Showing posts with label pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label pilihanraya. Show all posts

Monday, April 22, 2013

HUKUM MENGUNDI PILIHANRAYA....FATWA KONTEMPORARI



Majoriti ulama’
menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب


Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim
menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

- Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
- Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

“Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1- Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik

2- Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga


3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim

4- Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.

5- Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.




Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1- “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

2- “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3- Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :

4- “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]


Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :


- Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
- Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam


- Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
- Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya
Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat
ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1- Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.

2- Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.

3- Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

- Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
- Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
- Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

Feqh Aulawiyat : -

- Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
- Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1- Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2- Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3- Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4- Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :

1- Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2- Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3- Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4- Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5- Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6- Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).


Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :


1- Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2- Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3- Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4- Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5- Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6- Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami

SUMBER: HARAKAHDAILY

Monday, April 8, 2013

ADAKAH DOSA PAHALA DALAM MENGUNDI PILIHANRAYA?




Kepada Dr Mohd Asri,
apabila menjelang pilihanraya, pelbagai pandangan akan dikeluarkan oleh macam-macam pihak. Ada yang kaitkan isu-isu agama dengan proses membuang undi.

Soalan saya, sejauh manakah soal dosa dan pahala dalam mengundi ini. Apakah seseorang itu boleh dikira berdosa atau dapat pahala kerana mengundi parti tertentu?
Harap Dr Asri tolong huraikan.

Zamani, Johor.



JAWAPAN PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN:
Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sebagai seorang muslim kita wajar prihatin terhadap perkara-perkara yang seperti ini. Apatahlagi, persoalan seperti undian dalam pilihanraya yang walaupun kelihatan sangat ringkas prosesnya, tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap pembentukan sesebuah negara.

Sekalipun kadang-kala ada perkara dalam sistem pilihanraya itu tidak memenuhi kehendak syarak, namun kepentingannya terhadap masa depan sesebuah negara itu tidak dapat dinafikan. Bahkan, jika diperhatikan sistem demokrasi jauh lebih baik dari segala sistem lain yang sedang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia hari ini.



Melalui demokrasi, rakyat dapat bersuara dan memilih orang yang mereka redha sebagai pemimpin. Pemimpin pula tidak begitu berani melakukan kezaliman dan penyelewengan disebabkan mereka tahu rakyat mempunyai hak dalam menentukan kedudukan mereka. Ini lebih baik dari sistem autocracy.

Bahkan demokrasi yang adil akan lebih baik dari pentadbiran sesetengah para pemerintah dalam sejarah umat Islam pada zaman Umawiyyah, ‘Abbasiyyah dan selain mereka yang bersifat kuku besi dan bertindak tanpa menghormati hak rakyat. Untuk menjawab persoalan saudara tentang dosa dan pahala undian dalam pilihanraya, maka saya sebut perkara-perkara berikut;



1. Pada asasnya dalam Islam,
setiap amalan kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala. Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu, bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu amalan.

Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut, maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia memperolehi dosa.

2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:


“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dan al-Tirmizi).

Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)


“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman” (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).

Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini samalah seperti undian dalam pilihanraya.

3. Maka undi juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:


“Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kalimat itu   dalam konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.

4. Kita hendaklah sedar
bahawa undian itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan, wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya)


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.

5. Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa). Firman Allah: (maksudnya)


“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

Dua ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah dalam diri calon yang dilantik. Begitulah juga jawatan dalam bidang-bidang yang lain. Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.



6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:


“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum.
Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)

7. Ertinya
, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi.
Jika tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)


“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113)

8. Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:


“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

9. Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.

sumber : Minda Tajdid

Saturday, April 6, 2013

PILIHANRAYA DAN HARTA AWAM...





Oleh: Dr. Mohd. Asri

Apabila kita membaca Sirah Nabi SAW kita merasa betapa kita umat Islam khususnya kepimpinan negara-negara umat Islam amat jauh dari mengambil teladan dari sirah baginda yang agung.

Sekalipun nama Nabi Muhammad SAW itu sering digunakan oleh pelbagai pihak termasuk golongan politik, namun realitinya kita lebih banyak menggunakan label dari mengambil isinya.

Menjelang pilihan raya, tentu pelbagai pihak akan menyebut nama Nabi SAW seakan merekalah yang paling dekat dengan ajaran baginda.

Ada yang mengaku keturunan Nabi SAW untuk menebalkan poket dan mendekatkan diri kepada penguasa. Ada yang mengakui kononnya ‘salafi' bermanhaj salaf konon padahal merekalah yang menyimpang dari maqasid agama yang dibawa oleh Nabi SAW.

Ada yang membangkitkan soal perkauman, lalu menyatakan perjuangannya diajar oleh Nabi SAW. Golongan politik pula akan menggunakan sesiapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menguntungkan kehendak politik mereka.

Jika nama Nabi SAW boleh dijual, mereka mungkin akan menjualnya untuk mendapatkan untung politik.

Tidak pelik

Kita jangan hairan jika orang politik mempunyai pelbagai watak terutama musim pilihan raya ini. Kita mungkin melihat mereka bagaikan wali yang suci dengan penuh tawaduk bersujud di depan khalayak ramai dan media.

Kemudian kita juga mungkin mendapati mereka penuh kerakusan kuasa, meratah harta awam, membohongi rakyat jelata, berjanji dusta dan menipu semahunya.

Kesemuanya mungkin bagi yang menjadikan kuasa matlamat kehidupan mereka.

Tidak kira apa jenama parti sekalipun, jika penyakit gila kuasa bersarang dan menguasai salur darah dan nafas seseorang, dia ketagih kuasa dan mungkin melakukan apa sahaja.

Hudaibiyah

Saya amat kagum dengan kejujuran Nabi SAW dalam melaksanakan janji yang dimeterai dan tidak pernah khianat kepada persetujuan yang dibuat. Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat pada tahun keenam hijrah antara bukti yang mengagumkan.

Ramai juga sahabat tidak bersetuju dengan isi perjanjian tersebut yang dimeterai antara Nabi SAW dengan kaum Quraish Mekah yang terkenal sejak dari hari awal terus menerus memerangi Islam. Suhail bin ‘Amr mewakili pihak Quraish bagi memeterai perjanjian tersebut.

Antara isi perjanjian yang dipersetujui yang ialah sesiapa dalam kalangan Quraish yang pergi kepada pihak Muhammad (kaum muslimin di Madinah) tanpa keizinan keluarganya hendaklah dipulangkan kepada pihak Quraish.

Sesiapa dalam kalangan mereka yang bersama Muhammad yang pergi kepada pihak Quraish, tidak dipulangkan kepada pihak Muhammad'. (Isi perjanjian ini disebut dalam pelbagai riwayat dari al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dll).

Nabi SAW telah bersetuju dengan kandungan perjanjian ini. Ditakdirkan semasa perjanjian dimeterai, anak Suhail bin ‘Amr sendiri yang dipanggil Abu Jandal yang menganut Islam datang kepada Nabi SAW dalam keadaan dirantai kerana diseksa oleh bapanya.

Dia berjaya melarikan diri dari kepungan lalu datang mendapatkan Nabi SAW dan kaum Muslimin.

Kata Suhail kepada Nabi SAW: "Wahai Muhammad! Ini perkara pertama yang aku tuntut engkau laksanakan bagi perjanjian ini, engkau hendaklah kembalikan dia kepadaku."

Nabi SAW cuba memujuk Suhail dengan pelbagai cara agar mengecualikan kes Abu Jandal ini.

Namun Suhail tetap berkeras dengan isi perjanjian tersebut. Para sahabat begitu sedih melihat Abu Jandal yang menganut Islam tetapi diseksa dengan begitu dahsyat oleh bapanya. Dia dirantai dan dipukul.

Baginda Nabi SAW terpaksa mengembalikan Abu Jandal kepada bapanya disebabkan perjanjian tersebut.

Abu Jandal menjerit dengan suara yang kuat menyebut: "Wahai kaum Muslimin! Tergamak kamu mengembalikan daku kepada puak syirik yang akan menyeksa daku kerana agamaku?"

Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Jandal: "Wahai Abu Jandal! Bersabar dan haraplah pahala. Sesungguhnya Allah akan menjadikan untuk engkau dan mereka yang tertindas bersamamu jalan keluar. Kita telah mengikat perjanjian dengan kaum Quraish. Kita terpaksa patuh dan mereka juga kena patuh. Kita sama sekali tidak mengkhianati mereka." (Riwayat Ahmad dan sebahagiannya dari al-Bukhari dan Ibn Ishaq).

Janji ditepati

Demikianlah setianya Nabi SAW kepada perjanjian. Walaupun para sahabat ramai yang tidak bersetuju dan mencadangkan peperangan, namun bukanlah seorang nabi jika baginda mengkhianati perjanjian.

Memang, jika kaum Muslimin memilih perang kemungkinan besar mereka boleh menang, buktinya dua tahun kemudian disebabkan Quraish sendiri yang melanggar perjanjian, Nabi SAW pun menawan Mekah pada tahun kelapan hijrah.

Namun Nabi SAW tidak memilih perang atas strategi politik baginda yang kemudiannya terbukti amat berkesan.

Jika perjanjian dengan musuh Islam dipatuhi oleh Nabi SAW tanpa khianat, apatah lagi jika kita berjanji sesama Muslim ataupun antara pemerintah dan rakyat.

Setiap pihak, terutama yang mengaku Muslim, yang sering menggunakan nama Nabi Muhammad SAW lebih wajar untuk mematuhi persetujuan yang disepakati.

Setiap parti dalam negara ini sudah ada kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri. BN dan Pakatan juga sama.

Pada musim pilihan raya, mereka tidak boleh menggunakan harta negara ataupun negeri yang menjadi milik semua untuk kepentingan parti mereka.

Kereta kerajaan, harta kerajaan dan kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan secara khusus untuk kempen kepentingan diri ataupun parti.

Khianat

Mereka tidak boleh datang berkempen diri ataupun parti menggunakan kereta ataupun apa sahaja harta awam. Bukan semua sokong BN ataupun Pakatan. Jika yang pro-BN reda, yang pro-Pakatan mungkin tidak reda.

Jika yang pro-Pakatan reda, yang pro-BN mungkin tidak reda. Jika kedua pihak reda meredai dalam membelasah harta awam, mungkin mereka yang tidak pro BN atau Pakatan tidak reda. Maka, mereka jangan khianat amanah yang diberikan di tangan mereka.

Demikian juga media awam yang dibayar oleh harta kerajaan, hendaklah bebas dari kepentingan mana-mana parti politik.

Sekian lama sejak merdeka, pihak penguasa sering ‘merembat' habis-habisan media-media awam ini, termasuk TV Hijrah yang kelihatan ‘agama' yang turut digunakan untuk kempen. Padahal ia dibiayai oleh harta awam yang menjadi milik bersama.

Dalam negara demokrasi yang berjanji satu proses pilihan raya yang adil, janji wajib itu dilaksanakan. Saya akur, telah berlaku usaha pembaikian pengurusan pilihanraya kita untuk membolehkan ia lebih adil. Kita hargai. Namun masih ada ruang yang patut dibaiki.

Saya tidak fanatik mana-mana parti. Bukan juga penjilat mana-mana pemimpin kerajaan ataupun pembangkang. Saya juga tidak beriman dengan kejujuran mana-mana parti yang sedia ada itu.

Namun setiap rakyat memerlukan maklumat yang saksama untuk dia membuat pilihan. Media awam patutnya memainkan peranan tersebut.

Jika ada media yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu, pihak lain juga patut diberikan lesen memiliki media mereka untuk membolehkan mereka menyiarkan pandangan mereka. Mana-mana pihak yang sanggup membentuk kerajaan yang memberikan hak tersebut, wajar disokong.

Akhirnya, setelah ruang mengenali setiap pihak dibuka secara adil, bermula dari mereka di universiti sehingga atuk dan tok wan di kampung dapat berfikir semampunya apa yang menjadi hasrat mereka sebagai rakyat, mereka pun mengundi. Undian itu mempunyai harga dan maruah diri rakyat.

Percayalah, jika ruang sepenuh dibuka pun, tidak semestinya mereka akan menukar kerajaan ataupun memilih pembangkang. Jika mereka menukar pun, itu hak mereka yang diberikan oleh sebuah negara yang adil.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.


sumber: Malaysiakini