Sunday, December 8, 2013

HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN

Oleh : Ustaz Hassan Ahmad
           (mantan pensyarah UM)


 
MUKADDIMAH
Sudah menjadi lumrah kepada orang Melayu yang beragama Islam di tanah air kita, apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, maka ahli keluarga si mati itu akan menyediakan makanan dan minuman.
Pada kebiasaannya, keluarga si mati akan memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir bersembahyang jenazah atau mengikut jumlah
orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkankan mayat, termasuk penggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus akan diedarkan dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah.
Kemudian, pada malam pertama hingga malam ke tujuh diadakan majlis tahlil kepada roh si mati, dan sesudah majlis tahlil, keluarga si mati akan menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jemaah yang hadir, sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut kadar kemampuan masing-masing. Manakala pada malam
ketiga, ketujuh, kedua puluh, keempat puluh dan ke seratus pula, pada kebiasaannya, akan dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan yang enak-enak. Kemudian
setiap malam Jumaat selepas hari ke tujuh hingga hari keempat puluh atau kadang-kadang sehingga hari ke seratus, diadakan lagi majlis-majlis tahlil, dengan setiap lepas tahlil akan dihidangkan pelbagai hidangan dan masakan oleh ahli si mati.
Pendek kata, menjamu makanan dan minuman selepas kematian telah menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka terdiri dari orang kaya
atau kurang berada (miskin). Kalau tidak dibuat, nescaya akan dicela oleh jiran tetangganya, kaum kerabatnya dan sahabat handainya. Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat sekitar. Bermacam-macam tuduhan dan cemuhan dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikut adat tradisi itu. Umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati atau juga dikatakan seperti mengambus batang pisang dan sebagainya.
Itulah antara ungkapan, dan ajaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi  tersebut. Sebahagian besar dari kalangan umat Islam menganggapnya dari ajaran Islam yang penting yang tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang-orang yang berpengetahuan agama, sama ada dari lepasan madrasah-madrasah pondok atau lepasan dari sekolah-sekolah arab/agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu akan dicop dan dilabelkan sebagai Kaum Muda yang hendak merosakkan ajaran Islam yang suci.
Walau bagaimanapun, ada juga segolongan kecil umat Islam di negara kita yang berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah amalan
bid’ah yang perlu ditinggalkan, kerana ia tidak pernah dibuat atau dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.
 KEMBALI KEPADA ALLAH DAN RASULNYA
Penyusun merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbincangan masalah perselisihan yang tidak ada kesudahan ini, dengan harapan semoga masyarakat kita, khususnya alim ulama dan bijak pandai Islam, dapat menilai siapakah sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah yang berada di pihak yang kabur dalam masalah yang dinyatakan.
Ulama silam telah membentangkan kepada kita mengenai hukum sebenar membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antaranya ialah dengan cara membawa hadis-hadis yang menjelaskan secara khusus mengenai perkara ini:
1.      Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah Bin Ja’far, beliau berkata, apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Thalib) Nabi SAW bersabda:
 اصنعوا
لأهل جعفر طعاما ، فإنه قد جاءهم ما يشغلهم.
Maksudnya: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’afar (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka.”
Dalam hadis diatas, Rasullulah SAW mengharapkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati agar membuat makanan kepada mereka yang ditimpa musibah dan dukacita kematian. Ja’far Bin Abi Thalib r.a telah mati syahid dalam peperangan Mu’tah pada tahun kelapan hijrah. Sebaik-baik sahaja berita kematiannya sampai, Nabi SAW menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada ahlinya (keluarganya) bagi meringankan beban dukacita ahli keluarga dengan memberi makan kepada mereka.
2.      Hadis Jarir Bin Abdullah (r.a) katanya:
كنا
نعد الإجتماع إلي أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة.
Maksudnya:
Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih).
Hadis diatas menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan disediakan oleh ahli si mati adalah sebahagian dari perbuatan ratapan kematian. Dan ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah yang hukumnya adalah haram sebagaimana dimaklumi.
 Ahli keluarga si mati tidak patut membuat makanan dan memberi makan atau menjamu orang lain, kerana perbuatan itu tidak disyarakkan.
Di bawah ini diturunkan pesanan beberapa ulama besar lagi mujtahid:
1-Imam Syafie menegaskan dalam kitabnya (الأم):
a)
وأحب
لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعلموا لأهل الميت في يوم وليلته طعاما يشبعهم، فإن
ذلك سنة وذكر كريم، وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا، لأنه لما جاء نعى جعفر قال

رسول الله صلى عليه وسلم: اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم.
Maksudnya:

Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli keluarga mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu adalah sunnah dan ingatan (
ذكر) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka”
b)
وأكره
المأتم وهي الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة

…..
Maksudnya:
Aku benci diadakan mu’tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan membebankan tanggungan…[1]).
2-Kata Imam An-Nawawi dalam kitab (المجموع): Telah berkata Imam Syafie dalam (المختصر):
       Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya yang membuat makanan kepada ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Sesungguhnya ia adalah sunnah yang dilakukan oleh golongan yang baik-baik. Kata Ashab kita (Ulama Fiqh Syafie): Membuat pelawaan bersungguh-sungguh supaya ahli si mati itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain, juga disunatkan kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka[2]).

3-Shohib Assyamil (Ibn As-Sobbagh) dan orang lain berpendapat: Ahli keluarga si mati membuat makanan dan menghimpunkan orang ramai supaya makan, maka tidak ada sumber sedikit pun yang diriwayatkan, bahkan perbuatan itu bid’ah yang tidak disukai. Beliau membuat dalil dengan hadis Jarir Bin Abdullah (r.a) yang berkata: كنا
نعد الاجتماع
…….
4-Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah (rhm) berkata:
“Manakala ahli si mati membuat makanan dan memanggil orang ramai supaya memakannya, adalah perbuatan itu tidak di syarakkan, bahkan ia bid’ah, berdasarkan hadis Jarir Bin Abdullah r.a yang berkata: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai adalah sebahagian dari ratapan jahiliah.”[3])
5-Dalam kitab Fiqhussunah ada disebut: “Disunatkan membuat makanan kepada ahli si mati, kerana ianya dari perkara kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat (yang jauh)”. Imam Syafie berkata: “Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan memberi makan kepada ahli si mati, yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan daripada perbuatan golongan yang baik-baik.”
Ulama mengatakan sunat mempelawa bersungguh-sungguh supaya ahli si mati memakan  makanan yang diberikan itu supaya mereka tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan disebabkan terlampau terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan sebab segan. Imam-imam  mazhab telah bersepakat bahawa hukumnya adalah makruh bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai yang berkumpul kepada ahli si mati, kerana perbuatan itu menambahkan lagi musibah ke atas mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan di atas kesibukan yang telah sedia ada, dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan seperti golongan Jahiliah. Hajat ini berdasarkan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.a yang berkata: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian.”
Sesetengah ulama mengatakan hukumnya adalah haram bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai[4]).
Di dalam kitab   حكم القراءة  للاءموات ada disebut: antara bid’ah yang diharamkan ialah ahli si mati memberi makan kepada orang yang memberi takziah atau memberi makan kepada faqir miskin selepas mengiring jenazah, dan pada hari Khamis, pada hari ketiga, pada hari keempat puluh dan tahunan (haul). Yang sunnahnya ialah sahabat handai dan jiran  tetangga memberi makan kepada ahli si mati kerana hadis Nabi SAW: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far kerana sesungguhnya telah datang perkara yang telah mengharukan mereka” (diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan selainnya dengan sanad yang sahih). Maka alangkah jauhnya perbezaan antara As-Sunnah dengan bid’ah[5]).
 7. Di dalam kitab احكام الجنائز وبدعها  ada disebut, antara amalan bid’ah ialah:
1) Ahli si mati menerima dhif tetamu dengan memberi makan kepada mereka.
2) Menerima panggilan jamuan makanan daripada ahli si mati[6].

Sunnah membuat makanan untuk ahli si mati – Pendapat empat Mazhab
Selepas kita mengikuti perbincangan dari ulama dan ulama mujtahid mengenai membuat dan menjamu makanan selepas kematian, atau dengan kata lain membuat kenduri jamuan makanan selepas kematian, maka dapat di fahamkan dari ulasan dan penerangan itu bahawa amatlah berbeza sekali apa yang di amalkan oleh kebanyakkan masyarakat Islam kita pada hari ini, kerana amalan mereka membuat kenduri jamuan makan selepas kematian adalah bercanggah dengan sunnah Nabi SAW dan sunnah sahabat-sahabat dan bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama. Oleh kerana perkara ini sangat tebal diamalkan dalam masyarakat Islam Melayu kita, maka penyusun merasa mustahak untuk membentangkan pula kepada pembaca pendapat Fuqaha’ dari empat imam mazhab sebagaimana berikut:
1- Mazhab Maliki:
Di sunatkan kepada jiran dan seumpamanya menyediakan makanan kepada keluarga si mati kerana kesibukan mereka menghadapi kematian.
2- Mazhab Hanafi:
Disunatkan kepada jiran keluarga si mati dan kaum kerabatnya yang jauh menyediakan makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sabda Nabi Muhammad SAW: “Hendaklah kamu membuat  makanan kepada ahli Ja’far, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”. Oleh kerana memberi makan itu suatu perkara kebaikan dan ma’ruf, maka dipelawa bersungguh-sungguh kepada mereka supaya makan, kerana kesedihan telah menghalang mereka daripada memakan makanan dan menyebabkan mereka menjadi lemah.
3- Mazhab Hanbali:
Disunatkan membuat makanan untuk ahli si mati dan dihantar makanan itu kepada mereka bagi memberi pertolongan dan melembutkan hati mereka. Boleh jadi mereka sibuk dengan ujian yang diterima, juga sibuk dengan kunjungan orang ramai yang datang menemui mereka, menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri. Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah Bin Ja’far bin Abi Thalib) r.ahma, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”.
Diriwayatkan dari Abdullah Bin Abu Bakar r.anhma, beliau berkata:
“Sentiasa sunnah Nabi itu menjadi ikutan kami (sahabat Nabi) sehingga ditinggalkan oleh manusia yang meninggalkannya (yakni sehingga sunnah itu ditinggalkan dan tidak diamalkan oleh kebanyakkan orang).”
4 – Mazhab Syafie:
Sebagaimana disebut dalam kitab Al-Muhazzab (المهذب) oleh Imam Al-Syirazi[7] ).
Disunatkan kepada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan kepada ahli si mati.
(Isteri, Suami dan anak-anaknya), kerana diriwayatkan apabila Ja’far Bin Abu Thalib r.a terbunuh Nabi SAW bersabda:
“Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”. Imam Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’ syarah kepada kitab al-Muhazzab, katanya: “Imam Syafie berkata di dalam kitab al-Mukhtasar: “Aku suka pada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sesungguhnya perbuatan itu ialah sunat dan diamalkan oleh golongan yang baik-baik.’’
Telah berkata ashab kita, (Ulama fiqh Syafie):
Dipelawakan bersungguh-sungguh kepada mereka (ahli si mati) supaya mereka makan dan walaupun mayat itu berada di negeri lain sekalipun, adakah disunatkan juga kepada jiran tetangga keluarga si mati membuat makanan untuk mereka.
Setelah kita mengikuti pendapat ulama di dalam empat mazhab mengenai membuat dan menyediakan makanan atau jamuan selepas kematian maka kita dapati semua mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumya adalah sunat bagi jiran tetangga dan kaum kerabat yang jauh membuat makanan kepada mereka, bukan mereka membuat makanan dan menjamu jiran dan orang ramai apabila berlaku sesuatu kematian seperti yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.
 Makruh ahli keluarga si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai – pendapat Empat Mazhab
Sebagaimana yang telah dikatakan, adat resam ini menjadi amalan sebahagian besar masyarakat Islam di negara kita, malah ada sesetengah bijak pandai Islam sendiri, mempertahankan tradisi ini, tanpa berpegang kepada dalil-dalil dan hujah-hujah yang kukuh.
Bagi memahami permasalahan ini ada baiknya dibentangkan dahulu nas atas teks asal dalam bahasa Arab oleh ulama dari empat mazhab kemudian diiringi dengan maksudnya dalam bahasa Melayu.
Ø
Pendapat
Mazhab Maliki:
وجمع الناس على طعام بين
الميت بدعة مكروهة لم ينقل منها شئ, وليس ذلك موضع ولائم.
Maksudnya:
Perhimpunan orang ramai pada makanan di rumah si mati adalah bid’ah yang makruh, tidak ada sandaran riwayat yang boleh berpegang sedikit pun, dan ia bukan tempatnya yang sepatut dan ianya dicela.[8])
Ø
Pendapat
Mazhab Syafie:
وأما
إصلاح اهل الميت طعاما وجمع الناس عليه , فلم ينقل فيه شئ وهو بدعة غير مستحبة.
ويستدل لهذا بحديث جرير
بن
عبد الله رضى الله عنه: كنا نعد الاجتماع إلى أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة.
Maksudnya:
“Jika ahli si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpun mereka kepada makanan itu, maka ianya tidak ada sandaran riwayat yang  boleh dipegang sedikit pun, dan perbuatan itu bid’ah yang tidak disunatkan. Berdalil dengan hadis Jarir Bin Abdullah r.a: “Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian.” [9])
 Ø
Pendapat
Mazhab Hanbali:
فأما
صنع اهل الميت طعاما للناس فمكروه, لأن فيه زيادة على مصيبتهم وشغلا إلى شغلهم
وتشبها بصنع اهل الجاهلية .
Maksudnya:
Jika ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai, maka hukumnya makruh, kerana perbuatan itu menambahkan lagi ke atas musibah mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan ke atas kesibukan mereka yang sedia ada, dan kelakuan  itu seperti perbuatan golongan jahiliyyah.[10]
Tetapi dalam mazhab Hanbali ini ada pengecualiannya, iaitu jika terpaksa ahli si mati membuat makanan kepada orang yang datang dari perkampungan atau dari tempat-tempat yang jauh untuk menziarahi mayat, dan mereka terpaksa bermalam di rumah mereka (ahli si mati), maka tidak dapat tidak ahli si mati terpaksa menerima mereka sebagai tetamu, maka pada ketika itu hukumnya boleh memberi mereka makan.
Ø
Pendapat
Mazhab Hanafi:
ويكره اتخاذ الضيافة من
الطعام من اهل الميت ، لأنه شرع فى السرور ولا فى الشرور، وهي بدعة مستقبحة . فقد
روي الإمام احمد وابن ماجة بإسناد صحيح عن جرير بن عبدالله قال:”كنا نعد
الإجتماع إلى اهل الميت وصنعهم الطعام من النياحة”.
Maksudnya:
Hukumnya adalah makruh ahli si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada mereka, kerana yang demikian itu hanya disyarakkan pada waktu gembira, bukan pada waktu tidak baik (waktu sedih selepas kematian), dan ianya suatu bid’ah yang keji. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih dari Jarir Bin Abdullah r.a, katanya: “Kami mengira perhimpunan kepada keluarga si mati dan mereka membuat makanan (untuk dijamu kepada orang yang berhimpun itu) adalah dari ratapan kematian.”[11]

 Hujah Dari Kitab-kitab Jawi
Selepas pembentangan pendapat ulama dari empat mazhab, penyusun bentangkan pula pendapat ulama kita dalam Mazhab Syafie yang ditulis dalam bahasa Melayu lama tulisan jawi. Ulama besar yang berkemampuan tinggi di dalam agama dan bahasa Arab ini banyak mengarang kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu tulisan jawi. Kebanyakan kitab-kitab karangan mereka menjadi rujukan utama kepada penuntut-penuntut di madrasah-madrasah pondok pada zaman dahulu dan malah sehingga sekarang.
Kitab Furu’ Al–Masaail:
Antara lain yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah:
Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, amalan yang dibuat oleh orang ramai apa yang dinamakan kifarah dan wahsyah)[12].Iaitu berkumpul dan berhimpun serta memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas dikebumikan mayat, berhimpun dan memberi makan pada tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya.
Teks atau nas asalnya berbunyi, “Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kafarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu haramkah atau makruh atau harus. (Maka dijawabnya) maka adalah segala yang tersebut makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata Syeikh Ibnu Hajar tiada sah wasiatnya).[13]
Dari kitab Sabil Al-Muhtadin:
Ringkasan dari kitab ini ialah:
1) Hukumnya bid’ah dan makruh jika dibuat kenduri makan selepas kematian dan dijemput orang ramai supaya memakan makanan itu, samada jamuan itu dari sebelum mayat dikebumikan atau selepas dikebumikan.
2) Juga hukumnya makruh dan bid’ah kepada sesiapa yang menerima jemputan itu dan menghadirinya.
Nas asalnya berbunyi: “Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruan.”[14]
Dari kitab Kasyfu Al-Lithsam:
Ringkasan dari kitab ini ialah:
1)Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, apabila ahli si mati memberi makan kepada orang ramai sebelum atau selepas pengebumian mayat.
2)Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, membuat penyembelihan di kubur.
3)Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, apa yang dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu berhimpun dengan memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas pengkebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya seperti yang tersebut.
Nas atau teks asalnya berbunyi: “Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian lagi dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kifarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikan itu yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.”[15]
Dari kitab Bughyatu Al-Thullab:
Ringkasan dari kitab ini antara lain ialah:
1)Sunat kepada jiran si mati, kepada kawan kenalan keluarga si mati dan kepada kaum kerabat yang jauh, membuat dan membawa makanan kepada ahli si mati yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.
2)Hukumnya makruh dan bid’ah jika ahli si mati membuat makanan dan menjemput orang ramai supaya memakannya, samada sebelum atau selepas pengebumian mayat.
3)Hukumnya bid’ah yang buruk lagi makruh jika diamalkan oleh orang ramai apa yang dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu perhimpunan dengan memberi makan kepada orang ramai selepas pengebumian mayat, tujuh hari, empat puluh hari dan seumpamanya seperti yang tersebut.
4)Asal sunat memberi makan ialah memberi makan kepada ahli si mati, bukan keluarga si mati menjamu makan kepada orang lain, kerana sabda Nabi SAW: “Buatlah kamu makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka.”
Teks asal kitab ini berbunyi: “Dan sunat bagi jiran keluarga mayat dan orang yang berkenalan dengan keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun, dan segala kerabatnya yang jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguh-nyungguh akan mereka itu suruh memakan kerana mereka itu terkadang meninggal akan memakan sebab sangat terkejut hati mereka itu……
Dan makruh lagi bid’ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan (menyerukan) segala manusia atas memakan dia, samada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya.”
Dan setengah daripada yang qobihah (keburukan) lagi makruh mengerjakan dia barang yang dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kafarah dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian itu…
Adapun asal sunat menyediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi SAW, “Tatkala datang khabar kematian Saidina Ja’far bin Abu Thalib pada perang Mu’tah, perbuat oleh mu bagi keluarga Ja’far makanan maka sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.”[16]
 Dari kitab Bahru Al-Mazi:
Ringkasan yang diambil dari kitab ini mengenai tajuk berkenaan antara lain seperti berikut:
a) Ahli si mati (isteri/suami, anak-anaknya) memasak makanan dan menghimpun orang ramai  dan menjamu makanan kepada mereka, maka amalan itu tidak ada sedikit pun sandaran riwayat yang boleh di pegang dan diikuti dari Nabi SAW dan dari sahabatnya.
b) Hukumnya bid’ah dan makruh jika ahli si mati memasak dan mengumpulkan orang ramai dan menjamu makanan itu kepada mereka kerana berpandukan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.anhma katanya “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumian mayat adalah daripada perbuatan ratapan kematian”.
c) Sunat kepada kaum kerabat si mati dan jiran tetangganya memasak atau membuat makanan dan diberi makan kepada ahli si mati yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya dan berkata Imam Syafie rhm.“Aku suka kepada kerabat si mati dan jiran tetangganya memasak makanan kepada ahli si mati yang mencukupi sehari semalam kerana ianya sunat dan perbuatan golongan yang baik-baik).[17]

 Kesimpulan
Adat kebiasaan menjemput, menghimpun orang ramai dan memberi makan kepada mereka oleh ahli si mati sebelum atau selepas pengebumian mayat telah menjadi agenda utama kepada sebahagian masyarakat kita selepas berlaku kematian. Adat seperti ini ini perlu dihapuskan dengan segera supaya tidak bertapak lagi, kerana ia bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW dan sunnah sahabatnya. Sesetengah rakan-rakan kita yang tidak peka dengan sunnah Nabi SAW sanggup mendakwa bahawa masalah ini adalah termasuk perkara yang remeh dan tidak penting. Persoalannya ialah: Apakah perbelanjaan melibatkan beratus malahan beribu ringgit kepada tempat yang bid’ah dan makruh itu termasuk perkara yang remeh-temeh?
Semua ajaran Islam adalah penting dan memberikan mizan (timbangan) di akhirat nanti. Oleh itu hendaklah kita masuk ke dalam ajaran Islam semuanya, tanpa menerima separuh dan menolak separuh yang lain. Ulama silam telah bersepakat kata, termasuk ahli fuqaha’ dari empat mazhab bahawa:
a) Makruh dan bid’ah apabila ahli si mati memasak dan menjamu makanan kepada orang ramai yang berhimpun di rumah mereka.
b) Sunat dan digalakkan kepada jiran tetangga  dan kepada kaum kerabat si mati memasak dan memberi makan kepada ahli si mati, bukan mereka (ahli si mati) yang menjamu makanan kepada jiran dan orang ramai.
c) Perhimpunan kenduri memberi makan pada malam pertama selepas kematian, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya semuanya itu hukumnya makruh dan dicela oleh syarak. Amalan dan perbuatan itu dinamakan “ كفارة   dan  وحشة.”
Setakat pembacaan penyusun dalam tajuk ini, tidak ditemui seorang ulama pun yang hukumnya sunat bagi ahli si mati memberi makan kepada orang ramai selepas berlaku kematian sebagaimana yang telah teradat dalam masyarakat kita bahkan semuanya mengatakan bid’ah dan makruh, termasuk ulama-ulama besar dari Mazhab Syafie seperti Imam Nawawi, Imam Shirazi, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni, Syeikh Muhammad Abdullah Al-Banjari dan lain-lain lagi.
Kita merasa aneh dan hairan apabila dituduh dan dicopkan kaum muda ke atas orang yang menyebarkan pendapat-pendapat kibar al-ulama (ulama agung) silam termasuk ulama mujtahidin dari empat mazhab yang menyatakan bid’ah dan makruh apabila ahli si mati berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai dan juga mengatakan bid’ah dan makruh bagi mereka yang menyahut seruan dan panggilannya.
Soalannya siapakah sebenarnya yang didakwa sebagai kaum muda?
Adakah mereka yang mempertahankan pendapat-pendapat dari ulama tersebut? Atau adakah kaum muda yang sebenar ialah mereka yang mempertahankan adat istiadat itu dan membelakangkan pendapat ulama-ulama berkenaan tanpa berpegang kepada dalil-dalil yang benar dan kukuh.
Imam Ishaq Ibrahim As-Syirazi umpamanya (wafat pada tahun 477 hijriah bersamaan 1083 masihi) demikian juga kibarul ulama yang lain termasuk Syeikh Daud Abdullah Al-Fathoni dan Syeikh Muhammad Bin Abdullah Al-Banjari, semuanya hidup pada zaman lampau. Oleh itu tidak masuk akal kalau mereka dilabelkan sebagai kaum muda atas alasan berlawanan dengan kehendak dan adat masyarakat Islam.
Ada juga di antara pensyarah-pensyarah agama dan pendakwah yang membela adat istiadat seperti itu dan mendakwa hukumnya adalah sunat bagi keluarga  si mati membuat kenduri kepada roh si mati dengan memberi makan kepada orang ramai selepas majlis tahlil diadakan. Mereka bukan sahaja menggalakkan masyarakat Islam supaya meneruskan amalan tersebut malahan juga menuduh mana-mana pihak yang mendedahkan hukum sebenar masalah itu sebagai orang yang berjalan tanpa haluan dan arah atau sebagai orang yang tidak mempunyai ilmu yang cukup.
Ada pula di antara mereka yang mengatakan bahawa masalah ini sudah selesai, kerana ia telah dijawab oleh tok guru itu dan pak lebai ini, dan bermacam-macam lagi kata-kata yang memberi sokongan ke arah mengekalkan tradisi dan adat berkenaan.
Jawapannya, kami bukannya mengeluarkan fatwa dan menciptakan hukum baru, tetapi kami hanya memaparkan dan mendedahkan ketetapan hukum yang telah di putuskan oleh kibarul ulama dan ulama-ulama mujtahidin mengenai bid’ah dan makruh apabila ahli si mati berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai selepas kematian.
Pada hemah kami, kalau dibandingkan ilmu antara kami dengan Syeikh Daud Bin Abdullah Al- Fathoni pun jaraknya beribu batu. Sebab itulah kami berpegang teguh dengan ketetapan hukum yang telah ditetapkan oleh mereka itu kerana kami yakin mereka mempunyai ilmu yamg melaut luasnya, dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dibentangkan oleh mereka amat teguh dan tidak dapat dipertikaikan.
Apakah mereka yang masih berpegang dengan adat istiadat mempunyai dalil-dalil yang tidak dijumpai oleh ulama mujtahidin itu? Adakah hujah yang dipegang oleh mereka lebih kuat daripada hujah yang dipegang oleh ulama mujtahidin?
Sanggupkah kita membatalkan hukum bid’ah dan makruh yang ditetapkan oleh mereka untuk diganti dengan hukum sunat, sedangkan kita tidak mempunyai dalil-dalil yang kukuh. Keputusan oleh ulama mujtahidin bukan boleh dijawab dengan sewenang-wenang seperti jawapan yang kita kemukakan kepada rakan sebaya kita. Kita tidak boleh menolak keputusan mereka itu dengan sebarang alasan sahaja, kerana selain dari dalil-dalil naqli yang telah disebut itu, ulama mujtahidin banyak mengemukakan kepada kita dalil-dalil aqli yang sangat munasabahdan logik, antaranya:
1-         Menghimpunkan orang ramai dan memberi makan kepada mereka oleh ahli si mati adalah tidak kena pada tempatnya yang layak dan munasabah, dan ianya dicela oleh syarak.
2-      Ahli si mati membuat makanan untuk diberi makan kepada orang ramai menambahkan lagi musibah mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan mereka diatas kesibukkan yang telah sedia ada, dan perbuatan itu seperti kelakuan golongan jahiliah.
3.         Hukumnya makruh dan bid’ah yang buruk apabila ahli si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada mereka, kerana penerimaan tetamu dengan memberi makan hanya disyarakkan semasa dalam kegembiraan, bukan semasa bermuram dan bersedih, kecuali jika tetamu itu datang dari tempat yang jauh dan terpaksa bermalam di rumah keluarga si mati untuk menziarahi mayat. Ketika itu sahaja dibolehkan untuk memberi makan.
 Cadangan:
1-         Apabila berlaku suatu kematian di dalam keluarga umat Islam, disarankan supaya mengelak daripada terikut-ikut dengan adat kebiasaan memasak dan memberi makan kepada orang ramai, sama ada sebelum atau selepas pengebumian mayat.
2-         Hendaklah menjauhkan diri dari melakukan amalan yang dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu berhimpun untuk memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas pengebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya.
3-         Hentikan helah atau muslihat, ta’wil dan kias yang tidak sihat dengan pelbagai cara bagi mengekalkan unsur-unsur bid’ah selepas kematian.
4-         Diharapkan mendapat kerjasama umat Islam dari semua pihak, terutama dari bijak pandai Islam, bagi menghapuskan unsur-unsur bid’ah tersebut.
5-         Dicadangkan segala derma takziah yang diterima oleh keluarga si mati diinfaq atau dibelanjakan pada sedekah-sedekah jariah untuk roh si mati, seperti membina masjid, membangunkan sekolah-sekolah pendidikan Islam, pusat-pusat tahfiz al-Quran dan sebagainya. Derma takziah itu juga boleh disumbangkan kepada segala jenis “fi sabilillah”.
6-         Dicadangkan kepada masyarakat Islam pada semua peringkat agar dapat menukarkan bid’ah itu dengan al-sunnah dari Nabi SAW dan sahabat, iaitu jiran, kaum kerabat yang jauh dan sahabat handai kepada ahli si mati yang jauh dan sahabat handai kepada ahli si mati memberi makan  epada mereka apabila berlaku sesuatu kematian.
7-         Diharapkan setiap muslim dan muslimah menjadi agen penyebaran (dakwah) maklumat ini kepada masyarakat kita.
Sekali lagi perlu diulang bahawa risalah (tulisan penulis) ini bukan dari pendapat penyusun untuk menetapkan suatu hukum baru dan jauh sekali daripada mengeluarkan fatwa. Tulisan ini tidak lain kecuali sekadar mendedahkan pendapat-pendapat ulama muktabar dan ulama mujtahidin mengenai bid’ah dan makruh pada apa yang di lakukan oleh ahli si mati selepas berlaku kematian.
Diharapkan semoga usaha yang sedikit ini mendapat keredhaan Allah SWT dan moga-moga bermanfaat pada hari yang tidak berfaedah lagi segala  harta dan anak-pinak, Astaghrfirullahhalazim, wallahua’lam.


[1]Muhammad Idris As-Syafie, (الأم), juzu’ 1 halaman 278-279.
[2] Imam Nawawi, (المجموع شرح المذهب), juzu’ 5,halaman 286.
[3]Majmuk Fatwa syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, juzuk 24, halaman 316.
[4]  Said Sabiq, Fiqh As-sunnah,1, halaman 427-428.
[5]  Muhammad Ahmad Abdul Salam, Hukm Al-qiraah lil Amwat, halaman 25.
[6]Muhammad Nasir Al-Bani, Ahkam Al-Janaiz wa Bid’uha’hlm. 256
[7] Abu Ishak Ibrahim
Al-Syirazi, wafat pada 476 hijriah bersamaan 1083 masihi, beliau termasuk
antara ulama’ yang agung dan mujtahid dalam mazhab Syafie
.
[8]( الشرح الصغير و حاشية
الصحاوي
)
 juzu’ 1, halaman 199.
[9]المجموع
شرح المذهب)
)  juzu’ 5, halaman 286.                                                                                                                                 
[10] (المغني اوليه
ابن قدامة الحنبلي
 )  juzu’
2, halaman 550.
[11] (فتح
القدير شرح الهداية فقه الحنفية
  )  juzu’
1, halaman 473.
[12]
Wahsyah: Maksudnya apabila keluarga si mati terputus dengan orang yang
dikasihinya . Mereka merasai dukacita, kesunyian, kesepian dan sebagainya, lalu
mereka berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai seperti yang tersebut
itu.
[13]
Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni, Furu’ Al-Masail,Juzk 1 halaman 183.
[14]
Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Banjari,Sabil Al-Muhtadin, Juzuk 2 halaman 83.
[15]
Kasyfu Al-Litsam, Juzuk 1 halaman  85
.
[16] Syeikh Daud bin
Abdullah Al-Fathoni, Baghiah Al-Thullab, Juzuk 2, halaman 33-34.

[17]Bahrul Mazi, juz 7,
hlm. 129-130.

[Maqalah ini telah ditulis semula oleh kami yang terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin tahun dua semester empat yang di anggotai oleh Mohammad Yazreen Bin Yusof, Mohd Fahmi Bin Mustapha, Khairul Amien Bin Mohd Zuki, Huzaifah Bin Abd Aziz, Khairuddin Bin Abdul Malek, Khairul Anwar Bin Sairi, Mohamad Zulhilmi Bin Zakaria, Mohd Firdaus Bin Sibaweh dan Nik Mohd Zulhanif Nik Yaacob yang menyiapkan projek penyemakan dan penambah-baikkan iaitu mengalih tulisan dari jawi ke tulisan rumi - 19 Mac 2013]
Tambahan Petikan dari Kitab Fiqh Manhaji (Fekah Mazhab Syafie) Jilid 1: http://www.darulkautsar.net/4736-Lima_Perkara_Bid%E2%80%99ah_Terhadap_Jenazah_%28Yang_Sering_Dilakukan_Oleh_Masyarakat_Melayu%29.html dan: http://islam.gov.my/sites/default/files/e-penerbitan/jilid_1.pdf

No comments:

Post a Comment