Oleh:
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Semalam ada pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat.
Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul. Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat.

Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya tertarik dengan segelintir yang mendakwa diri mereka beraliran
‘salaf' tetapi bersikap jauh dari jalan salaf. Apabila politik yang
mereka bernaung di bawah ketiaknya menyokong rejim-rejim tentera di
negara-negara yang sedang bergolak itu, mereka pun menari rentak yang
sama.
Seakan mereka melupai pembunuhan, pembakaran masjid, gas
yang meragut anak-anak tidak berdosa dan segala macam kezaliman lain,
yang mereka sibuk ia membaca dalil pengharaman demonstrasi. Dalil
pembunuhan bagai dilupakan. Kemudian mereka mengiktiraf pula perampasan
kuat secara tentera yang jauh lebih ganas dari demonstrasi.

Politik atau siasah merupakan antara cabang hidup yang sangat
penting dalam urusan kita untuk membina ummah. Selain daripada ibadah khusus, ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan pembangunan fizikal, tidak kurang pentingnya dalam meneruskan agenda pembentukan ummah yang madani. Perkara ini sebenarnya saling berkait rapat disebabkan ia memerlukan antara satu dengan lain, kerana Islam itu adalah cara hidup untuk membentuk kesejahteraan dalam kehidupan.
Apabila politik itu stabil maka semua urusan dalam kehidupan dapat berjalan dengan baik dan begitulah sebaliknya. Contoh yang paling tepat untuk kita jadikan panduan ialah bagaimana tindakan politik Nabi Muhammad s.a.w yang telah membentuk Piagam Madinah kerana mahu mewujudkan sistem keadilan bagi masyarakat Madinah ketika itu tanpa membezakan bangsa dan keturunan. Piagam Madinah adalah asas yang paling berkesan untuk pembinaan kembara dakwah yang lebih mantap dengan memperkukuhkan sistem dan iltizam politik Islam.
Politik telah dijadikan sebagai saluran dakwah yang paling berkesan ketika itu, hinggakan sokongan terhadap Baginda telah merentasi bukan sekadar diperolehi di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam.
Natijahnya kesan yang paling manis atas kesabaran Baginda ketika berdakwah maka ramai yang memeluk Islam kerana terpikat dengan hikmah dan siasah dakwah Rasulullah s.a.w. Ianya memberi pengertian bagi kita agar turut memberi tumpuan politik sebagai medan dakwah Islamiah.

Pilihanraya Makin Hampir
Sama ada di media cetak mahupun elektronik kini, topik pilihanraya atau lebih tepat topik politik telah menjadi bualan, perbincangan dan sebutan. Sama ada pemimpin disemua lapisan dan rakyat di akar umbi terlalu asyik berbicara tentang politik dan piliharaya. Maka kedengaranlah hujah, kritikan, bangkangan, sokongan dan sebagainya yang pasti telah menyentuh emosi dan perasaan rakyat di pelbagai peringkat dan tempat.
Perang poster parti-parti yang bertanding berkibar di semua sudut dan tempat untuk menarik sokongan terhadap parti masing-masing, sehinggakan tunggul kayu di tepi jalan yang selama ini sudah terbiar telah di balut dengan poster yang berbagai ragam, bentuk dan gaya. Malah dengan penggunaan teknologi terkini dalam dunia internet maka kepantasan untuk menyampaikan maksud kempen mereka nampaknya semakin rancak dikemaskini. Kerancakan medan siasah kini semakin menarik minat apabila ada saja janji atau tawaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk memenangi hati para penyokong apatah lagi kepada para pengundi.
Pilihanraya, medan apa?
Apa yang perlu difahami ialah hakikat sebenarnya pilihanraya bukanlah medan atau gelanggang untuk kita saling salah menyalah, tuding menuding mencari salah, hina menghina antara satu dengan yang lain, fitnah-memfitnah atau menjadi medan menunjuk kuat di antara satu dengan yang lain. Namun di musim piliharaya ini muncul pelbagai cerita, tohmahan dan tempat mencari kesilapan lawan dan kawan. Malah lebih malang lagi apabila perkara tersebut berakhir dengan selisih faham yang membawa fitnah, pergaduhan dan kecederaan. Apa yang mendukacitakan lagi medan politik telah dijadikan alasan untuk matlamat menghalalkan cara. Maka tidak hairanlah jika kita memerhatikan pertelingkahan yang berlaku dalam suasana politik ini berakhir dengan pertumpahan darah dan saling berbunuh-bunuhan.
Akibat daripada apa yang berlaku ini, muncul pula persepsi bahawa politik itu kotor, ini adalah disebabkan masing-masing membelakangkan adab dan siasah Islamiah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kesan daripada itu, sebahagian umat Islam menganggap bahawa politik tidak patut diceburi yang akhirnya ada di kalangan kita yang meninggalkan langsung sektor ini sehingga kita menjadi umat Islam yang hanya diperintah bukan sebagai pemerintah.
Sebagai umat Islam perlu di ingat bahawa gelanggang politik ini sebenarnya adalah pentas atau gelanggang untuk mencari kesejahteraan hidup bernegara supaya semua rakyat diberi keadilan, dan menikmati kesejahteraan dalam kehidupan. Apa yang mesti kita ketahui ialah berpolitik merupakan kewajipan kepada umat Islam. Sebab itu sebagai seorang Islam mestilah kita mengambil bahagian atau sekurang-kurangnya menjadi pemilih kepada kaedah untuk membentuk kerajaan ini. Sebab itu keterlibatan perlulah ada di kalangan umat Islam khususnya. Ini kerana apabila tiada antara kita yang peduli dalam masalah politik ini, bimbang nanti pentas yang penting ini akan diambil alih oleh mereka yang tidak layak untuk berpolitik bagi menentukan kepimpinan Negara ini.
Sewajibnya kita mesti mengambil iktibar dari firman Allah dalam surah An- Nisa’ ayat 58 :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.
Kesedaran politik
Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya golongan muda khasnya perlu mempunyai kesedaran politik yang tinggi agar keterlibatan mereka sebagai “penggantung dan penampal poster” tidak cukup setakat itu sahaja, tetapi mereka perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agar masa depan politik mereka akan terjamin dan mempunyai prinsip politik yang mantap dalam berjuang untuk rakyat seterusnya untuk masa depan Islam itu sendiri.
Politik Nabi s.a.w
Maka sudah tiba masa dan ketika untuk kita melihat dan belajar tentang teknik dan contoh berpolitik seperti yang diajar oleh Rasullullah s.a.w. Rasullullah s.a.w bukan sahaja dikenali sebagai Nabi atau daie tetapi baginda juga adalah pencatur politik yang terbaik, malah politik juga adalah sebahagian daripada method dakwah yang digunakan oleh baginda Rasullullah s.a.w dalam menyampaikan syiar Islam. Walaupun di himpit berbagai ranjau dan dugaan sebagai pemimpin politik yang unggul beliau akhirnya berjaya menyampaikan risalah Islam ke seluruh dunia.
Akhlak Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin politik bukan sahaja disanjungi dan ditaati oleh para pengikutnya malah Rasullullah s.a.w sangat di segani dan di hormati oleh musuh-musuhnya sendiri. Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasullallah s.a.w telah berjaya dalam membentuk hal ini.
Adalah sangat menakjubkan apabila kerajaan Habsyah yang berbeza agama dengan Baginda s.a.w sudi memberi perlindungan politik kepada orang-orang Islam sebelum berhijrah ke Madinah. Tidak terbayang di benak kepala kita bagaimana mereka sanggup memberi pertolongan walau sedar dengan adanya risiko dan
ancaman yang akan berlaku terhadap kerajaannya. Sudah tentu ini adalah kerana diplomasi atau teknik politik dan siasah yang sangat berkesan yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w pada ketika itu.
Pembukaan Kota Mekah
Sejarah pembukaan Kota Mekah adalah kemuncak yang telah menceritakan segala-galanya terhadap sikap dan prinsip politik Rasullullah s.a.w. Bukan saja teknik politik Rasullullah s.a.w sangat tersusun, malah akhlak Rasullullah s.a.w dalam memaafkan segala kesalahan musuh-musuh politiknya jelas telah memberi impak atau kesan yang besar yang akhirnya Islam dihormati dan tersebar keseluruh dunia.
Hal ini di rakamkan dalam Al-Quran surah An-Nasr ayat 1-3 :
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah), Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhan-Mu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat”.
Mencontohi Nabi s.a.w
Umat Islam wajiblah menjadikan Rasullullah s.a.w sebagai contoh cara untuk berpolitik yang sihat. Janganlah kerana perbezaan pandangan politik, kita berpecah,beseteru atau memutuskan ukhwah Islamiah. Adalah sangat wajar menjadikan medan politik ini sebagai medan dakwah bil hal yang perlu ditunjukkan kepada umat-umat yang lain. Kita sebagai umat Islam adalah yang terbaik dan sudah tentu mesti menjadi contoh yang baik dalam semua keadaan.
Biarlah kita menjadi seperti pelangi, walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Dan sudah tentu itulah yang paling penting buat kita yang bernama mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama yang indah dan memelihara kedamaian.
Sesungguhnya perbezaan pendapat itu perlu dijana supaya dihadkan kesan perbalahannya. Jangan sampai nanti pilihanraya sudah berlalu tetapi kita masih bermusuh dan tidak bertegur sapa. Sebarang masalah yang timbul perlu diselesaikan secara hikmah bukan secara ammarah. Biarlah hendaknya perbezaan pandangan dan pendapat itu diraikan, bukan dijadikan sebab untuk perbalahan. Walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya pelangi kerana berbeza warnanya.
Semoga kita semua sebagai umat Islam sedar akan perkara ini dan akan menjadi umat yang maju dari semua aspek kehidupan khasnya dalam berpolitik untuk membentuk kerajaan negeri dan Negara yang diredhai serta dirahmati Allah SWT. Semoga dengan terjawabnya siapa yang menang dan siapa yang tidak berjaya dalam memenangi piliharaya kali ini, dapat meredakan ”kepanasan” yang melanda.
Marilah kita raikannya dengan bermaaf-maafan di antara satu dengan yang lain kerana dengan cara itu sahaja, kemenangan akan menjadi lebih bermakna. Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk bersikap terbuka dengan menerima segala-galanya merupakan ketentuan Allah SWT. Kita juga mengharapkan sesiapa sahaja yang menang dapat menjalankan tanggungjawabnya dan sesiapa sahaja yang kalah janganlah menyimpan dendam dan kebencian yang merugikan.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.
Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Ali-Imran :26)
sumber: adaptasi khutbah jumaat 26/4/13,JAIS
Niccolo Machiavelli dilahirkan pada 3 Mei 1469 di Florence, Itali. Ayah
beliau adalah seorang ahli hukum dan beliau dibesarkan dalam keluarga
yang ternama tetapi tidak begitu berada.
Falsafah Politik Machiavelli
Falsafah politik Machiavelli adalah falsafah pengalaman peribadinya yang bersifat saintifik dan empirikal yang berdasarkan suasana kekacauan politik pada zaman Renaissance. Ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan, beliau telah menemui ramai ahli politik yang terkemuka dan salah seorang daripada mereka ialah putera Alexander VI, Cesara Borgia, yang telah memberi kesan mendalam kepadanya. Machiavelli kagum dengan cara pemerintahan Borgia yang bijak mengatur perancangan bagi memenuhi cita-cita walaupun bertindak dengan zalim sebagaimana digambarkan dalam karya beliau, The Prince.
Fikiran pokok buku ini ialah,
"untuk mengekalkan kuasa, para pemerintah harus mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran menipu."
Dalam tulisan Machiavelli, beliau banyak menceritakan sejarah kerajaan terdahulu seperti kerajaan Yunani dan Rom yang memusatkan kepada kuasa sebagai tunggak pemerintahan. Beliau juga mengatakan pemerintah perlu bijak mengaburi mata rakyat dengan menyuap rakyat dengan hiburan, pertunjukan seni dan sukan bagi melalaikan mereka dan agar terus mendapat sokongan daripada rakyat. Jika ada yang menentang, perlaksanaan undang-undang secara tegas walaupun dalam bentuk kezaliman perlu dikenakan sebagai hukuman tetapi pada masa yang sama dalam bentuk yang kelihatan saksama.
Politik Tanpa Moral
Machiavelli bersikap kritikal terhadap suasana politik semasa yang ketika itu zaman Kecerahan yang penuh dengan korupsi dan berlaku penindasan yang mengongkong kehidupan oleh pihak kerajaan yang dikuasai oleh golongan paderi. Maka, persoalan yang ditimbulkan Machiavelli ialah bagaimana kuasa politik digunakan untuk menstabilkan keadaan. Beliau bersikap prejudis terhadap agama dengan menafikan peranan agama dalam politik.
Menurutnya, politik tidak sewajarnya cuba dikaitkan dengan persoalan moral atau agama kerana ia boleh mendedahkan seseorang kepada golongan musuh yang cerdik dan licik. Melalui fahaman sekularisme ini, beliau berpendapat bahawa nilai kemahiran dalam pentadbiran adalah lebih tinggi daripada nilai moral. Berdasarkan pemerhatian Machiavelli terhadap pemerintah Borgia, beliau memuji-muji pemerintahan Borgia yang mencintai kemahiran pemerintahan.
Menurut teori politik Machiavelli, kuasa politik boleh didapati dengan dua cara iaitu pertama, jika bernasib baik melalui warisan daripada keturunan
atau yang kedua, melalui penaklukan. Bagi menguasai negara baru, pihak pemerintah hendaklah menghapuskan seluruh pencabarnya dari kerajaan terdahulu walau dengan apa cara pun.
Kemudian, pemerintah harus bijak menggunakan propaganda untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat. Dari aspek ini, Machiavelli menyatakan kecemerlangan sesebuah pemerintah hanya memerlukan seorang pemerintah yang mempunyai metod pemerintahan yang licik dan dapat menyelesaikan segala masalah.
Ciri Pemerintahan Yang Baik
Machiavelli menggariskan beberapa ciri yang dianggapnya sebagai asas utama dalam mengekalkan kuasa walaupun persepsi dari sudut moralnya buruk sekali. Menurut beliau, keperibadian seorang pemimpin adalah asas bagi kemantapan sebuah kerajaan. Beliau menyatakan nilai–nilai buruk yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah seperti sifat kedekut, melakukan kejahatan dan tidak takut kepada kutukan rakyat.
Malahan menurutnya, seorang pemimpin seharusnya mengutamakan sifat kedekut lebih daripada pemurah. Sifat pemurah hanya ditunjukkan ketika memerlukan sokongan dan pujian rakyat. Jika mahu menunjukkan sifat pemurah, pemimpin seharusnya menggunakan harta orang lain untuk diberikan kepada rakyat tetapi bagaimanapun, bukan dengan cara merampas harta mereka.
Dalam bab 17 buku The Prince, Machiavelli membincangkan apakah seorang pemimpin itu lebih baik ditakuti atau dicintai.
Beliau menjelaskan lebih baik pemimpin itu ditakuti dari dicintai dengan bertindak kejam dalam menjalankan hukuman terhadap rakyat. Hukuman yang kejam akan memberi kesan yang lebih mendalam kerana ia dapat menakutkan ramai orang dan mengurangkan jenayah. Walau bagaimanapun, pemimpin perlu menghindari dibenci rakyat dengan tidak merampas harta mereka.
Beliau menambah, perasaan dicintai itu boleh hilang mengikut kehendak bebas manusia tetapi apabila ditakuti dan diperkuatkan lagi dengan kengerian akan hukuman, ianya selalu berkesan. Kalau pun pemimpin itu tidak dicintai, sekurang-kurangnya dia tidak dibenci rakyat.
Dalam bab 18 yang berjudul “Cara bagaimana seorang pemimpin memegang kesetiaan(janji)”. Di sini Machiavelli berkata seorang pemimpin yang cermat tidak harus memegang kesetiaannya(janjinya) jika sesuatu yang dilakukan itu berlawanan dengan kepentingannya. Beliau memberi dua kaedah perjuangan politik. Pertama, melalui undang-undang tetapi ini selalunya menemui kegagalan. Kedua, melalui kekerasan dan penipuan ataupun yang diistilahkan sebagai ‘cara binatang’. Pemimpin perlu memiliki sifat kedua-dua binatang singa dan kancil. Singa kerana ganas dan lambang dahagakan kuasa dan kancil yang sangat licik bijak menipu.
Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan hariannya. Dia harus berpura-pura menonjolkan nilai baik dalam dirinya terutama sifat pemurah, jujur, berperikemanusiaan, baik budi dan alim. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan apa yang dilihat sahaja daripada apa yang mereka rasa. Perubahan karakter pemimpin mestilah mengikut keadaan. Rasa sayang dan moral dapat diabaikan jika diperlukan.
Seterusnya, Machiavelli menyatakan seorang pemimpin harus mengelakkan diri daripada dibenci dan melakukan perkara yang mengaibkan mereka di mata rakyat. Ini boleh dilakukan dengan tidak merampas harta rakyat, tidak merampas isteri orang bawahan dan tidak menonjolkan sifat tamak dan berkeinginan. Di samping itu seorang pemimpin mestilah ada sikap yang konsisten dengan tidak berubah sikap dalam tindakannya, tidak bersikap melulu, lemah, pengecut dan tidak tegas. Dia juga perlu pandai mengambil hati golongan pembesar negara dan membahagiakan rakyat bawahannya. Pemerintah perlu membimbing para pembesar cara bergaul dengan rakyat dan memberi penghargaan kepada rakyat.
Bagaimanapun, dalam mencapai dan mengukuhkan kuasa, seseorang pemimpin itu hendaklah mengukur antara manfaat tindakan yang baik dan tindakan yang buruk. Jika perlu memperolehi kuasa, maka tindakan buruk diutamakan. Demi kepentingan kuasa politik, bagi beliau pemerintah diharuskan menggunakan sebarang cara untuk merealisasikan matlamatnya dengan doktrin, the end justifies the means. Pada pandangan Machiavelli, dalam politik adalah sesuatu yang bodoh jika seseorang pemimpin itu menggunakan cara yang boleh membawa kegagalan kepadanya sehingga hilang kekuasaan.
Manakala menurut ajaran Islam yang suci:”Barangsiapa yang diangkat oleh Allah untuk memimpin rakyatnya, kemudian ia tidak mencurahkan kesetiaannya, maka Allah haramkan baginya surga” [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim].
Dalam lafadh yang lain disebutkan : ”Ia mati dimana ketika matinya itu ia dalam keadaan menipu rakyatnya, maka Allah haramkan baginya syurga”.[5]
sumber: sejarahstpm.blogspot
Oleh Al-Fadhil Tuan Guru Haji Haron Din Hafizahullah
SAYA lihat PAS makin bermasalah. Dahulu banyak polisi atau dasar PAS, bagi saya mudah saya terima dan mudah dipertahankan. Tetapi sekarang dalam hal berkawan dengan DAP, yang dikatakan tahaluf, saya kurang mengerti dan saya rasa sukar untuk dipertahankan. Apakah Dato' boleh beri nasihat kepada orang seperti saya, dalam hal sebegini bagi mempertahankan PAS. Terima kasih.
SAID ADAM
Kamunting, Perak
JAWAPAN:
APABILA PAS hendak membuat sesuatu polisi, ia bukan dibuat sesuka hati atau menurut sahaja kehendak seorang dua pemimpin.
Akan tetapi ia dibuat dalam bentuk kertas cadangan yang dibawa ke beberapa tahap perbincangan daripada pandangan pemimpin peringkat negeri hingga ke PAS Pusat.
Kita mempunyai Lajnah Politik, Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat dan dibawa ke AJK PAS Pusat.
Akhirnya selepas diperhalusi dan dibincangkan, ia dibawa ke Majlis Syura Ulamak.
Seandainya semua yang dilalui itu lulus syariah, maka dibawa pula ke Muktamar Tahunan PAS Pusat. Jika semuanya berjalan lancar dan diluluskan, maka baharulah ia menjadi polisi untuk dilaksanakan.
Ertinya, persoalan tahaluf yang anda sebut sebagai berkawan dengan DAP, memang berlaku dan pada istilah politiknya 'Tahaluf Siyasi Islami'(Pakatan politik Islam).

Ia dibuat dengan mengambil kira segala hukum, segala aspek kepentingan parti serta kesesuaian atau tidak dengan masa yang dibuat tahaluf tersebut.
'Tahaluf Siyasi Islami' adalah suatu polisi yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w., dirangka suatu pelaksanaan dasar Islam dalam masyarakat majmuk di zaman baginda.
Oleh kerana Islam lahir dan berkembang dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, maka keperluan untuk mewujudkan kerjasama di antara kaum dan agama, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Ia pasti berlaku, jika tidak Islam akan tersisih dari arus penghidupan dan tertinggal di belakang, tanpa dipedulikan.
Masyarakat Madinah sebagai contoh, adalah masyarakat yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang agama, iaitu Islam, Yahudi, Nasrani, Majusi, Dahri, Wathani dan sebagainya.
Ia juga mempunyai pelbagai bangsa Arab, Balbar, kaum Yahudi, kaum Nasrani dan sebagainya.
Jika itulah realitinya, maka bagaimana Islam boleh hidup bersefahaman, dan mereka yang tidak Islam boleh menerima Islam.
Jika tidak ada tonggak yang menyatupadukan masyarakat, dalam sebuah negara, maka di atas itu mestilah ada kerjasama yang disebutkan sebagai tahaluf siyasi.
Rasulullah s.a.w. bertahaluf siyasi dengan Yahudi Bani Auf, tercatat dalam perjanjian tahaluf, iaitu pada perkara pertama disebut:
"Kaum Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama dengan orang Mukmin. Mereka bebas mengamalkan agama mereka sendiri dan orang Islam dengan agama mereka. Begitu juga dengan orang-orang yang bersekutu dengan mereka, termasuk juga diri mereka sendiri. Perkara ini juga untuk Yahudi-Yahudi lain dan bukan untuk Bani Auf sahaja."
Cuba renungkan perjanjian atau persefahaman yang Rasulullah s.a.w. buat, bukan di antara orang Islam dengan Bani Auf sahaja, tetapi dengan kesemua kaum Yahudi.
Ertinya jika dengan Yahudi pun Nabi s.a.w bertahaluf, maka anda harus faham mengapa PAS bertahaluf dengan DAP.
Apa yang PAS lakukan adalah benar dan harus dari segi syarak, iaitu bertahaluf dengan DAP.
Di dalam al-Quranul Karim, Allah berfirman (mafhumnya): "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik (bekerjasama) dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orangorang yang zalim." (Surah alMumtahanah, ayat 8 dan 9)
Jika jelas sebegitu, apakah anda masih tidak boleh terima? Yang penting tindakan PAS tersebut adalah syarie dan boleh disokong orang-orang Islam.
Namun demikian, tahaluf siyasi dalam Islam bukannya qat'ie atau yang mesti diikut selama-lamanya. Ianya suatu keperluan di suatu masa, selagi kepentingan Islam tidak benar-benar tergugat dan tidak mendapat keuntungan daripada bertahaluf. Ertinya ia tidak selama-lamanya.
Jika keberuntungan kepada Islam terjejas, kedaulatan Islam tidak terbela, maka tahaluf ini, dari segi hukumnya boleh disemak semula. Wallahua'lam.

Oleh: Dr. Mohd Asri
Nabi s.a.w tidak meninggalkan perincian dalam masalah politik.
Politik bukanlah ibadah khusus seperti solat, puasa yang seumpamanya yang tidak boleh diubah.
Politik itu sesuatu yang bergerak berdasarkan kemaslahatan hidup manusia. Justeru itu, Nabi s.a.w tidak meninggalkan pendetailan tentang politik, sebaliknya hanyalah prinsip-prinsip umum untuk dipegang oleh manusia. Jika ada pendetailan, ia mempunyai faktor tempat dan masa yang terdedah kepada perubahan.
Apatahlagi, pentadbiran kerajaan Nabi s.a.w tidaklah sistematik seperti zaman selepas itu. Ini kerana keperluan politik sudah memadai dengan bentuk pengurusan yang lebih menjurus kepada tribal system ketika itu. Maka pengurusan Nabi s.a.w berdasarkan kepada keperluan rakyat. Kemudian politik itu berkembang dan pengurusannya lebih rumit dan terperinci. Tidak sama pula antara satu tempat dengan yang lain, antara negeri dengan negeri, antara negara dengan negara.
Maka, kita dapati banyak perubahan politik yang dilakukan selepas kewafatan Nabi s.a.w, khususnya bermula pada zaman Saidina ‘Umar al-Khattab. Ijtihad dalam politik lebih luas dan terbuka. Terasnya, kemaslahatan rakyat. Islam bersifat luas dalam hal politik. Ini kerana syariat itu dibina atas dasar kemaslahatan manusia.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).
Ertinya, apa yang penting dalam penegakan syariat adalah tujuan atau maqsad utama syariat itu iaitu kemaslahatan manusia. Bukan soal nama yang penting tetapi matlamat dari perlaksanaan sesuatu perkara yang dikaitkan dengan nama syariah itulah yang paling penting.
Jika kita memberikan nama yang ‘islamik’ sekalipun, tetapi tidak mencapai tujuan syariah iaitu keadilan untuk manusia, maka ia tidak boleh dianggap islamik. Nama bukan penentu, isi dan pencapaian maqsad itulah yang paling penting. Sebab itu, jika menamakan negara dengan ‘daulah islamiyyah’ tetapi tidak mencapai maqsad keadilan, maka nama itu tidak bererti, bahkan memberikan salahfaham umum terhadap agama yang suci ini.
Realiti Semasa
Untuk mencapai keadilan dan tujuan perlaksanaan syariah, ia memerlukan kefahaman terhadap nas dan penelitian terhadap realiti semasa. Kefahaman yang literal terhadap hadis-hadis siyasah akan menjadikan perlaksanaan Islam dalam bidang tersebut gagal mencapai tujuan sebenar syariat. Sebab itu dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani)
Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:
“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.
Dalam riwayat Abu Daud:
“Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani.)
Dalam hadis di atas, Nabi s.a.w mengambil kira persoalan realiti tempat, masa dan kesan terhadap sesuatu perlaksanaan hukum. Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapuhan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati.
Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang kondusif itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.
Demikian juga dalam hadis Anas bin Malik, dia berkata:
“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w enggan menetapkan atau mengawal harga barang (price control policy). Baginda bimbang itu akan menzalimi peniaga. Ini sangat relevan dengan keadaan para peniaga pada zaman baginda, keadaan barangan yang diniagakan dan juga bentuk perdagangan yang ada ketika itu.
Namun, apabila zaman berubah, sikap peniaga, keadaan pasaran (market situation) pun berubah. Jika price control policy tidak diwujudkan, para pembeli pula mungkin menjadi mangsa. Untuk itu kita dapati para sarjana fekah sejak dahulu ada yang memboleh penetapan harga oleh pihak berkuasa apabila melihat kepada perubahan keadaan.
Kata al-Munawi (meninggal 1031H) :
“Rabiah (bin ‘Abd al-Rahman) telah mengharuskan penetapan harga. Ini sebenarnya Mazhab ‘Umar, kerana itu akan memelihara sistem harga. Kata Ibn al-‘Arabi al-Maliki: Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Hal yang sama disebut oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa.
Kefahaman yang sebegini bukan menolak hadis, sebaliknya berusaha melihat nas dari segi teks dan konteks. Maka, pemimpin muslim yang hendak memimpin umat dalam era ini, tidak boleh terlalu literal dalam memahami nas, tetapi hendaklah melihat Maqasid al-Syariah (The higher objectives of Islamic Law) bagi setiap nas-nas yang berkaitan politik islami.
sumber: Minda Tajdid
Oleh: Dr. Mohd.Asri Zainul Abidin
Apabila dunia Islam bergolak disebabkan kebosanan dan rasa menyampah rakyat kepada regim ataupun penguasa mereka yang korupsi dan tidak jujur, mereka mula mencari alternatif pemimpin baru untuk diberikan amanah memimpin negara.
Dalam carian mereka, tokoh-tokoh agamawan ataupun mereka yang dilihat sebagai pendakwah antara yang dicalonkan untuk amanah tersebut.
Malangnya, dalam masa yang sama, kelompok agama ini pula ada yang seakan dalam dilemma ataupun kekaburan dalam melihat persamaan dan perbezaan antara tugasan dakwah dan tugasan politik.
Persamaan
Sebelum kita sebut perbezaan, kita tahu dakwah dan siyasah dalam Islam ini ada persamaan dalam beberapa sudut. Antaranya, keduanya hendaklah dilakukan sebagai menunaikan perintah Allah. Maka keikhlasan wajib untuk keduanya. Dakwah ke jalan Islam bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam yang begitu luas.
Siyasah syar'iyyah itu pula sebahagian dari ajaran Islam. Dalam gerak kerja dakwah, seseorang mungkin menyeru atau memfokuskan seruan dakwahnya kepada mana-mana ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak muamalat dan juga siyasah. Dengan itu seruan kepada menghayati siyasah syar'iyyah merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah.
Kerja dakwah itu menyuruh kepada yang baik, mencegah dari kemungkaran, itulah juga tanggungjawab seseorang muslim yang mendapat kuasa siyasah. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud:
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
Dari ayat di atas kita tahu kekuasaan bagi membolehkan manusia aman menunaikan ibadah badaniyah dan maliyah yang diwakili oleh solat dan zakat. Kemudian dengan kekuasaan ditegakkan yang makruf iaitu segala bentuk kebaikan untuk kehidupan manusia daripada akidah, ibadah, kebajikan kehidupan harian seorang insan tanpa mengira latar agama, keadilan dan ihsan.
Begitu dengan kuasa dicegah kemungkaran yang diperintahkan oleh Islam untuk cegah. Kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya.
Menegakkan kemaslahatan rakyat adalah tugasan penguasa, sementara mengajak manusia kepada kemaslahatan awam adalah tugasan pendakwah. Konsep 'al-Khair' ataupun kebaikan dengan makna yang luas yang diminta oleh al-Quran untuk pendakwah seru kepadanya, al-Khair yang sama dituntut kepada pemerintah untuk menegakkannya.
Justeru, Pemerintah yang soleh sebenarnya melakukan tugasan dakwah, sementara pendakwah yang soleh membantu kepada menegakkan siyasah syar'iyyah. Maka Ta'awun ‘ala al-Birr wa al-Taqwa boleh berlaku antara dua pihak.
Perbezaan
Walaupun terdapat persamaan antara gerak kerja ataupun tugasan dakwah dibandingkan siyasah, namun di sana juga terdapat perbezaan antara keduanya yang jika tidak difahami dengan betul akan menyebabkan kekeliruan kepada yang terlibat. Ia juga akan membawa kepada sesetengah keliru dan berada dalam dilemma dalam memahami perbezaan antara keduanya.
Antaranya, dalam dakwah, yang penting ialah kejelasan mesej yang disampaikan kepada mad'u (orang yang didakwa). Ini kerana tujuannya untuk memudahkan mereka beriman dan beramal. Sementara dalam siyasah yang penting adalah terlaksananya kemaslahatan sekalipun mungkin tidak difahami oleh orang bawahan.
Inilah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Majoriti sahabat Nabi S.A.W melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.
Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'. Kata ‘Umar: "Tidakah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya'.
Kata ‘Umar: "Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukuman-NYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah). Jawab Nabi s.a.w: "Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)
Namun Nabi S.A.W melihat perjanjian itu di sudut politik yang mempunyai kesan yang lebih mendalam dan berterusan. Perjanjian itu telah memberi nafas baru dalam penyebaran risalah Islam dengan cara yang lebih luas dan berwibawa. Semangat dakwah menolak, tetapi strategi siyasah menerimanya.
Pemimpin
Mereka yang boleh melakukan tugasan dakwah belum tentu boleh melakukan tugasan politik. Justeru, Nabi S.A.W tidak memberikan jawatan kepimpinan kepada mereka yang soleh tetapi tidak mempunyai kemampuan kepimpinan.
Sabda Nabi S.A.W kepada sahabatnya yang soleh Abu Zar: "Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam sirah, Rasulullah S.A.W melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak' tetapi tangkas dan menetapi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.
Bahkan Nabi S.A.W mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam.
Senioriti dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis "Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kurang Soleh
Dakwah itu menentu menuntut kepada uswah hasanah ataupun teladan yang baik. Mereka yang tertonjol dalam dakwah itu terdiri dari mereka yang terpuji akhlak di khalayak manusia. Hal ini tidak semestinya berlaku dalam politik. Dalam politik amanah kepimpinan dirujuk kepada tuntutan ataupun keperluan jawatan. Sekalipun akhlak dan nilai diri amat penting, namun kadang-kala keadaan menuntut jawatan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu jawatan.
Ini disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan - diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri . Adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam". Maka berperang bersama yang kuat dan jahat."
Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [Ibn Tamiyyah, al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, m.s 29. Kuwait: Dar al-Arqam]
Kerjasama
Secara umumnya, muslim perlu perkongsian dengan penganut agama lain dalam menyeru kepada akidah dan ibadah. Namun, dalam politik kerjasama dibolehkan jika ada keperluan untuk melakukan hal tersebut demi kemaslahatan awam. Bahkan kadang-kala tolak ansur antara pihak muslim dan selain muslim dibolehkan jika kemaslahatan menuntut berbuat demikian.
Justeru Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga Imam al-Baihaqi - dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda:
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai."
Banyak lagi perbezaan yang perlu difahami oleh golongan agamawan tentang neraca politik serta gerakerjanya yang mungkin berbeza sebelum mereka menyertai dan mengulas mengenainya.
sumber: Malaysiakini