Sunday, January 19, 2014

MENYEKUTUKAN ALLAH ADALAH DOSA & KEZALIMAN PALING BESAR


Oleh:
Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman hafizahumullah


بسم الله الرحمٰن الرحيم




Syirik secara prinsipnya dikategorikan kepada dua bahagian;
Syirik besar: Pelakunya terkeluar daripada Islam, kekal dalam Neraka jika tidak bertaubat (Baca bhg. 1 untuk melihat bentuk-bentuknya).
Syirik kecil: Secara prinsipnya tidak menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam, tetapi boleh membawa kepada Syirik besar.


Syirik kecil terbahagi kepada dua jenis;

1. Syirik kecil yang zahir. Ia boleh terjadi dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.

Contoh syirik kecil yang dilakukan melalui perkataan, di mana kata-katanya itu syirik, tetapi tidak semestinya mengeluarkan pelakunya dari Islam. Ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Contohnya dalam sebuah hadis,

عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال للنبي صلى الله عليه وسلم: ما شاء الله وشئت، فقال: ((أجعلتني لله نداً؟ ما شاء الله وحده))

Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa seorang sahabat berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Apa yang Allah kehendaki dan engkau kehendaki.” Maka Nabi berkata, “Adakah engkau jadikan aku tandingan Allah? (Katakanlah) Apa yang Allah kehendaki sahaja”.
(Sahih. Riwayat Ahmad, Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, Al-Nasai dalam Sunan Al-Kubra)

Kata-kata itu syirik, “Apa yang Allah kehendaki dan engkau kehendaki”. Seolah-olah dia mengatakan Rasulullah ada kuasa dalam mentadbir, sedangkan bukan itu yang dimaksudkan. Tetapi kata-kata itu membawa unsur syirik. Oleh kerana itu Rasulullah memarahi dan membetulkan.

Perkataan-perkataan syirik yang biasa saya lihat di kalangan masyarakat kita, contoh:
“Demi bangsa, negara, dan agama”, “Untuk rakyat”. “Saya bekerja untuk rakyat”.

Itu syirik. Kita beramal untuk siapa? Syarat yang paling penting dalam kita beramal adalah IKHLAS. Demi siapa kita beramal? Kita beramal untuk Allah.

Saya angkat satu kotoran di atas jalan, saya angkat sampah, saya melakukan kerana Allah, baru dapat pahala. Tetapi kalau saya angkat sampah semata-mata kerana “demi engkau wahai kekasihku”, kata-kata itu syirik. Ini yang dimaksudkan syirik kecil.

Contoh syirik kecil dalam bentuk perbuatan; memakai gelang/tangkal. Macam baru-baru ini di Lahad Datu, semua penyamun-penyamun pengganas-pengganas penuh tangkal di badan mereka kerana hendak kebal. Ini syirik dari segi perbuatan. Tidak semestinya jatuh syirik (keluar dari Islam) tetapi ia adalah pintu kepada syirik yang besar (Syirik Akbar).

Sekiranya kata-kata atau perbuatan itu dituruti dengan kepercayaan , maka pelakunya jatuh syirik (syirik besar yang pelakunya keluar dari Islam kerana meletakkan kepercayaan dan pergantungan kepada selain Allah –pen.)

Contohnya kadang-kadang masyarakat kita menampal ayat Kursi dalam kereta, atas pintu rumah diletak Qul huwallahu ahad, di kedai-kedai, restoran-restoran, digantung nombor-nombor tertentu, dia meletak, menampal itu adalah syirik kecil dalam bentuk perbuatan.

Tetapi kalau dia sudah percaya ada kuasa pada sticker itu, pada nombor itu (dapat menghalang mudarat atau mendatangkan manfaat) maka dia jatuh syirik.

Perbuatan itu syirik kecil, tidak semestinya keluar dari Islam, tetapi kalau sudah ada kepercayaan maka jatuh syirik (besar).


2. Syirik kecil yang tersembunyi (Syirik Khafi).

Ia lebih kepada niat/keinginan. Niat yang dimaksudkan adalah riyak (mahu dilihat oleh manusia) atau sum’ah (mahu orang mendengar tentangnya iaitu ingin jadi terkenal/popular).

Dia membuat sesuatu kerana riyak, ini dikategorikan sebagai syirik kecil yang tersembunyi. Tidak semestinya keluar daripada Islam.

Tetapi kalau sudah tidak ada ikhlas, dia buat sesuatu semata-mata kerana selain Allah, misalnya dia solat kerana riyak semata-mata, tidak ada ikhlas (kerana Allah) sama sekali, ini memang sudah jatuh dalam Syirik besar.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman Forum Bomoh, Sihir & Tangkal, 28/04/2013)


sumber:  http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/10/24/jenis-jenis-bahagian-syirik/

No comments:

Post a Comment