dan diterima pakai banyak karyanya di Nusantara ini.

Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi'i (meninggal 780H):

"Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi'i. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah.

"Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak". (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi'i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, ms 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).


Bagi saya pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapal terbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan Muslim.

Namun yang menfatwakan supaya diminum air tanah bagi sesiapa yang telah termakan sosej khinzir beberapa tahun lepas, tidak ada akal yang sejahtera yang dapat menyokong hal itu. Apatah lagi dalil syarak.

"Sepatutnya, kenyataan seperti itu jangan disiarkan dalam media. Hanya memalukan umat Islam. Tiada seorang sahabah pun yang masuk Islam, lalu baginda Nabi SAW memerintah dia meminum air tanah. Bersikap terbukalah kita dengan mendengar dalil orang lain. Islam dengan tafsiran yang sempit sukar untuk dipasarkan kepada umat moden.

sumber: Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Malaysiakini)

  

Friday, July 13, 2012

ADAKAH PERJUANGAN YANG BERSIFAT PERKAUMAN ADA DALAM AGAMA INI?



Apakah Islam dan Nabi  Muhammad s.a.w menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman? Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan ‘jihad perkauman’ yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah?

Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman? Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina. Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut:

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan ALLAH, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. ALLAH menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (ALLAH) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau 'racism' akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa.

3. Tujuan ALLAH menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, ALLAH memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan ALLAH. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAh ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam.

4. Tiada kaum yang boleh menganggap mereka ‘lebih tuan’ dalam erti kata 'racial supremacy'. Adapun hadis Nabi s.a.w: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam pelantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda: “Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab ALLAH, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu.

5. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh ALLAH dan rasul-Nya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman ALLAH: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali ALLAH (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu ALLAH menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan, kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu ALLAH selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya.



Menolong Kaum Dalam Islam

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman ALLAH: (maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan ALLAH dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37).

Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong-menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah, namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji. Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam.


Sumber:
 Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan kini Felo Pusat Pengajian Islam Oxford

Monday, June 4, 2012

DOSA SIAPAKAH ATAS KEJAHILAN MANUSIA





Oleh:
Dr. MAZA

Apabila tulisan saya ‘Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka’ keluar minggu lepas, maka ada pula yang berkata bahawa manusia sepatutnya dapat berfikir sendiri untuk mencari agama yang sebenar. Ada yang bertanya ‘jika ada bukan muslim yang terlepas dari hukuman Allah disebabkan hujah Islam yang tidak sampai kepada mereka, maka siapakah yang bersalah?’.




Idea bahawa manusia tanpa wahyu Allah pun boleh berfikir sendiri untuk memahami agama dengan melihat kepada kebesaran Allah di alam ini adalah idea aliran muktazilah. Namun idea ini tertolak dengan bukti terbesar Allah mengutuskan para rasul dan mewajibkan dakwah serta pengajaran. Jika manusia boleh berfikir tentang agama sebenar sendirian, maka apa perlunya pengutusan para rasul? Apa perlunya diwajibkan dakwah?



Melihat alam ciptaan Tuhan membolehkan manusia menyimpul tentang kewujudan dan kebesaran Tuhan. Namun, manusia tidak mungkin tahu agama yang sebenar melainkan dengan kedatangan hujah wahyu. Jika Nabi s.a.w sendiri tidak tahu tentang agama yang sebenar sebelum ketibaan wahyu, bagaimana mungkin manusia di timur dan barat, di hutan dan padang pasir, yang bodoh dan cerdik, yang terpelajar dan buta huruf, yang kuat dan yang lemah difardukan memahami sendiri agama yang sebenar tanpa kedatangan hujah Islam kepadanya? Kemudian mereka dihukum Tuhan? Mustahil.

Firman Allah: (maksudnya)


“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh dari sisi Kami (Al-Quran) sedangkan engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah itu iman ; akan tetapi Kami jadikannya (Al-Quran) cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki dalam kalangan hamba-hamba Kami. dan sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk ke jalan yang lurus. (al-Shura 52)

Tiga Golongan

Rabu lepas saya hadir ke dinner rasmi mingguan anjuran OCIS di Bandar Oxford ini. Di sebelah tempat duduk saya penasihat hak asasi manusia bagi Commonwealth Secretariat. Namanya Treva D Braun. Beliau berbicara dengan saya beberapa tajuk terutama tentang kebimbangan beliau terhadap perlaksanaan Islam akan menjejaskan hak asasi wanita. Saya berbincang tentang salahfaham beliau mengenai wanita dalam Islam. Beliau berkata bahawa mungkin apa yang saya kata itu satu tafsiran namun apa yang berlaku sebaliknya. Beberapa isu dibangkitkan oleh beliau. Ada yang betul, ada yang hanya disebabkan persepsi beliau. Nilai yang berbeza. Apapun gambaran Islam yang ada mengelirukan beliau, atau mungkin sengaja memilih sikap yang demikian.



Semasa mendengar komentar beliau saya sekali lagi teringatkan soalan ‘siapakah yang bertanggungjawab atas terhalangnya hidayah sampai kepada manusia? Ya, secara umumnya tiga golongan paling bertanggungjawab; pertama, mereka yang menghalang hujah Islam atau ajaran Islam yang sebenar sampai kepada manusia. Kedua, mereka yang memutar belitkan kebenaran sehingga manusia keliru dan terhalang maklumat yang sebenar. Ketiga, mereka yang enggan menyampaikan ajaran yang sebenar.

Penghalang ajaran agama bukan sahaja ada di negara bukan muslim seperti beberapa negara komunis, tetapi juga kadang-kala dalam kalangan umat Islam sendiri. Bukan sedikit para pemerintah dalam dunia Islam yang menghalang ajaran yang sebenar. Bukan setakat hari ini; bahkan sejak zaman Islam di bawah khalifah-khalifah dalam pelbagai dinasti, ramai ulama yang ditahan, diseksa dan dibunuh. Bahkan dalam dunia Islam hari ada yang menggunakan nama ‘penguatkuasaan agama’ untuk menghalang hujah-hujah agama.

Jika di China umpamanya, penyebaran Islam secara terbuka tidak dibenarkan, tapi di Malaysia lebih menarik, artis tiada masalah ketika berdansa di khalayak ramai, tetapi didakwa apabila cuba bertazkirah agama atas alasan tauliah. Jika atas alasan ‘ajaran salah’ boleh difikir dan dinilai. Alasan tauliah semata, tidak jauh dengan alasan negara China. Bahkan berapa ramai mereka yang memiliki PhD dan Master pengajian Islam dari institusi pengajian Islam yang diiktiraf dalam dan luar negara tidak mendapat tauliah di Selangor.

Secara umumnya, apabila manusia benar-benar terhalang sehingga ruang cahaya kebenaran tidak dapat ditembusi, sehingga mereka jahil hakikat kebenaran; samada keseluruhan kebenaran atau sebahagiannya, maka kadar kejahilan manusia itu ditanggung dosanya oleh sesiapa yang menghalang hujah kebenaran untuk sampai kepada manusia.

Ini mengingatkan kita kepada surat Nabi s.a.w kepada Hercules:


“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu.

–kemudian baginda menulis firman Allah- (maksudnya):”Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu; Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam” –Ali ‘Imran: 64. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Disesatkan

Mereka yang menjadi pengikut bawahan terdiri dari dua kelompok; pertama mereka yang benar-benar terhalang cahaya kebenaran. Mereka ini selamat di akhirat Kedua; mereka yang berpeluang mendengar hujah kebenaran tetapi memilih untuk bersama dengan para penentang kebenaran disebabkan kelebihan yang ditawarkan. Mereka tidak selamat. Al-Quran menyebutkan tentang mereka yang menyebabkan orang lain sesat dengan firmanNya: (maksudnya)


“dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu”. (al-Ankabut: 13)


Karya-karya di Barat pada era ini sering mengaitkan isu keganasan dan Islam. Ini hasil dari lobi media massa di Barat.

Media di Barat sentiasa memberikan gambaran yang negatif tentang Islam. Kaitan Islam dengan militant akan dibahaskan secara langsung dan tidak langsung. Orang awam ramai menjadi begitu prejudis dan phobia dengan Islam. Tujuan mereka amat halus dan jahat. Islam menjadi begitu kabur bagi sebahagian besar masyarakat dunia. Niat buruk media-media ini dikukuhkan lagi dengan berita-berita tindakan orang Islam sendiri.

Baru-baru ini di UK ada keluarga muslim yang membunuh anak perempuan mereka yang bercinta atas alasanhonor killing. Islam digambarkan tidak menghormati hak asasi, walaupun banyak yang Barat sendiri langgar. Wanita dianggap tertindas berdasarkan takrifan kebebasan yang Barat gunapakai dan juga realiti yang berlaku seperti fatwa wanita tidak boleh memandu kereta di Arab Saudi dan tindakan sebahagian yang memaksa anak perempuan kahwin, paksaan memakai purdah dan lain-lain.

Wajah Islam yang pelbagai juga begitu mengelirukan. Di UK Alhamdulillah tahun ini hariraya adha serentak. Sebelum ini, setiap aliran berlainan hari. Ada salafi, ada sufi, ada brelewi ada syiah dan entah berapa lagi puak. Ditambah lagi dengan Ismaili dan Gadiani yang juga menggunakan nama Islam. Menu yang mengelirukan, boleh menjadikan orang awam hilang selera hendak makan. Di manakah Islam yang sebenar? Media Barat membakar api atas minyak yang mengalir.



Tanggungjawab Dakwah

Tugasan kita yang sebenar menyampaikan Islam yang berasaskan dalil dan hujah. Apabila kita mengetahui kebenaran, haram kita menyembunyikannya sehingga manusia menjadi keliru dan sesat. Cuma cara sesuatu kebenaran hendak disampaikan, hendaklah dengan hikmah agar menepati sasarannya. Dosa menyembunyikan kebenaran tanpa sebab yang sah sehingga manusia sesat akan ditanggung oleh mereka yang Allah kurniakan ilmu pengetahuan tentang kebenaran. Tanpa perlu menoleh kepada gelaran ulama atau bukan ulama. Setiap kita bertanggungjawab menyampaikan kebenaran dengan kadar yang ada padanya. Sama seperti zakat harta, setiap orang membayar dengan kadar hartanya.

Kita perlu jelaskan Islam yang bersumberkan nas yang sahih dan hujah yang munasabah yang sesuai berdasarkan waktu dan tempat. Sesiapa yang menyembunyikan ilmu tentang kebenaran ini sehingga tidak tertegaknya hujah yang teguh untuk manusia memahami kebenaran maka dia akan dihukum oleh Allah. Sudah pasti ulama yang menyembunyi al-haq akan lebih dahsyat dilaknat Tuhan dibandingkan orang lain. Firman Allah : (maksudnya):


“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab (yang diturunkan), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).



SUMBER: Minda Tajdid Dr MAZA

Friday, April 13, 2012

UMAT KEHILANGAN JENAMA

 

Sering kali apabila bersolat di Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi SAW, perasaan saya tersentuh, penuh rasa kagum kepada umat ini.

Apa tidak, ratusan ribu, bahkan jutaan manusia datang dari pelbagai negara dan bangsa, latar pendidikan dan budaya yang berbeza, tidak mengenali antara satu sama lain namun tetap mampu untuk membentuk saf-saf solat yang penuh teratur.

Tidak pernah sama sekali sebelum itu mereka melakukan apa-apa raptai membentuk saf untuk jumlah yang demikian besar, melainkan amalan solat berjemaah di negara masing-masing.

Namun, apabila sahaja iqamat dilaungkan, jutaan manusia pelbagai bangsa, pelbagai latar budaya, pelbagai gaya, pelbagai negara bangun berdiri mengambil tempat dalam saf-saf solat dengan penuh disiplin.

Tiada siapa berhak bertanya apakah awak layak berada di sebelah saya ataupun tidak? Tiada siapa berhak menghalau orang lain keluar dari safnya tanpa sebab yang diizinkan syarak.

Tiada saf khas untuk golongan bangsawan yang mengharamkan golongan bawahan berada sebaris dengan mereka. Betapa agama ini telah menghimpunkan dan mendisiplinkan manusia.

Demikianlah ibadah-ibadah lain dalam Islam ini. Haji, perlambangan kesetaraan manusia. Tiada hak sesiapa menghalang orang lain bertawaf kerana orang bangsawan ingin bertawaf. Tiada siapa yang berbeza dalam beribadah kepada Allah.

Tiada raja ataupun sultan yang boleh menyeru Allah dengan kesombongan diri atau bahasa yang berbeza kerana dia raja atau presiden ataupun sultan. Maha Suci Allah dari membezakan hamba-hamba-Nya disebabkan kedudukan dunia mereka.

Bahkan, Allah menerima mana-mana doa yang penuh kerendahan jiwa dan menolak doa yang dilafazkan dengan kesombongan diri.

Demikian puasa, zakat dan pelbagai ibadah lain dalam Islam jika dihayati banyak nilai-nilai mulia dalam kehidupan individu dan masyarakat Muslim dapat dibina.

ab taharah ataupun kebersihan dan penyucian diri, pakaian dan tempat ibadah mempunyai banyak nilai yang Islam didik penganutnya.

Manakah kesannya?

Namun, malang sekali negara-negara Muslim itu kebanyakannya kotor. Ambil sahaja Kaherah yang orang Islam bangga kerana adanya Universiti al-Azhar. Ia dianggap sebagai kota ilmu oleh sesetengah pihak.

Namun, Kaherah juga merupakan kota sampah-sarap. Kekotoran seakan menjadi budaya. Tiada disiplin dalam hidup bermasyarakat. Rasuah dan salah guna kedudukan bermula dari tukang sapu sampah sehingga ke presiden negara.

Jalan raya tiada peraturan. Bunyi hon kereta rukun wajib dalam memandu. Sehingga saya pernah bergurau:

"Orang Mesir boleh pandu kereta tanpa tayar tetap tidak boleh pandu kereta tanpa hon."

Asap dan bau busuk adalah aroma kehidupan mereka. Di manakah perginya golongan agama dan ilmuwan kota itu? Di mana perginya segala perbahasan ilmu yang laung-laungkan itu? Apakah pula disiplin dan nilai baik yang manusia dapat kutip dari mereka?

Dua minggu lepas saya berada di Irbid, Jordan. Bandar yang mengelilingi Universiti Yarmouk. Malang sekali, sampah sarap bagaikan bunga-bunga yang menghiasi bandar itu. Menyedihkan.




 
Saya bukan ingin memuji Oxford berlebihan kerana saya berada di sini sekarang. Namun ini suatu realiti. Bandar ilmu ini bersih. Sukar sama sekali mendengar hon kenderaan. Juga tiada pencemaran asap bas ataupun kenderaan biasa.

Orang tahu menggunakan tong sampah, bahkan tahu membezakan jenis sampah. Gereja memang banyak di bandar ini, namun ia tidak semakmur masjid-masjid di tempat kita.

Bahkan kebanyakan mereka tidak percayakan agama, sekalipun mereka percaya wujudnya Tuhan. Saya percaya nilai-nilai baik itu tiada kaitan dengan agama, tetapi kejayaan pendidikan yang mantap dan berkesan.

Sehingga nilai-nilai baik menjadi budaya. Sementara kita, golongan agama ramai yang sibuk dengan teori itu dan ini, ataupun sibuk mengisi dan menggemukkan poket masing-masing melebihi usaha mendidik dan membentuk umat yang berkualiti.

Sibuk menghukum orang lain sehingga terlupa mengemaskan diri, rumah dan negara sendiri.

Umat contoh
Kita membaca firman Allah (maksudnya):

"Demikian Kami jadikan kamu umat yang wasat supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan al-Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu." (Surah al-Baqarah: 143).

Perkataan ‘wasata' jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud pertengahan (moderation). Ayat ini dibahaskan oleh para mufasirin dengan pelbagai tafsiran yang kesemua memberi makna umat Islam ini dijadikan Allah sebagai umat yang adil, mulia dan contoh kepada umat lain.

Al-Syinqiti dalam Adwa al-Bayan mentafsirkan sebagai umat pilihan dan adil. Demikian juga Ibn ‘Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir memberikan tafsiran yang hampir sama.

Dalam edisi English Taisirur Rahman ditafsirkan: "Anation which profoundly great and most superior".

Persoalannya, di manakah ini semua pada hari ini. Ya, umat ini telah membuat sejarah pada masa lalu, tetapi apakah realiti hari ini?

Kita mengutuk ataupun mengkritik Barat tetapi kita jangan lupa bahawa banyak nilai yang baik Barat telah bina untuk kehidupan mereka. Di samping perkara-perkara yang kita tidak setuju tentang mereka, mereka mempunyai banyak perkara positif yang kita gagal dalam kehidupan kita.

Ambil sahaja soal hak rakyat dalam mempersoalkan sesiapa yang menyalahgunakan harta awam dan wang pembayar cukai, mereka miliki hak itu.

Surat khabar dan media mereka berhak mempertikaikan baju, cuti dan segala perbelanjaan yang digunakan oleh HM Queen dan istananya. Tiada sebarang hukuman kerana itu. Belanja Queen dan istana dibentangkan kepada rakyat jelata.

Mereka berhak mempersoalkannya. Jadilah mereka bangsa yang bermaruah dalam soal tersebut. Kita tahu pada tahun ini kerajaan British menolak untuk HM Queen Elizabeth membeli kapal persiaran.

Padahal Queen telah 60 tahun berkhidmat. Jurucakap PM David Cameron, Steve Field menyebut:

"I don't think anyone is suggesting public money should be used for this. There is a difficult economic situation, there are scarce public resources, therefore we don't think it would be an appropriate use of public money".
Inilah sikap rakyat yang merdeka dari menjadi hamba penguasa. Malang sekali di dunia Muslim; presiden, sultan dan raja boleh menggunakan harta awam tanpa dipersoalkan. Lebih buruk lagi, rakyat yang mempersoalkan itu pula yang dianggap bersalah dan derhaka, sedangkan si penguasa dan raja yang menggunakan harta negara dan awam disanjung mulia.

Harta dan belanja mereka tidak dibentangkan kepada awam. Istana, kereta, komisen projek itu dan ini didiamkan sahaja. Inilah dunia Muslim. Laung Allahu Akbar (Allah Maha Besar) hanya di corong pembesar suara, tapi dalam kehidupan rakyat, penguasa juga yang maha besar.

Inilah rakyat yang diperhambakan dan tidak merdeka. Bagaimana mungkin rakyat yang seperti ini menjadi umat contoh kepada agama lain? Ini bukanlah ciri wasatiah yang dimaksudkan oleh al-Quran. Sama sekali tidak!

Sebab itu, walaupun ‘Arab Spring' mempunyai kesan negatifnya, tetapi positifnya lebih banyak. Sekurang-kurang umat Islam tidak dilihat menjadi hamba golongan rejim dan pemerintah yang zalim lagi korupsi, yang memeras harta dan darah, sedangkan umat ini berdiam saja.

Ini mesti dihentikan! Sekurang-kurang dibuktikan pada dunia, umat ini masih hidup!
Saya teringat kisah Khalifah Umar bin al-Khattab yang disebut oleh Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam I'lam al-Muwaqi'in bagaimana satu hari beliau bangun berucap di hadapan rakyatnya sambil berkata:

"Hendaklah kamu dengar dan taat!"

Tiba-tiba sahabat Nabi SAW yang lain, iaitu Salman al-Farisi bangun dan berkata: "Kami tidak mahu dengar".

Umar pun bertanya: "Mengapa wahai Salman?"

Jawab Salman: "Engkau membahagikan kepada rakyat pakaian seorang sehelai, sedangkan engkau mengambil sebanyak dua helai."

Jawab Umar: "Sabar wahai Salman!

Lalu Umar berkata kepada anaknya: "Wahai Abdullah (bin ‘Umar), beritahulah dia bahawa pakaian yang aku pakai ini adalah bahagian engkau yang engkau berikan kepadaku."

Jawab Abdullah bin ‘Umar: "Ya, demi Allah".

Jawab Salman: "Kalau begitu, silakan, kami mendengar (taat)".
Kita perlu mengembalikan jenama kita yang tinggi nilai di mata manusia. Kita umat yang 'berjenama' pada suatu masa dahulu. Tiada siapa yang wajar membiarkan kemunduran ini.

Hanya golongan pengampu ataupun literalis sahaja yang cuba menjustifikasikan kemunduran kita yang gagal menjadi umat contoh. Islam terhijab dalam banyak keadaan disebabkan realiti yang kita alami ini.

Kita mesti berubah. Rakyat dan pemerintah mesti bergerak ke arah perubahan. Kembalikan jenama kita. Kita umat yang branded. Kita umatan wasatan.

sumber: Dr Muhd Asri Zainul Abidin
              Malaysiakini