Sunday, April 1, 2012

AMALAN YANG MEMBAWA SYIRIK


 
Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

 

SOALAN:

Saya benar-benar keliru terhadap amalan kebatinan, sama ada melibatkan teater tradisional atau perubatan yang dikatakan menyebabkan syirik. Jelasnya, amalan yang bagaimana yang boleh menyebabkan seseorang itu syirik, satu dosa yang tidak diampuni oleh Allah. Terima kasih. – Asmadi, Kota Bharu

 

Jawapan:

Perlu dijelaskan bahawa syirik tidak bergantung kepada nama mereka yang terlibat sama ada pawang, bomoh, poyang, maha guru, dukun atau sebagainya. Begitu juga dengan bacaan yang dituturkan, yang melibatkan jampi, mantera serapah. Malah masyarakat Melayu dalam keadaan tertentu seumpama tidak dapat membezakan antara jampi mantera, serapah ataupun doa.

 

Hukum syirik berlaku akibat perbuatan yang dilakukan ataupun tutur kata yang disebut yang menyekutu pada zat Allah Yang Esa, dengan sesuatu yang baru.

 

Auf bin Malik berkata: Kami pernah menggunakan jampi mantera ketika jahiliah dahulu. Lalu kami bertanya: Ya Rasulullah apa pendapat tuan tentang perkara ini? Baginda menjawab: Kemukakan pada ku mantera kamu itu. Tidak mengapa jampi mantera itu selagi tidak mengandungi syirik.

 

Berdasarkan keterangan ini, syirik boleh terjadi kerana:

 

i) Seseorang berkeyakinan bahawa jampi mantera memberi kesan sama ada untuk menyembuh, memberi perlindungan, memberi kekuatan dan sebagainya.

 

ii) Meminta perlindungan iblis dan syaitan atau memuja jin, berhala, objek penyembahan orang kafir dan seumpamanya.

 

iii) Mempercayai makhluk halus mempunyai kuasa menyembuh atau memberi mudarat.

 

iv) Menyeru atau memuja kalimah atau nama-nama yang tidak difahami maknanya, yang terdiri daripada nama iblis dan syaitan atau sembahan orang kafir.

 

Terdapat upacara memanggil jin melalui rangkaian jampi mantera disertai amalan menyajikan makanan dikenali “menyembah pentas,” “menyembah gelanggang” dan sebagainya. Kemenyan dibakar dan diperasap pada sajian, alat muzik, sekeliling pentas dan ada kalanya pemain atau penari.

 

Dalam persembahan kuda kepang misalnya, apabila muzik mula dibunyikan, penari memulakan tarian secara perlahan-lahan. Kemudian bomoh masuk gelanggang dan membaca jampi berikut untuk memanggil roh kuda semberani, bernama Nini Danyang dan Kiki Danyang yang tinggal di awang-awang:

 

Ya Nini Danyang, Kiki Danyang; Seng menggone meng awang-awangan; Seng jenenge jaran semberani; Aku njalok semurup; Supoyo seng main jarang semberani iki; Pada menang kabeh; Yo yo!

 

Dalam persembahan tarian bubu, jampi dibaca oleh pawang ketika mengelilingi gelanggang sambil tangan memegang pengasap kemenyan yang berkepul-kepul asapnya:

 

Bi’s-mi ‘Llahi ‘r-rahmani ‘r-rahim; Hei jin tanah; Jembalang tanah; Pelesit bumi; Hei jin atas serangkap bumi; Serangkap langit; Putar tanggah di bumi, puak juakmu; Aku nak minta tolong; Jaga tempat yang aku buat ini; Baik di atas mu; Jahat di atas mu; Dengan berkat doa; La ilaha illa ‘Llah; Muhammadu ‘r-rasulullah

 

Perlakuan manusia (makhluk) yang memohon perlindungan kepada makhluk (jin) seperti dijelaskan dalam contoh ini, memberi implikasi bahawa seseorang itu meyakini bahawa makhluk tersebut mempunyai kekuatan (kudrat) memberi perlindungan. Pada hal pelindung sebenar ialah Allah (khaliq).

 

Syirik juga boleh terjadi apabila seseorang itu melibatkan diri dengan sihir. Amalan sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan penglibatan makhluk halus, terdiri daripada jin- jin. Merujuk persoalan berkaitan jin-jin ini, tidak dinafikan ada golongan yang menafikan kewujudannya. Al-Quran mengandungi surah-surah, yang di antaranya ialah surah al- Jinn, (surah ke-72), surah Makkiyah menurut ittifaq ulama, mengandungi 27 ayat. Perkataan “al-Jinn” disebut 22 kali dalam al-Quran, manakala perkataan “an-Jann) iaitu (Al- Jinn) disebut sebanyak tujuh kali.

 

Tidak dinafikan bahawa institusi perubatan Melayu tradisional memainkan peranan dalam kehidupan harian orang Melayu terutamanya pada zaman dahulu. Biarpun cara berfikir orang Melayu jauh berubah, namun pada praktiknya, rawatan tradisional ini masih tetap mendapat tempat dalam masyarakat yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

 

Allah memberi amaran agar manusia berhati-hati daripada gangguan dan tipu daya jin. Manusia hakikatnya tidak berupaya menyelami rahsia-rahsia di sebalik kejadian makhluk ini. Selain memberi alasan bahawa makhluk yang berdampingan itu terdiri daripada roh-roh, syeikh-syeikh, rijalul ghaib dan sebagainya yang terdiri daripada wali- wali, terdapat juga di antara mereka yang memberi alasan bahawa Nabi Allah Sulaiman pernah menggunakan khidmat jin-jin untuk melakukan tugas-tugas tertentu (Saba’ 12).

 

Sesetengah daripada mereka pula mengaku berdampingan dengan makhluk-makhluk halus tetapi mendakwa ia terdiri daripada jin-jin Islam. Adalah tidak salah berdampingan dengan mereka, tidak ubahnya seperti manusia yang bersahabat dengan manusia, saling bantu membantu untuk mengatasi masalah yang mendatang.

 

Allah menjelaskan bahawa syaitan itu musuh. Dalam keadaan apa sekalipun, manusia hendaklah menganggap makhluk ini sebagai musuh (Fatir: 6). Manusia sukar untuk membezakan antara orang yang beragama Islam dan munafik atau kafir melalui pengamatan luaran, apatah lagi sekiranya manusia itu terdiri daripada rumpun bangsa yang sama.

 

Andainya mereka tidak berupaya membezakan anutan agama sesama manusia, tentunya lebih rumit untuk menentukan atau membezakan antara jin Islam dan kafir.

 

Terdapat juga jin yang mengaku menganut Islam tetapi mengganggu manusia kerana kejahilan, runtunan nafsu atau lain-lain seperti yang berlaku dalam kalangan manusia.

 

Allah memberi keistimewaan kepada Nabi Sulaiman untuk menguasai angin, berupaya memahami bahasa binatang dan memerintah jin-jin. Satu keistimewaan yang diberi, khusus kepada baginda. Untuk mengambil contoh keistimewaan yang diberi oleh Allah kepada baginda lalu dijadikan alasan untuk bersahabat ataupun berdampingan dengan makhluk ini, individu berkenaan perlu mempunyai maqam teristimewa, mencapai satu darjat sekurang-kurangnya seperti maqam Nabi Sulaiman. Apa yang ternyata keistimewaan itu hanya untuk Nabi Sulaiman.

 

Imam Malik berpendapat bahawa tukang-tukang sihir muslim, apabila melakukan sihir dengan kehendaknyai, yang melibatkan rangkaian kata kufur, sama ada yang diistilahkan sebagai jampi, mantera atau serapah hendaklah dibunuh tanpa diminta agar bertaubat. Menurut Ibn al-Munzir, seorang lelaki yang berikrar bahawa ia melakukan sihir, melibatkan rangkaian kata kekufuran hendaklah dibunuh sekiranya tidak bertaubat setelah diminta berbuat demikian.

 

Sekiranya rangkaian kata yang dituturkan tidak melibatkan rangkaian kata kufur ia tidak boleh dibunuh. Sekiranya sihir itu menyebabkan jenayah pada mangsanya, hukuman ke atasnya ialah qisas, iaitu sekiranya ia melakukan perbuatan tersebut dengan sengaja.

 

Sesetengah ulama berpendapat, hukuman yang dikenakan ke atas tukang sihir ialah hukum bunuh sebagai ta’zir (hukuman yang ditentukan menurut kehendak tadbir raja atau wakilnya) untuk mengelakkan berlakunya perkara buruk terhadap orang ramai.

 

Ini adalah pendapat mazhab Hanafiah dan Syafie. Imam Syafie juga berpendapat dosa tukang-tukang sihir tidak melebihi dosa syirik, pada hal yang syirik dituntut bertaubat.

 

Sekiranya tukang-tukang sihir itu menjadi kafir kerana tutur kata dan perlakuannya, kemudian ia Islam semula, maka sahlah pengislamannya dan diterima taubatnya. Adalah dimaklumi bahawa tukang-tukang sihir Firaun telah beriman dan bertaubat dan Allah menerima taubat mereka (Taha: 70).

 

Dalam persembahan teater tradisional, amalan memanggil, menyeru dan memuja makhluk halus yang terdiri daripada jin, seperti yang dijelaskan adalah kerana orang berkenaan yakin makhluk itu boleh memberi pertolongan kepada manusia, melindungi pentas atau gelanggang, pemain juga penonton. Kononnya, makhluk itu mempunyai “keupayaan” ataupun “kudrat” melindungi, membolehkan upacara berjalan lancar.

 

Jika amalan ini tidak dilakukan, ada kemungkinan masalah akan timbul, seperti persembahan itu akan gagal sama sekali, atau menjadi tidak sempurna.

 

Allah melarang memohon pertolongan selain Allah, seperti tersebut dalam surah Yunus: 106: Jangan kamu memohon apa yang tidak memberi manfaat dan tidak pula memberi mudarat padamu, selain Allah, kerana jika kamu berbuat demikian, sesungguhnya kamu termasuk dalam golongan orang yang zalim.
 
Mingguan Malaysia online 28 Oktober 2007

No comments:

Post a Comment