Wednesday, January 1, 2014
KESESATAN AKIDAH GLOBAL IKHWAN (UMMU JAH)
Mereka masih mempercayai Asaari al Kazaab hanya ghaib!
Antara perkara besar yang menjadi faktor penyelewengan akidah dalam Jemaah Aurad Muhammadiah (Rufaqa, kini Global Ikhwan) adalah pengamalan istighathah (is-ti-gha-thah). Istighathah adalah sesuatu yang berbeza dengan tawasul dan kajian mendapati Asaari dan pengikutnya telah terkeliru dan salah tafsir konsep tawasul. Mereka menyangka mereka bertawasul dan berkeras mempertahankannya. Sedangkan, pengamalan mereka itu sebenarnya adalah istighathah.
Bagi membincangkan isu ini, kami menukilkan pendapat ulama Ahli Sunnah dari kalangan Khalaf dan Salaf sebagai satu bukti bahawa seluruh ulama menentang kesesatan akidah.
Apakah Perbezaannya?
Ibn Taimiyah (j.3, hlm. 276) telah menjelaskan bahawa bertawasul itu ialah berdoa dan memohon kepada Allah sahaja dan tidak kepada yang lain. Apa yang disertai dengan nama nabi itu hanya suatu wasilah atau perantaraan dengan insan yang telah dikurniakan kemuliaan dan kehebatan, agar dengan itu doa yang dipohon itu diperkenankan oleh Allah.
Sebaliknya, istighathah pula ialah memohon pertolongan dan meminta sesuatu selain daripada Allah, seperti seseorang berkata, “wahai wali polan…, wahai sheikh Suhaimi…, wahai Abuya! Sembuhkanlah penyakitku… selamatkanlah aku.” Ini bukan tawasul, tetapi istighathah.
Namun demikian, bagi Asaari dan jemaahnya, amalan seru menyeru dengan nama para wali sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati dianggap amalan tawasul yang boleh dan digalakkan. (Lihat Asaari Muhammad, Berhati-hati Membuat Tuduhan, hlm. 36). Dalam majlis tahlil maulid mereka pada setiap minggu juga, mereka memohon pertolongan dan menyeru nama Syeikh Suhaimi dan para wali lain, dengan menyebut, “Ya Sayyidi Syeikh Suhaimi, tolong kami kerana Allah.” “Hai wali-wali Allah, dengarlah, tolonglah kami kerana Allah, dengarlah, wahai Waliwali Allah yang berbagai-bagai darjat, persilakanlah datang dan tolong, kerana Allah.” (Lihat Asaari Muhammad, Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, hlm. 143)
Sebenarnya, berdoa dan memohon pertolongan seperti yang telah disebutkan di atas, bukan lagi tawasul seperti yang disangka oleh Asaari dan pengikutnya. Tetapi ia adalah istighathah. Di sini dapat dilihat bahawa Asaari telah terkeliru dan tersalah di antara tawasul dan istighathah. Kejahilannya telah menyebabkan dia enggan menerima kebenaran.
Imam Ibn Taimiyah, al-Hilali, Ali Bustami dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pada kedua-dua istilah ini terdapat perbezaan yang nyata. Orang yang berdoa secara tawasul, dia hanya berdoa dan memohon kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain, kecuali dengan menyebut nama hamba-Nya yang telah dikurniakan kemuliaan sahaja sebagai perantaraan, bukan memohon daripadanya. Manakala istighathah pula bererti berdoa dan memohon pertolongan serta menyerah sepenuhnya kepada orang yang diseru. Memohon pertolongan dalam bentuk istighathah seperti ini hanya dibolehkan kepada Allah sahaja, tidak kepada yang lain. Oleh itu sesiapa yang berdoa secara istighathah kepada selain daripada Allah seperti contoh di atas, hukumnya adalah syirik dan berdosa besar. Para ulama ini turut menegaskan bahawa amalan istighathah untuk selain daripada Allah S.W.T merupakan asal atau punca kepada berlakunya segala bentuk kesyirikan di dunia ini.
Dalil Penolakan Istighathah kepada Selain Allah
Firman Allah yang bermaksud:
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) memohon / menyeru yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak pula mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, pastilah engkau termasuk orang-oarng yang berlaku zalim. (Yunus; ayat 106)
Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat mencipta seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. (al-Haj ayat 73)
Maka janganlah kamu seru sesiapapun bersama-sama Allah S.W.T. (Surah al-Jin: ayat 18)
Hanya kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami memohon pertolongan. (al-Fatihah; ayat 5)
Rasulullah bersabda kepada Ibn Abbas:
Hai anak! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa perkataan: Peliharalah Allah S.W.T, nescaya Dia akan memelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu dapati (pertolongan)-Nya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan apabila kamu memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu daripada Allah... (al-Tirmizi, Sunan, Bab Sifat al-Qiyamat, No. 2635)
Pengamalan dalam Rufaqa, Global Ikhwan @ Jemaah Aurad Muhammadiah
Dalam Jemaah Aurad Muhammadiah, mereka mengamalkan istighathah secara bersistem. Iaitu, pengikut atau anak buah mesti beristighathah dengan Abuya (Asaari), Asaari beristighathah dengan Syeikh Suhaimi, dan Sheikh Suhaimi beristighathah dengan Rasulullah s.a.w. (Lihat Stop Press, 3/94, Kuala Lumpur, Penerbitan Media, hlm. 21) Hal ini sangat diketahui oleh setiap ahli Rufaqa dan mengamalkannya.
Asaari mendakwa Sheikh Suhaimi telah berpesan kepada keluarga dan murid-muridnya:
“Jika sesiapa di antara mereka menemui sesuatu bahaya atau kesusahan atau ada sesuatu hajat makan serulah namanya. Insya Allah S.W.T, dia akan menolong mereka.” (Asaari Muhammad, Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, hlm. 54)
Menurut Asaari, permintaan melalui para wali lebih cepat diperkenankan oleh Allah kerana para wali itu hampir dengan Allah sebagaimana kata-katanya:
“Bagi sesetengah orang, dia tak sama. Kuasa Allah tidak dapat kita nilai. Allah boleh lakukan apa sahaja. Bentuk apa pun. Ada setengah orang tu kalau diseru nama dia, memang dia betul datang menolong. Roh dia. Itu boleh berlaku.” (Majalah Terkini Khas, Bil. 4/94, hlm. 27)
“Sebab Allah hendak memberi pertolongan kepada manusia itu bukan secara langsung tetapi ada perantaraannya. Malaikat Jibril menghantar wahyu, Mikail menurunkan rezeki, Izrail mengambil nyawa (semua jenis makhluk), Israfil meniup sangkakala dan begitulah seterusnya dengan lain-lain malaikat yang memiliki tugas masing-masing. (Asaari Muhammad, Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, hlm. 149.)
Berikut adalah bukti-bukti istighathah yang popular dalam Arqam sehingga kini di era Rufaqa atau Global Ikhwan:
“Seorang ibu sedang menanggung sakit hendak melahirkan bayi kembar di sebuah wisma bersalin di Ipoh. Kedua-dua bayi itu dalam keadaan songsang. Doktor dan pembantu-pembantunya cemas. Si ibu sambil menahan sakit, menyebut-nyebut nama Abuya berulang kali. “Abuya, Abuya… Tolong, tolong…” Dengan izin Allah, kedua-dua bayinya dilahirkan dalam keadaan selamat dan sihat.” (Anekdot Tawasul, Terkini Khas Sempena Era Kasih Sayang, 4/94, hlm. 14.)
Ummu Hani (nama asalanya Kun) memeluk Islam di tangan Haji Asaari… Bila beliau sukar mendapatkan makanan yang halal, Ummu Hani akan masak sayur dan telur sahaja. Dia tidak lagi makan babi dan sangat-sangat menjaga kalau ada makanan yang mengandungi babgi. Kalau susah untuk mujahadah, dia akan bertawasul (istighathah sebenarnya – penulis) dengan abuya. “Abuya. Abuya. Anakmu ini tidak larat nak buat. Maafkanlah ya. Tolonglah Abuya, supaya anakmu ini boleh buat.” (Mujahadah Anak Abuya yang Baru, Buletin Berita Terkini, Bil. 3/94, Kuala Lumpur: Bahagian Penerbitan Media, hlm. 17).
Terlalu banyak lagi kisah dan anekdot yang kami rasakan tidak perlu dimasukkan kerana terlalu melampaui batas syarak. Amalan sebegini disangka bertawasul tetapi sebenarnya mereka menyeru Asaari dan beristighathah padanya. Amalan sebegini sangat subur dalam Rufaqa atau Global Ikhwan dan menjadi sebahagian Akidah mereka.
Pandangan Ulama Dalam Menentang Penyelewengan Istighathah
Sheikh Ali Mahfuz dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madar al-Ibtida’ mendefinisikan Istighathah sebagai meminta ghawth iaitu pertolongan untuk menghilangkan kesusahan yang sangat besar.
Sheikh Ali Mahfuz menyatakan bahawa istighathah kepada makhluk dalam perkara yang tidak sesiapa pun berkuasa atasnya selain Allah adalah terlarang, kerana ia merupakan doa. Doa itu adalah ibadat, bahkan mukh atau otak daripada ibadat; dan tidak boleh diibadati selain Allah.
Abu Bakar Jabir al-Jaza`iri menjelaskan bahawa sesiapa yang beristighathah kepada selain Allah, yang tidak berkuasa untuk memberikan pertolongan, yang tidak mendengar perkataannya, tidak melihat tempatnya dan tidak mengetahui halnya, sama ada daripada hidup yang ghaib dan jauh, yang tidak melihat orang yang beristighathah dan tidak mendengar istighathahnya, ataupun yang sudah mati yang telah terputus amalannya daripada dunia, sama ada dia adalah seorang Nabi ataupun orang Soleh, maka sesungguhnya dia telah melakukan perbuatan syirik, yang dengan perbuatannya itu dia menjadi musyrik dan kafir.
Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan dalam kitabnya Madarij al-Salikin, bahawa antara syirik yang kecil adalah meminta hajat daripada orang yang sudah mati, beristighathah dan bertawajuh kepada mereka. Orang yang sudah mati telah terputus amalannya dan dia sendiri tidak dapat membahayakan atau menguntungkan dirinya sendiri, apatah lagi memberi manfaat kepada orang yang meminta supaya dipenuhi hajatnya atau kepada orang yang meminta syafaatnya. Sesungguhnya tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah selain dengan keizinan-Nya. Allah tidak menjadikan istighathah atau permintaannya itu sebagai sebab bagi keizinan-Nya. Sesungguhnya yang boleh menjadi sebab keizinan-Nya adalah kesempurnaan Tauhid. Dengan perbuatan syirik ini, sebenarnya ia telah membawa sebab yang mencegah keizinan tersebut. Kedudukan orang ini seperti orang yang meminta pertolongan supaya dipenuhi hajatnya tetapi pada dirinya ada sesuatu yang mencegahnya daripada memperolehi pertolongan. Begitulah keadaan setiap orang yang melakukan perbuatan syirik.
Sebenarnya, orang yang sudah mati berhajat kepada orang yang hidup untuk berdoa untuknya, meminta rahmat atasnya dan meminta keampunan dari Allah baginya, sebagaimana yang dipesan oleh Nabi apabila menziarahi kubur. Oleh itu, beristighathah kepada Syeikh Suhaimi yang telah mati adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal waras.
Dalam kitab Ruh al-Maani, telah dipetik perkataan al-Sajjad r.a. bahawa permintaan orang yang berhajat kepada orang yang berhajat adalah kebodohan dalam pandangan dan kesesatan pada akalnya. Abu Yazid al-Bustami berkata; “Istighathah makhluk kepada makhluk seperti istighathah seorang banduan kepada seorang banduan yang lain.”
Said Hawa berpendapat pengaruh dakwah batiniyah semasa pemerintahan Ubaidiyyah ke atas beberapa negeri adalah faktor dan penyebab tersebarnya amalan istighathah di kalangan para sufi. Di kalangan Batiniyah terdapat gambaran bahawa imam mereka mengetahui perkara ghaib dan mendengar panggilan-panggilan. Rupanya pengaruh dakwah batiniyah Syi`iyah ini telah menyelinap ke dalam kumpulan Sufi tertentu iaitu dengan adanya iktikad di kalangan sebahagian pengikut-pengikut Sufi bahawa syeikh mereka mempunyai keupayaan sedemikian. Kita tidak mengingkari kasyaf, tetapi menganggap syeikh mengetahui segala sesuatu, maksum dan mengendalikan alam dalam segala hal, maka ia bererti mendakwa kedudukan lebih tinggi daripada kedudukan kenabian dan kerasulan. Pengakuan seupa itu adalah jelas merupakan kesesatan.
Pendapat al-Imam al-Alusi:
i. Beliau menyatakan bahawa ramai orang yang berdoa kepada selain Allah, yang mereka berdoa kepada para wali, baik yang masih hidup ataupun yang sudah mati dan lain-lainnya, seperti mengatakan: "Ya sayyidi Fulan, tolonglah saya." Yang demikian tidak termasuk ke dalam tawassul yang dibolehkan. Adalah tidak patut bagi seorang mukmin mengucapkan kata-kata demikian dan mendekati larangan.
ii. Menurut beliau: "Menurut pandangan saya, seseorang yang mengatakan demikian, tentulah dia mengi'tikadkan bahawa orang yang diserunya itu; sama ada ia masih hidup tapi ghaib atau sudah mati, mengetahui yang ghaib, mendengar panggilan dan berkuasa untuk mendatangkan kebaikan dan menolak bahaya. Kalau bukan adanya i'tikad tersebut, tentunya dia tidak akan berdoa kepadanya atau membuka mulutnya."
iii. Beliau berkata: "Semestinya perbuatan semacam itu dihindari, dan kita tidak memohon melainkan kepada Allah Yang Maha Kuasa, Maha Kaya, lagi Maha Berbuat apa yang dikehendaki-Nya.”
Prof. Madya Dr. Musa bin Fathullah Harun menegaskan apa yang dinaqalkan daripada beberapa ulama sufi yang tersesat berupa ucapan-ucapan yang kandungannya memerintahkan para murid dan pengikutnya supaya menyeru namanya sebagai tawasul apabila meminta pertolongan, adalah jelas merupakan kedustaan dan rekaan orang yang sesat dan berusaha untuk menyesatkan orang lain. Beliau turut menyelar buku Hakikat Syirik karangan Haji Muhammad Taha Suhaimi (tempat rujuk Asaari Muhammad), padanya terdapat nukilan seperti ini yang jelas merupakan penghinaan terhadap para wali tersebut, di samping menyesatkan para pembacanya.
Sehubungan itu, kami menyeru kepada Asaari dan para pengikutnya agar bertaubat dan membersihkan akidah mereka daripada sebarang unsur syirik yang membawa kesesatan.
Pada entri yang lain pula, kami akan membincangkan secara terperinci tentang tawasul yang dibenarkan dalam Islam dan penyelewengan yang diamalkan oleh Asaari dan pengikutnya.
sumber: rufaqa-sesat.blogspot.com
TAMBAHAN:
Hukum Orang yang Mengaku Mengetahui yang Ghaib
Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin ditanya : Apa hukum orang yang mengaku mengetahui yang ghaib ?
Jawaban :
Hukum orang yang mengaku mengetahui ilmu yang ghaib adalah kafir, karena ia mendustakan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dia berfirman. Artinya : Katakanlah : "Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan" [An-Naml : 65]
Allah memerintahkan kepada NabiNya Muhammad Shallallahu'alaihi wa sallam untuk memberitahukan kepada manusia bahwa tidak ada seorangpun di bumi maupun di langit yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sesungguhnya orang yang mengaku mengetahui ilmu yang ghaib, maka ia telah mendustakan Allah Subhanahu wa Ta'ala tentang khabar ini. Kita tanyakan kepada mereka : Bagaimana mungkin kalian mengetahui yang ghaib, sedangkan Nabi saja tidak mengetahui ? Apakah kalian lebih mulia daripada Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam ? Jika mereka menjawab : "Kami lebih mulia daripada Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam, maka mereka telah kafir kerana ucapan itu. Jika mereka mengatakan : Bahwa Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam lebih mulia, maka kami katakan : Kenapa Rasul tidak mengetahui yang ghaib, sedangkan kalian mengetahui ? Allah berfirman. Artinya : (Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diridahiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan belakangnya." [Al-Jin : 26-27]
Ini adalah ayat kedua yang menunjukkan atas kafirnya orang yang mengetahui ilmu ghaib. Allah Subhanahu wa Taaala telah memerintahkan NabiNya Shallallahu 'alaihi wa sallam untuk mengabarkan kepada manusia dengan firmanNya. Artinya : Katakanlah : "Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahwa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku." [Al-An'am : 50]
[Disalin dari kitab Majmu Fatawa Arkanil Islam, edisi Indonesia Majmu Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Akidah dan Ibadah, Penulis Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Terbitan Pustaka Arafah]
www.arrahmah.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment