Hadis ke-1387:
(Kitab Riadhussolihin)
عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرو بْنِ الْعَاصِ رضي الله عنهما أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ
مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sampaikanlah
dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa
perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka
bersiaplah dia mengambil tempat duduknya di Neraka.” (Riwayat
Al-Bukhari)
Penjelasan hadis:
Sampaikanlah dariku walau satu ayat: Ayat yang dimaksudkan merangkumi kedua-dua ayat Al-Quran dan juga Hadis.
Hadis
ini menunjukkan saranan supaya kita menyampaikan ilmu tidak kira banyak
ataupun sedikit, asalkan ia ilmu yang dipelajari dari Al-Quran dan
Sunnah maka hendaklah ia disampaikan. Dalam ertikata lain, jangan kita
tahan sehingga kita mencapai maqam tertentu, atau maqam ulama mujtahidin
baru kita boleh berdakwah. Itu bukan syarat.
Sebaliknya, apa
ilmu yang kita ada, asalkan kita telah pastikan dan yakin akan
kebenarannya bersama dalil daripada Al-Quran dan Sunnah, maka menjadi
kewajipan atas kita untuk menyampaikannya kepada orang lain.
Dengan
syarat, ayat yang disampaikan baik Al-Quran mahupun hadis, kena
dipastikan betul bukan sahaja lafaznya tetapi juga tafsirannya. Mesti
dipastikan bahawa tafsirannya di atas kebenaran, bukan tafsiran mengikut
hawa nafsu dan sebagainya.
Adapun hadis, kita perlu lebih ambil
berat kerana kita perlu pastikan kesahihannya, di samping pemahamannya.
Kedua-duanya kena betul, kedua-duanya kena sahih sebelum disampaikan
kepada orang lain.
Kerana itu selepas saranan “Sampaikan
tentangku walau satu ayat”, datang pula amaran; “Dan barangsiapa
berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempat
duduknya di Neraka”.
Oleh itu hendaklah kita pastikan bahawa ia
hadis yang sahih, yang disahihkan oleh ulama hadis, kerana mereka adalah
pakar di dalam bidangnya. Setiap ilmu dikembalikan kepada pakarnya.
Jika
kita tidak mengambil berat sama ada hadis itu sahih ataupun tidak,
besar kemungkinan kita menyebarkan hadis yang tidak betul. Dan berapa
banyak hadis yang tak betul yang terkumpul dan termaktub di dalam
buku-buku, akhbar dan majalah sekarang ini. Berapa banyak hadis-hadis
yang dha’if, tidak kurang juga hadis palsu yang terus disebarkan, maka
jangan kita tergolong di dalam mereka yang menyebarkan hadis-hadis dhaif
dan palsu (yang direka-reka).
Rasulullah jelas memberi amaran
“barang siapa yang berbohong ke atasku”. Maksud berbohong atas
Rasulullah adalah suatu hadis itu tidak disebut oleh Rasulullah, tidak
sabit dari Rasulullah, tetapi kita mengatakan “Sabda Nabi … sekian
sekian…” sedangkan belum dibuktikan kesahihan bahawa ia disebut oleh
Rasulullah, belum dibuktikan bahawa Rasulullah melakukan itu dan ini.
Tetapi kita mengatakan Rasulullah mengatakan begitu dan begini. Jelas ia
perbuatan berbohong atas Nabi, menyandarkan sesuatu ke atas Nabi
sedangkan tidak sabit Baginda melakukannya.
BOHONG ATAS NAMA NABI TIDAK SAMA BOHONG ATAS ORANG LAIN
Percayalah,
berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sama dengan
berbohong ke atas orang lain. Berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi
wasallam implikasinya adalah perkara-perkara akidah, ibadah, halal
haram, perkara agama secara keseluruhannya yang menjadi penentu sama ada
kita masuk Syurga ataupun tidak. Berbohong ke atas orang lain tidaklah
implikasinya seberat berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Begitu juga kalau kita berbohong ke atas para Ulama. Itu juga
tidak sama kalau kita berbohong ke atas manusia lain, kerana para ulama
adalah pewaris Nabi.
KEPENTINGAN MENYAHUT SERUAN SAMPAIKAN WALAU 1 AYAT
Signifikan
saranan Rasulullah “Sampaikan tentangku walau sepotong ayat”, adalah
kalau semua orang menyahut seruan itu, setiap kita sampaikan sedikit,
dia sampaikan sedikit, dia sampaikan sedikit, dia sedikit, dia sedikit,
akhirnya akan terlengkaplah segala yang kita warisi daripada Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam.
Ini kerana manusia itu
masing-masing ada kemampuan dan kemampuannya terbatas, ada kelemahan dan
kekurangan masing-masing. Maka umat Islam itu saling melengkapi antara
satu sama lain.
Kalau kita hendak berharap pada seorang sahaja,
kita relaks, maka itu jelas memberi mudarat. Hasilnya umat Islam
seluruhnya akan ditimpa mudarat, kerana pastinya seorang itu tidak akan
dapat memikul tanggungjawab itu kesemuanya.
Begitu juga para Ulama. Kita melihat bahawa para Ulama masing-masing mengambil peranan masing-masing.
Syaikh
Bin Baaz rahimahullah mengambil peranan sebagai mufti. Segala masalah
umat datang kepadanya dari sekecil-kecil sampai sebesar-besar masalah,
orang merujuk kepadanya. Maka dia telah mencurahkan masa dan tenaganya
untuk berbakti kepada umat, menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan
(umum).
Syaikh Ibn Soleh Al-Utsaimin rahimahullah pula terkenal
sebagai seorang faqih, dia membuat kelas-kelas pengajian. Kalau kita
perhatikan dia tidak banyak menulis. Sebaliknya, hasil daripada
kuliah-kuliahnya di masjid itu yang akhirnya dijadikan buku. Dia menulis
sendiri tidak ada kerana masanya dihabiskan di masjid untuk mengajar,
dalam bab akidah, dalam bab fekah. Orang bertanya dan Syaikh
menjelaskan, maka akhirnya banyak permasalahan-permasalahan fekah,
masalah-masalah ilmu secara khasnya kalau kita tidak tahu, kita boleh
kembali kepadanya.
Syaikh Al-Albani rahimahullah pula telah
mencurahkan masa dan tenaganya di dalam masalah hadis. Kita lihat
masing-masing ada fokus dan bidangnya. Mereka saling melengkapi antara
satu sama lain. Inilah sebenarnya hubungan di antara umat Islam sesama
mereka,
المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
“Seorang
yang beriman dengan orang beriman yang lain adalah umpama binaan yang
saling mengukuhkan antara satu sama lain.” (Riwayat Al-Bukhari dan
Muslim)
HADIS PALSU
Soalan:
Bagaimana
kalau seseorang itu telah menyampaikan satu hadis palsu kerana dia
tidak tahu, tidak perasan. Selepas dia sampaikan, baru orang tegur dan
baru dia sedar. Apa yang menjadi tanggungjawabnya?
Jawapan:
Menjadi
tanggungjawabnya untuk menarik balik. Hendaklah dia bertaubat,
beristighfar, tidak cukup dengan itu kerana dia bertanggungjawab juga
untuk menarik balik hadis yang telah dia sampaikan.
Ini kerana
jika tidak, orang lain tidak tahu bahawa hadis itu dhaif/palsu, orang
tidak tahu dia telah bertaubat, yang orang tahu hanya kata-katanya yang
lama. Maka dia perlu menarik balik serta mengkhabarkan kepada orang yang
telah dia sampaikan itu bahawa hadis yang dia sampaikan dulu adalah
dhaif dan dia menarik balik. Itu menjadi tanggungjawab dia.
PENYIMPANGAN AL-KARAMIYYAH MENGHARUSKAN SEBAR HADIS DHAIF/PALSU
Berkait
hadis ini ada satu permasalahan. Syaikh Ibn Salih Al-Utsaimin menyebut
tentang adanya sekumpulan golongan yang menyimpang daripada kebenaran,
iaitu golongan Sufi aliran Al-Karamiyyah; satu kumpulan dahulu dan
waris-warisnya masih ada sehingga ke hari ini.
Mereka mendakwa
bahawa bolehnya menyampaikan hadis dhaif, bahkan hadis yang palsu
sekalipun dalam hal-hal yang berkaitan Al-Targhib wa Al-Tarhib
(Hadis-hadis berkaitan galakan kepada ibadah dan ancaman melakukan
keburukan), kerana bagi mereka tujuannya baik iaitu menggalakkan orang
beribadah dan melarang orang melakukan kemaksiatan.
Mereka
beralasan bahawa hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam “Barangsiapa
berbohong ke atasku” adalah larangan berbohong untuk melawan Nabi,
sedangkan kalau berbohong untuk membela apa yang dibawa oleh Nabi maka
ia dibolehkan. Alasan mereka adalah mereka berbohong untuk mengajak
orang buat kebaikan dan mengancam orang buat kejahatan, dan ia selari
dengan ajaran Nabi.
Para Ulama telah menyanggah hujah mereka
yang batil, yang menunjukkan kedangkalan pemikiran dan pemahaman mereka,
kerana mereka seolah-olah lupa tentang larangan berbicara tanpa ilmu.
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punya ilmu tentangnya.” (Surah Al-Israa’, 17 : 36)
Jelas
mereka telah berbicara tanpa ilmu. Mereka berbicara tentang galakan
serta suruhan yang bukan daripada Syarak. Segala yang bukan daripada
Syarak itu bukan ilmu[1], bahkan itu adalah kebatilan.
Mereka
juga seolah-olah lupa akan ancaman berbohong secara umumnya, dan mereka
telah berbohong. Mereka menyandarkan apa yang bukan daripada Nabi
kepada Nabi, mereka mengatakan ini Sabda Nabi sedangkan Nabi tidak
bersabda begitu, dan mereka tahu hal ini.
Syarak secara umumnya
mengancam kita daripada berbohong kepada sesama manusia, apatah lagi
berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Catatan tambahan:
Al-Hafiz Ibn Katsir berkata, “Orang-orang yang memalsukan hadis bermacam-macam, antaranya;
Orang-orang kafir zindiq.
Ahli
ibadah. Mereka menyangka telah berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya.
Mereka membuat hadis palsu yang mengandungi targhib dan tarhib dan
hadis-hadis fadha-il (keutamaan amal) supaya orang beramal.
Mereka
adalah golongan Al-Karamiyyah dan lainnya. Merekalah manusia paling
jahat dalam melakukan cara ini.” (Ikhtisaar Ulum Al-Hadis, hlm. 79)
Al-Hafidz
Ibn Hajar rahimahullah berkata, “Sangat bodohlah orang Al-Karamiyyah
dan sebahagian kelompok yang mengaku ahli zuhud yang berkata, ‘Berbohong
dan mengada-adakan terhadap Nabi untuk meneguhkan agama, manhaj Ahli
Sunnah, serta targhib dan tarhib hukumnya boleh.’ Mereka beralasan
bahawa datangnya ancaman itu hanya bagi orang yang berbohong untuk untuk
mendustakan Nabi sahaja, bukan berbohong untuk membela Nabi. Alasan ini
batil, sebab ancaman yang terkandung dalam hadis Baginda adalah sama,
baik berbohong atas nama Baginda mahupun berbohong membela Baginda.
Alhamdulillah, agama Islam telah sempurna sehingga tidak memerlukan
penguat berupa kebohongan.” (Fathul Bari, VI/499)
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
[1]
Ilmu itu adalah firman Allah, sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wasallam dan perkataan para Sahabat. (Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, I’lam
Al-Muwaqqi’in II/149 dan Menuntut Ilmu Jalan Menuju Surga hlm. 22)
Disalin dari rakaman Kuliah Riyadh Al-Solihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Kajang, 14.12.2012)
Oleh : Ust Idris Sulaiman hafizhahumullah
sumber: http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/09/25/sampaikan-walau-satu-ayat-ancaman-dusta-atas-nabi-sebar-hadis-dhaifpalsu/
No comments:
Post a Comment