Ajaran sesat muncul dalam masyarakat Islam hasil daripada perancangan rapi yang ditaja oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam dan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam menerusi perbezaan dan percanggahan fahaman.
Di negara kita, ajaran sesat memang telah dikesan sejak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau yang bertopeng di sebalik nama tarikat-tarikat Sufiah yang dikenali di kalangan masyarakat negara ini. Ajaran tersebut lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikut-pengikutnya. Guru itu sendiri adakalanya menggunakan ilmu batiniah untuk meyakinkan pengikut-pengikutnya seperti menunjuk kekebalannya, mengeluarkan air dari jari, boleh merawat penyakit ganjil dan sebagainya.

