Sunday, February 16, 2014

HIDUP CERGAS CEGAH PENYAKIT





Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
norlaila@hmetro.com.my



Apakah badan juga mempunyai hak? Ya, ramai yang tidak tahu bersenam adalah hak badan kerana badan kita memang direka untuk bergerak aktif. Mengapa penulis kata begitu? Bergerak aktif atau bersenam antara cara mudah mengekalkan kesihatan.

Badan kita dipinjamkan Allah buat sementara waktu dan adat meminjam, perlulah menjaga badan dengan baik. Inilah antara tanggungjawab yang perlu kita tunaikan segera. Usah beri alasan tidak ada masa kerana semua orang diberikan 24 jam sehari, tidak lebih dan tidak kurang. Beza antara kita ialah semangat dan kemahuan untuk memulakan hidup baru yang aktif.

Contoh terbaik ialah Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai individu yang sangat aktif. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa: "Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terlebih kacak daripada Rasulullah. Cahaya dan seri wajahnya seolah-olah matahari itu sendiri memancar di mukanya. Dan aku tidak pernah melihat seorang yang terlalu lasak berjalan selain baginda seolah-olah bumi bergulung untuknya. Jika pada satu masa baginda di sini, sebentar lagi akan kelihatan baginda di sana. Walaupun ada ketika baginda berjalan secara biasa, namun kami yang mengikuti baginda terpaksa melangkah dengan susah-payah (terpaksa berjalan dengan lebih lasak untuk bersamanya)".


Dalam Seminar Kesihatan Islam lalu, pendakwah, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2012 berkata, badan kita ada haknya sendiri iaitu hak kesihatan yang perlu dijaga dan dirawat apabila sakit. Kesihatan yang dimaksudkan di sini ialah sihat badan dan akal.

Katanya, penyakit yang dihidapi kebanyakan masyarakat kini adalah kesan daripada tindakan kita sendiri kerana banyak penyakit yang dapat dihindari dengan mengamalkan gaya hidup cergas dan berfikiran cerdas.

"Masalah kita sekarang terlalu banyak makan. Apabila banyak makan, akan ada masalah penghadaman. Sebagaimana sabda Rasulullah, perut itu rumah segala penyakit. Maknanya ia membabitkan isu atau tabiat pemakanan.

"Inilah sebabnya dalam Islam ada konsep berpuasa untuk sihat. Puasa diperakui ramai pakar pemakanan sebagai terapi kesihatan yang unggul," katanya.

Puasa boleh menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko obesiti dengan syarat bersederhana ketika berbuka.



Makanan menjadi punca masalah kesihatan apabila:


Makanan yang diambil tidak bersih

Makan terlalu banyak dan tidak mengikut peraturan (jadual makan)

Mengambil makanan yang haram

Satu perkara lagi yang memang sudah diketahui umum boleh menjejaskan kesihatan ialah tekanan.

Dr Zulkifli berkata, antara sebab ramai mengalami tekanan ialah sebahagian besar antara kita tidak lagi menyediakan kehidupan yang normal. Normal maknanya bekerja pada waktu siang dan tidur serta berehat pada sebelah malam. Saranan Islam, tidur awal pada waktu malam supaya keesokan paginya kita juga boleh bangun awal.

Namun sekarang, ramai tidur lewat malam (malah ramai yang sanggup bersengkang mata melayari Internet dan laman sosial hingga awal pagi) dan bangun apabila hari sudah tinggi, sehingga ada yang terlepas solat Subuh dan tergesa-gesa ke tempat kerja serta tidak sempat bersarapan, apatah lagi untuk bersenam.

Soal kepentingan mempunyai tubuh yang sihat sebenarnya tidak perlu diperkatakan lagi. Sihat adalah satu nikmat yang sangat besar. Zaman dulu, jumlah tentera Islam yang diketuai Nabi Muhammad SAW sangat kecil jika dibandingkan dengan pasukan lawan. Seorang tentera Islam menentang dua, tiga hingga 20 tentera lawan - dan masih beroleh kemenangan.

Ini menunjukkan tahap kesihatan, kecergasan dan kekuatan mereka sangat tinggi. Kecergasan dan ketangkasan orang dulu mungkin sukar ditandingi tetapi kita masih boleh menjaga kesihatan dan meningkatkan kekuatan diri dengan beriadah, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, 30 minit setiap sesi.

Kata Dr Zulkifli lagi, Rasulullah menjaga kesihatan dengan matlamat jelas iaitu untuk beribadat kepada Allah. Kesihatan ialah alat untuk melakukan ibadat dengan lebih baik.

Kesihatan dan ibadat sebenarnya dua perkara yang saling berkait. Kita menjaga kesihatan supaya boleh beribadat. Sebaliknya beribadat juga cara untuk menjaga kesihatan. Mengambil wuduk contohnya mempunyai hikmah tersendiri. Ulama Fekah ada menjelaskan hikmah wuduk sebagai sebahagian daripada usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani.

Anggota badan yang dicuci ketika wuduk seperti tangan, muka (termasuk mulut) dan kaki ialah bahagian yang paling terdedah serta banyak bersentuhan dengan benda asing. Bahkan kajian sains mengukuhkan lagi kepentingan menjaga kebersihan khususnya tangan yang menjadi antara ejen paling efektif dan pantas menyebarkan jangkitan.

Menurutnya, banyak ibadat, khususnya solat menjadi ubat untuk memiliki tubuh, fikiran dan jiwa yang sihat. Pergerakan solat mempunyai manfaat tersendiri dan ia boleh menguatkan otot perut lebih baik daripada senaman yoga. Bahkan ada pakar perubatan yang menggunakan pergerakan dalam solat sebagai senaman untuk meningkatkan kekuatan badan khususnya bagi manfaat pesakit kanser.

"Solat bukan sekadar memberi kesan pada fizikal malah ia sangat penting untuk menguatkan spiritual. Ahli falsafah Yunani, Plato menyebut 'tidak mungkin tubuh akan sihat jika jiwa kita tidak sihat'. Solat tetap wajib dilakukan ketika sakit, ia sebagai bukti iman yang tidak berbelah-bahagi, tanda kesabaran dalam menghadapi ujian, tanda insaf atas dosa dan maksiat (kesalahan) yang kita lakukan serta cara untuk memohon penyembuhan segera daripada Allah," katanya.

Tidak dinafikan, ada pesakit yang marah apabila diminta menunaikan solat sedangkan solat itu sendiri sebenarnya salah satu penawar penyakit. Solat akan menguatkan semangat seseorang yang boleh menjadikannya berfikiran positif. Bersikap dan berfikiran positif secara tidak langsung akan membuatkan badan bertindak balas lebih baik terhadap rawatan.

Menyedari kepentingan dan manfaatnya (sebagai terapi kesihatan jiwa dan fizikal) serta bagi memenuhi tuntutan agama, kini ada banyak pusat perubatan menerapkan konsep hospital ibadat terutama yang bernaung di bawah Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM) - menjadikan amalan Islam sebagai teras perkhidmatan.

Apa beza antara hospital ibadat dengan hospital lain? Menurut Pegawai Agama Unit Dakwah Hospital Pusrawi, Ustaz Yaakob Hamid, rawatan yang diberikan kepada pesakit masih sama seperti hospital lain tetapi ia diselitkan dengan elemen ibadat seperti membaca Bismillah, doa, pemberitahuan waktu solat, membantu pesakit berwuduk atau bertayamum dan menyediakan ruang untuk bersolat.

Pihak hospital juga menyediakan pegawai agama bagi membantu dan mengajar mana-mana pesakit yang kurang berpengetahuan untuk menunaikan solat selain menampal poster kaedah bersolat bagi pesakit. Malah bayi yang dilahirkan di hospital ibadat akan diperdengarkan azan (atau iqamat), beri air zam zam dan kurma. Mereka juga akan mengajar orang sakit kaedah menunaikan solat mengikut kemampuan masing-masing.

Apa yang penting ialah tekad kita untuk memulakan penjagaan kesihatan (fizikal dan fikiran) dengan lebih serius dari sekarang khususnya sebagai persediaan menghadapi hari tua.

Kajian terbaru oleh penyelidik Scotland menunjukkan beriadah bukan saja boleh menenangkan fikiran malah memberi perlindungan terhadap pengecutan otak di kalangan warga senior. Pengecutan otak ini akan menyebabkan masalah ingatan dan pemikiran. Jadi, apa lagi yang kita tunggu?


sumber:  http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidupcergascegahpenyakit//Article/article_print

No comments:

Post a Comment