Sunday, January 26, 2014
KHURAFAT DAN PENYELESAIANNYA
1. Pengertian khurafat dalam Islam ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta.
2. Di antara faktor-faktor yang mendorong berlakunya khurafat ialah :
a). Mudah mempercayai benda-benda tahyul
b). Kecetekan ilmu agama
c). Terpengaruh dengan kelebihan seseorang atau sesuatu benda
3. Manakala jalan penyelesiannya ialah setiap umat Islam hendaklah mendalami ilmu agama sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi S.A.W yang bermaksud : " Aku telah tinggalkan kamu 2 perkara selama mana kamu berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku"
Penjelasan Khurafat ke- 2:-
(Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi)
AKIDAH Islam adalah antara cabang ilmu Islam yang penting dalam kehidupan setiap umat kerana ia berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah. Malah, ilmu akidah, ilmu fardu ain yang wajib dituntut dan dipelajari.
Biarpun konsep akidah Islam mudah difahami dan dihayati, masih ramai umat Islam terpengaruh dengan kepercayaan khurafat yang karut-marut yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang terdahulu.
Pada hal, amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu salah satu dosa yang tidak diampuni Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar." Surah al-Nisa’, ayat 48)
Oleh demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menelusuri pentas kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan khurafat.
Khurafat ditakrifkan sebagai cerita mempesonakan yang dicampur-adukkan dengan perkataan dusta. Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita yang karut marut.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyimpulkan khurafat, semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat, ia tidak bersumberkan nas syarak sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis; cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut; didasarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam; berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam; mengguna objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan tertentu dan ada unsur negatif pada akidah dan syariat Islam.
Demikianlah antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat jika dihalusi secara mendalam, memang banyak berlaku dalam masyarakat Islam masa kini. Bahkan, ia masih lagi menebal dalam tradisi dan kepercayaan umat Islam dalam kehidupan seharian.
Contohnya, kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu atau batu hikmat yang kononnya boleh menyembuhkan sebarang penyakit, memuja objek tertentu, roh nenek moyang, kubur wali keramat dan sebagainya.
Begitu juga kepercayaan kepada sial seperti adat mandi Safar, adat mandi membuang sial, bunyi burung hantu pada waktu malam dan nombor sial seperti nombor empat.
Masih ada orang Islam yang tergamak memohon bantuan dari jin seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat main pantai dan seumpamanya.
Tidak kurang petani dan nelayan yang masih percaya kepada bertambah dan berkurangannya rezeki sehingga ada yang memuja semangat padi seperti bersemah dan membuang ancak di sungai atau laut (nelayan).
Orang Melayu pada dasarnya kaya dengan warisan pantang larang yang sebahagiannya jelas bertentangan hukum syarak seperti anak gadis dilarang menyapu pada waktu malam dikhuatiri menjadi andartu, tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi dan adat melenggang perut.
Itulah antara kepercayaan serta amalan khurafat yang masih wujud dan berakar umbi dalam setiap sendi masyarakat Islam.
Justeru, Islam sebagai agama menitik beratkan aspek akidah dan syariah menjelaskan bahawa segala amalan, adat, kepercayaan, perkataan dan perbuatan tidak berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan Qias dilarang sama sekali.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak termasuk dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak (tidak diterima amalan berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan pahala)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam bab akidah Islam, setiap Muslim hanya wajib beriman dan percaya kepada Allah Yang Maha Berkuasa Mutlak menguasai dan mentadbir alam semesta terbentang luas ini.
Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa. Ini bermakna kepercayaan kepada benda yang dijadikan keramat yang dipercayai mempunyai kuasa selain daripada Allah, bertentangan dengan konsep kepercayaan tauhid kepada Allah.
Selain itu, kepercayaan kepada sial juga menjejaskan akidah seseorang dan Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui sabdanya yang bermaksud:"Bukan dari golongan kami sesiapa yang berasa sial atau meminta diramalkan kesialannya, ditenung nasib atau minta ditenung nasibkan, menyihir atau minta disihirkan." (Hadis riwayat Tabrani)
Amalan memuja jin dan memohon pertolongan daripadanya seperti lazim dilakukan oleh bomoh dan dukun adalah perbuatan syirik. Begitu juga bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenung.
Oleh demikian, setiap Muslim wajib mendalami ilmu akidah untuk memelihara kesucian akidahnya, kepercayaannya, perkataannya, perbuatannya daripada amalan khurafat yang menyesatkan.
Ilmu akidah Islam adalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang Muslim daripada lembah kesesatan dan seterusnya memimpinnya ke arah keredaan Ilahi dan kesejahteraan hidup dunia akhirat.
Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka jadilah engkau orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)." (Surah Yunus, ayat 106)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menemui tukang tilik dan menanyakan sesuatu kepadanya, lalu terus percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka dia telah mengkufurkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad." (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)
Islam melarang keras sebarang amalan khurafat sama ada melalui perkataan, perbuatan, adat mahu pun kepercayaan yang tidak selari dengan konsep akidah Islam.
Amalan khurafat boleh membawa kepada syirik yang sudah tentu menjejaskan akidah seseorang Muslim selain hanya mengakibatkan dosa yang tidak terampun di sisi Allah.
Oleh yang demikian, setiap Muslim wajib mendalami ilmu akidah untuk memelihara kesucian akidahnya, kepercayaannya, perkataannya, perbuatannya daripada amalan khurafat yang menyesatkan.
Ilmu akidah Islam adalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang Muslim daripada lembah kesesatan dan seterusnya memimpinnya ke arah keredaan Ilahi dan kesejahteraan hidup dunia akhirat.
sumber: http://kaunselingsyarie.blogspot.com/2013/03/as-syifa-iq-insan-melaka-ayat-ayat.html#
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment