Oleh : Dr Mohd Asri
Islam adalah gabungan kekuatan keruhanian dan kebendaan. Ia bukan
agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan
tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini.
Juga, bukan
agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia
dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat.
Tidak, sama sekali tidak!
Fungsi masjid
Masjid
adalah pusat umat Islam. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan
kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk
membangunkan umat di sudut kerohanian dan fizikalnya.
Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama ini.
Sebab
itu, umat Islam dalam kesibukan urusan kehidupan, mereka diperintahkan
singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan
agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini.
Maka
muncullah dalam diri setiap individu muslim satu kekuatan yang luar
biasa. Ia adalah gabungan antara unsur langit dan bumi, atau kerohanian
dan kebendaan.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:
"Dengan
menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari,
menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan
muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang
hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan
menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan)."
Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar yang bermaksud:
"Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana itulah adalah pertapaan umatku." (Ibn Hibban dan al-Hakim - hadis hasan)
Al-Qaradawi juga menyebut:
"Masjid
Nabi itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat
negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu
kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan
kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk
umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan
perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian."
(Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam, " ms 233, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W.
"Masjid
bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama
seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi berbagai sudut al-din,
politik dan kemasyarakatan." (ms 149 Beirut: Dar al-Nafais)
Gagal berfungsi
Malangnya,
masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal berfungsi sedemikian rupa.
Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita
masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa
kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada
mereka.
Takut-takut
dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan
yang sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan
khas untuk kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf
orang dewasa. Kadang kala jauhnya itu pula diselang beberapa saf.
Ditulis
pula satu papan tanda ‘saf kanak-kanak'. Ini semua berpunca dari
"khurafat" yang disandar kepada fekah kononnya jika kanak-kanak belum
berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat.
Sebabnya
di bawah ‘kulit' kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat.
Cubalah tanya orang-orang tua, atau ustaz yang mengajar sedemikian rupa,
apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis?
Atau apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sahnya?
Saf kanak-Kanak
Lebih lucu dari itu ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf kerana 'jangkitan sentuhan' kanak-kanak.
Fatwa seperti ini sebenarnya terpinggir dari penghujahan dalil dan kewarasan akal.
Ketika
Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah SAW bersolat dan memegang
telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda.
Kata Ibn ‘Abbas:
"...Rasulullah
bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di
sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku
berada di sebelah kanan baginda." (Riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis Anas yang bermaksud:
"...Rasulullah
berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang
baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami." (Riwayat al-Bukhari)
Adapun
hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah SAW
menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari
segi sanadnya.
Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani:
"Adapun
menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati
melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah.
"Tidak
mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf
masih luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah SAW
menjadi hujah dalam masalah ini." (Al-Albani, Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah)
Layanan buruk
Hasil
lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa yang sanggup menarik
kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk
saf. Kemudian disuruh budak itu ke saf belakang.
Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika berada di masjid.
Sementara
orang dewasa yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu pula
terbiasa dengan sikap buruk sebagai seorang yang datang lewat lalu
merampas tempat orang yang lebih awal.
Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah.
Dukacita
sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini
kerana sesetengah kita lebih ingin jaga warna kapet baru dari berkempen
mendapat jamaah baru.
Dalam hadis Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud:
"Aku
mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin
memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku
menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya". (Riwayat al-Bukhari)
Lihatlah
sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh baginda. Maka tidak hairan,
masjid di zaman menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis
ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum
ramai yang bertugas di belakangnya.
Demikianlah Nabi SAW menjaga perasaan ahli jamaahnya. Adapun kita, jika ada anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis.
Maka
jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan
mesra ketika berada di pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di
masjid.
Kemudian kita ‘bising' apabila generasi muda tidak minat dengan masjid, atau tidak selesa di masjid.
Pemikiran sekular
Di
sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular' masih terpalit baunya dalam
gaya fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid masih terikat dengan
beberapa mata pelajaran tertentu sahaja, yang dianggap hanya itulah yang
berkait dengan agama. Selainnya, tidak diberi ruang di dalam masjid.
Maka
hanya tauhid, fekah, tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar di masjid.
Itupun sebahagiannya masih lagi menggunakan pendekatan lama seakan
pendengarnya datang dari beberapa kurun yang lepas.
Soalannya,
mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik,
geografi juga diajar dalam masjid-masjid? Tidakkah agama itu merangkumi
dunia dan akhirat. Jika ustaz fekah boleh mengajar dalam masjid, mengapa
‘ustaz' sains tidak?
Fekah berkhidmat untuk umat dalam amalan
mereka. Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat
dirumuskan! Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh
keimanan boleh menjadi benteng kepada umat?.
Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata ‘Aisyah RA:
"Suatu
hari Rasulullah SAW berada di pintu bilikku, ketika itu orang-orang
Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan
selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka." (Riwayat al-Bukhari)
Dalam
riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap
tidak membantah Nabi SAW terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan
Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang
diizinkan.
Demikian juga baginda tidak membantah ‘Aisyah melihat
mereka, menunjukkan wanita boleh melihat pertunjukan permainan yang
dilakukan oleh lelaki. Ini semua menunjukkan bahawa masjid pada zaman
Nabi SAW tidak kaku seperti kita.
Akademik di masjid
Justeru, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini.
Di
samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisplin dan
ingatkan Allah mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru
yang mengajar lebih mengingati Allah mengenai tanggungjawab dan
kaitannya dengan Islam.
Ini kerana semuanya beroperasi dalam
masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran-pelajaran
tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak
akan dihantar oleh ibubapa ke masjid.
Lalu hati mereka dan ibu
bapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid.
Waktu solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu
yang salah, mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah
masjid dan berfungsilah peranannya.
Jika tiada ruang antara
maghrib dan isyak kerana kuliah-kuliah agama yang formal. Masjid kita
masih banyak waktu kosong antara Zohor dan Asar dan antara Asar dan
Maghrib.
Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar
untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang peningkatan jumlahnya.
Sebaliknya untuk dibuktikan fungsinya dalam membangunkan Islam yang
syumul ini.
Pusat kempen kebaikan
Banyak
aktiviti masyarakat muslim sepatutnya masjid menjadi pusatnya. Kempen
penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, kempen pembinaan ekonomi
muslim dan berbagai lagi patutnya dikepalai oleh pihak masjid.
Anak makmun atau jemaah yang mempunyai berbagai kegiatan dan aktiviti boleh memanfaatkan masjid.
Selagi
tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak kepada
sebarang aktiviti yang bersifat umat dan membantu membangunkan tamadun
umat. Ahli jawatankuasa masjid pula jangan jadikan masjid sebagai
syarikat sendirian berhad. Masjid untuk semua.
Dr Mustafa as-Siba`i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid berkata:
"Apabila
Rasulullah SAW sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah
membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam
Islam... Apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan kerohanian
yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang
menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal,
menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip
mereka. Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada
masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah.
Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin
dan selain mereka.
"Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya
benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khalid,
Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh
agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah
(sekolah Rasulullah s.a.w) yang bertempat di Masjid Nabawi... Jadikanlah
masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi
kemasyarakatan kita, adikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam
mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat,
memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan
keredhaan Allah." (Al-Siba'i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami)
Kualiti
Kuliah-kuliah
di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan
perkembangan masyarakat kita. Fekah yang payah dan menyusah hendaklah
dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan
nas-nas Islam yang bersifat demikian.
Demikian pengajaran dalam
masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan
ustaz asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air dengan
berbagai pecahannya yang bukan-bukan, sehingga berbulan masih tajuk
mengenai air itu dan ini. Belum pun masuk tajuk solat dan seterusnya.
Malangnya
dalam masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi dengan bau
dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam
bukan sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar
solat.
Demikian juga isi pengajaran hendaklah dalam bentuk yang
menarik generasi baru. Saingan luar masjid yang menarik manusia moden
terlalu. Pusat-pusat hiburan yang lain menggamit generasi muda.
Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu, kita
perlukan pihak pengurusan yang segar dan mampu membawa manusia ke
masjid.
Jika yang sedia ada tidak mampu maka, mereka perlu
membina peningkatan diri, atau 'menarik diri'. Pihak yang kerajaan
amanahkan untuk memantau dan membina kekuatan masjid juga mesti segar
megar. Jika tidak mampu, mungkin mereka kenalah segera tukar. Jika
tidak, ia secara tidak langsung menghalang orang datang ke masjid.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114 yang bermaksud:
"Dan
siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid
Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula
untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak
sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan
mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh
kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang
amat besar".
Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati
masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid
menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung kerana kita. Generasi
muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di
masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan'. Jangan sampai masjid kita hanya
jadi kelab orang pencen sahaja. Sedangkan orang muda berkelab di tempat
lain.
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis.
No comments:
Post a Comment