Tuesday, August 27, 2013

JIHAD EKONOMI




Sesungguhnya mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada Jalan Allah dengan harta dan jiwa adalah golongan yang memperolehi kejayaan yang terbesar ~ sekaligus menegaskan kayu ukur sesuatu kejayaan.

Ramai yang telah merasakan berjaya ; namun sesungguhnya mereka tidak berjaya. Mereka tertipu dengan nilai-nilai yang salah. Kerana itu para mussafirin menyimpulkan bahawa ayat-ayat ini menunjukkan betapa jihad dan iman lebih utama di sisi Allah berbanding dengan amal-amal kebajikan lain kerana ia mengorbankan harta dan jiwa demi mendaulatkan ajaran al-Quran.


Seterusnya, ada di antara umat Islam telah sekian lama berjuang di jalan jihad yang pelbagai seperti jihad ilmu, jihad harta benda dan jihad jiwa raga. Walaupun demikian prioritinya mungkin berubah-ubah dari waktu ke waktu.

Dalam konteks Malaysia sekarang, yang dikendaki barangkali bukannya jihad secara bersenjata. Jihad yang lebih utama mungkin jihad yang lain seperti jihad ekonomi, jihad harta benda demi perjuangan agama.

Di dalam sirah Rasulullah S.A.W pun, selain daripada mempertaruhkan jiwa raga, umat Islam turut berhabis-habisan dengan harta benda. Dan itu dilakukan sesudah membuat pilihan yang tepat bahawa mereka mengutamakan iman dan jihad berbanding dengan kenikmatan dan keseronokan. Jadi bila tiba saatnya mereka dipanggil untuk berkorban, mereka tidak lagi keberatan.

Ada di antara para sahabat Rasulullah S.A.W. yang berjuang di jalan ALLAH itu yang mempersenjatai dan membiayai diri sendiri ~ suatu bentuk jihad dengan harta benda. Disamping membiayai diri sendiri, para sahabat Radiallahu 'anhum, turut membiayai rakan-rakan lain yang berjuang dan yang terdesak.

Kini, barangkali umat Islam sudah sampai di suatu saat dan keadaan dimana para pejuangnya perlu membiayai diri sendiri dan rakan-rakan. Tetapi perakuan ini hanya akan berlaku setelah umat Islam terlebih dahulu membuat keputusan sama ada untuk beriman dan berjihad di jalan Allah ~ memperjuangkan amar ma'ruf nahi mungkar. Jadi, jika tiba saatnya untuk menyahut panggilan perjuangan, maka tiada alasan lagi untuk para pejuang mengelak diri.

Barangkali sesuai dirakamkan kisah Abu Talhah r.a ketika membaca surah at-Tawbah, ayat ke-41, yang mafhumnya:
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah) (baik kamu mempunyai persediaan) dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan dengan berbagai- bagai tanggungjawab), dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu adalah paling baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya. "

Ketika itu Abu Talhah sudah sangat tua. Namun beliau masih terasa terpanggil untuk berjihad di medan perang. Bagi beliau ayat ini tidak mengecualikan sesiapa untuk pergi berjuang. Lalu disuruh anak-anaknya melakukan persediaan untuk beliau berangkat ke medan perang. Anak-anaknya terkejut lantas berkata, …semoga Allah mengasihani ayahanda yang dahulunya pernah berjuang bersama Rasulullah di sepanjang hayat Rasulullah sehingga Rasulullah wafat.

Kemudian dia sambung ikut berjuang bersama Abu Bakar sehingga Abu Bakar  wafat. Dia sambung lagi berjuang bersama Umar Al-Kattab sehinggalah Umar wafat. Cukuplah, ayahanda! Kamilah yang seharusnya berjuang bagi pihak ayah.

Namun Abu Talhah tetap turut serta di dalam ekspedisi perang. Sayangnya, beliau meninggal dalam kapal perang setelah belayar. Di sepanjang perjalanan itu, angkatan perang tersebut tidak menjumpai pulau. Jadi jenazah beliau dikebumikan sembilan hari kemudiannya setelah menemui pulau. Namun selama 9 hari itu, mayatnya tidak mereput, bahkan tidak berubah sama sekali. Semangat jihadnya utuh dan kukuh sehingga maut menjemput ke alam barzakh!.

Masalah umat Islam sekarang ini bukan lagi masalah penjajahan bentuk lama tetapi penjajahan bentuk baru seperti penjajahan ekonomi. Malah dikatakan di dalam abad ke-21 ini, perangnya adalah perang ekonomi. Dan dunia sekarang sememangnya sedang berperang. Umpamanya proses globalisasi - suatu proses yang banyak menjerumus negara-negara Islam kecil ke dalam perjuangan pergantungan.

Dalam proses globalisasi ini, umat Islam tidak di layani sebagai peserta tetapi lebih dijadikan mangsa. Kita diletakkan di dalam suatu keadaan dimana kita terpaksa berhutang, segala-galanya termasuk dasar-dasar negara akan ditentukan oleh mereka yang memberi hutang. Disini terbuktilah benarnya doa yang sering dibaca untuk berlindung kepada Allah S.W.T. dari bebanan hutang yang di luar kemampuan dan akhirnya dikuasai. Orang yang berhutang itu, siangnya merasa hina dan malamnya tidak tidur lena.

Sumber ; kbi.com

No comments:

Post a Comment