Thursday, November 10, 2011

10 Pintu Syaitan Ke Jiwa Insan:






Pintu-pintu tersebut tidak boleh terbuka kecuali jika seseorang mengetahui pintu-pintu tadi. Syaitan tidak boleh terusir melalui  pintu tersebut kecuali jika seseorang mengetahui cara syaitan memasukinya.

Cara syaitan untuk masuk dan apa saja pintu-pintu tadi adalah sifat seorang hamba dan jumlahnya amatlah banyak.

 Pintu-pintu syaitan berikut  merupakan pintu terbesar yang syaitan biasa memasukinya. Semoga Allah memberikan kita pemahaman dalam permasalah ini.


Pintu pertama: Hasad dengki dan Tamak


Ini adalah pintu terbesar yang akan dimasuki syaitan iaitu hasad (dengki) dan tamak. Jika seseorang begitu tamak pada sesuatu, ketamakan tersebut akan membutakan, membuat tuli dan menggelapkan cahaya kebenaran, sehingga orang seperti ini tidak lagi mengenal jalan baik atau buruk.


Begitu pula jika seseorang memiliki sifat hasad, syaitan akan menghias-hiasi sesuatu seolah-olah menjadi baik sehingga disukai oleh syahwat padahal hal tersebut adalah sesuatu yang mungkar.




Pintu kedua: Marah


Iaitu marah. Ketahuilah, marah dapat merosak akal. Jika akal lemah, pada masa itulah tentera syaitan akan melakukan serangan. Mereka akan mentertawakan manusia jika manusia mengikut perasaan marah. Manusia akan melakukan apa saja yang dahsyat apabila dalam keadaan marah. Ini kerana emosi marah telah menguasai perlakuan kita, bukan lagi akal fikiran. Inilah sebabnya kita sering mendengar suami-isteri bercerai, anak-ayah bergaduh, sesama kawan berbunuhan dan sehingga membawa kepada peperangan.

Pada keadaan kita seperti ini, segeralah berwudhu kerana marah terjadi akibat hembusan api jahanam, padamkan dengan air wudhu.


Pintu ketiga: Berlebihan dalam Berhias
Iaitu sangat suka menghias-hiasi tempat tinggal, pakaian dan segala perabot yang ada secara berlebih-lebihan. Ia pantang melihat sesuatu yang lebih cantik, pasti mau dibelinya.  Orang seperti ini sungguh akan sangat rugi kerana umurnya hanya dihabiskan untuk tujuan ini. Habislah masa dan wang ringgitnya tanpa tahu tujuan sebenar hidup ini, iaitu menjadi hamba Allah, dan khalifah Nya.




Pintu keempat: Kenyang keterlaluan
Iaitu kenyang kerana telah makan banyak makanan. Keadaan seperti ini akan menguatkan syahwat dan melemahkan untuk melakukan ketaatan pada Allah. Dia mungkin akan menghabiskan masa dan tenaganya dalam melayan kehendak tekaknya saja, siang dan malam, pagi dan petang. Sehingga ia tidak mengira halal dan haram. Kerugian lainnya akan dia dapatkan nanti di akhirat.




Pintu kelima: Tamak

Iaitu tamak pada orang lain. Jika seseorang memiliki sifat seperti ini, maka dia akan berlebih-lebihan memuji orang tersebut padahal orang itu tidak memiliki sifat seperti yang ada pada pujiannya.

Akhirnya, dia akan mencari muka di hadapannya, tidak mahu memerintahkan orang yang disanjung tadi pada kebajikan dan tidak mahu melarangnya dari kemungkaran.




Pinta keenam: Tergesa-gesa

Iaitu sifat selalu tergesa-gesa dan tidak mahu bersabar untuk perlahan-lahan. Padahal terdapat sebuah hadits dari Anas, di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,

"Sifat perlahan-lahan (sabar) berasal dari Allah. Sedangkan sifat ingin tergesa-gesa itu berasal dari syaitan." (Hadits ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la dalam musnadnya dan Baihaqi dalam Sunanul Qubro. Syaikh Al Albani dalam Al Jami' Ash Shoghir mengatakan bahwa hadits ini hasan)

Tergesa-gesa atau gopoh-gapah akan menyebabkan kita akan membuat keputusan secara tanpa fikir panjang. Ini boleh  menyebabkan kita melakukan kesalahan atau kezaliman. Dan akhirnya membawa penyesalan.


Pintu ketujuh: Cinta Harta

Iaitu cinta harta. Sifat seperti ini akan membuat seseorang  berusaha mencari harta bagaimana pun caranya. Sifat ini akan membuat seseorang menjadi bakhil (kedekut), takut miskin dan tidak mahu melakukan kewajiban yang berkaitan dengan harta. Ia tak sanggup mengeluarkan zakat, naik haji, bersedekah apa lagi berwakaf. Ini semua merugikan dirinya dan juga umat semua.




Pintu kelapan: Fanatik

Iaitu mengajak orang awam supaya ta'ashub (fanatik) pada madzhab atau golongan tertentu, tidak mahu beramal selain dari yang diajarkan dalam madzhab atau golongannya. Padahal  keluasan ilmu dalam agama ini sangatlah besar, sehingga kita menjadi ringan jikalau kita mengetahuinya.
Fanatik akan membutakan akal dan hujah seterusnya dapat menimbulkan pergaduhan.




Pintu kesembilan: Memikirkan hakikat zat Allah

Iaitu mengajak orang awam untuk memikirkan hakikat (kaifiyah) dzat dan sifat Allah yang sukar dicapai oleh akal mereka sehingga menjadikan mereka menjadi ragu dalam masalah paling penting dalam agama ini iaitu masalah aqidah.

Ini biasa terjadi bagi orang-orang yang baru mahu mengenali agama atau baru tersedar atau insaf. Sepatutnya dengan beriman dengan surah al Ikhlas sudah memadai mengesahkan iman yang benar.




Pintu kesepuluh: Berburuk sangka

Iaitu selalu berburuk sangka terhadap muslim lainnya. Jika seseorang selalu berburuk sangka (bersu'uzhon) pada muslim lainnya, pasti dia akan selalu merendahkannya dan selalu merasa lebih baik darinya. Dan ia akan menuduhnya di dalam hati perbuatan yang tidak dibuat oleh orang yang disangkanya. Padahal ini akan melemahkan hubungan silaturrahim dan berbuat zalim sesama insan. Rumahtangga boleh runtuh kerananya.


Seharusnya seorang mukmin selalu mencari udzur atau sangka baik  dari saudaranya. Berbeza dengan orang munafik yang selalu mencari-cari 'aib orang lain.

Maka, selepas ini wajib kita berhati-hati dengan perkara di atas. Kerana syaitan itu suatu makhluk yang bijak dalam meracuni hati manusia , kerana apa yang ia mahukan hanyalah pergaduhan, zalim-menzalimi, berkeras-kepala, peperangan dan akhirnya kufur kepada Allah.
Semoga kita dapat mengetahui pintu-pintu ini dan semoga kita diberi taufik oleh Allah untuk menjauhinya.

No comments:

Post a Comment