Friday, January 3, 2014

BAHAYANYA BIDAAH KEPADA ISLAM



Oleh: Ust. Abid Annuriy

SESETENGAH penghafaz hadis mentakrifkan bidaah sebagai perkara yang menyalahi al-Quran, sunnah atau ijmak Salaf dalam kepercayaan dan ibadat, seperti keyakinan khawarij, rawafidh, qadariyyah, jahmiyyah dan seperti orang-orang yang beribadah dengan tarian, nyanyian di masjid-masjid, juga seperti orang-orang yang beribadah dengan mencukur janggut, makan ganja atau lalang, dan lain-lain yang menyalahi al-Quran dan sunnah.

Bidaah mendapat perhatian besar ulama Islam kerana ia adalah satu bentuk syirik, menyamai sifat Tuhan dalam mencipta agama (yakni seolah-olah agama ALLAH belum sempurna).


Nabi Muhammad SAW memberi peringatan mengenai bidaah setiap minggu dalam khutbah Jumaat bagi menunjukkan kepada umatnya betapa besarnya bahaya bidaah.

Asal kemunculan bidaah

Di manakah asalnya bidaah yang menyesatkan ini? Iraq! Di sanalah munculnya pelbagai aliran bidaah dalam sejarah. Khawarij, rafidah, batiniyyah, jahmiyyah, mu’tazilah, Syiah, dan lain-lain ajaran yang menyesatkan berasal dari Iraq dan Iran.

Al-Imam Ahmad, Bukhari, Tirmizi dan lain-lain meriwayatkan daripada Ibn Umar berkata, Rasulullah SAW berdoa, “Ya ALLAH, berkatilah untuk kami Syam kami dan Yaman kami.” Mereka berkata: "...Wahai Rasulullah SAW dan juga Najd (Iraq) kami.” Nabi SAW bersabda: “Di sana berlaku gempa bumi dan huru hara (peperangan). Dari sana munculnya tanduk syaitan."(Sahih al-Bukhari, al-Fitan, hadis 6592). Kebanyakan penduduk Najd Iraq digelar tanduk syaitan akibat mengalami kerosakan pemikiran.

Salim berkata, saya mendengar ayah saya (Abdullah ibn ‘Umar) ditanya mengenai hukum darah nyamuk lalu beliau berkata: “Wahai ahli Iraq, alangkah sukanya kamu bertanya mengenai perkara remeh-temeh, dalam masa yang sama lagi suka melakukan jenayah besar (seperti membunuh Husain ibn Ali di Karbala, Iraq) sebahagian kamu memenggal sebahagian yang lain.” Najd dalam hadis ini ialah Najd Iraq, bukan Najd Yamamah di Saudi. al-Khattabi (wafat 388H) berkata, “Najd ialah pedalaman Iraq dan sekitarnya.” Ini dipersetujui oleh al-Hafiz ibn Hajar al-’Asqalani dalam al-Fath, 13/47. Berita ini termasuk mukjizat Nabi SAW. Kini kesesatan, peperangan dan pembunuhan dan huruhara berterusan di bumi Iran dan Iraq.

Sahl ibn Hunayf RA berkata sambil tangannya menunjuk ke arah Iraq, saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Dari sana (Iraq), akan muncul kaum yang membaca al-Quran (kuat beribadah) tetapi bacaan mereka tidak melepasi tekak mereka. Mereka keluar daripada Islam seperti keluarnya anak panah daripada busurnya.” (Sahih al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Pangkal kekufuran dari Timur (Iraq dan Iran).” al-Kushminahi berkata: "Itu menunjukkan betapa teruknya kekufuran majusi kerana kerajaan Parsi dan pengikut mereka dalam kalangan Arab di Timur Madinah. Mereka sangat keras, kasar dan angkuh. Golongan Majusi amat dahsyat kekufuran dan kesesatan mereka. Di sanalah terdapatnya ramai ahli sihir, jin-jin jahat dan penyakit berbahaya.

Bidaah dalam amalan

Selain bidaah dalam akidah, ia juga berlaku dalam amalan. Sesiapa yang mencipta bidaah (ibadah baru) maka ia telah mendakwa Nabi SAW mengkhianati Islam dan menuduh Islam belum sempurna.

Imam Malik ibn Anas (179H) berkata: "Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad SAW mengkhianati risalah. Ini kerana ALLAH berfirman yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka ia tidak juga menjadi agama pada hari ini. (Al-Shatibi, al-I’tisam: ms 35) Bidaah dalam amalan terbahagi kepada bidaah haqiqiyyah (tulen) dan bidaah idafiyyah (tambahan). Bidaah-bidaah ini ada yang sampai ke tahap syirik dan kufur, dosa besar dan dosa kecil.

Bid’ah Haqiqiyyah ialah mencipta ibadat yang langsung tiada asalnya dalam al-Quran dan hadis antaranya ialah:

- Menyeksa diri beribadat dengan berdiri solat, berpuasa di tengah panas, tidak bercakap-cakap, memukul-mukul badan dengan tangan atau alat tajam.
- Mengadakan pesta peringatan kematian, misalnya tiga hari, empat puluh hari, seratus hari, satu hawl (setahun), seribu hari dan seterusnya, yang semua itu tidak ada dalilnya, bahkan bertentangan dengan dalil, meniru adat dan agama musyrikin (hindu).
- Mengadakan kenduri arwah ketika hari kematian dan ketika menanam batu nisan, Berdoa meminta hajat daripada penghuni kubur.
- Memotong buah zakar untuk mematikan syahwat dan untuk menumpukan hidup dengan ibadat.
- Beramal dengan hadis palsu dan terlampau daif serta mengiktikadkannya sebagai sunnah.
- Menciptakan perayaan-perayaan yang tidak disyariatkan.
- Menyembelih, bernazar, berpesta makan, meninggikan, bertawaf sekeliling kubur dan lain-lain.

Bidaah Idafiyyah iaitu ibadat yang asalnya terdapat dalam al-Quran dan hadis tetapi dilakukan dengan cara yang tidak menepati cara, waktu dan tempat yang disunnahkan. Antaranya ialah:

- Membaca selawat rekaan dan madih selepas azan dengan memekik di masjid dan surau,
- Berdoa sambil memekik selepas solat,Solat Duha berjemaah,
- Bidaah mengkhususkan bacaan, puasa rekaan dan solat tertentu seperti solat ragha’ib dalam bulan Rejab dan Nisfu syaaban,
- Mengkhususkan ibadat pada malam Jumaat,
- Berdoa beramai-ramai selepas solat fardu,
- Tahlil berjemaah,
- Majlis taubat beramai-ramai dalam gelap,
- Berzikir disertai rebana atau muzik dengan memekik-mekik.

Mencipta ibadat tertentu

Bidaah menambahkan atau mengurangkan ibadat seperti menambah solat Maghrib menjadi empat rakaat, Isyak lima rakaat atau Zuhur menjadi tiga rakaat.

Bidaah juga mencipta ibadat-ibadat tertentu yang dianggap sebagai sunnah yang disyariatkan, berpahala dan mendekatkan diri kepada ALLAH, beribadat dengan ibadat-ibadat tertentu pada waktu tertentu, sedangkan amalan itu tidak disyariatkan dan tidak wujud dalam mana-mana hadis sahih seperti:

- Mengadakan kenduri arwah.
- Membaca talkin di kubur.
- Mandi di bulan Safar.
- Mencipta doa-doa, zikir dan selawat yang menyalahi tauhid dan sunnah.
- Berzikir sambil menari.
- Beribadah dan tawaf di kubur, dan segala upacara khurafat.

Terdapat juga bidaah dalam halal haram seperti menghalalkan arak, zina, judi, pelacuran, pendedahan aurat, mengharamkan nikah, mewajibkan sistem pendidikan dan perundangan sekular. Semua bidaah ini adalah kesesatan.

Punca bidaah

Antara punca-punca bidaah ialah:-
Pertama: Al-ahwa’ (emosi, tujuan dan keinginan jahat) seperti Khawarij.
Kedua: Al-‘aqliyyat menggunakan akal dalam menentukan agama seperti jahmiyyah, mu’tazilah, ahli kalam dan falsafah.
Ketiga: Al-diyanat wa al-nihal al-qadimah iaitu agama-agama sesat dan ajaran-ajaran kuno seperti ajaran-ajaran kerahiban, rawafidh, batiniyyah dan ghulat sufiyyah.
Keempat: Taqdis al-ashkhas iaitu pendewaan terhadap peribadi-peribadi tertentu dan para tokoh.

Sesungguhnya ahli bidaah itu sangat jahil mengenai kitab dan sunnah, salah faham terhadap makna-makna kitab dan sunnah kerana tidak mengikut tafsiran salaf serta tidak mengikuti manhaj ahli ilmu.

ALLAH telah mengingatkan dalam firmanNya: “Dan apabila kamu melihat orang-orang yang memperolok-olok ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka mereka membicarakan pembicaraan yang lain…” (Surah an-An’am: 68)

Ini adalah dalil yang menerangkan tidak halal duduk bersama ahli bidaah kecuali memberikan nasihat dan peringatan. Ayat ini meliputi golongan musyrikin dan ahli al-ahwa’ Muslimin. Ahli Sunnah wal Jama’ah sangat memelihara diri daripada ahli bidaah kerana ahli bidaah itu sangat yakin mereka dalam kebenaran dan mereka tidak bertaubat dari bidaah mereka. Mereka sangat licik memukau dan mempengruhi orang ramai dengan ibadah, kefasihan dan penampilan mereka.

Al-Imam Sufyan al-Thawri (97-126H) berkata bidaah itu lebih dicintai iblis dari maksiat. Ahli Bidaah wajib dijauhi. Al-Imam Abu Qilabah al-Raqashi berkata: “Jika kamu melihat seorang bersama ahli bidaah, berikanlah peringatan keras dan jelaskanlah kepadanya mengenai keperibadiannya. Apabila ia tetap duduk-duduk bersama ahli bidaah setelah ia mengetahuinya, maka jauhilah ia kerana ia termasuk pengikut hawa nafsu (ahli bidaah)“. (Sharh al-Sunnah: ms 144, al-Imam al-Barbahari)

No comments:

Post a Comment