Tuesday, December 31, 2013

HABIB MENDAKWA KETURUNAN RASULULLAH



Dijawab oleh: Syaikh Dr. Amin Al-Sa’di, Pensyarah di Jabatan Akidah, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi

Diterjemah oleh: Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman




Soalan:
Para pengikut ajaran-ajaran majlis-majlis habib khususnya di Malaysia berbangga dengan mengangkat habib yakni guru-guru mereka sebagai keturunan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Apakah ini mempunyai persamaan dengan Syiah?



Jawapan:

Allah menuntut kepada kita untuk kita berlaku adil. Terdapat di kalangan mereka mendakwa bahawa mereka dari keturunan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Maka kita mengatakan kepada mereka, mereka sepatutnya menjadi orang yang paling utama di dalam mengikuti sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Adapun orang-orang Syiah Rafidhah, mereka berada di dalam kesesatan yang cukup besar dan kita tidak mengetahui tentang nasab mereka mengenangkan hakikat banyaknya amalan mut’ah (pelacuran atas nama nikah untuk tempoh masa tertentu) dan menipu di kalangan mereka.

Maka apa yang dapat kita katakan kepada pengikut sufi, perlunya mereka beristighfar dan bertaubat kepada Allah Azza wa Jal. Dan hendaklah mereka mengingati kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

“Dan barangsiapa yang amalannya lambat (tidak baik amalannya), keturunan nasabnya sama sekali tidak akan mempercepatkannya (membantunya).[1] (Sahih Muslim)

Kalau sekiranya nasab seseorang itu boleh membantunya tanpa amalannya, tentu sahaja Abu Lahab akan mendapat kedudukan yang tinggi berdasarkan nasabnya kepada Rasulullah. Ini menjadi hujjah ke atas mereka bahawa sekiranya mereka benar dari keturunan Nabi, maka merekalah orang pertama yang perlu mengikuti Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, seperti mana firman Allah Jalla wa ‘Ala,

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

“Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), serta orang-orang yang beriman, dan Allah adalah Pelindung semua orang-orang yang beriman” (Ali ‘Imran : 68)

Maka seseorang itu tidak menjadi wali Allah kecuali dengan dia mengikuti Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Kita lihat bagaimana Allah telah mengangkat kedudukan Salman dan juga Bilal sedangkan mereka bukan orang Arab. Dan Allah telah mencampakkan kehinaan ke atas Abu Lahab dan Abu Jahal dan Al-Walid bin Utbah sedangkan mereka adalah tokoh-tokoh orang Quraisy.

Maka ini menjadi peringatan buat mereka yang mempunyai akal fikiran, moga-moga mereka mengambil peringatan.

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab Seminar Sejarah Sufi, 07.06.2013, Shah Alam)

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم



[1] Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali ketika menjelaskan hadis ini berkata, “Barangsiapa yang amalnya lambat dalam mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah maka nasabnya tidak akan mempercepatkan dia untuk mencapai darjat yang tinggi tersebut. Kerana Allah memberi balasan atas amalan dan bukan atas nasab sebagaimana firman Allah, “Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya” (Surah Al-Mukminun: 101).” (Jaami al-‘Uluum wa Al-Hikam hlm. 652)

sumber:  http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/12/10/soal-jawab-habib-mendakwa-keturunan-rasulullah/

No comments:

Post a Comment