Friday, April 26, 2013
BIARKAN INDAHNYA WARNA PELANGI POLITIK ITU...
Politik atau siasah merupakan antara cabang hidup yang sangat
penting dalam urusan kita untuk membina ummah. Selain daripada ibadah khusus, ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan pembangunan fizikal, tidak kurang pentingnya dalam meneruskan agenda pembentukan ummah yang madani. Perkara ini sebenarnya saling berkait rapat disebabkan ia memerlukan antara satu dengan lain, kerana Islam itu adalah cara hidup untuk membentuk kesejahteraan dalam kehidupan.
Apabila politik itu stabil maka semua urusan dalam kehidupan dapat berjalan dengan baik dan begitulah sebaliknya. Contoh yang paling tepat untuk kita jadikan panduan ialah bagaimana tindakan politik Nabi Muhammad s.a.w yang telah membentuk Piagam Madinah kerana mahu mewujudkan sistem keadilan bagi masyarakat Madinah ketika itu tanpa membezakan bangsa dan keturunan. Piagam Madinah adalah asas yang paling berkesan untuk pembinaan kembara dakwah yang lebih mantap dengan memperkukuhkan sistem dan iltizam politik Islam.
Politik telah dijadikan sebagai saluran dakwah yang paling berkesan ketika itu, hinggakan sokongan terhadap Baginda telah merentasi bukan sekadar diperolehi di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam.
Natijahnya kesan yang paling manis atas kesabaran Baginda ketika berdakwah maka ramai yang memeluk Islam kerana terpikat dengan hikmah dan siasah dakwah Rasulullah s.a.w. Ianya memberi pengertian bagi kita agar turut memberi tumpuan politik sebagai medan dakwah Islamiah.
Pilihanraya Makin Hampir
Sama ada di media cetak mahupun elektronik kini, topik pilihanraya atau lebih tepat topik politik telah menjadi bualan, perbincangan dan sebutan. Sama ada pemimpin disemua lapisan dan rakyat di akar umbi terlalu asyik berbicara tentang politik dan piliharaya. Maka kedengaranlah hujah, kritikan, bangkangan, sokongan dan sebagainya yang pasti telah menyentuh emosi dan perasaan rakyat di pelbagai peringkat dan tempat.
Perang poster parti-parti yang bertanding berkibar di semua sudut dan tempat untuk menarik sokongan terhadap parti masing-masing, sehinggakan tunggul kayu di tepi jalan yang selama ini sudah terbiar telah di balut dengan poster yang berbagai ragam, bentuk dan gaya. Malah dengan penggunaan teknologi terkini dalam dunia internet maka kepantasan untuk menyampaikan maksud kempen mereka nampaknya semakin rancak dikemaskini. Kerancakan medan siasah kini semakin menarik minat apabila ada saja janji atau tawaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk memenangi hati para penyokong apatah lagi kepada para pengundi.
Pilihanraya, medan apa?
Apa yang perlu difahami ialah hakikat sebenarnya pilihanraya bukanlah medan atau gelanggang untuk kita saling salah menyalah, tuding menuding mencari salah, hina menghina antara satu dengan yang lain, fitnah-memfitnah atau menjadi medan menunjuk kuat di antara satu dengan yang lain. Namun di musim piliharaya ini muncul pelbagai cerita, tohmahan dan tempat mencari kesilapan lawan dan kawan. Malah lebih malang lagi apabila perkara tersebut berakhir dengan selisih faham yang membawa fitnah, pergaduhan dan kecederaan. Apa yang mendukacitakan lagi medan politik telah dijadikan alasan untuk matlamat menghalalkan cara. Maka tidak hairanlah jika kita memerhatikan pertelingkahan yang berlaku dalam suasana politik ini berakhir dengan pertumpahan darah dan saling berbunuh-bunuhan.
Akibat daripada apa yang berlaku ini, muncul pula persepsi bahawa politik itu kotor, ini adalah disebabkan masing-masing membelakangkan adab dan siasah Islamiah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kesan daripada itu, sebahagian umat Islam menganggap bahawa politik tidak patut diceburi yang akhirnya ada di kalangan kita yang meninggalkan langsung sektor ini sehingga kita menjadi umat Islam yang hanya diperintah bukan sebagai pemerintah.
Sebagai umat Islam perlu di ingat bahawa gelanggang politik ini sebenarnya adalah pentas atau gelanggang untuk mencari kesejahteraan hidup bernegara supaya semua rakyat diberi keadilan, dan menikmati kesejahteraan dalam kehidupan. Apa yang mesti kita ketahui ialah berpolitik merupakan kewajipan kepada umat Islam. Sebab itu sebagai seorang Islam mestilah kita mengambil bahagian atau sekurang-kurangnya menjadi pemilih kepada kaedah untuk membentuk kerajaan ini. Sebab itu keterlibatan perlulah ada di kalangan umat Islam khususnya. Ini kerana apabila tiada antara kita yang peduli dalam masalah politik ini, bimbang nanti pentas yang penting ini akan diambil alih oleh mereka yang tidak layak untuk berpolitik bagi menentukan kepimpinan Negara ini.
Sewajibnya kita mesti mengambil iktibar dari firman Allah dalam surah An- Nisa’ ayat 58 :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.
Kesedaran politik
Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya golongan muda khasnya perlu mempunyai kesedaran politik yang tinggi agar keterlibatan mereka sebagai “penggantung dan penampal poster” tidak cukup setakat itu sahaja, tetapi mereka perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agar masa depan politik mereka akan terjamin dan mempunyai prinsip politik yang mantap dalam berjuang untuk rakyat seterusnya untuk masa depan Islam itu sendiri.
Politik Nabi s.a.w
Maka sudah tiba masa dan ketika untuk kita melihat dan belajar tentang teknik dan contoh berpolitik seperti yang diajar oleh Rasullullah s.a.w. Rasullullah s.a.w bukan sahaja dikenali sebagai Nabi atau daie tetapi baginda juga adalah pencatur politik yang terbaik, malah politik juga adalah sebahagian daripada method dakwah yang digunakan oleh baginda Rasullullah s.a.w dalam menyampaikan syiar Islam. Walaupun di himpit berbagai ranjau dan dugaan sebagai pemimpin politik yang unggul beliau akhirnya berjaya menyampaikan risalah Islam ke seluruh dunia.
Akhlak Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin politik bukan sahaja disanjungi dan ditaati oleh para pengikutnya malah Rasullullah s.a.w sangat di segani dan di hormati oleh musuh-musuhnya sendiri. Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasullallah s.a.w telah berjaya dalam membentuk hal ini.
Adalah sangat menakjubkan apabila kerajaan Habsyah yang berbeza agama dengan Baginda s.a.w sudi memberi perlindungan politik kepada orang-orang Islam sebelum berhijrah ke Madinah. Tidak terbayang di benak kepala kita bagaimana mereka sanggup memberi pertolongan walau sedar dengan adanya risiko dan
ancaman yang akan berlaku terhadap kerajaannya. Sudah tentu ini adalah kerana diplomasi atau teknik politik dan siasah yang sangat berkesan yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w pada ketika itu.
Pembukaan Kota Mekah
Sejarah pembukaan Kota Mekah adalah kemuncak yang telah menceritakan segala-galanya terhadap sikap dan prinsip politik Rasullullah s.a.w. Bukan saja teknik politik Rasullullah s.a.w sangat tersusun, malah akhlak Rasullullah s.a.w dalam memaafkan segala kesalahan musuh-musuh politiknya jelas telah memberi impak atau kesan yang besar yang akhirnya Islam dihormati dan tersebar keseluruh dunia.
Hal ini di rakamkan dalam Al-Quran surah An-Nasr ayat 1-3 :
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah), Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhan-Mu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat”.
Mencontohi Nabi s.a.w
Umat Islam wajiblah menjadikan Rasullullah s.a.w sebagai contoh cara untuk berpolitik yang sihat. Janganlah kerana perbezaan pandangan politik, kita berpecah,beseteru atau memutuskan ukhwah Islamiah. Adalah sangat wajar menjadikan medan politik ini sebagai medan dakwah bil hal yang perlu ditunjukkan kepada umat-umat yang lain. Kita sebagai umat Islam adalah yang terbaik dan sudah tentu mesti menjadi contoh yang baik dalam semua keadaan.
Biarlah kita menjadi seperti pelangi, walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Dan sudah tentu itulah yang paling penting buat kita yang bernama mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama yang indah dan memelihara kedamaian.
Sesungguhnya perbezaan pendapat itu perlu dijana supaya dihadkan kesan perbalahannya. Jangan sampai nanti pilihanraya sudah berlalu tetapi kita masih bermusuh dan tidak bertegur sapa. Sebarang masalah yang timbul perlu diselesaikan secara hikmah bukan secara ammarah. Biarlah hendaknya perbezaan pandangan dan pendapat itu diraikan, bukan dijadikan sebab untuk perbalahan. Walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya pelangi kerana berbeza warnanya.
Semoga kita semua sebagai umat Islam sedar akan perkara ini dan akan menjadi umat yang maju dari semua aspek kehidupan khasnya dalam berpolitik untuk membentuk kerajaan negeri dan Negara yang diredhai serta dirahmati Allah SWT. Semoga dengan terjawabnya siapa yang menang dan siapa yang tidak berjaya dalam memenangi piliharaya kali ini, dapat meredakan ”kepanasan” yang melanda.
Marilah kita raikannya dengan bermaaf-maafan di antara satu dengan yang lain kerana dengan cara itu sahaja, kemenangan akan menjadi lebih bermakna. Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk bersikap terbuka dengan menerima segala-galanya merupakan ketentuan Allah SWT. Kita juga mengharapkan sesiapa sahaja yang menang dapat menjalankan tanggungjawabnya dan sesiapa sahaja yang kalah janganlah menyimpan dendam dan kebencian yang merugikan.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.
Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Ali-Imran :26)
sumber: adaptasi khutbah jumaat 26/4/13,JAIS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment