Wednesday, January 1, 2014
5 ‘AMALAN BID’AH TERHADAP JENAZAH DI SISI MAZHAB ASY-SYAFI’I (YANG SERING DILAKUKAN OLEH MASYARAKAT MELAYU)
Oleh: Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Ada beberapa amalan di dalam masyarakat kita, yang selalu dilakukan dan sudah menjadi adat (yang bukan dari syarak) apabila ada sesuatu kematian. Kita masih mempercayainya bahawa ia adalah amalan yang baik dan patut dilakukan. Tetapi sebenarnya tiada didalam amalan para salfussolaeh terdahulu. Antaranya:
[001] Membawa jambangan bunga & seumpamanya bersama-sama jenazah. Perbuatan ini adalah BID’AH yang DIHARAMKAN yang telah mempengaruhi orang Islam dengan meniru upacara pengebumian mayat orang kafir yang mengandungi unsur-unsur pembaziran & kemegahan.
[002] MAKRUH membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur & seumpamanya (seperti yang biasa dilakukan pada maqam raja-raja Melayu & “wali-wali” kumpulan tareqat yang sesat).
Hal ini berdasarkan hadits, daripada Jabir r.a., katanya:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أَن يُجَصَّصَ القَبرُ
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.” [HR Muslim (970)]
Walau bagaimanapun, pembinaan kubur dengan batu marmar & seumpamanya (seperti yang biasa dilakukan pada maqam raja-raja Melayu & “wali-wali” kumpulan tareqat yang sesat) adalah HARAM.
Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah s.a.w., di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syara’, serta unsur-unsur kemegahan & kebanggaan yang dicela oleh agama.
[003] MAKRUH TAHRIM (HARAM) meninggikan kubur & membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini.
Menurut sunnah, kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah. Hal ini berdasarkan hadits, daripada ‘Ali bin Abu Talib r.a., katanya, Abu al-Hayyaj al-Sadiy berkata:
أَلَا أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِي عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا تَدَعَ تِمْثَالًا إِلَّا طَمَسْتَهُ وَلَا قَبْرًا مُشْرِفًا إِلَّا سَوَّيْتَهُ
Maksudnya: “Aku menyampaikan pesanan Rasulullah s.a.w. kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya.” [HR Muslim (969) & lainnya]"
[004] Keluarga si mati sibuk menyediakan makanan & menjamu orang ramai sebagaimana kebiasaan masa kini. Hal ini adalah BID’AH yang SANGAT BERTENTANGAN DENGAN SUNNAH yang menganjurkan sebaliknya, iaitu sebahagian mereka yang menziarahi jenazah menyediakan makanan & menghantarnya kepada keluarga si mati atau seseorang mengundang & menjamu mereka di rumahnya.
Begitu juga SUNAT menyediakan makanan yang banyak yang mencukupi keperluan mereka sehari semalam. Hal ini berdasarkan hadits, ketika Rasulullah s.a.w. menerima berita Ja’far bin Abu Thalib r.a. terbunuh, baginda (s.a.w.) bersabda:
اصنَعُوا لِأَهلِ جَعفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَد جَاءَهُم مَا يَشغَلُهُم
Maksudnya: “Buatkanlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana mereka ditimpa perisiwa yang menyedihkan.” [HR at-Tirmizi (998), Abu Daud (31-32) & selainnya]
HARAM menyediakan makanan untuk perempuan-perempuan yang meratap atau seumpamanya sama ada mereka di kalangan keluarga si mati atau orang lain. Ini kerana perbuatan tersebut akan membantu maksiat & menggalakkannya berterusan.
Termasuk dalam perkara BID’AH ialah perbuatan keluarga si mati mengadakan kenduri yang mereka namakan “sempena berlalu 40 hari” atau seumpamanya.
Sekiranya perbelanjaan kenduri tersebut diambil daripada harta hak para waris, & antara mereka, terdapat pula yang belum baligh, perbuatan tersebut SANGAT DILARANG disebabkan makan harta anak yatim & menghilangkan haknya bukan untuk kepentingan dirinya. Perbuatan HARAM ini dikongsi oleh kesemua yang menjemput & yang makan kenduri tersebut.
[005] Membaca al-Quran di majlis-majlis takziah yang dibuat secara rasmi sebagaimana yang berlaku pada hari ini; perbuatan tersebut juga adalah BID’AH.
Apa yang sunat ialah mengucapkan takziah kepada keluarga si mati hanya dalam tempoh 3 hari dari hari kematiannya sebagaimana yang DISEPAKATI (IJMA’) ‘ULAMA’, atau dengan kata lain, bukan keluarga si mati yang menentukan tempohnya (tetapi Allah).”
SUMBER: Dr. Zulkifili Mohamad al-Bakri, al-Fiqh al-Manhaji: ‘Ibadat Dalam Fiqh al-Syafi’i, Bab Mengiringi Jenazah (Perkara Bid’ah Terhadap Jenazah), muka surat 457-460.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment