Wednesday, February 5, 2014

BENARKAH STREPSILS MENGANDUNGI ALKOHOL?





Masyarakat hari ini masih keliru adakah arak dan alkohol itu dua perkara yang berlainan atau perkara yang sama. Arak semestinya mengandungi alkohol tetapi alkohol tidak semestinya arak. Arak adalah arak dan alkohol adalah alkohol. Ini adalah konsep yang seharusnya difahami oleh semua pihak terutamanya umat Islam.

Dalam Bahasa Arab, arak disebut sebagai khamar. Dari sudut bahasa ia memberi makna benda yang memabukkan yang diperbuatkan dari jus buahan (seperti anggur) kerana ia menutup aqal.


Ada dua jenis arak di diminum zaman Rasulullah dan selepasnya iaitu sebagai Khamar iaitu perahan dari buah tamar, anggur dan lain-lain yang diperam. Kedua dinamakan sebagai Nabiz. Nabiz adalah buahan atau hirisannya yang direndam ke dalam air sehingga rasanya meresap ke dalam air. Jumhur fuqaha’ yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafi`i, dan Hanbali berpendapat meminum arak yang diperbuat daripada perahan anggur, buah-buahan atau bijirin lain, banyak atau sedikit adalah haram.

Firman Allah Surah Al-Maaidah :90 :


"Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda :


Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram.( HR Muslim )

Apakah alkohol?
Kamus Dewan mengatakan bahawa alkohol ialah cecair yang mudah terbakar dan memabukkan. Ia terdapat di dalam minuman keras dan lain-lain. Dr. Bohari Mohd Yatim menjelaskan alkohol ialah bahan hidrokarbon yang mempunyai kumpulan fungsi –OH yang terikat pada atom karbon. Oleh itu bahan yang terkandung dalam alkohol cukup luas dan pelbagai jenis. Penakrifan lain, alkohol adalah gabungan unsur karbon, hidrogen dan oksigen. Pada kebiasaannya apabila disebut alkohol ia dirujukkan kepada ‘ethyl – alcohol, entanol atau ETON.

Sebenarnya etanol wujud bersekali dengan proses menghasilkan alkohol. Seperti dijelaskan di atas ada dua cara alkohol dihasilkan:


Penapaian atau Fementasi
Proses ini dihasilkan melalui tindakbalas sel yang dikenali sebagai yis (yeast fungi). Yis ini bertindak memecahkan gula yang terdapat dalam bahan perahan atau bijirin dan membebaskan karbon dioksuda dan alkohol atau etanol. Proses ini berterusan sehingga semua kandungan gula habis. Apabila kandungan alkohol bertambah, kadar metabolik yis akan menurun dan akhirnya mati pada kadar 14% alkohol. 14% ini dikenali sebagai undistilleg alcohol, alkohol yang tidak disuling. Seperti yang dijelaskan di atas, jika alkohol yang tidak disuling ini melalui proses penyulingan kadar alkoholnya akan meningkat antara 12% hingga ke 25%.

Proses Peretakan.
Peretakan merupakan cara terbaru menghasilkan alkohol daripada etena. Melalui cara ini alkohol boleh dihasilkan daripada bahan petroleum. Prosesnya ialah dengan cara memecahkan molekul minyak yang besar kepada molekul yang lebih kecil dengan tindakan haba dan tekanan yang tinggi serta bantuan dari bahan pemangkin. Apabila etena dan stim ditindakbalaskan pada suhu dan tekanan yang tinggi dengan bantuan bahan mangkin asid fosforik, etanol akan terbentuk. Etanol juga disebut ETON. Ia merupakan komponen terbesar dalam minuman keras selepas air. Minuman yang dihasilkan melalui proses penyulingan juga dikenali sebagai spirits atau liqur. Brandi, rum, vodka dan wiski adalah antara arak yang dihasilkan melalui sulingan.

Satu hakikat yang sangat penting diambil perhatian ialah; ada etanol yang dihasilkan melalui sumber petroleum, ia bukan arak. Etanol yang dihasilkan dari bahan petroleum tidak sama dengan etanol yang dihasilkan daripada perahan buahan, bijirin atau manisan. Etanol yang dihasilkan daripada petroleom bukan dihasilkan daripada bahan yang diharamkan syarak, iaitu arak atau alkohol. Perbezaan ini akan mempunyai impak yang besar terhadap hukum penggunaan etanol.

Apakah hukum penggunaan alkohol bukan arak yang melalui proses fermentasi dalam makanan? Fermentasi adalah proses pemecahan gula glukosa kepada alkohol (etanol) dan gas karbon dioksida.


Proses ini berlaku tanpa kehadiran oksigen dan terjadi dengan bantuan bakteria dan yis. Fermentasi jenis ini dinamakan sebagai fermentasi beralkohol. Contohnya seperti cuka, tapai, roti, beer dan wain. Etanol wujud secara semulajadi dalam makanan yang melalui proses fermentasi. Walaubagaimanapun, terdapat penggunaan alkohol dalam makanan yang bertujuan untuk memberi rasa dan kriteria tertentu dan menjadikannya lebih berperisa. Contoh makanan yang ditambah alkohol (wine atau beer) bersamanya adalah seperti kek, coklat, sos dan sebagainya. Begitu juga penggunaan Rum dalam ais krim dan koktail. Perlu juga kita tahu adalah semua proses pemeraman akan melahirkan alkohol seperti kicap, sos, budu, jus, kordial termasuk buah kurma yang direndam juga mengandungi alkohol. Rasulullah s.a.w pernah melarang sahabat meminum air rendaman buah kurma yang melebihi 3 hari. Tetapi alkohol ini adalah bukan alkohol arak.

Lantaran itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 dan 12 April 1984 telah memutuskan :

Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.


Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol, atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.


Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak atau bukan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.


Tapai adalah halal
Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alcohol adalah harus dan dimaafkan (kegunaan luar).


FATWA TERBARU



Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:


Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.


Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyaialkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.


Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.


Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.


Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuktujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dandiharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.


Mudah-mudahkan sedikit pencerahan ini dapat memberi panduan kepada semua. Semoga Allah memberi petunjuk dan melindungi kita dari perkara-perkara yang haram.


Sumber:  http://www.halalscience.com/blog/status-alkohol-dalam-makanan-dan-ubat-ubatan-part-2/

No comments:

Post a Comment