Tuesday, January 14, 2014

KRITERIA MEMBEZAKAN IBADAH, ANTARA SUNNAH DAN BID'AH



Oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Bagaimanakah caranya membezakan antara ibadah yang sunnah atau yang bid‘ah ? Berikut ini saya akan sampaikan garis panduan yang diterangkan oleh Syaikh al-islam Ibn Taimiyyah untuk menilai sama ada sesuatu amalan itu adalah sunnah atau bid’ah.


Setiap amal ibadah yang khusus kepada Allah, juga disebut sebagai al-Ibadah al-Badaniyah, seperti solat, puasa, zikir, umrah, membaca Qur’an dsbgnya, tidak akan terlepas daripada memiliki 3 unsur di dalamnya:

[1] Masa
[2] Tempat
[3] Kaedah.


Setiap dari unsur ini telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Penetapan ini adalah perlu kerana kita sebagai hamba hanyalah beribadah kepada Allah yang merupakan Tuhan kita. Kita tidak tahu apa dan bagaimana cara ibadah yang disukai oleh Allah, maka kerana itu kita hanya buat apa dan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah.


Secara terperincinya:

Pertama: Masa.

Setiap ibadah ada masanya, sebahagian ditetapkan masa yang khusus dan sebahagian ditetapkan masa yang umum. Zikir “Subhanallah” umpamanya, tidak ditetapkan masa yang khusus, bererti ianya dari sudut masa adalah umum, boleh diamalkan pada bila-bila masa.

Apabila seseorang itu menetapkan masa tertentu sahaja untuk zikir “Subhanallah”, contohnya setiap hari jam 10.00 pagi sahaja kerana menganggap ia memiliki ketetapan agama, bererti dia telah mengkhususkan masa bagi suatu amalan yang pada asalnya bersifat umum masanya. Ertinya, dia telah mensunnahkan sesuatu yang bukan sunnah, membawa kepada bid’ah.


Demikianlah juga sebaliknya dengan sesuatu amalan yang memiliki penentuan masa yang khusus lalu dibuka kekhususan tersebut kepada masa yang umum.


Kedua: Tempat


Setiap ibadah ada tempatnya juga, sebahagian ditetapkan tempat yang khusus dan sebahagian ditetapkan tempat yang umum. Zikir “Subhanallah” umpamanya, tidak ditetapkan tempat yang khusus, bererti ianya dari sudut tempat adalah umum, boleh diamalkan di mana-mana sahaja.

Apabila seseorang itu menetapkan tempat tertentu sahaja untuk zikir “Subhanallah”, contohnya di satu penjuru pokok umpamanya kerana mengganggap ada keberkatan atau tuntutan, bererti dia telah mengkhususkan bagi suatu amalan yang pada asalnya bersifat umum tempatnya. Ertinya, dia telah mensunnahkan sesuatu yang bukan sunnah, membawa kepada bid’ah.

Demikianlah juga sebaliknya dengan sesuatu amalan yang memiliki penentuan tempat yang khusus lalu dibuka kekhususan tersebut kepada tempat yang umum.


Ketiga: Kaedah.

Setiap ibadah ada kaedahnya, iaitu sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila seseorang itu menetapkan kaedah yang berlainan, umpamanya berzikir Subhanallah” dengan rentak dan gerak sekian-sekian kerana menganggap ia dianjurkan oleh syari‘at, bererti dia telah mensunnahkan sesuatu yang bukan sunnah, membawa kepada bid’ah.

Demikian penjelasan ringkas dengan satu contoh mudah iaitu berzikir kalimah “Subhanallah.” 3 unsur di atas: masa, tempat dan kaedah boleh dijadikan ukuran untuk lain-lain ibadah juga.

Walaubagaimanapun perlu dibezakan, apabila seseorang itu mengubah unsur masa, tempat dan kaedah, adakah dia melakukannya kerana mengubah suai ketetapan ibadah atau kerana latihan untuk mendisiplinkan diri.

Adakalanya seseorang itu mengubah unsur masa, tempat dan kaedah semata-mata kerana ingin melatih dirinya atau sebagai disiplin diri dalam suasana kesibukan tugas harian. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin berzikir “Subhanallah” setiap hari selepas solat Subuhnya. Tindakan dia mengkhususkan masa selepas solat Subuh bukanlah atas tujuan mengubah suai ketetapan ibadah tetapi atas tujuan mendisiplinkan diri untuk berzikir memandangkan kesibukan tugas hariannya sering menyebabkan dia leka daripada berzikir.

Apabila seseorang itu mengubah suai ketetapan masa, tempat dan kaedah atas tujuan latihan diri atau disiplin, ia tidak dikira sebagai amalan yang bid’ah.

Selain al-Ibadah al-Badaniyah, terdapat juga lain-lain tindakan umat Islam yang dikira sebagai ibadah juga, tetapi dalam konteks yang umum. Seperti menghimpunkan al-Qur’an dalam satu mushaf, azan Jumaat dua kali di zaman pemerintahan Utsman radhiallahu ‘anh, membina sekolah, menggunakan pembesar suara di masjid, menggunakan komputer sebagai medium dakwah dan sebagainya.

Semua ini adalah sesuatu yang baru, satu ijtihad yang tidak wujud di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu adakah ia merupakan satu bid’ah yang dilarang dalam Islam atau satu bid’ah yang dibolehkan – “Bid’ah Hasanah ?”

Terdapat dua langkah bagi menjawab persoalan ini:

Langkah Pertama:

Memerhatikan sama ada faktor yang menyebablan penciptaan baru tersebut, adakah ianya wujud di zaman Rasulullah atau tidak. Jika ia sudah wujud tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak mensyariatkannya, bererti ia memang tidak dimaksudkan sebagai sebahagian daripada syariat. Mengijtihadkannya di kemudian hari tidak dapat dipandang sebagai sebahagian daripada syariat, maka masuklah ia ke dalam kategori bid’ah yang dilarang.

Berbeza dengan sesuatu yang faktor penyebabnya tidak wujud di zaman Rasulullah, maka boleh diijtihadkan berdasarkan langkah kedua seterusnya.

Langkah Kedua:


Hendaklah perkara baru yang akan diijtihadkan itu memiliki petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, sama ada dari sudut zahir nas atau maqasid (objektif) nas, sama ada dari satu petunjuk yang qathi’e (jelas) atau himpunan dari beberapa petunjuk yang dzanni (kurang jelas) tetapi mengarah kepada satu petunjuk yang qathi’e.

Satu contoh bagi langkah pertama dan kedua di atas ialah azan Jumaat 2 kali di zaman Utsman radhiallahu ‘anh. Di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, suasana bandar Madinah belum penuh sesak dengan urusniaga jual beli sehingga umat Islam di saat itu tidak leka daripada waktu Solat Jumaat. Berbeza di zaman Utsman, dengan berkembangnya wilayah negara Islam ke pelbagai pelusuk dengan Madinah menjadi pusat urusniaga, umat Islam menjadi leka daripada waktu Solat Jumaat.

Maka Utsman mengijtihadkan satu azan tambahan beberapa ketika sebelum masuknya waktu Solat Jumaat. Azan tambahan ini dikira sebagai bid’ah yang dibolehkan kerana:

Pertama: Faktor penyebabnya baru timbul di zaman Utsman, tidak di zaman Rasulullah.

Kedua:
Mengijtihadkan azan tambahan agar orang ramai segera ingat kepada Solat Jumaat adalah benar demi mencapai tujuan firman Allah yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [al-Jumaah 62:09]

Demikian 2 langkah bagi menentukan sama ada sesuatu yang baru diijtihadkan selepas zaman Rasullah sebagai bid’ah yang dilarang atau dibolehkan. Dari sudut istilah, bid’ah yang dibolehkan ini juga dikenali sebagai “Bid’ah Hasanah” atau “al-Maslahah al-Mursalah” ; istilahnya berbeza tetapi konsepnya tetap sama.


Sumber:  http://soaljawab.wordpress.com/2007/05/09/kriteria-membezakan-ibadah-antara-sunnah-dan-bid%E2%80%99ah/

No comments:

Post a Comment