Friday, June 27, 2014
AMALAN BUKAN DARI AJARAN ISLAM
Oleh: Dr. Fathul Bari Mat Jahya
ISLAM itu sunnah dan sunnah itu Islam, demikian ungkapan masyhur ulama salaf, Imam Al-Barbahahi Rhm (wafat 329H) dalam kitabnya, Syarh Al-Sunnah yang menjadi rujukan Ahli Sunnah wal Jamaah hingga ke hari ini. Daripada kaedah ini, dapat difahami apa jua urusan ibadat secara khususnya yang menyelisihkan sunnah Nabi Muhammad SAW dan sahabat RA adalah bukan daripada ajaran Islam.
Ini kerana agama mulia ini datang daripada wahyu disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW dan diajarkan kepada golongan sahabat. Generasi inilah yang mengajar mengenai Islam kepada generasi berikut dan seterusnya. Kepada mereka kita kembali merujuk hal berkaitan agama dan amal ibadat secara khususnya.
Sebagaimana diperintahkan ALLAH SWT: “Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu urusan, maka kembalikanlah ia kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul (Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian.” (Surah Al-Nisaa: 59)
Tidak dapat disangkal sesiapa pun amalan tahlil arwah sempena kematian tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, keluarga mahupun sahabat Baginda SAW dan seluruh generasi awal umat Islam.
Kita dapati tidak ada satu pun riwayat yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW melakukan tahlil arwah sempena kewafatan isterinya, Khadijah yang amat dicintai. Juga tidak ada riwayat menunjukkan Nabi Muhammad SAW dan sahabat melakukan tahlil sempena kematian anak Baginda SAW dan sekian ramai sahabat Baginda SAW yang wafat dalam peperangan dan sebagainya.
Bahkan golongan sahabat dan isteri Baginda SAW yang paling mendalam cinta mereka kepada Rasulullah SAW juga tidak pernah melakukan tahlil arwah untuk Rasulullah SAW setelah Baginda SAW wafat. Jika hal ini baik, sudah pasti mereka mendahului kita dalam melakukannya.
Berasal agama lain
Kita ketahui kenduri arwah pada hari tertentu tidak wujud dalam al-Quran mahupun hadis. Sebaliknya, tercatat dalam kitab Hindu. Tidak mustahil amalan ini diwariskan nenek moyang kita apabila mereka memeluk agama Islam.
Dewasa ini, kita melihat ada masjid dan ustaz mengambil kesempatan atas kejahilan umat dengan ‘menswastakan’ amalan ini; sedekahkan pahala bacaan al-Quran, doa, jamuan, agar arwah diberi pengampunan, dibebaskan dari neraka, dengan mengenakan bayaran tertentu. Borang tahlil diedarkan kepada jemaah masjid/surau lebih-lebih lagi tibanya Ramadan ini.
Hal ini bukan saja tidak ada dalam ajaran Islam, malah lebih menyerupai amalan Nasrani yang menjual ‘surat pengampunan dosa’. Sedangkan ALLAH berfirman: “Dan bahawasanya seorang manusia tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya (ketika hidup).” (Surah Al-Najm: 39)
Dia berfirman lagi: “Dan tidaklah engkau dibalas kecuali apa yang telah engkau kerjakan (semasa hayatmu) dahulu.” (Surah Yasin: 54)
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati manusia, terputuslah seluruh amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Jelaslah hanya amalan dilakukan semasa hidup sahaja bermanfaat bagi si mati. Anak soleh yang beribadah dan berdoa termasuk pahala yang terus mengalir setelah mati kerana ia hasil didikan ibu bapa sehingga si anak menjadi anak soleh. Namun apabila si anak menyerahkan urusan doa itu kepada pihak ketiga dengan bayaran tertentu, jelas ini tidak bermanfaat.
Dosa pahala bukanlah suatu yang boleh diganti dengan wang dan harta. Mana mungkin agama yang adil memberi kelebihan kepada orang yang berharta, sedangkan golongan berharta boleh mengupah sebanyak mungkin tok imam, pelajar tahfiz, untuk buat ibadah dan kirim pahala kepadanya setelah mati, manakala orang miskin tidak mendapat kelebihan ini?
Ia juga menyalahi adab zikir (termasuk zikir adalah tahlil - lailahaillallah) iaitu zikir hendaklah dilakukan secara individu dan suara yang perlahan – bukan dengan meninggikan suara atau beramai-ramai.
Firman-Nya: “Dan berzikirlah kepada Tuhanmu pada dirimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dengan tidak menguatkan suara.” (Surah Al-A’raaf: 205)
Tahlil arwah, ratapi mayat
Golongan sahabat RA dan juga ulama ASWJ mengkategorikan majlis sempena kematian pada hari-hari tertentu termasuk dalam meratapi mayat yang dilarang. Bahkan semua imam mazhab fikah juga tidak menganjurkannya sama sekali.
Ini berdasarkan riwayat sahabat Nabi Muhammad SAW, Jarir bin Abdillah RA. Beliau berkata: “Kami berkumpul di rumah keluarga si mati, dan membuat makanan (untuk tetamu) adalah daripada niyahah (meratapi si mati).” (Riwayat Ahmad 6905 & Ibnu Majah 1612)
Riwayat ini menceritakan keadaan zaman Rasulullah SAW, di mana mereka sepakat acara seperti ini termasuk meratapi mayat dan tindakan itu adalah dilarang.
Berkata Imam Al-Syafi’i RHM: “Dan antara bidaah yang mungkar ialah kebiasaan orang melahirkan rasa sedih sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) pada hari keempat puluh padahal semua ini adalah haram.” (I’anatu Al-Thalibin, juz 2, hlm. 146-147)
Imam Al-Syafi’i juga menegaskan: “Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul di rumah keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bidaah yang mungkar”. (I’anatu Al-Thalibin, juz 2, hlm. 146)
menyalahi sunnah
Mungkin ada menganggap ini isu remeh dan jangan dipersoalkan kerana sudah menjadi budaya masyarakat. Bahkan tidak berlebihan dikatakan masyarakat Islam di Nusantara khususnya, melihat tahlil arwah adalah kewajipan, sehingga mereka mencela orang yang tidak mengadakan tahlil apabila ahli keluarganya meninggal, juga mencela orang yang tidak hadir ke majlis tahlil.
Ini adalah masalah besar melibatkan kepercayaan akidah dan ibadah. Setiap Muslim wajib mengetahui perkara akidah dan ibadah tidak boleh dilakukan sembarangan atau ikut-ikutan tanpa petunjuk al-Quran dan Sunnah.
ALLAH memberi ancaman kepada mereka yang melakukan ibadat kerana mengikut apa dilakukan bapa dan nenek moyang mereka.
Firman ALLAH: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Ikutilah apa diturunkan ALLAH!’ Mereka menjawab: ‘(Tidak), sebaliknya kami mengikuti apa yang kami dapati dari nenek moyang kami’. Apakah walaupun syaitan sebenarnya menyeru mereka kepada azab yang menyala-nyala?” (Surah Luqman: 21)
Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW tidak diutuskan melainkan untuk mengajarkan manusia cara beribadat. Baginda SAW tidak diutuskan untuk mengajarkan hal duniawi, sebaliknya mengajar cara ibadat yang benar kepada ALLAH, iaitu mesti menepati dua syarat; 1. Ikhlas (mentauhidkan ALLAH dalam ibadat), 2. Ittibaa’ (mengikuti sunnah Baginda SAW di dalam ibadat).
Kaedah fikah menetapkan: “Hukum asal semua jenis ibadat adalah haram, kecuali ada dalil yang memerintahkan.”
Berbeza dengan hal dunia, kaedah menetapkan: “Hukum asal muamalat (hal-hal dunia dan adat) adalah harus (dibolehkan) kecuali apabila ada dalil yang melarang.” Kaedah ini cukup makruf dalam kalangan ulama yang membahaskan sesuatu hukum.
Oleh itu, apa juga ibadat adalah terlarang melainkan dengan tatacara ibadat yang diajar Baginda SAW sama ada melalui perkataan Baginda SAW, perbuatan Baginda SAW, atau iqrar (perakuan Baginda SAW dengan diam) terhadap amalan sahabatnya.
Selain itu, semua bentuk ibadat adalah tertolak. Ini sepertimana diriwayatkan daripada Aisyah RA. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan suatu yang baru dalam urusan kami ini (urusan agama) apa yang bukan bersumber padanya (bukan daripada sunnah kami), maka ia tertolak.” (Riwayat Al-Bukhari)
Daripada Sa’id bin Musayyib RA, dia melihat seseorang melakukan lebih daripada dua rakaat solat setelah terbit fajar lalu dia melarangnya. Maka orang itu berkata, “Wahai Sa’id, apakah ALLAH akan menyeksa aku kerana solat?” Sa’id menjawab, “Tidak, tetapi ALLAH akan menyeksamu kerana menyalahi Sunnah.” (Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra, sahih).
Sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment