DETIK DAILY |
Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dirasakan tokoh akademik dan pengamat politik Timur Tengah yang paling layak memberikan pandangan terhadap krisis di Mesir. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan ARIF ATAN menemubual Dr Redzuan di kediamannya, Sungai Ramal, Kajang, pertengahan Julai lalu.
HARAKAH: Presiden pertama Mesir yang dipilih rakyat dalam satu pilihan raya yang diakui adil dan bebas telah digulingkan hanya selepas setahun berkuasa. Ada pihak melihat dalang di sebaliknya adalah pihak Barat, terutamanya Amerika Syarikat. Sebagai tokoh akademik yang lama mengikuti politik Mesir, termasuk gerakan Ikhwanul Muslimin, tentu Prof lebih arif tentang apa sebenarnya yang berlaku?
REDZUAN: Barat sebenarnya sudah lama merancang untuk bertindak dan menindas gerakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928. Kejayaan Ikhwanul Muslimin mengambil alih kuasa selepas ditindas lebih enam puluh tahun menimbulkan kegusaran, termasuklah juga rejim monarki di negara Arab yang turut merasakan kedudukan mereka akan tergugat jika gerakan Islam ini berjaya mengemukakan alternatif kepada pelbagai kemelut yang dihadapi oleh umat Arab.
Untuk memahami apa yang berlaku di Mesir, kita harus meneliti sejarah yang pernah berlaku sebelum ini. Sejarah penindasan ke atas Ikhwanul Muslimin pada 1948-1954 seolah-olah berulang dengan menggunakan skrip sama. Contohnya, pada 13 Julai lalu, berita menyiarkan bahawa Morsi akan disiasat kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan yang memcetuskan keganasan. Pendukung Ikhwanul Muslimin yang dibunuh dan dianinya, tetapi mereka pula yang dituduh.
Nasib yang sama pernah menimpa Ustaz Abdul Qadir Audah, pemimpin Ikhwanul Muslimin yang tersohor yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1954 kerana dituduh mencetuskan keganasan dan terlibat dalam komplot cubaan bunuh ke atas Gamal Abd al-Nasser. Bersama-sama beliau yang turut menjalani hukuman gantung, termasuklah Abd al-Fattah Ismail, Muhammad Al-Faghali, Yusof Talaat, Ibrahim al-Tayyeb dan lain-lain.
Pada 1966 Sayyid Qutb dijatuhi hukuman gantung. Bukti yang digunakan dan digembar-gemburkan ialah Ikhwanul Muslimin terlibat dalam kegiatan bersenjata dan pelbagai jenis senjata ditemui di pejabat gerakan tersebut. Ini juga perkara yang dihebohkan oleh tentera Mesir dengan mengatakan bahawa senjata ditemui di ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di Moqattam dan penemuan tersebut adalah bagi mengesahkan gerakan ini menaja keganasan dan wajar ditindas.
Tuduhan yang dikenakan ke atas Ikhwanul Muslimin juga hampir sama seperti enam dekad lalu. Bagi mendapat sokongan rakyat tindakan General Abd al-Fattah al-Sisi sama seperti Gamal Abd al-Nasser pada 1954, iaitu mengembleng rakyat menyatakan sokongan kepada beliau melalui Hubbat al-Ahrar (Liberation Rally).
Atas nama sokong kepada regimnya rakyat berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Nasser dan mengutuk Ikhwanul Muslimin. Ini yang dilakukan oleh tentera pada hari ini dengan menaja demonstrasi rakyat bagi menyokong regim dan menolak Ikhwanul Muslimin yang dikatakan antinasional.
Sama seperti kira-kira 60 tahun lalu, tentera tidak ada belas kasihan dan bertindak sewenang-wenang ke atas pendukung Ikhwanul Muslimin termasuk melakukan penindasan kejam. Ternyata penindasan tanpa belas kasihan ini memberi impak yang amat besar kepada Ikhwanul Muslimin.
Tahun 1948-1954 merupakan tahun penuh cabaran kepada Ikhwanul Muslimin. Pada Februari 1949, pengasas dan pemimpinnya, Hasan al-Banna mati ditembak. Sejak itu Ikhwanul Muslimin terus ditindas dan seterusnya diharamkan pada 1954 hinggalah selepas Husni Mubarak diturunkan dari jawatan presiden berikutan berlakunya Kebangkitan Arab pada 2011. Ini bermakna Ikhwanul Muslimin telah diharamkan selama 67 tahun dan ribuan anggotanya pernah dipenjarakan dan puluhan yang lain mati di tali gantung.
Dari segi sejarah, tentera menindas Ikhwanul Muslimin selama hampir enam dekad. Tentera memandang Ikhwanul Muslimin dengan penuh curiga. Dengan menggunakan kekuatan senjata dan kuasa yang dimiliki tentera tidak pernah menunjukkan belas kasihan kepada Ikhwanul Muslimin. Melihat rekod lalu tiada perkara yang boleh menghalang mereka untuk terus berusaha menindas Ikhwanul Muslimin.
Maknanya, apa yang berlaku hari ini mengulangi penindasan kejam terhadap Ikhwanul Muslimin 60 tahun lalu. Apakah mungkin ia mengakibatkan Ikhwan sukar untuk bangkit semula?
Tentera cuba mengulangi pendekatan yang pernah mereka lakukan lebih 60 tahun lalu. Namun begitu, suasana sudah berubah. General Abd al-Fattah al-Sisi tidak sehebat Nasser dan kemajuan dalam teknologi maklumat menjadikan penipuan dan propaganda yang mengelirukan rakyat tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
Natijah kepada konflik Ikhwanul Muslimin dan tentera banyak bergantung sejauh mana gerakan Islam ini mampu bertahan. Rekod yang dimiliki Ikhwanul Muslimin menunjukkan gerakan tersebut mempunyai daya tahan yang luar biasa.
Walaupun enam dekad ditindas dengan para pemimpin utamanya ramai mati dibunuh dan penindasan dilakukan secara berterusan, namun Ikhwanul Muslimin masih bersisa dan mampu bangkit. Inilah yang berlaku pada 2011, walaupun ditindas rejim Mubarak, namun mampu muncul sebagai organisasi yang paling tersusun dan memberikan alternatif kepada rakyat.
Walaupun tentera dan kumpulan anti-Ikhwanul akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan pengaruhnya, tetapi suasana 2013 tidak sama seperti 1954. Hari ini Ikhwanul Muslimin mampu membawa jutaan penyokongnya di jalan raya dari seluruh 27 Muhafazah (wilayah) di Mesir.
Namun begitu, situasinya masih sama, iaitu bagi kumpulan anti-Ikhwan yang terdiri daripada penyokong sosialis, nasionalis, liberalis, sekularis dan kelompok tariqat tertentu mereka sanggup mengetepikan perbezaan dan permusuhan sesama mereka semata-mata bagi menentang gerakan Islam ini.
Mengimbau sejarah lalu, Ikhwanul Muslimin yang dizalimi seperti tidak mendapat simpati atau sokongan daripada masyarakat antarabangsa termasuk kalangan kumpulan Islam sendiri. Mengapa terjadi begitu?
Ketika Gamal Abd al-Nasser menjadi Presiden Mesir beliau berjaya menggerakkan jentera propagandanya sehingga menggelap dan menggerhanakan peranan Ikhwanul Muslimin. Pengaruh beliau cukup hebat hingga pelajar Malaysia yang belajar di Universiti al-Azhar, Mesir pada waktu itupun tidak tahu tentang peranan dan sumbangan Ikhwanul dalam memperjuangkan Islam yang syumul.
Nasser yang tampil dengan imej Islam digambarkan sebagai tokoh pemimpin Islam dan tidak hairanlah apabila beliau mati, terdapat madrasah dan kelompok umat Islam di Malaysia menganjurkan solat ghaib sebagai tanpa kasih kepada "pemimpin Islam yang banyak berjasa".
Sentimen anti-Israel yang dilaungkan Nasser menjadikan beliau dikagumi sehingga umat Islam di Malaysia, termasuk mereka yang pernah belajar di Mesir tidak menyedari kezaliman dan penindasannya ke atas Ikhwanul Muslimin. Ini termasuklah apabila Sayyid Qutb dihukum gantung pada 1966, protes hanya disuarakan sekelompok kecil pelajar Malaysia yang belajar di Barat.
Menariknya, kebangkitan Islam di Malaysia pada awal 1970-an bukan digerakkan lulusan Mesir, sebaliknya oleh mereka yang terpengaruh dengan perjuangan dan pemikiran Ikhwanul Muslimin dalam kalangan pelajar dari universiti tempatan dan mereka yang belajar di Barat.
Pengaruh Ikhwanul Muslimin yang disebarkan melalui buku-buku tokoh-tokoh Ikhwanul yang tersohor seperti Hasan al-Banna, Abd al-Kader Audah, Sayyid Qutb dan lain-lain. Buku-buku ini pula bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa Inggeris seperti buku Maalim Fit Tariq oleh Sayyid Qutb yang lebih dahulu dibaca dengan judul Milestones.
Merujuk kebangkitan rakyat Mesir tiga tahun lalu untuk menumbangkan regim Hosni Mubarak, ada pendapat mengatakan pada peringkat awal Ikhwanul seperti menjauhkan diri dan tidak terlibat. Boleh prof jelaskan keadaan sebenarnya?
Perkara ini sering dijadikan ungkitan penggerak gerakan 25 Januari yang memaksa Husni Mubarak meletakkan jawatan. Mereka mengatakan Ikhwanul Muslimin menanguk di air keruh dengan mengambil kesempatan daripada kebangkitan.
Memang ada kebenarannya kerana ketika rakyat mula turun ke jalan raya, pada peringkat awalnya Ikhwanul Muslimin mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Pada awal Februari 2011 barulah Ikhwanul Muslimin turut mengerahkan pengikutnya ikut serta dalam protes yang dilakukan.
Pendekatan Ikhwanul Muslimin yang terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati mudah difahami kerana gerakan ini sudah terlalu lama berusaha mengerakkan kebangkitan tetapi gagal mendapat sambutan meluas. Sebaliknya, kebangkitan yang mereka anjurkan berakhir dengan tragedi apabila ada ahlinya yang dihukum berat, dipenjarakan dan harta disita.
Hal yang sama pernah berlaku pada 1952 apabila berlaku kebangkitan rakyat menentang Raja Farouk dan British, Ikhwanul Muslimin tidak berada berada di barisan hadapan dan tidak terlibat secara langsung. Apabila Gamal Abd al-Nasser melancarkan revolusi dan berjaya menggulingkan Raja Farouk, Ikhwanul Muslimin dianggap tidak berperanan memainkan peranan sebenar.
Dengan pelbagai pengalaman itu, sebagai usaha mempelbagaikan pendekatan Ikhwanul Muslimin pernah terlibat secara langsung dalam pilihan raya Mesir. Ikhwanul Muslimin sudah terlibat dengan pilihan raya sejak 1984 lagi, walaupun bukan sebagai sebuah parti yang bertanding menggunakan nama gerakan tersebut. Ia pernah bergabung dengan parti Buruh, Parti Wafd dan bertanding secara bebas.
Kejayaan terbesar Ikhwanul ialah apabila berjaya meraih hampir 25 peratus undi dalam pilihan raya Mesir tahun 2007. Namun begitu, kejayaan besar ini bukan memberikan manfaat kepada Ikhwanul Muslimin, sebaliknya gerakan Islam ini semakin ditindas. Penindasan yang berterusan ini mendorong lahirnya dua kelompok kepimpinan dalam Ikhwanul Muslimin.
Kumpulan konservatif merasakan Ikhwanul Muslimin perlu kembali fungsinya yang asal iaitu menumpukan kepada dakwah dan tarbiyyah dan tidak terlibat dalam politik bagi memastikan survival gerakan yang tidak putus-putus ditindas. Kumpulan reformis pula mencadangkan Ikhwanul Muslimin perlu melakukan trasformasi dan mengikut contoh AKP di Turki bagi membolehkan perubahan dilakukan di Mesir.
Dalam muktamar Ikhwanul Muslimin pada 2010, kumpulan konservatif yang diketuai Badaei berjaya menguasai kelompok kepimpinan gerakan Islam itu dengan mengetepikan kumpulan reformis yang diketuai Essam al-Erian.
Bagaimana pula dengan pembabitan Ikhwanul dalam proses pemilihan ahli-ahli Parlimen dan jawatan Presiden Mesir?
Sebagai kumpulan yang dianggap paling tersusun, Ikhwanul Muslimin ternyata lebih bersedia menghadapi pilihan raya dan berjaya memperoleh kemenangan dalam pilihan raya tahun 2012. Setelah berjaya mendapat kemenangan yang amat memberansangkan dalam pilihan raya parlimen, Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk bertanding merebut jawatan presiden.
Pada peringkat awal Ikhwanul Muslimin secara tegas menyatakan mereka tidak berminat dengan jawatan itu. Apabila seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, iaitu Moneim Abd al-Futuh menyatakan beliau berhasrat bertanding jawatan presiden, beliau dipecat kerana mengingkari keputusan syura.
Apabila Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk merebut jawatan presiden, calon mereka ialah Khayrat Shater. Namun begitu, kelayakan beliau untuk bertanding dibatalkan kerana pernah ditahan di bawah pemerintahan Husni Mubarak. Sebagai gantian Muhammad Morsi dipilih sebagai calon. Hal yang sama juga berlaku kepada calon Parti Nour, iaitu, Hazem Abu Ismail yang tidak layak bertanding.
Akhirnya Morsi yang bertanding menentang mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, iaitu Ahmad Syafiq. Morsi menang dengan 51 peratus undi, walaupun peratus yang keluar mengundi sekitar 32 peratus sahaja. Morsi merupakan Presiden Mesir yang dilantik secara demokratik.
Soalnya, walaupun bertanding menentang Syafiq, yang dikira mewarisi Husni Mubarak, tetapi Morsi hanya mendapat sekitar 52 peratus, tidakkah itu boleh dianggap sokongan yang berbelah-bagi?
Walaupun Morsi hanya mendapat 52 peratus undi, namun sebagai pilihan raya yang diiktiraf adil, telus dan bebas, beliau dikira mendapat sokongan majoriti. Jumlah yang keluar mengundi sebanyak 32 peratus juga tidak boleh dijadikan alasan bahawa beliau tidak mendapat legitimasi kerana Husni Mubarak menang pilihan raya dan dilantik sebagai presiden dengan kadar keluar mengundi sekitar 10 peratus sahaja.
Disebabkan rakyat tidak yakin dengan pilihan raya, kerana sudah pasti Husni Mubarak akan menang besar menyebabkan rakyat tidak ambil kisah untuk keluar mengundi. Lagipun di Mesir pilihan raya mengambil masa yang panjang. Pilihan raya Mesir yang melibatkan 27 wilayah mengambil masa selama tiga bulan untuk selesai. Pengundian pula dibahagikan kepada tiga peringkat dengan setiap peringkat melibatkan sembilan wilayah.
Pilihan raya Mesir selepas kejatuhan Mubarak dianggap telus, adil dan bebas kerana dipantau hakim. Parti-parti yang bertanding menggunakan pelbagai pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Sebagai pertubuhan yang mempunyai jentera di seluruh negara Ikhwanul Muslimin berjaya menggerakkan penyokongnya untuk ke peti undi dan menyokong partinya.
Selain Parti Nour, hanya Parti al-Karamah yang dipimpin Hamden Sabahi yang mampu memberi saingan. Beliau seorang yang berfahaman sosialis dan pengikut Nasser yang setia. Beliau menggunakan bas dua tingkat sebagai pendekatan kempen untuk membolehnya menjelajah ke seluruh negara. Pendekatannya ternyata berkesan apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam pemilihan jawatan presiden. Hamden Sabbahi merupakan salah seorang pemimpin Tamarrod yang bersekongkol dengan tentera dan kumpulam sekular dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Morsi.
Sejarah Ikhwanul menunjukkan ia turut berpecah membabitkan kepemimpinan tertinggi setiap kali berlaku peristiwa besar dalam politik Mesir. Apakah kali ini juga berlaku hal sama?
Ikhwanul gagal menyatukan perpecahan apabila ada pemimpin pertubuhan itu bertindak keluar kerana perbezaan dari segi pendekatan. Dakwaan cubaan Morsi untuk "mengIkhwanulkan" Mesir pula tidak lebih propaganda yang sengaja ditiupkan. Morsi cuba untuk buat yang terbaik tetapi malangnya dia mewarisi suatu sistem yang sesiapa pun tidak boleh pegang. Tumbangnya Morsi minggu lepas, Qatar dan Arab Saudi beri USD12 bilion masuk ke Mesir sebagai bantuan 'soft loan'. Raja Abdullah ucap tahniah kepada tentera.
Morsi juga mendapat krikan keras daripada sebahagian aktivis Ikhwanul?
Terdapat dalam kalangan golongan Islamis yang menuduh Morsi terlalu berlembut dan bersikap liberal kerana tidak tegas laksanakan undang-undang syariah. Pihak sekular pula menolak Morsi kerana dikatakan cuba mengikwankan Mesir. Pemerintahan Morsi depan serangan pelbagai penjuru dan keadaan ini dipersulitkan lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin parah sehingga menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
Politik Mesir tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh dan pembabitan proaktif pihak tentera...
Tentera Mesir bukan sahaja terlibat dalam menjaga keselamatan. Mereka juga terlibat dalam pentadbiran dan menguasai ekonomi. Apabila tentera tidak menyokong Mubarak beliau terpaksa meletak jawatan. Morsi juga dijatuhkan oleh tentera. Ini bermakna selepas ini sesiapa sahaja boleh tumbangkan oleh tentera. Tentera Mesir merupakan golongan elit dan kenaikan Mursi dilihat berisiko menggugat dominasi mereka.
Permusuhan Ikhwanul Muslimin dan tentera telah berakar umbi berdekad-dekad lamanya. Dengan sebab itu apabila apabila Amerika Syarikat menyeru kepada pendemokrasian di Mesir, jawapan Husni Mubarak ialah, “Kalau saya (Mubarak) jatuh, Ikhwanul akan berkuasa”. Bila Ikhwanul Muslimin berkuasa Amerika Syarikat amat khuatir dengan perkembangan ini.
Selain berdepan Mubarak dan AS, Ikhwanul Muslimin juga bertembung dengan kumpulan lain. Mereka termasuklah kumpulan Salafi yang dibiayai Arab Saudi yang berfahaman Wahabi. Ketika zaman Mubarak, beliau menggalakkan kumpulan Tarikat yang tidak menyokong gerakan Islam. Ini merupakan pendekatan halus bagi melemahkan Ikhwanul Muslimin. Walaupun golongan sekular juga berpecah kepada pelbagai kumpulan tetapi mereka bersatu menentang Ikhwanul Muslimin.
Boleh Prof jelaskan kedudukan dan pengaruh pertubuhan dan parti-parti politik Islam di Mesir?
Ketika mula berlakunya kebangkitan rakyat Mesir kumpulan Nour mengeluarkan fatwa haram hukumnya menentang Mubarak. Namun begitu, apabila Mubarak jatuh kumpulan ini menyokong kebangkitan rakyat. Dalam konteks politik Mesir, kumpulan Nour merupakan kumpulan Islam yang kedua berpengaruh selepas Ikhwanul Muslimin.
Morsi dilihat terlalu berbaik sangka dengan pihak tentera, yang akhirnya menikam balik dirinya.
Morsi tidak mempunyai banyak pilihan. Dalam pentadbiran Morsi mengambil pendekatan terbuka, termasuklah melantik dalam kalangan orang Kristian dan bukan ahli Ikhwanul Muslimin dalam pentadbirannya. Morsi cuba melakukan pelbagai perubahan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya, tetapi amat sukar untuk sesiapa sahaja yang memerintah Mesir melakukan perubahan secara drastik.
Morsi mewarisi sistem ekonomi yang lemah dan sistem sosial yang tidak mantap. Ikhwanul Muslimin cuba bersikap baik dengan tentera seperti pada tahun 1952, tetapi tentera tidak pernah bersangka baik dengan Ikhwanul.
Prof juga banyak mengkaji dan menikuti dari dekat lanskap politik di Turki. Mungkin ada persamaan di antara kedua-dua negara ini dan apakah pengalaman berharga yang dilalui Erdogan dan partinya yang mungkin boleh dikongsi dengan realiti di Mesir?
Cubaan untuk mempraktikkan politik Islam di Mesir nampaknya lebih sukar berbanding Turki yang tebal dengan amalan sekularisme. Walaupun demikian di Turki terdapat dua parti sekular iaitu Republikan dan Demokrat.
Walaupun kedua-dua parti berfahaman sekular, namun tidak ada titik pertemuan di antara kedua-duanya, dan malahan lebih bersedia untuk bekerjasama dengan parti Islam daripada berpakat sesama mereka. Akhirnya parti Islam itu berjaya memerintah seperti yang berlaku pada 1996 apabila Parti Refah berjaya membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan 21 peratus undi sahaja.
Ada pihak bimbang Mesir mungkin mengulangi tragedi berdarah di Syria yang tidak berpenghujung...
Tidak dapat dinafikan terdapat kebimbangan ini. Namun begitu, situasi di Syria agak berbeza kerana di Mesir masyarakatnya tidak terbahagi kepada puak. Kekhuatiran yang lebih besar ialah Mesir akan kembali kepada zaman 1970-an dan 1980-an apabila kumpulan Islam mengambil pendekatan bersenjata sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang tiada penghujung.
Bagi pendukung gerakan Islam termasuk Ikhwanul Muslimin kemungkinan untuk terjerumus kepada pendekatan ini tidak boleh ditolak apabila mereka ditindas tanpa belas kasihan. Bagi Ikhwanul Muslimin pengalaman sejarah mengajar mereka untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Dalam kemelut yang berlaku sama ada mereka menang atau pasti ditindas secara berterusan sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
Pengalaman di Algeria juga merupakan iktibar yang amat menjadi keprihatinan kepada aktivis Ikhwanul Muslimin apabila demokrasi yang diwujudkan di negara tersebut menghalang FIS daripada terlibat dalam politik dan bertanding dalam pilihan raya. Pendekatan tentera dan kumpulan sekular hari ini menjurus ke arah tersebut yang berusaha menyisih Ikhwanul Muslimin daripada berperanan dalam proses politik di Mesir.
Realiti hari ini menunjukkan Ikhwanul Muslimin berdepan cabaran hebat untuk menentukan survival masa depannya. Penentuan masa depannya amat bergantung kepada sejauh mana ia dapat terus bertahan dan konsisten dalam perjuangan serta dengan strategi yang lebih baik daripada pihak lain yang menjadi musuh politiknya.
Ikhwanul Muslimin bukan sahaja berdepan musuh politik dalam negeri, tetapi juga daripada AS dan Israel yang mempunyai kepentingan dan tidak mahu melihat gerakan Islam ini berpengaruh. Walaupun AS menjuarai demokrasi, tetapi negara kuasa besar itu bersifat hipokrit dalam isu pergolakan politik di Mesir yang menyebabkan Morsi dilucutkan jawatan. AS dan negara barat tidak bersuara lantang apabila tentera “merampas kuasa” di Mesir, tetapi memprotes apabila berlakunya rampasan kuasa di Fiji, Maldive dan lain-lain.
Anehnya, rampasan kuasa di Mesir bukannya dikutuk, tetapi sebaliknya dijanjikan dengan bantuan kewangan. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang merupakan sekutu kuat AS dan amat khuatir dengan perluasan pengaruh Ikhwanul Muslimin menjanjikan bantuan sebanyak USD 12 billion kepada Mesir sebaik-baik sahaja Morsi dilucutkan jawatan oleh tentera.
Perkembangan di Mesir memperlihatkan manifestasi sikap “double standard” Barat terhadap Islam. Walaupun Morsi dilantik secara demokrasi, tetapi cara beliau diturunkan tidak bersifat demokratik.
Jika demonstrasi jalanan dijadikan tanda aras bagi mengukur populariti bukannya melalui sokongan peti undi, demokrasi di Mesir bukan maju ke hadapan. Sebaliknya, Mesir masih terus berada pada zaman gelap seperti rejim-rejim lalu dan hasrat generasi muda negara itu untuk mewujudkan masyarat yang mampu bersaing dengan negara lain akan terus tinggal impian semata-mata.
sumber : Ar Risalah
No comments:
Post a Comment