Friday, October 4, 2013

ZUHUD UNTUK JIHAD BISNES...

MINGGU lalu, selaku Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia, saya berpeluang mengisi ruangan mingguan Radio IKIM FM di bawah program Inspirasi Usahawan. Di kesempatan itu, saya menegaskan pentingnya bangsa Melayu mengintegrasikan sepenuhnya bisnes ke dalam kehidupan individu dan masyarakat, sekali gus membudayakan zuhud dan Jihad Bisnes.


 


Tanpa keupayaan menjana harta kekayaan mustahil umat Islam berjaya jadi umat terbaik atau “khaira ummah”, iaitu umat “al yadul uliya” memiliki “tangan di atas” (the upper hand).


Jelas sekali, kemiskinan dan kerendahan upaya menjana harta kekayaan melemahkan, langsung meminggir bangsa Melayu dan umat Islam daripada arus perdana dunia. Sudah berabad umat Islam bergantung hidup kepada orang lain, dijajah, ditindas dan dizalimi, sehingga agama Islam suci-mulia dipandang rendah dan diperlekeh. Memperkasa ekonomi dengan menghimpun harta kekayaan satu kewajipan dan amanah besar. Malangnya, masih ramai tidak menyenangi bisnes, malah ada yang bersikap anti bisnes, terutama kerana tersalah faham pandangan Islam terhadap bisnes.


Kaya segan miskin tak mahu
Pada saya, dari perspektif sikap, fahaman atau persepsi terhadap bisnes, bangsa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga golongan:  

i) Pertama, golongan aktif pro-bisnes mencari rezeki halal menyara hidup diri dan keluarga. Sikap golongan ini positif terhadap bisnes. Ramai kalangan mereka melihat bisnes sebagai ibadah dan satu sunnah Rasulullah SAW yang wajar dicontohi. Namun jumlah mereka masih terlalu kecil.


ii) Kedua, golongan juga pro-bisnes, tetapi terjun menciplak gaya bisnes orang lain tanpa memikir halal haram dan dosa pahala; mengakibatkan ramai terperangkap rakus, materialistik dan nafsu-nafsi. Termasuk dalam golongan ini sekongkolan kroni dan pakatan buas kerabat bisnes-politik. Bahayanya, golongan ini paling pesat berkembang, apabila ramai ketagihkan harta kekayaan dan dikhayalkan kemewahan.


iii) Golongan ketiga adalah mereka yang sangsi, meragui, menjauhi, dan ramai juga yang membenci bisnes.  Mereka anti-bisnes, antara lain, setelah melihat kerakusan dan keterbabasan golongan kedua di atas. Golongan ini sangat kuat mempengaruhi persepsi masyarakat, bawa kesan negatif sama ada mereka sedar atau tidak. Termasuk dalam kalangan mereka pemimpin masyarakat bukan-bisnes pembentuk persepsi awam seperti pendidik, karyawan, seniman, pemimpin NGO, ustaz, ilmuwan dan ulama yang berkesan mewarnai pemikiran masyarakat.


Perhatikan, golongan kedua dan ketiga di atas semakin dominan dalam masyarakat Melayu hari ini. Akibatnya, sama seperti konflik politik Melayu, terdapat polarisasi pandangan memecah-belah dan melemahkan. Konflik persepsi bisnes mematahkan semangat dan membunuh daya motivasi. Jika dibiar berleluasa ia akan hanya melangsungkan ketempangan ekonomi Melayu.


Lagipun, konflik sikap dan pemikiran membuatkan ramai Melayu tidak terlintas hati membina bisnes dan generasi muda menjauhi bisnes. Ahli bisnes Melayu berjaya sekalipun akan patah semangat, tidak komited dan mudah terhakis cita-cita menjadi jutawan atau bilionair. Akhirnya ia menyebabkan bangsa Melayu seolah-olah terumbang-ambing bisnes, bersikap “kaya segan, miskin tak mahu” dan berdolak-dalik persepsi terhadap harta kekayaan.


Zuhud bisnes basmi persepsi
Tegasnya, selagi konflik persepsi bisnes tidak diatasi, selagi itu bangsa Melayu dan umat Islam bercelaru pemikiran, tidak dapat bertindak memperkasa ekonomi.  Selagi itu juga ramai mudah terperangkap dengan fahaman: “Bisnes pasti menjadikan pengamalnya rakus dan serakah.” Lalu ramai memilih jalan zuhud mengikut persepsi atau interpretasi sempit dan serong memudaratkan: iaitu mengetepikan dunia dan memuji serta memuliakan kemiskinan.



Justeru, sangat penting bangsa Melayu dan umat Islam menerima pengertian zuhud positif, seperti yang diperjelas Dr Yusof Al Qardhawi. Dalam penulisannya bertajuk “Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya”, beliau tegas menyatakan: “Hadis-hadis yang memuji tentang zuhud (menjauhkan diri daripada kehidupan dunia) sama sekali tidak bermaksud memuji kemiskinan. Sebab usaha berzuhud itu sendiri menuntut seseorang miliki kemewahan dunia dan tinggalkannya.”

Tambahan pula pandangan tinggi Islam terhadap sunnah mengerjakan dan menjayakan bisnes, jelas sekali membuktikan Islam bukan anti bisnes dan anti kekayaan dunia.  Jika anti bisnes, masakan terdapat hadis sahih meletakkan kedudukan ahli bisnes beriman dan beramal soleh di tempat paling istimewa: “Peniaga yang jujur dan amanah akan berada bersama para nabi, para sidiqqin dan para syuhada.” (Riwayat at Tarmizi dan al Hakim).



Sesungguhnya, bangsa Melayu dan umat Islam tidak bebas merdeka dalam erti kata seluasnya selagi hidup miskin, bergantung kepada orang lain, sekali pun kepada kerajaan mereka sendiri. Dalam zaman ekonomi pacuan bisnes (business-driven) hari ini, mustahil umat Islam miskin dan terpinggir dapat bangkit semula sebagai umat terbaik. Mustahil juga mereka bangkit sebagai “khalifah” membina semula tamadun memperbaiki kehidupan yang dirosakkan oleh “apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia” rakus dan nafsu-nafsi.


Zuhud teras jihad bisnes
Persoalannya, bagaimana usaha bisnes dan pemburuan harta kekayaan dapat disempurnakan tanpa merosak dan mengkompromikan iman dan akidah?



Bagaimana memobilisasi sumber dan keupayaan organisasi, (termasuk organisasi korporat perkasa ala MNC ciptaan Barat), mengikut kaedah bisnes selaras Maqasid al Syariah, sekali gus sempurnakan ibadah dan amal soleh?

Jawapannya: Zuhudkan matlamat bisnes dan korporat Melayu-Muslim dan juruskan harta kekayaan ke jalan jihad, iaitu menjadikan usaha bisnes satu cabang jihad! Berjihad dan berzuhud bisnes bererti mengetepikan kepentingan diri dan mengasaskan motivasi menghimpun harta kekayaan untuk memakmurkan kehidupan di muka bumi, sekali gus mempertahankan Islam menegakkan kalimah ALLAH.  



Ia juga bererti mengerjakan amal kebajikan, termasuk berzakat, berinfak, bersedekah dan berwakaf hasil bisnes.

Semangat jihad dan zuhud juga membina daya tahan. Semua usaha bisnes pasti hadapi cabaran hidup-mati sepanjang masa.  Jatuh-bangun lumrah dalam bisnes dan di negara maju sekali pun, 4 daripada setiap 5 bisnes baru akan gagal dalam tempoh 5 tahun pertama.  



Justeru, bisnes perlukan semangat juang dan kekuatan jiwa, keteguhan emosi atau hati dan ketahanan mental, serta kesanggupan berkorban jiwa raga luar biasa sebelum boleh berjaya.

Bagi bangsa Melayu dan umat Islam semangat jihad dan zuhud adalah formula perkasa motivasi diri kurniaan ALLAH SWT. Semangat zuhud dan jihad boleh memberi kekuatan dari sudut dan sumber tidak dijangka. Ia juga menyatupadukan.



Kesimpulannya, usaha bisnes dengan niat berzuhud menerusi kaedah Jihad Bisnes formula perkasa; juga berupaya mengatasi konflik dan perpecahan sesama bangsa dan umat. Kerana zuhud dan jihad ketara mengetepikan semua kepentingan peribadi, keluarga atau kelompok kuasa yang banyak menjadi punca konflik memecah-belah perpaduan Melayu dan umat Islam hari ini. Namun, seperti dinyatakan, konsep zuhud perlu tepat dan ikhlas maksudnya supaya tidak menjadi sumber konflik jiwa malah berupaya mengatasi polarisasi pemikiran.



Jelas sekali, zuhud yang dicita-citakan ialah zuhud yang merangsang sikap sanggup berkorban kepentingan peribadi iaitu total selflessness. Pengalaman saya selaku CEO Johor Corporation berulang kali membuktikan selflessness adalah strategi dan senjata paling ampuh mengatasi saingan bisnes dan korporat. Ia jelas memberi kelebihan bersaing khasnya apabila berhadapan lawan bisnes berteraskan kepentingan duniawi, materialistik dan nafsu-nafsi.



Antara lain, kemenangan JCorp dalam pertarungan mengambil alih KFC setelah berperang selama lebih setahun pada 2006-2007, (satu-satunya acquisition paling ganas atau hostile dalam sejarah korporat Malaysia), bukti nyata kelebihan zuhud dan Jihad Bisnes.  

Ketewasan pihak lawan berpunca terutama daripada salah-sangkaan mereka semua ahli bisnes dan korporat mudah “dibeli” dan masing-masing ada “harga” untuk berkompromi.  Mereka juga tidak dapat menerima hakikat bahawa bagi seorang eksekutif Muslim beriman, zuhud dan jihad Bisnes jauh lebih tinggi nilainya daripada sogokan segala harta haram di dunia.



Pada akhirnya, kenyataan tambahan Dr Yusof Al Qardhawi mengenai zuhud perlu dijadikan pegangan ahli bisnes dan korporat Muslim: “Orang yang benar-benar berzuhud ialah orang yang memiliki dunia tetapi ia meletakkan dunia itu di dalam genggaman tangannya, bukan di hatinya.”


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

sumber: Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment