Wednesday, January 22, 2014

TOKOH SUNNAH YANG WAJIB DIKENALI OLEH PARA PENCINTA DAN PEJUANG SUNNAH DI MALAYSIA





Dilahirkan pada 5hb. Julai 1927 di Kampung Sungai Dua Kecil, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ibunya bernama Aishah Bte Abdul Wahid dan ayahnya bernama Imam Abdul Ghani bin Salam seorang Imam masjid yang terkenal di daerah Kuala Pilah.


Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah tahun 1937 dan kemudiannya menyambung pelajaran di Madrasah Aliah Islamiah, Pelangai. Di sana, beliau mengenali Shamsiah Fakeh seorang pejuang wanita yang gigih. Masa pendudukan Jepun, beliau membantu bapanya berniaga dan mempelajari Bahasa Jepun.


Selepas perang tamat, beliau melanjutkan pengajian agama di Madrasah Al Akhlaq Islamiah Bagan Serai dan seterusnya di Madrasah Al Mashoor Pulau Pinang di bawah bimbingan Abu bakar Assyaari. Pengajiannya di bawah biasiswa Yang Dipertuan Besar. Beliau menamatkan pengajian pada akhir tahun 1953 dengan pangkat pertama.


Sekembalinya ke kampung, beliau memulakan kegiatan mengajar agama di beberapa buah madrasah sekitar Kuala Pilah. Kemudian bersama-sama rakan seperjuangan, beliau mengasaskan Madrasah Ittibaa’ As Sunnah (MIS) di Kampung Parit iaitu kira-kira sebatu dari Pekan Kuala Pilah. Pusat pengajian ini juga lebih dikenali surau tengah sawah yang pada asalnya terbina di tengah sawah tepi jalan utama Kuala Pilah - Seremban waktu itu. Madrasah ini dikatakan pernah menerima murid-murid dari serata negeri termasuk dari Singapura. Teks pelajaran yang diajar seperti pengajian al Quran, kitab hadis Bukhari-Muslim, kitab al Umm karya Imam Syafie, al Muwata’ Imam Malik, Bulughul Maram, Tauhid Ibnu Taimiyah, dan Muhamad Abdul Wahab, Fiqh Sunnah oleh Sayid Sabiq dan lain-lain lagi. Bahasa pengantar dan teks tersebut dalam Bahasa Arab yang mampu melahirkan pendakwah yang berilmu.


Selama penubuhannya, MIS menghadapi banyak halangan dari berbagai pihak. Pihak berkuasa negeri yang rata-rata ditunjangi oleh kaum tua pasti melihat pergerakan ini suatu ancaman dalam kerharmonian masyarakat bermazhab. Mereka keras dan tiada kompromi dalam menyanggah perkara bidaah yang diada-adakan itu. Bagi mereka tiada erti taklid sebaliknya mereka menganjurkan 'ittabaa' keduanya mempunyai pengertian hampir sama kecuali amalan sahaja berbeza. Beliau pernah dipanggil berhujjah dengan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan 18 orang Kadi serta beberapa orang ulamak yang di pengerusikan oleh Yang Di Pertua Jabatan Agama Negeri di Dewan Undangan Lama Negeri Sembilan, Seremban pada 15 Januari 1958 dan juga berhujjah dengan beberapa ulamak Daerah Kuala Pilah sebelum itu. Kerana ketegasan beliau itu, tauliah mengajar yang dikurniakan oleh Yang Di Pertuan Besar N. Sembilan ditarik balik oleh Jabatan Agama Islam N. Sembilan.


Minat beliau dalam penulisan sangat tinggi, beliau pernah menjadi wartawan akhbar Majlis, Berita Harian dan Utusan. Mengarang buku-buku agama dan menggunakan ketajaman penanya untuk membalas kritikan pihak lain tentang kefahaman kaum muda. Perdebatan sengit beliau dengan penulis Nahmar Jamil dari Perlis adalah berhubung dengan masalah bermazhab. Antara buku-buku terbitan beliau mengenai kritikan itu ialah Gayung Bersambut, Haram dan Sesat Bermazhab. Beliau juga menubuhkan institusi bernama Kursus Tertulis Al Furqan ( KTF) gaya pos dan keset iaitu pengajian al Quran secara harfiah. Dikatakan ratusan pelajarnya mengikut kursus ini. Buku-buku yang dihasilkan beliau ialah Intisari Tauhid, Bahaya Turun Dari Menara, Haji Qiran, Kata Berbalas, Wajibkah Muslim Bermazhab (terjemahan), Gayung Bersambut 1 & 2, Panduan Haji, Aurad Muhamadiah Menyeleweng, Urusan jenazah, Kenapa Mesti Menurut As Sunnah dan banyak lagi kitab-kitab serta menterjemah kitab-kitab luar.


Di penghujung usianya, beliau sempat menimba ilmu dalam bidang perubatan daripada The Homeopathy Of British dalam tahun 1994 peringkat Diploma dan beberapa sijil kursus perubatan herbalogy di Kuala Lumpur. Pada 27 November 2004 selepas menunaikan solat subuh pada jam 6.30 pagi, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang dalam usia 77 tahun. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar buat umat Islam amnya dan pencinta sunnah  khususnya. 'Beliau' yang dimaksudkan adalah, 'singa' as-sunnah dari Kuala Pilah, Allahyarham Tuan Guru Hashim Abdul Ghani. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu....


Disunting secara bebas dari http://miezaan.blogspot.com/2009/12/hashim-ghani.html & http://lobaikampung.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment